MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Khamis, 22 November 2012

SELAMAT PENGANTIN BARU YUSRINAH ANAKKU

Selamat Pengantin Baru pada anakku NOR YUSRINAH dengan pasangannya Ku Amir bin Ku Azizah, orang Langkawi. Saya telah menikahkan anaknda saya pada 16.11.12 selepas Sembahyang Jumaat. Alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan baik dan sejahtera.

Selasa, 11 September 2012

SELAMAT PENGANTIN BARU

Pada 8.9.2012 yang lalu aku telah menikahkan anakku Noor Azyyati. Alhamdulillah. Semuanya selamat. SELAMAT PENGANTIN BARU ANAKKU. SEMOGA BERKEKALAN. AMIN.

Isnin, 3 September 2012

SYUKUR YANG TERAMAT SANGAT KEPADA ALLAH SWT......

SYUKUR ALHAMDULILLAH....banyak rakan sekampung yang hairan melihat badanku yang semakin kurus sepanjang Ramadan ini. Aku timbang hari itu susut 7 kilo.Alhamdulillah....masih sihat. Puasa 6 pun sudah selesai. 8 hb Sept. ini nak nikahkan anak perempuan dengan buah hati idamanannya. Syukur alhamdulillah. Penat dan kurang sihat pun hati suka dapat menantu.
Anak gadis aku itu ialah Nor Azyyati, anak ke 6. Dia sekarang bekerja sebagai pengurus disebuah syarikat swasta di Petaling Jaya. Sebelum ini dia pernah menjadi penyunting drama terbitan Astro. Dan pernah menjadi pengarang sebuah majalah di KL. Dia minat dalam penulisan. Pernah cerpennya tersiar dimajalah. Dia duduk disebelah kipas itu. Bakal suaminya masih bekerja diAstro.

Isnin, 30 Julai 2012

BERTUKAR KE KUALA LUMPUR

BERAT rasa hati hendak meninggalkan Kelantan setelah mendapat arahan bertukar ke Kuala Lumpur pada tahun 1973. Waktu itu aku telah pun menduduki peperiksaan HSC. Keputusan peperiksaan tidaklah begitu baik. Tetapi bolehlah, berbanding rakan-rakan yang lain yang malas hendak belajar lagi. Semasa bertukar ke Kuala Lumpur itu beberapa orang rakanku, antaranya ialah Cikgu Abdullah Tahir, Sutung Umar rs telahpun berhijrah ke Kuala Lumpur. Abdullah Tahir menjadi tutor di UM manakala Sutung Umar rs sidang pengarang di Dewan Bahasa dan Pusaka. Abdullah Tahir yang baik hati mencadangkan padaku supaya masuk ke universiti. Beliau boleh membantu kalau aku mahu. Tapi aku sudah tidak minat lagi untuk meneruskan pelajaranku. Seolah-olah sudah cukup dengan kelususan HSC itu. Awal tahun 1973 kalau tidak silap aku telah masuk temuduga untuk jawatan penilai skrip drama di RTM. Permulaan gaji ditawarkan ialah RM 1,000.00 waktu itu. Dah lumayan seribu ringgit itu. Pada mulanya mereka kata aku dapat jawatan. Rupanya disaat-saat akhir aku ditolak. RTM telah mengambil Atondra untuk mengisi jawatan itu walaupun beliau tidak hadir pada temuduga itu. Selepas itu aku pergi pula untuk menghadapi temuduga sebagai wartawan di Jabatan Perpaduan Negara bersama-sama dengan Dato'Wariya. Tapi aku telah menarik diri dari temuduga. Selepas aku keluar itu aku tidak tahu apa terjadi pada Dato' Wariya. Mungkin tidak ada rezekiku di situ. Dan pada tahun 74 ada ura-ura dari jabatan agar aku ditukarkan ke Jabatan Perhubungan Awam PDRM dan pada waktu yang sama aku juga dikatakan akan dinaikkan ke pangkat Inspektor. Aku menolak pergi Jabatan Perhubungan Awam dan hanya pada tahun 1975 hujung tahun aku telah diterima menjadi pegawai kanan polis berpangkat inspektor. Bulan 3 tahun 1976 aku mula menjalani latihan inspektor polis di Pulapol. Hampir 3 tahun di Kuala Lumpur aku tidak menulis apa-apa. Aku sepi sesepinya.....

Rabu, 25 Julai 2012

BILA TENGUK ORANG MAKAN SAYA NAK MAKAN.....

ASSALAMUALAIKUM WRT. SELAMAT BERPUASA KEPADA RAKAN-RAKAN SEMUA. HARI SUDAH MASUK HARI KE EMPAT KITA BERPUASA. DAN SETIAPKALI MENJELANG RAMADAN SAYA TERINGATKAN ZAMAN KANAK-KANAK DULU. BERPUASA BAGI SAYA TIDAK ADA MASALAH. PANTANGNYA JANGAN SAYA TERNAMPAK ORANG MAKAN. KALAU SAYA NAMPAK ORANG MAKAN SAMA ADA DI RUMAH ATAU RUMAH JIRAN-JIRAN SAYA, SERTA MERTA SAYA AKAN MENJERIT MINTA MAKAN. DI RUMAH SAYA SELALU TERPANDANG EMAK SAYA MAKAN. ORANG PEREMPUAN BUKANKAH SELALU UZUR. BILA SAYA NAMPAK EMAK MAKAN, SAYA AKAN MENJERIT HENDAK BERBUKA PUASA. PENING KEPALA EMAK SAYA DIBUAT. ITU KELEMAHAN SAYA MASA KANAK-KANAK.
ini gambar aku semasa kanak-kanak - dalam likungan 4 ke 5 tahun ini.

Sabtu, 21 Julai 2012

SEHINGGA KINI AKU MASIH RINDUKAN CHERANG RUKU, KUALA BESUT DAN KUALA JAMBU.

KATA ORANG tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula bermain. Bumi Cherang Ruku, Kuala Besut dan Kuala Jambu memang banyak membantu aku untuk mengembangkan sayap di bidang penulisan. Persahabatanku ditiga-tiga tempat ini sebenarnya tidak terbatas. Aku berkawan dengan penulis-penulis, orang-orang politik dan orang-orang kampung. Semasa aku hendak bertukar dari Cherang Ruku ke Kuala Jambu, penduduk-penduduk Kampung Cherang Ruku telah menulis surat kepada Ketua Polis Negara untuk tidak menukarkan aku ke Kuala Jambu. Bagaimanapun pihak pengurusan PDRM tidak membenarkannya. Polis mengharapkan agar kemajuan yang saya lakukan di Cherang Ruku dapat pula dilakukan di Kuala Jambu. Pertukaranku dari Kuala Jambu ke Kuala Lumpur tidak pula orang-orang tulis surat surat menahan pertukaran itu. Mungkin barangkali pergaulanku dengan masyarakat di situ tidak serapat pergaulanku dengan masyarakat Cherang Ruku.

Selasa, 17 Julai 2012

M.A. PUTERI, KU RAHMAN, HAMID JUSUH DAN YUSOF SELERA.....

Kampung Cherang Ruku, Semerak, bersempadan dengan Terangganu. Kuala Besut ada bersebelahan sahaja dengan Kampung Dalam Rhu, Semerak. Selepas Cherang Ruku kita berjumpa Kampung Dalam Rhu. Selepas Kampung Dalam Rhu baharulah kita berjumpa Kuala Besut. Semasa duduk di Cherang Ruku selalulah saya pergi ke Kuala Besut. Di Kuala Besut ada beberapa orang penulis yang terkenal waktu itu. Antaranya ialah M.A. Puteri (Mohammad Abdullah, M.A. Puteri banyak menulis artikel-artikel dalam akhbar-akhbar dan majalah. Ku Rahman seorang penyair. Hamid Jusuh, penulis berita. Dan Yusof Selera seorang peniaga tetapi berminat menulis sajak. Restoran Yusof Selera di Kuala Besut adalah miliknya. M. A.Puteri telah meninggal dunia 4 atau 5 tahun yang lalu - ada keluar surat khabar. Yang lain-lain tidak dengar khabar berita mereka. Seronok juga bila teringatkan kisah lama ini. Saya dan rakan2 penulis dari Kuala Besut dan Pasir Puteh selalulah berjumpa dan selalu berbincang fasal sastera. Kadang2 kami berjumpa di Kampung Dalam Rhu, di tepi pantai.
GAMBAR KENANG-KENANGAN: M.A.PUTERI AKU DAN WAN MOHAMMAD ADAM DARI KIRI. GAMBAR DIRAKAMKAN PADA TAHUN 1970 (LEBIH KURANG).

