Ustaz-ustaz atau orang-orang berilmu selalu menasihatkan kita supaya sentiasa bersyukur kepada Allah SWT walau bagaimana sekalipun keadaan kita. Bila kita bersyukur ertinya kita reda kepada Yang Maha berkuasa tentang segala ketentuanNya terhadap diri kita.Masalahnya kalau tidak mahu bersyukur. Sebaliknya dia kesal kerana Allah menjadikan dia manusia miskin. Malah ada yang sanggup merompak, membunuh danmenipu orang semata-mata hendak kaya. Kaya yang semacam itu tidak berkat.
Banyak orang menanam impian untuk menjadi kaya. Bukan semua yang dimakbulkan oleh Allah SWT. Tetapi cuba kita fikirkan kalau semua orang dalam dunia ini kaya, apakah agaknya yang akan terjadi pada dunia ini. Tidak akan ada orang kaya hendak ke sawah tanam padi. Tidak akan ada orang kaya yang hendak ke ladang tanam keladi atau tebu. Tidak akan orang kaya hendak menternak ayam atau itik (banyak kisah penternak menjadi kaya raya, tapi akhirnya mereka menjadi sombong dan lupakan Allah). Tidak akan orang kaya hendak menjadi tukang rumah pula. Orang kaya akan sentiasa menjaga statusnya sebagai orang kaya. Wang ringgit akan melakukan segala-segala untuknya. Jangan kaya macam Qarun sudahlah.....
Untuk menjadi kaya memang menjadi impian kepada semua orang. Tetapi tidak ada orang kaya bercita-cita untuk menjadi miskin. Mustahil pada fikiran kita. Tetapi kisah Ibrahim Adham adalah seorang raja yang amat kaya. Dia membuang segala kekayaannya semata-mata hendak mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Ertinya dia cintai miskin semata-mata kerana Allah. Sekarang ini banyak orang jadi miskin bukan kerana Allah, tetapi kerana tamak dan khaloba. Dah kaya nak kaya lagi. Akhirnya perniagaannya bengkrap. Jada papa kendana.
Hendak jadi kaya tidak mudah. Hendak jadi miskin tidak mudah. Sekalipun harta kita itu kita bahagi-bahagikan kepada fakir miskin atau sedekahkan harta itu pada badan-badan kebajikan atau pada rumah-rumah anak yatim maka dari sikap pemurah kita itu, Allah akan menambahkan lagi harta kita. Bukan jatuh miskin, bertambah kaya lagi jadinya. Kaya dari Allah dan miskin juga dari ketentuan Allh. Itulah sebabnya kata ulamak, kaya atau miskin itu ada hikmahnya. Kedua-duanya ada ruang untuk beramal untuk mendapatkan Syurga Allah.
Orang kaya banyak boleh membantu orang-orang miskin atau orang-orang yang memerlukan.Boleh banyak bersedekah. Sedekah orang buat haji atau umrah. Bantu buat masjid atau surau. Bantu buat jalan raya. Dan yang wajibnya orang kaya mestilah bayar zakat. Oh, terlalu banyak pahala yang boleh diperolehi oleh orang-orang kaya.
Orang-orang miskin pun boleh mengaut banyak pahala. Orang kaya buat masjid dan orang miskin bersihkan masjid. Orang kaya buat jalanraya dan orang miskin menjaga jalan itu. Membuang sampah dan duri di jalan raya mendapat pahala kata ulamak. Orang kaya boleh bantu orang dengan wang tetapi orang miskin boleh membantu dengan tulang yang empat kerat ini. Pendeknya sama ada kaya atau miskin, ruang untuk mendapat pahala itu adalah terlalu luas. Jangan risaulah. Yang penting ikhlaskan hati dalam membuat sesuatu kerja itu.
Sekian. Wallahualambisswab.
(SEMUA GAMBAR INI HANYALAH UNTUK HIASAN SAHAJA YANG DIPETIK DARI GOOGLE IMEJ)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan