MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Jumaat, 31 Julai 2009

PENULISAN DAN POLITIK....


SEBAGAI seorang penulis, sebaik-baiknya janganlah menghadkan tulisannya. Tulislah apa sahaja asalkan memberi munafaat kepada pembacanya. Saya menulis cerpen, sajak, novel, drama radio, drama tv dan drama pentas. Yang bukan kreatifnya saya menulis rencana-rencana agama, sastera dan pernah saya menulis tentang politik. Malah ada akhbar yang menawarkan saya menulis politik dalam akhbarnya. Tapi saya menolak. Dibidang apapun yang kita tulis, yang pentingnya kita mesti jujur, ikhlas, menasabah dan tidak taksub pada satu-satu pihak. Kita mesti jadi pendamai bukan perosak. Kita biar memuji jangan mengumpat. Yang penting kita mesti melahirkan pendapat dengan jujur. Janganlah kita betulkan yang salah dan kita salahkan yang betul. Berkata benarlah seseorang penulis itu walaupun ada pihak yang tidak menyukainya. Saya pula memang penulis yang mengutamakan perpaduan, kemesraan, keamanan dan kedamaian. Saya menyokong cara Najib yang mengutamakan perpaduan. Saya mahu ISA dikekalkan demi keamanan. Tidak dapat apa-apa kita sokong kerajaan atau sokong pembangkang. Yang penting jujur dan ikhlas, semoga Allah memberkatinya..... (gambar: hanya hisan sahaja).

Khamis, 30 Julai 2009

IKTIBAR - NAK KUCUP HAJARUL ASWAD


1) Aku pernah ceritakan bagaimana aku dapat mengucup Hajarul Aswad setelah buat sembahyang hajat. Pada tahun 1994 semasa buat umrah, anakku Nor Azyyati menyatakan hasratkan untuk kucup Hajarul Aswad. Aku ajak anakku pergi diwaktu pagi jam 2.00. Sebelum pergi, aku ajak anakku buat sembahyang hajat terlebih dahulu di hadapan Multazam. Kemudian berdoa. Walaupun waktu pagi, tapi orang masih banyak juga. Aku dan anakku cuba menghampiri Hajarul Aswad. Tiba-tiba polis yang menjaga batu Hajarul Aswad itu terpandang aku dan anakku yang telah berumur 11 tahun (darjah 4). Siti Rahmah, Siti Rahmah....polis itu memanggil anakku. Bila aku hampiri polis suruh orang-orang yang sedang berebut-rebut itu memberi peluang anakku kucup Hajarul Aswad. Anakku mengucupnya dengan sepuas-puasnya.
2) Masa menunaikan haji tahun 1992 seorang jemaah dari Melaka Haji Bakar namanya, yang telah berumur lebih 80 tahun menyatakan pada saya hendak kucup Hajarul Aswad. Waktu itu umurku masil awal 40an lagi. Kami ke masjid tunaikan sembahyang zohor. Selepas itu aku ajak dia sembahyang hajat agar Allah SWT permudahkan untuk kucup Hajarul Aswad. Alhamdulillah, sebaik-baik kami sampai berhampiran Hajarul Aswad, tiba-tiba polis yang menjaga disitu memukul dengan kain pada orang ramai yang berebut-rebut itu. Bila orang-orang itu beredar Haji Bakar pun terus pergi mengucupnya dengan mudah sekali.(Gambar: isteri dan anak bongsuku ketika menunaikan umrah tahun 2000.)

BAYI KEPALA DUA....


Dalam masa terdekat ini dua orang bayi dilahirkan dengan dua kepala. Satu di Riau, Indonesia dan satu lagi di Filipina. Bayi di Riau, Indonesia telahpun meninggal dunia manakala bayi di Filipina itu masih belum terdengar apa-apa berita. Sedidikit masa dahulu kita digemparkan dengan kucing bermata satu. Sebenarnya apa juga yang terjadi itu adalah atas kehendak Allah SWT. Kita sebagai hamba Allah wajib menerimanya dan bersyukur apa yang dikurniakan kepada kita. Tidak ada apa yang pelik bagi Allah SWT. Kejadian itu jadikanlah iktibar bahawa kehendak Allah tidak ada sesiapa dapat menghalangnya sekalipun ahli sain. Fikirkan tentang mati, siapakah yang boleh hidupkan orang yang sudah mati. Dan siapa yang boleh bagi nyawa pada orang yang baharu lahir.....

Selasa, 28 Julai 2009

ALLAH SWT SURUH UMATNYA BERSATU....


Mari kita renungkan Surah Ali Imran ayat 105 yang bermaksud: "Janganlah kamu semua menyerupakan diri yaitu meniru dengan orang-orang yang berpecah belah dan saling berselisih (antara satu golongan dengan golongan yang lain) sesudah datangnya bukti-bukti yang terang kepada mereka itu.

Ayat di atas jelas menyeru umatnya supaya bersatu demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Kalau Melayu berpecah ertinya Islam pun akan berpecah juga. Kalau Islam berpecah negara kita akan lemah. Tidak mustahil disuatu masa nanti kita akan ketinggalan ke belakang dari orang lain. Baiklah kita bersatu supaya dapat kita hidup seiring dengan orang lain terutamanya dari segi ekonomi yang ternyata Melayu sedikit ketinggalan. Fikir-fikirkanlah. (Gambar: Najib pemimpin yang cintakan perpaduan dalam 1Malaysia).

Ahad, 26 Julai 2009

IKTIBAR - BIBIR BENGKAK KERANA HINA MEKAH


Semasa buat umrah tahun 1989 saya telah mendengar kisah seorang wanita menghina Mekah. Wanita itu mengatakan Mekah ini kotor sebaliknya memuji pula England sebuah negara yang cantik dan bersih. Khabarnya wanita itu mengalami sakit mulut. Bibirnya merah dan bengkak sehingga bahagian dalam mulut. Dia dinasihatkan supaya bertaubat di Multazam. Tapi tidak memberi kesan. Balik dari umrah ada orang nasihatkan dia supaya pergi semula ke Mekah bertaubat dan berdoa lagi. Penyakit mulutnya masih tak sembuh. Akhirnya dia pergi berubat di luar negara. Keadaannya makin parah dan akhirnya dia meninggal dunia di luar negara. Kisah ini aku dengar dari mulut orang - kalau tidak betul aku minta maaf. Wallahu-alam.(gambar - Makam Ibrahim - tapak kaki Nabi Ibrahim as)

ORANG-ORANG MELAYU WAJIB BERSATU....


Di dalam al Koran banyak ayat-ayat yang menyuruh umat Islam bersatu. Pepatah Melayu pun ada berkata: BERSATU KITA TEGUH BERCERAI KITA ROBOH. Apakah halangan-halangannya umat Islam tidak boleh bersatu. Saya rasa tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Mungkin barangkali kerana idea politik yang berbeza. Kta harus sedar, politik itu bukan agama. Politik boleh diubah dan dipinda. Melainkan agama (Islam) yang mewajibkan kita patuh segala perintah dan arahanNya......

Sabtu, 25 Julai 2009

TERKENANG-KENANG MASA SILAM.....(8)4


kusambung lagi.....aku diterima masuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Singapura pada 30.3.64 dan menjalani latihan di Pusat Latihan Polis Jalan Gurney (sekarang dikenali POLAPOL) sebagai seorang mata-mata. Dan CINTA PENAku dengan Zarina berjalan seperti biasa. Sembilan bulan aku menjalani latihan itu. Setelah tamat latihan aku diarahkan bertugas di Balai Polis Orchard Road, Singapura (513, Orchard Road, Singapore 9). Pertama kali bercuti aku bertikad untuk berjumpa Zarina. Sesampai dikampung, aku menelefon Zarina dan kami lalu tetapkan masa dan tempatnya untuk berjumpa. Aku bagitahu, aku tunggu dihadapan panggung REX dan masuk dalam pondok telefon pura-pura menelefon seseorang. Tidak beberapa minit sahaja, Zarina dan rakan-rakan pun sampai. Aku menggigil. Pucat. Pertamakali aku merenung tepat ke mukanya. Dia tunduk berwajah redup. Dengan suara yang berketar-ketar aku ajak dia menonton filem The Beetles yang sedang ditayangkan di panggung REX. Aku sepi dalam panggung. Zarina sahaja yang bercakap dan menasihatkan aku bermacam-macam. Kami tak bersentuh pun. Filem belum habis lagi aku sudah keluar. Zarina kutinggalkan sendirian..... (akan kusambung lagi - gambar hanya sebagai hiasan sahaja. tahun-tahun 60an masih ada kereta lembu lagi.)

Khamis, 23 Julai 2009

Saya rela dirotan....






  • Saya sendiri begitu insaf setelah membaca sebuah berita dalam akhbar Berita Harian 23 Julai 2009 m.s. 19, kisah seorang model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno 32 tahun yang mempunyai dua orang anak dan mempunyai suami telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, kerana minum arak. Beliau telah dikenakan hukuman miksimun 6 sebatan dan denda RM 5,000. Walaupun pada mulanya beliau ingin membuat rayuan atas hukuman itu, tapi mengubah pendiriannya untuk menjalani hukuman itu. Katanya "Saya mahu menjalani hukuman sebat itu kerana sudah insaf dan ianya membabitkan keluarga. Hukuman di dunia saya sudah terima, tetapi di akhirat kelak Allah saja yang menentukan."
    Renung dan hayati berita ini. Kembalilah kejalan yang diredai oleh Allah SWT dan segeralah bertaubat.....(Gambar: wajah Kartika.)

Rabu, 22 Julai 2009

TERKENANG-KENANG MASA SILAM....(8)3


kusambung lagi.....Sebenarnya Zarina Imam telahpun memberitahuku dengan surat menyatakan tarikh dan waktu yang dia akan sampai di Malay Woman Training Coledge (MWTC) Durian Daun. Zarina minta aku hadir pada hari pendaftarannya itu. Aduh....aku rasa begitu serba-salah. Aku malu dan terlalu malu. Masa yang diharap-harapkan aku datang untuk menyambutnya kubiarkan begitu sahaja. Beberapa hari kemudian aku hanya menulis surat kepadanya dan meminta maaf. Cinta penaku dengan Zarina masih berjalan walaupun dia sedikit kecewa kerana ketidak hadiranku itu. Hari demi hari aku masih tidak pergi menemuinya. Dan paling aku takut, kalau Zarina mencariku di Kampung. Kalau dia datang, dimana aku nak lari.....

Selain dari surat, aku juga selalu menghubunginya melalui telefon. Aku cukup ingat nombor telefon maktab itu sehingga sekarang. Setiaphari aku menelefonnya. Tidak dapat siang, malam harilah aku menelefonnya. Aku waktu itu bekerja sebagai 'Office Boy' di Majlis Perbandaran Melaka. Lama juga aku bermain surat dan telefon dengan Zarina sehingga aku diterima masuk Polis DiRaja Malaysia di Singapura....(nanti aku sambung lagi) Gambar tidak ada kaitan kisahku dengan Zarina - gambar yang cantik ini mungkin boleh mengembalikan nostalgiaku dizaman remaja dahulu.

beruntunglah mereka yang masih mempunyai ibu bapa...

Tiba-tiba saya teringatkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Allah SWT memberi pahala apabila kita melihat sahaja walaupun tidak berbuat apa-apa; pertama melihat Kaabah, kedua melihat Koran dan ketiga melihat ibu bapa.

Selasa, 21 Julai 2009

IKTIBAR - CAKAP SOMBONG LALU DISIGUNG OLEH ORANG PEREMPUAN HINGGA TERLENTANG.



KETIKA menunaikan haji bersama isteri tahun 1995 seorang sahabat yang amat saya hormati telah mengeluarkan kata-kata yang agak sedikit sombong dan riak. Kisahnya ketika saya dan sahabat saya ini hendak menunaikan salat Zohor. Orang terlalu ramai waktu itu. Kata sahabat saya ini kepada saya: "Kasar sungguh perangai orang-orang Arab ini. Pakai langgar orang saja. Lansung tak tahu hormat. Kalau aku sigung nanti, tertangkup dia." Hanya dalam beberapa minit sahaja, bila aku menoleh ke belakang kulihat sahahabatku ini sedang terlentang di belakang orang yang sedang sembahyang. Kenapa tuan? Tanya saya. "Orang perempuan itu sigung aku sampai aku jatuh dibelakang orang," kata sahabat saya itu.

KAGUM KESABARAN KERAJAAN DAN POLIS

Sebagai rakyat biasa dan cintakan keamanan saya amat kagum dengan kesabaran kerajaan dibawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Polis dibawah pimpinan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan terhadap kes kematian Teoh walaupun telah difitnah dengan berbagai-bagai fitnah bagi memburu-burukkan kerajaan dan polis. Bagi saya, tidak ada apa yang peliknya tentang kematian Teoh itu. Saya tidak nampak kematian itu suatu pengkhianantan atau ada unsur dendam dan sebagainya. SPRM juga barangkali amat kesal saksi utamanya itu mati kerana mungkin ada banyak lagi dokumen-dokumen yang masih diperlukan oleh badan itu. Tetapi kenapa dipolitikkan? Kenapa difiktnah yang bukan-bukan? Sabar sajalah menunggu keputusan siasatan polis. MEREKA YANG CINTAKAN KEAMANAN JANGANLAH DIIKUTKAN RENTAK TARIAN MEREKA YANG SUMBANG ITU......

Sabtu, 18 Julai 2009

KAMPUNG CHERANG RUKU




Tidak ada apa yang menarik yang hendak kucatatkan ini. Cuma aku teringatkan Kampung Cherang Ruku tempat aku bertugas semasa mata-mata dahulu. Kampung Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan, adalah balai polis pertama aku bertugas setelah tamat latihan di Ulu Kinta. Latihan pertama polis di Pulapol setelah di Singapura berpisah dari Malaysia tahun 1967 aku jalani latihan sekali lagi di Ulu Kinta. Kampung Cherang Ruku adalah sempadan dengan Terangganu dan kampung berhampiran ialah Kampung Kuala Besut. Tiga tahun lebih aku bertugas di kampung itu. Nama-nama seperti Wan Omar, Latif Sulung, Wan Ramli, Cikgu Man, Amran Ismail, Syukri Mat Nor, Cikgu Nawi Awang, Wan Jaafar Ahmad adalah rakan-rakan rapatku nama mereka sentiasa di kepalaku. Ada ramai lagi sebenarnya. Anggota polis pula ialah Tuk Ali, Tuk Bahar, Tuk Hasan, Kamarul, Tuk Majid OCS, Tuk Ghani EPC, Tuk Ghani Orang Terangganu, Tuk Daud. Ada lagikah mereka. Kamarul, Ali, Bahar, Majid khabarnya telah meninggal. Yang lain-lain itu tak tahulah. Anak-anak Ali seperti Adnan, Roslan, Mokhtar, Masitah, Kamal dan Mah pernah berjumpa denganku. Isteri Ali masih ada. Anak-anak anggota polis yang lain seperti Johan Hasan, Zulkifli Ghani.....tidak dengar cerita. Kalau ada diantara saudara-saudara yang terbaca blog ini, hubungilah saya. (Keterangan gambar: anggota polis Cherang Ruku zaman aku bertugas di sana antara tahun 1967 - 1971 bersama KPD Pasir Puteh P/ASP Abd. Ghani Ngah. OCS Cik Majid, Cik Ali Hj. Ahmad, Kamarul, Cik Bahar telah meninggal dunia. Cik Ghani 27226, Ghani EPC, Cik Hassan 1011 aku tidak mendengar khabar beritanya).



Khamis, 16 Julai 2009

IKTIBAR - MACAM MANA SAYA BOLEH TERPANJAT BUKIT ITU?


KEJADIAN berlaku di Mina ketika aku menunaikan haji bersama isteri tahun 1995. Hari kedua berada di Mina selepas melontar diketiga-tiga jamrah bersama isteri kami balik keperkhemahan yang disediakan di Muassem berjarak kira-kira tiga kilometer. Seorang jemaah perempuan bercakap-cakap dengan isteriku setelah terpandang bukit-bukit batu sekeliling Muassem itu dihuni orang. Kata jemaah itu, bodoh betul orang-orang itu, tempat banyak dibawah ini, buat apa naik atas bukit itu. Isteriku diam saja. Keesokan harinya, wanita itu pergi melontar lagi. Saya tidak tahu dia pergi dengan siapa. Bila dia balik dari melontar petang itu, dia berkata kepada kami: "Saya balik ikut jalan biasa, tapi macam mana saya boleh terpanjat bukit itu. Orang-orang atas bukit itu hairan tengok saya sesat ditempatnya....." (GAMBAR :BELI SUSU UNTA DI HUDAIBIYAH KETIKA BUAT UMRAH TAHUN 2006)

terkenang-kenang masa silam.....8(2)


SETELAH sekian lama berhubungan surat dengan Zarina Imam, akhirnya kami telah jatuh cinta antara satu dengan lain, CINTA PENA. Saya sudah lupa entah berapa lama CINTA PENA saya dan Zarina berjalan. Tetapi saya yakin cinta Zarina kepada saya adalah ikhlas.
Tiba-tiba saya mendapat surat dari Zarina yang mengatakan dia telah diterima masuk ke Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka (MPPM). Dia sangat-sangat berharap dapat berjumpa dengan aku kelak. Katanya dia menunggu kedatanganku.....AKU JADI CEMAS. Akan bersambung.......(GAMBAR: AKU NOMBOR DUA DARI KIRI. AKU DIAPIT OLEH AYAH DAN IBUKU. SEORANG LAGI ITU AKU DAH LUPA ENTAH SIAPA. GAMBAR DIRAKAMKAN DIHADAPAN RUMAH SEBELUM AKU BERKHIDMAT DALAM PASUKAN POLIS. UMURKU WAKTU ITU DISEKITAR 17 ATAU 18 TAHUN KETIKA MASIH MENJADI OFFICE BOY DI PEJABAT PERBANDARAN MELAKA.)

Selasa, 14 Julai 2009

IKTIBAR - SESAT DI MINA







KISAH anih yang ingin saya kongsikan kali ini ialah ketika saya menunaikan fardhu haji pada tahun 1992 dengan mengikut sebuah syarikat swasta. Saya menunaikan haji bersama Allahyarmah ibu saya. Kejadian berlaku di Mina. Waktu saya pergi itu disekitar tempat melontar masih terdapat hotel-hotel penginapan untuk jemaah haji. Sebaik-baik sampai pada pagi itu saya dan beberapa jemaah ditempatkan diruang luar hotel yang saya dah lupa nama hotel itu. Kebetulan berhampiran saya ialah seorang lelaki berumur dalam lengkungan 60an. Lebih kurang jam 7.00 pagi lelaki itu dengan pakaian ihramnya hendak keluar dari hotel itu. Saya bertanya: Nak ke mana bang? Nak tengok pekan Mina ini.......(saya tak ingat apa lagi yang dia cakap) Dia keluar pagi itu sehingga malam tidak balik-balik. Ustaz Ideris al Hafiz yang bimbing kami pun bimbang. Kerana tidak balik ke hotel, Ustaz Ideris yang banyak ilmu itu membantu melontarkan ketiga-tiga jamrah untuk lelaki itu. Khabarnya dijauh malam baru lelaki itu balik ke hotel setelah ditemui oleh tuan punya syarikat haji dan umrah itu. Kemana dia pergi? Walahualam.....ada yang berkata dia tersesat sampai ke Jeddah. Bagaimana dia sampai ke Jeddah hanya Allah SWT yang tahu.

Isnin, 13 Julai 2009

SIAPA LEBIH ZALIM: KOMUNIS ATAU INGGERIS?

BARU-baru ini saya menghadiri satu majlis di Masjid Tanah, Melaka. Saya sempat berbual-bual dengan seorang kawan yang telah lama tidak berjumpa. Kami berbual dari satu tajuk ke tajuk yang lain. Entah macam mana timbul kisah tentang komunis. Kawan itu cakap, kerajaan silap kerana bersikap keras terhadap bekas-bekas komunis. Patut kata kawan saya itu, Chin Peng dibenarkan balik. Kata kawan saya itu lagi, Inggeris lebih zalim dari komunis. Katanya, Inggeris jajah kita dan rampas kekayaan kita. Saya pula berkata: betul Inggeris telah menjajah kita, tapi Inggeri membebaskan kita cara terhormat. Dia memerdekakan tanpa tumpah darah. Komunis bukan sahaja ideologinya yang bertentangan dengan Islam - malah bermaksud untuk menjatuhkan kerajaan dan Islam di negara ini. Kita nak jadi komuniskah yang tidak beragama itu. Sahabat saya berfikir-fikir untuk membalas cakap saya - tapi saya minta izin untuk beredar.

AH LONG YANG ZALIM


Banyak sungguh cerita ah long laknat yang zalim dan kejam dipaparkan disetiap media, sama ada media cetak atau media letronik. Saya simpati sangat kisah seorang ibu tunggal yang meminjam ah long diugut untuk dibunuh dan potong tangan. Hishamuddin Menteri Dalam Negeri dan POLIS mesti bertindak keras dan tegas. Tubuhkan satu unit khas polis hanya untuk membenteras ah long. Haramkan semua ceti sama ada haram atau tak haram......

NAJIB TURUN PADANG


TIDAK ada Perdana Menteri sehebat YAB Datuk Sri Najib Tun Razak yang rajin turun padang bertemu rakyat, bertanya masalah dan menyelesaikannya. Tungku, Tun Razak, Tun Husin, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah tidak serajin Najib. Najib tidak sekadar bercakap sahaja. Tetapi dia melakukannya. Inilah kelebihan Najib. Sikap jujur dan perihatin Najib ini sepatutnya mendapat sokongan rakyat. Mungkin ada segelintir yang tidak 'GETI' menilai kebaikan orang.....
Sebenarnya pemimpin yang macam ini yang kita hendak.
Wallahualam.....

Ahad, 12 Julai 2009

TERKENANG-KENANG MASA SILAM.....8(1)

KETIKA remaja dahulu aku terlalu suka mecari sahabat pena. Nama dan alamatku sering aku masukkan dalam majalah-majalah. Antara majalah yang telah menyiarkan namaku ialah Majalah Filem, MajalahSuasana Bintang Filem dan Majalah Fashion. Banyak surat yang aku terima. Kebanyakan surat-surat itu aku jawab. Dan ada yang bertahun-tahun lamanya bersahabat secara surat sahaja. Tidak pernah berjumpa walau sekalipun.
Bagaimanapun cuma seorang sahaja sahabat penaku yang kekal sehingga sekarang. Aku amat sanjungi dan hormati beliau. Namanya Zarina binti Imam. Dia kini pesara guru. Telah berkahwin, beranak dan bercucu. Kami pernah bertemu......akan kusambung lagi.

Jumaat, 10 Julai 2009

KUATNYA SEMANGAT ISLAM ORANG CINA INI


BERBASIKAL menuju ke Masjid Dong Kuruk Bridge di Bandaraya Urumqi di Daerah Xinjiang untuk menunai salat. Hebat sungguh penganut Islam ini. Dia terus mengayuh basikal walaupun askar-askar Cina yang lengkap bersenjata berkawal rafi. Demi Allah dan RasulNya, demi Islam yang dicintai lelaki ini sanggup menghadapi sebarang kemungkinan.

Rabu, 8 Julai 2009

YA ALLAH SELAMATKANLAH RAJA KAMI....


YA ALLAH ya Tuhan kami, hanya kepada Engkau tempat kami mengadu dan memohon pertolongan. Selamatkanlah Islam agama kami, selamatkanlah Melayu bangsa kami, selamatkan Malaysia negara kami, selamatkanlah Raja-Raja Pemerintah kami dan selamatkanlah semua penduduk saudara senegara kami. Eratkanlah perpaduan kami, baikanlah ekonomi negara kami dan jauhkan kami dari sebarang penyakit yang mejangkit dan jauhkan kami dari segala bencana. Allahu-Akbar, Allahu-Akbar, Allahu-Akbar....Ya Allah selamatkan kami.