Ahad, 15 Julai 2012

TIDAK ADA PENULISKAH DI TUMPAT?

SAYA bertugas di Kuala Jambu lebih kurang tiga tahun saja. Kuala Jambu sebuah kampung yang agak terpencil sedikit. Malam hari sunyi sepi walaupun bukan kawasan hitam. Selama tiga tahun di Kuala Jambu, tiga kali Kuala Jambu dilanda banjir besar. Balai polis Kuala Jambu berhampiran Sungai Golok. Bila bajir melanda, balas polis dan rumah anggota akan dimasuki air setinggi dua atau tiga kaki. Penat mengemas barang. Rumah enjin semboyan dibuat tiggi kira-kira 15 kaki dari bumi. Jadi, waktu banjir enjin itu tidaklah dimasuki air. Kawasan pendalaman tempat aku tinggal itu, biasanya dilawati oleh pegawai kanan polis sebulan sekali. Pegawai itu akan tidur di balai bersama anggota bertugas. Banjir yang melanda Kuala Jambu bukanlah bajir kilat seperti yang banjir yang melanda Kuala Lumpur. Banjir di sini memakan masa berhari-hari untuk surut. Kadang-kadang sampai seminggu baru surut. Fukirkanlah bagaimana hendak berak dan kencing waktu banjir sebegitu. Kami takut ular atau buaya masuk ke dalam rumah. Tapi belum pernah berlaku lagi. Setahu saya di Kuala Jambu memang tidak ada penulis. Di Tumpat pun cuma penulis yang saya kenal ialah Hasan Yaacob. Dia ini banyak menulis berita. Lain-lain saya tidak kenal atau mungkin tidak diperkenalkan dengan saya. Insya-Allah, akan sambung lagi.
GAMBAR ANAKKU - BUDI ARIFFIN DAN KAK NAB - ORANG KUALA JAMBU. SAYA DAN KELUARGA MENZIARAHINYA BEBERAPA BULAN YANG LALU.

Jumaat, 13 Julai 2012

DARI CHERANG RUKU KE KUALA JAMBU

SEBELUM bertukar ke Kuala Lumpur, dari Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh saya bertukar ke Kuala Jambu, Tumpat. Di Tumpat waktu itu tidak ada penulis yang aku kenali di sana. Kerana itu aku bergiat menulis secara sendirian. Kalau jemu di Kuala Jambu aku pergi mencari rakan-rakanku di Kota Bharu. Rakan paling rapat denganku ialah Zahari Affandi dan Abdullah Tahir (Abdullah Tahun duduk di Kubang Krian dan isterinya orang Pasir Puteh. Banyaklah cerpen2 dan drama radioku tersiar. Tanpa kuduga, rupa-rupanya di Kuala Jambu muncul seorang penulis terkenal yaitu novelis Hashim Latif. Aku baru saja mengenalinya ketika giat menulis dalam muka buku (fb, dia hubungi aku dan mengenalkan dirinya. Alhamdulillah. Semasa aku bertugas di Kuala Jambu dulu, Hashim masih kanak2 lagi. Dia cukup ingat aku seorang pemain badminton yang berbakat waktu itu. Sekian. Insya-Allah akan sambung lagi.

Selasa, 10 Julai 2012

BUMI KELANTAN ADALAH BUMI BERTUAH BAGI SAYA.

