MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Khamis, 30 September 2010

PILIHAN RAYA KECIL DI GALAS - KECOH LAGI....

Nasional

POLITIK Ku Li dilantik Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional di Galas
--------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 29 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Menurut Timbalan Presiden UMNO itu, perkara tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang bersidang hari ini bagi membincangkan persiapan parti menghadapi pilihan raya tersebut.

‘‘Dengan persetujuan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, saya telah menghubungi Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu untuk memberitahu beliau mengenai keputusan parti tersebut.

‘‘Beliau bersetuju dengan keputusan berkenaan,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO turut memutuskan bahawa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed dilantik sebagai Timbalan Pengarah pilihan raya berkenaan dengan dibantu jentera parti di peringkat negeri dan pusat.

‘‘Saya yakin dengan kepimpinan Ku Li yang amat berpengalaman, berpengaruh lagi dihormati oleh pengundi-pengundi di Galas.

‘‘BN yakin peluang kita untuk meraih kemenangan adalah lebih cerah,’’ jelas beliau.

Sementara itu, Tengku Razaleigh berjanji akan membalas kepercayaan pucuk pimpinan parti dengan membantu calon BN merampas semula kerusi DUN Galas.

Menurut beliau, UMNO bahagian itu tidak mempunyai sebarang masalah dan bersedia mengatur persiapan menghadapi pilihan raya di kerusi yang pernah menjadi kubu BN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, pihaknya yakin untuk merampas semula kerusi tersebut kerana ia sememangnya milik BN yang hanya tewas sekali kepada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

“Pelantikan ini merupakan satu penghormatan kepada saya dan kita akan menyusun strategi terbaik untuk mengambil semula kerusi ini.

‘‘Pas hanya sekali menang di DUN Galas iaitu pada pilihan raya umum lepas disebabkan gelombang yang melanda seluruh negara,” katanya yang kini berada di London ketika dihubungi Utusan Malaysia .

Ini merupakan kali pertama Ketua UMNO Bahagian diberikan tugas sebagai pengarah jentera bagi sepanjang siri pilihan raya kecil yang berlangsung selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.

Galas terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang yang mempunyai tiga kawasan DUN. Dua lagi kawasan ialah Paloh dan Nenggiri yang dikuasai oleh BN.

KOMEN OSMAN DOL: Sibuk lagi negara ini kerana pilihan raya kecil di Galas akan berlansung mungkin pada hujung Oktober ini. Tuduh menuduh fitnah memfitnah akan berlaku lagi. Masing2 nak menang. Mereka sanggup lakukan apa sahaja asalkan menang......

Rabu, 22 September 2010

KES ANWAR DITANGGUH LAGI - MINTA RAYUAN DIPERCEPATKAN.

Oleh NORLIZAH ABAS

pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 21 Sept. - Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengemukakan permohonan agar Mahkamah Persekutuan mempercepatkan pendengaran rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mengekalkan pertuduhan liwat terhadapnya.

Peguam Karpal Singh yang mewakili Ketua Pembangkang itu memberitahu pemberita, pihaknya memfailkan notis rayuan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan hari ini melalui Tetuan Karpal Singh & Co.

Sehubungan itu, Karpal menyatakan, beliau akan mengemukakan permohonan bertulis kepada Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi agar tarikh pendengaran dipercepatkan.

Menurut Karpal, jika rayuan Anwar bagi membatalkan pertuduhan liwat dibenarkan oleh mahkamah tertinggi itu, perbicaraan yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi tidak akan diteruskan.

Perbicaraan terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ditetapkan disambung pada 14 dan 15 Oktober ini.

"Notis rayuan sudah difailkan hari ini dan kami akan memohon agar rayuan di Mahkamah Persekutuan dipercepatkan," ujarnya ketika ditemui di Istana Kehakiman di sini.

Anwar merayu setelah tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan bantahan awal pendakwa raya, sekali gus menolak rayuan agar pertuduhan liwatnya dibatalkan.

Ketua Pembangkang itu mendakwa, pertuduhan tersebut harus digugurkan kerana wujud hubungan sulit antara seorang daripada timbalan pendakwa raya wanita dalam kes tersebut dan pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Semalam, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Maarop sebulat suara memutuskan ia tiada bidang kuasa mendengar rayuan Anwar kerana keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan, bukan perintah muktamad.

Menurut beliau, mahkamah berpuas hati bahawa keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah itu tidak boleh dirayu kerana ia merupakan perintah yang dibuat dalam satu perbicaraan yang sedang berlangsung dan kesannya tidak melupuskan hak mana-mana pihak.

Sehubungan itu, panel berkenaan tidak mempunyai bidang kuasa mendengar dan memutuskan rayuan yang belum dimuktamadkan berdasarkan pindaan terhadap Seksyen 3 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman 1964.

Pada 16 Ogos lalu, Hakim Mohamad Zabidin ketika menolak permohonan Anwar berpuas hati dakwaan mengenai hubungan antara Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif dan Mohd. Saiful Bukhari lebih bersifat andaian dan kepercayaan Ketua Pembangkang itu semata-mata.

Farah Azlina kini telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan.
(Muka hadapan UTUSAN MALAYSIA yang menarik. Kelihatan juga wajah Datuk Sri Anwar Ibrahim disamping seorang rakannya).