FIKIRKAN TENTANG ANAI-ANAI...

ALLAH SWT mencipta anai-anai, sejenis binatang halus sejenis dengan semut, boleh dijadikan iktibar oleh manusia yang mempunyai akal dan fikiran. Anai-anai yang begitu halus mampu membina tempat kediamannya yang dinamakan busut yang berjuta kali lebih besar dari tubuhnya. Malah kalau dibiarkan busut itu akan lebih besar dan lebih tinggi dari manusia. Dan kalau kita tidak cegah, sebuah rumahpun boleh hancur dikerjakan oleh anai-anai lebih-lebih lagi kalau rumah kayu atau rumah papan. Anai-anai kuat kerana mereka bersatu - mereka bekerjasama dalam setiap pekerjaan. Tetapi kita manusia yang ada akal fikiran tidak boleh bersatu. Melayu sama Melayu pun berpecah....renung-renung dan fikir-fikirkan.

Selasa, 7 Julai 2009

TERKENANG-KENANG MASA SILAM....7

DALAM mendidik anak-anak ayahku terlalu tegas. Ayahku tidak suka sesuatu kerja itu ditangguhkan. Aku masih teringat ayah menyuruh aku membuat satu kerja. Tapi aku tidak buat apa yang ayah suruh itu kerana sibuk bermain-main. Bila ayah balik ke rumah dari pekan, dia terus bertanya aku sama ada kerja itu sudah aku buat atau belum. Aku kata belum. Kebetulan aku tengah makan waktu itu. Ayah jadi marah. Masa itu juga ayah suruh aku buat kerja itu walaupun aku terpaksa meninggalkan makan.....Begitulah tegasnya ayahku yang amat-amat aku sanjungi dan hormati.
Dari ketegasan ayahku itulah aku membina hidupku sebagai seorang manusia.

Isnin, 6 Julai 2009

TERKENANG-KENANG MASA SILAM....(6)

MASA aku kanak-kanak dulu diawal tahun lima puluhan, jarang orang ada radio dirumah. Aku selalu mendengar radio di rumah jiranku seorang guru. Dia memang orang yang berada juga berbading dengan jiran-jiran yang lain. Dirumah jiran itulah aku ikuti cerita-cerita bangsawan seperti cerita Dandan Setia, Indera Bangsawan dan lain-lain. Jadi, rumah jiranku itu sentiasa menjadi tumpuan penduduk-penduduk kampung terutamanya kanak-kanak semata-mata kerana hendak mendengar siaran radio. Bagus jiranku itu. Tetapi ada juga yang kurang sedap....kurang sedap bila angin tuan rumah itu kurang baik. Bila angin kurang baik macam-macamlah................tidak dengar radiolah semua orang hari itu.

Ahad, 5 Julai 2009

IKTIBAR - TIBA-TIBA ANAK SENDIRI YANG TIDAK SIHAT.




TERLALU banyak kisah anih dan ganjil berlaku di Madinah dan Mekah. Mereka yang berilmu dan berpengalaman sering menasihatkan kita supaya jaga mulut dan jaga tengkah-laku bila sampai di Tanah Suci itu. Saya ingin berkongsi pengalaman tentang kejadian yang berlaku pada diri saya ketika menunaikan Umrah pada tahun 1994. Dalam rombongan saya dari Melaka dan Negeri Sembilan ada lebih kurang lima belas orang. Saya pergi bersama isteri dan seorang anak, Noor Azyyati, 11 tahun. Ada jemaah yang bawa anak yang masih bayi lagi, berumur satu atau dua bulan. Kami naik kapal terbang Saudi Arabia terus dari Kuala Lumpur ke Madinah. Selepas pemeriksaan imigration jemaah kami naik bas untuk menuju ke hotel tempat peginapan. Dalam bas bising sedikit terdengar budak menangis. Bengit telinga dibuatnya. Saya lalu berbisik dengan isteri: "Leceh bawa budak-budak kecil ini. Kalau nak bawa biarlah dah besar macam anak kita...." Bila sampai ditempat penginapan, kanak-kanak kecil itu okey, anak saya yang darjah empat itu buat hal. Dia demam dan mengajak saya balik ke Malaysia. Makan tak mahu minum pun tak mahu. Saya jadi bimbang. Pernah saya dengar orang bercakap, kalau sakit di Madinah atau di Mekah selalu membawa maut. Bertambah takut saya. Ubat demi ubat saya ikhtiarkan untuk anak saya itu. Tapi tak baik juga. Akhirnya terlintas dihati saya untuk berdoa di Raudhah. Saya lalu pergi ke Raudhah buat sembahyang sunat dan minta petunjuk dari Allah. Segera terlintas di kepalaku tetang kata-kataku itu. Saya segera sembahyang sunat taubat dan berdoa: "................kalau itu puncanya ampunilah aku ya Allah. Sesungguhnya aku adalah hambamu yang lemah dan daif. Sihatkanlah anakku itu dan sihatkanlah diriku." Alhamdulillah, bila saya balik ke asrama, isteri saya bagitahu, anak saya sudah nampak ceria dan sudah mula menjamah makanan. Dia betul-betul nampak sihat. Sejak itu aku begitu berhati-hati bila bercakap.....Gambar kawasan Raudhah, tempat yang dikatakan doa kita akan dimakbulkan.

Sabtu, 4 Julai 2009

TIGA BERITA MENARIK.....

1) SAYA bersetuju sangat Kerajaan Kedah bertindak merobohkan tempat pemotongan babi di Kampung Berjaya adalah satu tindakan yang tepat dan berani. Kerajaan bertindak demikian atas faktor kebersihan dan lokasi yang tidak sesuai (BH 4hb. Julai 2009). Lebih-lebih lagi penyakit H1N1 sedang menular di negara ini. Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor patut ambil aktibar.
Syabas, Kedah.
2) TANIAH orang-orang Pendang, Kedah. Tarah dan cungkillah tapak kuari itu. Kalau-kalau terjumpa seketul emas seberat sepuluh kilogram.....berapa juta duitnya?
3) DATUK Mustafa Muhamad kesal dengan fitnah yang dilontarkan oleh orang-orang tertentu terhadap UMNO amat mendukacitakan. Kata Datuk Mustafa mereka menuduh UMNO tolak Islam, menyeleweng dan ajaran sesat (Berita Harian online 4hb. Julai 2009). Saya anggap orang yang tidak ada ilmu yang buat cerita fitnah itu. Kasihan penduduk-penduduk luar bandar di Kelantan......Kita hendakkan pembangkang, tetapi biarlah pembangkang sihat. Bukan pembangkang kaki fitnah, kaki maksiat dan kaki buat kecoh dalam Dewan Rakyat. Marilah kita renungkan...

BAITULLAH

YA ALLAH YA TUHANKU, SIHATKANLAH BADANKU, PANJANGKAN USIAKU DENGAN IMAN DAN MURAHKAN REZEKIKU DAN PILIHLAH AKU SALAH SEORANG DARI BERJUTA-JUTA MANUSIA YANG TELAH DAN AKAN ENGKAU PILIH UNTUK MENJADI TETAMUMU. SELAMA-LAMANYA AKU MERASA TIDAK PUAS MENJADI TETAMUMU. HATI SENTIASA INGIN PERGI DAN PERGI LAGI....


THE GREAT SPHINX AND PYIRAMID


DENGAN izin Allah SWT saya berpeluang melawat Mesir pada tahun 2003 yang lalu. Musuem Egypt dan Pyiramid tentunya menjadi tumpuan pelancong. Pyramid yang dibina beratus ribu tahun lalu, dizaman Firaun, amat dikagumi oleh ahli-ahli saintis dan orang-orang cerdik pandai zaman sekarang. Lebih dari itu pyiramid dianggap antara tujuh perkara ajaib didunia.

TAPAK KAKI UNTA RASULLAH SAW....


ALLAH SWT lebih mengetahui segala-segalanya. Di kota tua Syria kami dibawa melawat satu tempat yang dikatakan masih terdapat tapak kaki unta Baginda SAW semasa berniaga di kota itu. Inilah tempatnya....Wallahualam.

KOTA TUA SYRIA....


PERNAHKAH anda melawat Syria? Pastinya kita akan dibawa melawat sebuah kota lama yang segaja tidak dimusnahkan oleh kerajaan Syria untuk maksud pelancongan. Saya paparkan gambar sebahagian dari kota tua Syria yang ada sejarahnya. Dipuncak tiang itu nampak bagaikan perahu kecil diatasnya. Sebenarnya tempat itu adalah tepat kediaman seorang puteri raja yang amat disayangi oleh ayahndanya. Puteri itu dikurung dan tidak dibenarkan berjumpa walau dengan sesiapapun. Bagaimanapun, kalau tidak silap saya, puteri itu dapat meluluskan diri dari kurungan itu untuk berjumpa kekasihnya seorang orang kebanyakan. Kalau saya tersilap harap betulkan. Terima kasih.

Jumaat, 3 Julai 2009

IKTIBAR - SETELAH BEBERAPA KALI CUBA MENGUCUP AJARUL-ASWAD


Kejadian berlaku pada tahun 1989 ketika kali pertama saya menunaikan umrah. Sebenarnya saya ingin mengucup Ajarul-Aswad. Bulan Ramadhan memang orang terlalu ramai di Mekah al-Mukaramah, malah ada yang berkata orang yang datang untuk menunaikan umrah bulan Ramadhan lebih ramai dari musim haji. Saya bersungguh-sungguh untuk mengucup Ajarul-Aswad. Saya cuba beberapakali sehingga cermin mata saya patah dan jam tangan saya pun tercabut dari tangan dan terus hilang. Saya berjumpa seorang sahabat yang sama jemaah dengan saya. Sahabat saya itumenyuruh saya buat sembahyang hajat dan berdoa kepada Allah SWT untuk dapat kemudahan mengucup Ajarul-Aswad. Alhamdulillah, selepas sembahyang zohor, saya segera buat sembahyang hajat dan berdoa. Manusia terlalu ramai. Berombak. Saya pula sudah tersilap jalan untuk pergi kucup itu, saya ikut di bahagian tengah-tengah lantai tawaf itu. Dan bila sampai tempat permulaan tawaf itu, baharu saya teringat saya sebenarnya ingin mengucup Ajarul-Aswad. Dari tempat permulaan tawaf itu saya melintas menuju ke Ajarul-Aswad. Tidak disangka-sangka perjalanan saya itu terlalu mudah sekali. Orang-orang yang hendak tawaf itu memberi ruang saya berjalan sehingga sampai ke Ajarul-Aswad. Bila saya sampai disitu saya nampak seorang lelaki sedang mengucup Ajarul-Aswad. Bila lelaki itu beredar, gilirsan saya pula mengucup dengan sepuas-puasnya.....

Khamis, 2 Julai 2009

IKTIBAR - TAK JUMPA PINTU KELUAR DARI MASJID.


Pertamakali menunaikan umrah ialah pada tahun 1989 mengikut sebuah syarikat yang sudah terkenal membawa jemaah menunaikan haji dan umrah. Jemaah yang bersama-sama denganku lebih kurang 20 orang. Di Madinah al-Munawarah aku ditempatkan sebilik dengan seorang yang sudah pun mengerjakan haji dan telah beberapakali menunaikan umrah. Waktu itu umurku awal empat puluhan manakala sahabatku ini barangkali umurnya sudah lebih dari enam puluh tahun. Dia nampaknya begitu serasi dengan. Selepas beberapa hari di Madinah kami pergi ke Mekah pula. Sejak sebelum bertolak ke Mekah sahabat saya ini telah berpesan supaya duduk sebilik dengannya bila sampai di Mekah nanti. Saya sanggup sahaja. Tetapi bila sampai di Mekah, hotel yang disewa oleh syarikat kekurangan bilik. Hanya pada esok petang baharu boleh duduk dua orang sebilik kerana ramai jemaah umrah ini akan meninggalkan Mekah. Jadi pihak berkuasa hotel menyuruh saya duduk sebilik dengan seorang sahabat sekampungku, kerana sebuah bilik disuruh duduk lima orang, kebetulan bilik sahabat saya itu pula kurang seorang lagi, selain dari isteri dan dua orang anak lelakinya. Sahabat sebilik saya ini pula waktu itu tidak ada bersama kami walaupun beg dan barang-barangnya telah saya bawa ke tingkat empat. Bila dia sampai ditingkat empat dia terus cari saya. Saya sedang berehat dalam bilik. Ada jemaah yang bagitahunya bahawa saya telah duduk bersama kawan sekampung saya. Tiba-tiba sahabat saya ini marah dan bagitahu jemaah ditingkat itu bahawa dia hendak duduk dimasjid sahaja walaupun jemaah itu menyabarkannya. Betul apa yang diucapkan oleh sahabat saya itu. Tiga hari dia duduk dimasjid kerana tidak nampak pintu keluar. Yang mendukacitakan kerana bulan Ramadhan. Selepas itu dia amat-amat menyesal......Gambar: anakku Noor Azyyati dan anak bongsu Hj. Sulaiman, gambar kami rakamkan ketika pergi umrah tahun 1994.

Kejadian-kejadian pelik di Madinah dan Mekah




Pertama-tama kali saya menjejakkan kaki ke Tanah Suci Madinah al-Munawarah dan Mekah al-Mukaramah pada tahun 1989 menunaikan umrah dibulan Ramadhan dan terus menyambut Aidilfitri di Mekah. Banyak juga perkara-perkara anih yang saya temui. Insya-Allah akan saya ceritakan dalam catatan-catatan saya yang akan datang. Semoga Allah SWT izinkan. Gambar - Noor Syazwana - anak bongsu kami di Jabal Rahmah ketika menunaikan umrah tahun 2000.

Rabu, 1 Julai 2009

BANGUNLAH KITA BERSATU

WAHAI MELAYU
BANGUNLAH
KITA BERSATU
BINA KEKUATAN
BINA PERPADUAN
SATU MALAYSIA
...........barangkali begitulah bunyinya bait-bait sajak yang dibaca oleh OSMAN DOL empat puluh lima tahun yang lalu di Singapura.