Pada tahun 1967 saya bertukar ke Kota Bharu sebagai anggota polis. Minat menulis yang ada pada diriku ini terus membara. Namun begitu, di Kota Bharu saya tidak kenal sesiapa pun penulis. Penulis-penulis seperti S.Othman Kelantan, Alias Harun, Abdullah Tahir, Zahari Affandi, Norhisham Mustafa, Anirahman L Redan semuanya duduk di Kota Bharu. Saya pula belum berminat untuk menemui mereka dalam waktu terdekat itu. Niat untuk mengenali penulis2 terkenal itu memang ada. Tetapi masih belum ada kesempatan lagi. Saya tidak lama bertugas di Kota Bharu. Kalau tidak silap saya cuma tiga bulan saja. Dari bulan Mei hingga Ogos 1967. Selepas itu saya ditukarkan Balai Polis Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh. Sebenarnya di Pasir Putehlah cahaya penulisan saya mula bersiar. Ketika di Pasir Putehlah Cerpen, drama radio, drama pentas, novel, puisi mula mendapat tempat di akhbar, majalah, radio. Pada mulanya saya terasa malas hendak mencari rakan-rakan penulis di Pasir Puteh dan Kota Bharu. Tiba-tiba sebuah majalah hiburan meenyiarkan sebuah cerpen saya berserta gambar. Dan seorang penulis di Pasir Puteh, Wan Mohammad Adam (Arduka)dapat mengenali saya dari gambar saya yang tersiar itu. "Awaklah OSMAN DOL" yer, kata Arduka. Arduka atau Wan Mohammad Adam masih aktif menulis. Tapi beliau menjadi wartawan "Bernama". Penulis2 yang bermastautin di Pasir Puteh waktu itu ialah Abdullah Tahir, Wan Jaafar Ahmad, Cikgu Daud Yusoff dan ramai lagi yang tidak dapat kubariskan nama mereka. Arduka mengenalkan aku dengan penulis-penulis Pasir Puteh itu. Dan pada tahun 1970 (kalau tidak silap) saya bersama-sama Abdullah Tahir, Wan Jaafar Ahmad, Arduka dan Cikgu Daud Yusoff lalu menubuhkan SUDUT PENULIS PASIR PUTEH kemudiannya di kenali PUSPA. Dari Pasir Puteh saya mula mengenali penulis-penulis besar Kelantan di Kota Bharu seperti S.Othman Kelantan, Alias Harun, Sutung Umar RS, Alias Muhammad, Anir Rahman L Redan dan ramai lagi yang saya telah lupa nama mereka. Dan saya pernah dilantik sebagai AJK Persatuan Penulis Kelantan. Banyak karya-karyaku yang tersiar di Kelantan. Tahun 1974 saya bertukar ke Kuala Lumpur. Kelantan yang penuh dengan kenangan.....

PUISI TERBARU DALAM "DEWAN SASTERA" JULAI 2012.

ALHAMDULILLAH....TERIMA KASIH DEWAN SATERA.

Ahad, 24 Jun 2012

TERIMA KASIH RAKAN-RAKAN YANG MENDOAKAN SAYA.


Assalamualaikum wrt rakan-rakan semua. Sudah lama saya tidak menulis dalam blogg. Sebenarnya saya kurang sihat. Masalah jantung bengkak. Sekarang ini alhamdulillah setelah beberapa hari dirawat di Hospital Besar, Melaka. Doa rakan-rakan kepada saya diucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

Jumaat, 4 Mei 2012

Berita Harian Online | Lagi skandal seks akan didedah

Berita Harian Online | Lagi skandal seks akan didedah

Serah kepada Allah yang Maha Besar. Penulis-penulis blog ini banyak sumber. Tetapi kena hati-hati, jangan sampai orang tidak percaya kita.....

Jumaat, 27 April 2012

MEREKA ADALAH INSAN YANG BERJASA DALAM DUNIA SASTERA.

MEREKA SEMUA TELAHPUN PERGI MENINGGALKAN KITA SEMUA. MEREKA ADALAH INSAN-INSAN YANG BERJAYA DALAM PENULISAN. SEMOGA MEREKA SEMUA DALAM PEMELIHARAAN ALLAH SWT.

