MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Selasa, 5 Januari 2010

TAHUN BARU KARYA TERBARU.....


TAHUN baru ini sajak pertamaku tersiar dalam Dewan Sastera bertajuk SEORANG LELAKI TUA. Alhamdulillah terlalu bersyukur aku kepada Allah SWT. Semoga ada lagi karya-karyaku tersiar di mana-mana. Insya-Allah. Sajak ini aku tujukan kepada semua lelaki-lelaki tua seperti aku.


 Biasanya orang tua lebih dulu mati dari orang muda. Kerana kita orang tua ini mesti sentiasa berhati-hati supaya tidak melalaikan diri kepada Allah walau sesaat pun.


Sebenarnya orang muda juga mesti berhati-hati. Ada ketikanya orang muda lebih dahulu pergi mengadap Allah SWT dari orang tua. Pendeknya sama-sama kita berwaspada.
Ini dia sajakku yang tersiar itu:

SEORANG LELAKI TUA

Seorang lelaki tua
mundar-mandir di pinggir desa
bertapak lemah longlai
memikul segunung dosa
kesalan meratap hidup
yang amat menyiksakan

Seorang lelaki tua
meraba-raba dalam gelap gelita
melangkah mencari cahaya
sehingga dia tersungkur
dibumi nyata
letih lesu tidak bermaya
bagaikan sudah dihampiri
jalan kepenghujungnya

Seorang lelaki tua
tiba-tiba tersedar dari khayalan
setelah mati kian mendekati
warna-warni hidup tidak bererti lagi
tetapi jalan pulangnya masih berduri

Seorang lelaki tua
berada di alam penuaannya
dia lalu melangkah ke pangkal jalan
mencari kedamaian abadi
yang kekal selama-lamanya

(semua gambar yang tersiar ini hanya sekadar hiasan sahaja)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan