MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Ahad, 30 Januari 2011

BN MENANG BESAR - BERITA HARIAN ON LINE.

DUN Tenang: BN menang majoriti besar 3,707 undi
2011/01/30

LABIS: Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang selepas calonnya, Mohd Azahar Ibrahim menang dengan majoriti undi 3,707, mengatasi calon PAS, Normala Sudirman.

Keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan tepat jam 10.03 malam oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Md Asri Amir di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis di sini. Mohd Azahar memperoleh 6,699 undi manakala Normala 2,992 undi. Dalam pilihan raya kecil itu, Mohd Azahar, 39, yang juga bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Batu Pahat, dicabar oleh Normala, 38, yang juga seorang bekas guru.

Sebanyak 71.8 peratus atau 10,579 pengundi daripada 14,753 pemilih berdaftar bagi pilihan raya kecil DUN Tenang keluar mengundi sehingga proses pengundian ditutup 5 petang tadi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, jumlah peratusan itu lebih rendah berbanding pilihan raya umum 2008 iaitu 73.52 peratus.

"Ini disebabkan oleh keadaan cuaca yang buruk sehingga laluan ke beberapa pusat pengundian dinaiki air serta kawasan seperti Pekan Lama Labis dilanda banjir," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 menyaksikan Allahyarham Datuk Sulaiman Taha menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Komen: Alhamdulillah BN menang dengan majoriti yang besar. HIDUP BN.

NIK AZIZ.....INSAFLAH Utusan Malaysia - 30.1.2011.

POLITIK 'Nik Aziz, Anwar sama'


                                                         NIK KHAIRUL ANNUAR

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Gila kuasa politik Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kini setanding dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau semakin berani mengeluarkan 'fatwa demi fatwa' semata-mata untuk kepentingan parti.

Pengarah Hal Ehwal Agama Kebangsaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Nik Khairul Annuar Ab. Rahim berkata, namun di sebalik persamaan sikap ghairah berpolitik antara kedua-duanya, masih ada perbezaan di antara mereka.

Jelas beliau, perbezaan itu ialah Nik Aziz 'melacurkan' agama untuk memuaskan nafsu politik, manakala Anwar melacurkan politik bagi memuaskan nafsu serakahnya.

"Nik Aziz perlu memberikan penjelasan tentang 'nafsu politik' beliau itu berikutan fatwa songsang yang dikeluarkan oleh beliau ketika kempen di Tenang.

"Saya dan arwah nenek moyang saya tidak mengundi Pas dan apakah kami semua kafir?'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Mursyidul Am Pas baru-baru ini yang melabelkan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang tidak menyokong calonnya sebagai orang jahiliah.

Nik Aziz berkata demikian pada sidang akhbar di Kampung Radong selepas membantu calon parti itu, Normala Sudirman berkempen untuk Pilihan Raya Kecil DUN Tenang.

Dalam pada itu, Nik Khairul Annuar menggesa Nik Aziz untuk turut mengeluarkan fatwa terhadap perilaku menantunya dalam kes rasuah, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

"Kami golongan muda meminta supaya Nik Aziz dapat memberi penjelasan terhadap perkara itu,'' katanya.

Menurut Nik Khairul Annuar, Nik Aziz kini semakin memperlihatkan dirinya sebagai seorang ahli politik dan Menteri Besar yang angkuh dan mempunyai

OSMAN DOL: INSAFLAH WAHAI TUAN GURU NIK AZIZ....

Khamis, 27 Januari 2011

NIK AZIZ OH NIK AZIZ....berita dari Utusan Malaysia 27.1.11.

Nasional

Melayu tolak Islam lebih teruk daripada Kuan Yew

KOTA BHARU 26 Jan. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan orang Melayu di Malaysia yang menolak Islam dan mengambil pendekatan nasionalisme lebih teruk daripada Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew.

Beliau berkata, ini kerana Kuan Yew hanya meminta umat Islam di republik itu tidak terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam berbanding segelintir orang Melayu di negara ini yang membuang sama sekali Islam dan mengambil pendekatan nasionalisme.

"Orang Melayu sini pun tolak Islam, tolak Islam ambil kebangsaan lebih teruk daripada Kuan Yew. Beliau cakap jangan pegang (Islam) kuat sangat, orang ini kata buang semua ambil kebangsaan, lebih teruk daripada Kuan Yew," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Menteri Besar berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Kuan Yew supaya umat Islam di republik berkenaan tidak terlalu berpegang pada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara tersebut.