ALLAHYARHAM NORA

ABD. RAHMAN C. M.

REDHUAN ASLIE

ZAHARI HASIB

ALI MAJOD

S.OTHMAN KELANTAN (SN)

DATO' AHMAD HJ ABDULLAH
(HANIFAH MELAKA)


DAN AZIZI HJ ABDULLAH
(ALFATIHAH UNTUK MEREKA SEMUA)

Selasa, 17 April 2012

SAJAK DALAM METRO PERDANA "KASIH IBU DAN BAPA".

Sajak terbaru tersiar dalam Metro Perdana KASIH IBU DAN BAPA April 2012.

Isnin, 16 April 2012

CERPEN "KOMUNIS" TERSIAR DALAM METRO PERDANA APRIL 2012

Alhamdulillah....cerpen bertajuk KOMUNIS tersiar dalam METRO PERDANA April 2012. Terima Kasih MP. Fikirkan tidak ada apa-apa pada bulan April ini. Syukurlah....

Khamis, 29 Mac 2012

Berita Harian Online | Hari Sastera Nasional Ke-15 di Melaka

Melaka Bandaraya Bersejarah menjadi tuan rumah Hari Sastera kali ini. Rakan-rakan penulis dari Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM) turut sibuk. Ketua satu Mokhtar Yasin dan Ketua dua Razali Endun teramatlah sibuknya. Apa cerita baru agaknya....
Berita Harian Online | Hari Sastera Nasional Ke-15 di Melaka

Ahad, 25 Mac 2012

PUISI "LANDASAN KEBENARAN"

SEBUAH lagi puisi saya tersiar dalam Mingguan Malaysia bertajuk LANDASAN KEBENARAN. Terima kasih Mingguan Malaysia khususnya Ku Seman Ku Hussein. Kebetulan seorang sahabat saya dari utara tanah air turut mendapat tempat. Dalam Berita Minggu GURINDAM MEMBACA dan dalam Mingguan Malaysia KITA SAKSIKAN. Tahniah anaknda Mohd Hilmi Ahmad.

Sabtu, 24 Mac 2012

TIBA-TIBA SAYA TERINGATKAN RAKAN-RAKAN LAMA MALAH ADA YANG TELAH MENINGGALKAN KITA BUAT SELAMA-LAMANYA.....

SEMASA mula-mula menjinakkan diri dalam dunia penulisan dahulu saya banyak didorong oleh penulis veteran HANIFAH MELAKA atau DATUK AHMAD BIN HAJI ABDULLAH. Dia banyak menulis cerpen dan sajak  yang tersiar disekitar tahun 50an. Cerpen dan sajaknya banyak tersiar dalam majalah Mutiara dan lain-lain majalah di zamannya. Beliau meninggal dunia dalam usia 74 tahun pada tahun 2006 (kalau tak silap).
2) Pengarang novel KALAU ROBOH KOTA MELAKA Allahyarham Omar Ahmad meninggal dunia awal tahun 90an dalam usia sekitar 57 atau 58 tahun. Omar Ahmad banyak memberi saya panduan untuk menjadi seorang penulis yang baik. Omar Ahmad aktif menulis cerpen pada tahun 60an dan beliau selalu memenangi hadiah menulis cerpen RM100.00 yang dianjurkan oleh Berita Harian. Omar Ahmad kenalan rapat Datuk A. Samad Said, kebetulan mereka sekampung. Kampung Durian Tunggal, Melaka. Hanifah Melaka juga orang Durian Tunggal.
3) Allahyarham T.S.Sidi juga orang Durian Tunggal. Dia lebih tua dari saya 3 atau 4 tahun. T.S.Sidi banyak menulis puisi dan cerpen pada tahun-tahun 60an, 70an dan 80an. Bila bertemu dengannya saya selalu bercakap fasal sastera. Dia seorang yang gigih belajar dan bekerja. Dari seorang penjual sayur di Pasar Besar Kuala Lumpur sehingga menjadi seorang Pengarah di Syarikat Dumex.
4) Ketika menjadi polis Di Singapura saya mengenali Nordin Yunus (Adi Nor), Kamsani Ideris dan Rafaeah Buang (penyanyi). Adi Nor masih ada dan menetap di Kampung Durian Tunggal, sekarang. Kamsani Ideris tidak dapat di hubungi. Rafaeah Buang (Allahyarham). Seorang lagi ialah Allahyarham Onn Abdul Rahman. Mereka yang saya sebutkan ini adalah sidang pengarang majalah Satria Malaysia kemudian menjadi majalah Perkawalan. Terima kasih kepada mereka yang sentiasa memberi perhatian pada karya-karya saya.
5) Selepas bertukar ke Kelantan saya dihubungi oleh seorang tokoh sasterawan Singapura ia
allahyarham Mahmud Ahmad. Beliau mengikuti setiap cerpen saya yang tersiar dalam akhbar-akhbar waktu itu (Berita Minggu dan Mingguan Malaysia) dan memberikan sedikit komen yang membina. Itulah Mahmud Ahmad pengarang majalah sastera MEDAN SASTERA. Beberapa buah cerpen saya disiarkan dalam majalan Medan Sastera ini.
.......saya akan sambung lagi...