 

Ahad, 19 September 2010

MANUSIA MENJADI SEMAKIN ZALIM....ALLAHUAKBAR.......

(GAMBAR: PETIKAN DARI GOOGLE)

TIDAK ada berita yang paling menarik dan meyayat hati sepanjang bulan ini ialah tentang pembunuhan keatas jutawan komestik Datuk Sosilawati Lawiya bersama pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, Pegawai Bank Norhisyam Mohammad dan peguamnya Ahmad Kamil Abd. Karim. Sedih dan amat menyedihkan kejadian itu.

Punca-punca pembunuhan itu biarlah pihak polis sahaja yang menentukannya. Kes ini masih dalam siasatan polis. Apa yang boleh kita katakan - semoga mereka yang bertanggung-jawab itu menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatannya itu.

Ada yg berkata pembunuhan itu lebih kejam dari pembunuhan yang dilakukan oleh Mona Fendy.

YA ALLAH YA TUHANKU...ENGKAU YANG MAHA BESAR DAN MAHA BERKUASA....TEMPATKAN ROH MEREKA YANG TELAH TERKORBAN ITU DI SISI ROH ORANG-ORANG YANG SALEH DAN SALEHA. AMIN .

Selasa, 14 September 2010

HARAP2 DAMAILAH ISTANA KELANTAN.....UM 14.9.2010.

BERITA UTAMA Tuanku Ismail masih Sultan Kelantan
======================================


KOTA BHARU 13 Sept. - Kekanda Tuanku Ismail Petra, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra mendakwa adindanya itu masih merupakan Sultan Kelantan yang sah kerana baginda tidak melepaskan takhta.

Beliau sebaliknya mendakwa, pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru tidak memenuhi syarat dan melanggar Perlembagaan negeri yang menyatakan pemerintah Kelantan hanya boleh digantikan dengan tiga cara sahaja.

"Sultan hanya boleh digantikan sekiranya baginda mangkat, menghilangkan diri dari negeri tanpa alasan yang munasabah dan ataupun jika sultan turun takhta.

"Kesemua syarat tersebut tidak dipenuhi untuk melantik Tengku Muhammad Faris sebagai sultan kerana Sultan Ismail Petra masih ada dan tidak melanggar syarat-syarat yang ada sehingga membolehkan baginda disingkirkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas pemasyhuran Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru menggantikan ayahandanya berkuat kuasa hari ini.

Perisytiharan pemasyhuran Tengku Muhammad Faris itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Istana Balai Besar di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.

Ia turut dihadiri oleh Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fa'iz Petra.

Upacara tersebut yang diadakan secara tertutup dan ringkas dihadiri oleh lebih 1,000 tetamu jemputan dengan kawalan ketat oleh pihak polis.

Menurut Tengku Merjan, beliau hanya mengetahui upacara pemasyhuran tersebut melalui berita yang disiarkan di televisyen dan tidak menyangka pihak berkenaan sanggup dan berani memperlakukan Tuanku Ismail Petra sedemikian.

Jelasnya, beliau tetap mempertahankan kenyataannya yang dikeluarkan sebelum ini bahawa mereka yang terlibat dalam usaha menyingkirkan adindanya sebagai penderhaka.

"Sebarang usaha yang dijalankan untuk menyingkirkan sultan daripada takhta adalah suatu penderhakaan dan menyalahi undang-undang.

"Saya akan mendapatkan khidmat nasihat perundangan daripada peguam dan akan membawa perkara ini ke tengah agar segala kekeliruan ini akan terungkai," ujarnya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Sri Utama Raja Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd. Hamzah berkata, peristiwa yang berlaku merupakan sejarah baru kesultanan Kelantan.

Jelasnya, tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini seorang sultan baru dilantik ketika sultan yang sah masih hidup.

"Ini adalah satu sejarah kerana sebelum ini pelantikan sultan yang baru hanya dibuat selepas baginda sultan mangkat," jelasnya.

Jumaat, 3 September 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDIL-FITRI....

TIDAK beberapa hari lagi Aidil-Fitri akan menjelang tiba; hari Jumaatkah atau akan hari Sabtu akan datang. Kini kita masih berpuasa lagi. Di sini saya mengambil kesempatan mengucapkan SELAMAT BERPUASA dan SELAMAT HARI RAYA AIDIL-FITRI MAAF ZAHIR BATIN. Dan menjelangkan hari lembaran ini saya mengingatkan kepada pengguna-pengguna jalan raya supaya berhati-hati.

Kemalangan jalan raya telah meragut beribu-ribu nyawa - lebih2 lagi dilembaran ini. Sayanglah diri kita, sasyang anak2 kita dan sayang ibu bapa kita dan sayanglah orang-orang yang menyayangi kita. Polis dan JPJ mesti memperkuatkan lagi kempennya untuk mencegah berlakunya kemalangan ini.

Hari raya hanya beberapa hari saja lagi. Tapi ada orang yang sudahpun berhari raya. Dah masuk belakang kedai2 kopi jamu selera. Berapa ramai agaknya yg dah kena tangkap?....

Masjid dan surau pun sudah mula lengang. Masjid kampungku dah kurang lebih lima saf sembahyang tarawih. Tadarus pun makin susut pesertanya.

Semoga dapat kita fikir-fikirkan.