Rabu, 21 Mac 2012

APA YANG SAYA HENDAK TULIS......???

KADANG-KADANG berjam-jam saya mengadap laptop untuk menulis sesuatu. Tetapi tidak ada apa yang dapat saya hasilkan. Kalau saya terus juga berkarya, maka pasti karya saya itu tidak bernialai. Kalau tidak bernialai, sesuai untuk disimpan sahaja. Dihantar ke majalah-majalah atau ke akhbar-akbar pun tidak akan disiarkan. Kerana itu saya banyak menghabiskan masa bermain dengan cucu-cucu atau membaca novel atau majalah. Membaca amat penting bagi seorang penulis yang ingin maju. Terima Kasih.

Selasa, 6 Mac 2012

AKU TELAH BERUSIA.....


SASTERAWAN NEGARA Datuk Abdullah Hussein dalam usia lebih dari 70 tahun telah dapat menghasilkan sebuah novel yang hebat (IMAN)dan memenangi hadiah sastera Malaysia beberapa tahun lalu. Sekarang Abdullah Hussein telah berusia hampir atau telah mencecah 90 tahun. Beliau tidak berkarya lagi. Aku sekarang walaupun belum mencecah 70 tahun (68) tetapi sudah terasa tidak mempu hendak berkarya. Hendak menghasilkan sebuah puisi pun terkial-kial. Memakan masa begitu lama sekali. Lebih-lebih hendak menghasilkan sebuah cerpen atau novel. Rasanya macam tidak mampu lagi. Terasalah diri ini semakin tua dan semakin lemah. Semoga Allah SWT terus memberikan aku semangat untuk terus berkarya. ALLAHUAKBAR.

Ahad, 4 Mac 2012

PUISI "AKU INGIN MELAGUKAN"

Ini puisi ke tigaku tahun 2012 tersiar 4.3.2012. Alhamdulillah. Sebulan tersiar satu pun sudah cukup. Tidak kira cerpen atau sajak.....

Ahad, 26 Februari 2012

HARI MINGGU YANG DINANTI-NANTI OLEH KAUM PENULIS.

Seorang rakan penulis dari utara tanah air pernah menulis dalam blognya menyatakan bahawa Hari Minggu adalah hari yang dinanti-nantikan oleh kaum penulis. Mereka ingin mempastikan sama ada karya mereka tersiar atau tidak. Aku akui benar apa yang disebutkan oleh rakan penulis situ. Dari dulu sehingga sekarang hari Minggu memang hari yang aku nanti-nantikan. Pernah ketika aku duduk di Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan, menaiki motosikal sejauh 15 kilometer semata-mata hendak membeli akhbar. Waktu itu tidak ada akhbar dijual di pekan kecil itu. Dan aku masih ingat, di hari Minggu, jam 10 pagi, aku ke Pasir Puteh menunggang motosikal, sampai di suatu selekoh, aku terbabas dan terhumban dalam sawah yang kering. Motosikal Lambretta aku hancur. Ramai yang menyangka aku meninggal dunia kerana ada rakan-rakan yang datang ziarah aku menyatakan aku meninggal dunia. Sebenarnya aku cuma cedera sedikit saja.
Bila cukup bulan begitu juga. Kita akan menanti-nanti sessuatu majalah terbit sekiranya kita ada menghantar cerpen atau sajak dalam majalah itu.
Tepat apa yang disebut oleh rakan penulis Mohd Hilmi Ahmad. Menjadi suatu nostalgia ketika aku muda-muda dahulu   yang menghantar cerpen dalam majalah atau akhbar.

Ahad, 5 Februari 2012

BILAKAH AGAKNYA.......?

SEJAK mula berkarya di awal tahun 60an aku telah menghasilkan hampir 200 buah cerpen. Ada diantara cerpen-cerpen yang kuhasilkan itu memang bermutu. Aku rasa hendak mengumpulkan semua cerpen-cerpenku yang baik itu untuk diantolojikan. Tetapi hendak menaip semula itu.....doh, doh, doh.....malasnya. Setakat ini aku cuma baharu ada 2 buah sahaja antoloji cerpen sendiri. Antoloji cerpen bersama memang banyak. Bilakah agaknya aku dapat menyiapkan antoloji cerpen itu.......?
Minhad ialah novel kanak-kanak. YANG MANA SATU antoloji cerpen remaja.


SALAM MAULIDUR RASUL 1433 H KEPADA SEMUA KAUM MUSLIMIN

Sabtu, 4 Februari 2012

PUISI "TAK JEMU"

PUISI KEDUA KARYAKU PADA TAHUN 2012 YANG TERSIAR DALAM MINGGUAN WARTA PERDANA. ALHAMDULILLAH. SYUKUR....
TERSIAR DALAM MINGGUAN WARTA PERDANA PADA 12.2.12.

Rabu, 18 Januari 2012

AKU HANYA SEKADAR BOLEH BERKARYA SAJA.....

BILA diingat-ingat zaman mula-mula aku berkarya dulu rasa macam tidak percaya saja. Begitu kuat minatku di bidang penulisan ini. Itu sebebenarnya sesuatu anugerah Allah.

Mula-mula berkarya dulu aku menulis pakai tangan saja. Bila beli mesin-taip barulah menulis dengan mesin-taip. Bertambah rajin aku. Aku tidak pernah merasa jemu dan bosan walaupun banyak juga karya-karya aku yang dibakul sampahkan.

Bila sudah berumur begini barulah aku insafi bahawa aku tidak semampu berbanding zaman muda-muda dulu. Sekarang aku sering ditekan rasa malas. Bila lama sangat mengadap coputer mata pula jadi kelabu.
(CERPEN PERTAMA YANG TERSIAR DALAM MINGGUAN MALAYSIA 19.11.67)                                  
Walaupun telah sekian lama aku menulis; seperti yang selalu aku ungkapkan, karya-karyaku tidak begitu                                                    
baik walaupun memang aku pernah menang beberapa peraduan menulis cerpen, novel dan drama. Tetapi namaku tidaklah sehebat Azizi Hj Abdulllah. Aku hanya sekadar boleh berkarya saja.

Apa-apa pun aku teramatlah bersyukur kepada Nya. Dia yang menghidupkan aku, Dia yang memberi aku rezeki dan Dia yang menganugerahkan bakatku sebagai seorang penulis.

Khamis, 12 Januari 2012

BUDI ARIFIN BERKARYA SEMULA.....

BUDI ARIFIN

SEKIAN lama anakndaku BUDI ARIFIN menyepikan diri dari berkarya. Nampaknya dia sudah mula berkarya semula. SANGGAR DUKA cerpennya tersiar dalam Majalah Mingguan Wanita keluaran terbaru January. Tahniah anaknda. Harap teruskan berkarya....

Selasa, 10 Januari 2012

MOHD HELMI AHMAD YANG RAJIN BERKARYA...TAHNIAH.

Syabas. Itulah yang boleh saya katakan kepada Mohd Helmi Ahmad seorang penulis dari utara yang begitu aktif berkarya. Bulan January 2012 ini saya ternampak tiga buah cerpennya tersiar. Sebuah dalam Harmoni, Jelita dan sebuah lagi dalam Perdana. Mungkin ada tersiar ditempat lain yang tidak saya ketahui.
Saya tidak sempat untuk membaca cerpen-cerpennya. Tetapi saya yakin karya-karyanya bermutu, kalau tidak masakan karya-karyanya disiarkan.
Harus juga diingatkan yang penting dalam berkarya ialah mutu karya bukan banyak karya yang tersiar. Kita perhatikan Zean Kasturi dan S.M. Zakir....tidak banyak karyanya yang tersiar. Kedua-dua anak muda itu telah dipilih sebagai pemenang S.E.A. Write Award. Mungkin karya-karyanya yang tersiar itu amat baik yang melayakkan dia untuk dipilih sebagai SEA Write Award.
Saya sendiri diawal tahun-tahun 70an dianggap penulis yang begitu rajin menulis. Ini terbukti bila seorang Pengkaji DBP menulis dalam majalah Dewan Bahasa menyatakan saya dan dua orang yang lain (dah lupa namanya) dianggap penulis amat rajin.
NORA (HAJI ALI HAJI AHMAD) juga menegur saya menerusi seorang rakan penulis RAHIM TAHIR menasihatkan saya supaya menghasilkan karya-karya bermutu. Bukan banyak katanya, tetapi bermutu. Saya hormati pendapatnya itu.
Allahyarham Azizi Haji Abdullah seorang penulis yang amat rajin menulis. Dia tidak setakat rajin, karya-karyanya pun amat bernilai. Kita boleh banyak menghasilkan karya kalau kita mampu, pastikan karya kita benar-benar berharga.
Tulisan saya ini saya tujukan kepada semua penulis muda. Terima kasih. 

Isnin, 2 Januari 2012

SAJAK TERBARU DALAM UNTUSAN MELAYU MINGGUAN - 2.1.12.

Nama penulis itu keliru sikit. Nama sebenar aku AHMAD BIN DUGOL dan OSMAN DOL sebenarnya nama samaranku. Apakah ini satu permulaan yang baik bagiku untuk tahun baru ini.

Ahad, 1 Januari 2012

BENARKAH DIA YANG PERNAH KU PUJA - CERPEN PERTAMA TERSIAR DALAM BERITA MINGGU.

Sebelum ini telah ada beberapa buah cerpenku tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia dan majalah-majalah. Dan cerpen ini pertama kali tersiar dalam Berita Minggu. Apa yang mendukacitakan saya, pengarang cerpen ini ditulis PENULIS MUDA  saja. Saya rasa tidak puas hati lalu pergi ke Kuala Lumpur berjumpa dengan Datuk A. Samad Said untuk bertanya kenapa nama saya tidak ditulis? Apa masalahnya? Datuk A. Samad Said cakap, dia siarkan cerpen ini atas nama Penulis Muda kerana belum yakin saya boleh menulis cerpen yang sebaik ini. Dia bimbang sekiranya saya ceduk cerpen orang lain. Mudahnya dia jawab. Tapi saya tidak rasa apa-apa. Saya terus juga menulis di Berita Minggu. ...
CERPEN INI TERSIAR MUNGKIN PADA HUJUNG TAHUN 67 ATAU AWAL TAHUN 1968. Aku akan tulis tarikhnya nanti kalau menemui catatan yg telah kubuat. Dan selepas cerpen ini, banyak sekali cerpen-cerpen lain tersiar dalam Berita Minggu. Terima kasih Datuk A. Samad Said.
Cerpen ini tersiar dalam Berita Minggu pada 28.12.69 yaitu cerpen yang ke 23 tersiar di akhbar-akbar dan majalah-majalah.