Ia terkandung dalam buku bertajuk Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going yang dilancarkan minggu lalu.

Kenyataan Menteri Mentor Singapura itu diselar oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang menyifatkannya sebagai satu pandangan primitif.

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (UM), Dr. Mohd. Roslan Mohd. Noor berkata, kenyataan tersebut memperlihatkan bekas Perdana Menteri Singapura itu mempunyai sifat Islamofobia dan cuba mengajar orang Islam tentang agama mereka.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasarudin Hassan pula menyifatkan tuduhan Kuan Yew bahawa Islam menjadi penghalang kepada integrasi dan pembangunan di Singapura tidak ubah seperti musuh yang melihat Islam dengan api dendam serta permusuhan berpanjangan.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz mencabar Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek supaya turut mempersoalkan pemakaian serban di kalangan masyarakat Sikh dan tidak hanya mempermain-mainkan larangan bersalam antara wanita Islam dengan lelaki bukan muhrim.

Menurutnya, Islam menetapkan lima perkara yang wajib dijaga antaranya larangan bersalam antara lelaki dan wanita bukan muhrim kerana ia boleh mengundang kepada perlakuan negatif lain termasuk zina akibat daripada pergaulan bebas.

"Kenapa dia mempermainkan jabat tangan (bersalam) orang Islam. Cuba dia sentuh soal serban orang Sikh, tengok orang Sikh jawab macam mana. Kalau tak berani, jangan cakap benda-benda macam ini," katanya.

OSMAN DOL: Pelik sungguh perangai Nik Aziz - tak perlah, itu pandangan dia. Dia rasa dia betul walaupun orang lain kata dia sebenarnya tidak betul.

Selasa, 25 Januari 2011

KECOH MAHU TERJUN - myMetro 25.1.11

Kecoh mahu terjun
Oleh Shahrul Nizam Mohamad

am@hmetro.com.my

CEMAS...kombinasi gambar menunjukkan saat-saat genting pelajar cuba terjun, semalam. TEMERLOH: Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar, dekat sini, yang dipercayai diserang histeria bertindak luar dugaan apabila berdiri di koridor bangunan sekolah itu sebelum cuba untuk terjun, semalam.

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu mengakibatkan hampir 1,000 pelajar sekolah itu terpaksa berhenti memberi tumpuan dalam kelas selepas melihat aksi menakutkan pelajar terbabit yang turut berlari atas koridor sambil mendepakan tangan seperti mahu terjun.

Lebih mencemaskan, pelajar terbabit yang dikatakan tiba-tiba menjerit kelihatan seperti hilang akal turut mencabut sekeping cermin tingkap kelas sebelum membaling ke bawah hingga menyebabkan tangannya cedera.

Rakan sekelas mangsa yang enggan dikenali, berkata dia yang melihat kejadian itu tergamam apabila rakannya itu menjilat darah yang mengalir di tangannya akibat tercedera ketika membaling cermin berkenaan.

“Tidak cukup dengan itu, dia turut bertindak agresif dengan membuka tudung lalu melemparkan ke bawah sambil kedua-dua kaki memijak lantai koridor seperti mahu terjun.

“Kejadian terlalu pantas menyebabkan sesi pembelajaran terganggu, malah saya sendiri tidak menyangka dia akan bertindak sedemikian,” katanya yang masih terkejut dan trauma dengan kejadian itu, semalam.

Menurutnya, dia terpaksa menjauhkan diri kerana bimbang turut diserang histeria selain berdoa semoga terselamat daripada serangan histeria itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Md Nor Mansor, berkata sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Temerloh, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis bergegas ke tempat kejadian dalam usaha menyelamatkan pelajar terbabit.

Menurutnya, pengurusan SMK Abu Bakar turut bertindak meletak beberapa keping tilam bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya, pada masa sama, beberapa ahli keluarga mangsa yang tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan cuba memujuk mangsa, namun gagal sebelum pelajar terbabit diselamatkan pasukan penyelamat.

Beliau berkata, pelajar terbabit kemudian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hohah) untuk menerima rawatan.

Pegawai Pelajaran Daerah, Mohd Nadzri Ab Wahab, berkata pada masa sama, beberapa pelajar lain turut terkena histeria, tetapi keadaan terkawal dan pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat kerana pantas mengambil tindakan.

Ahad, 23 Januari 2011

Dr. Mahathir Mohamad - Negarawan Terbilang di Rantau ini.

YANG BERBAHAGIA TUN DR. MAHATHIR MOHAMMAD - BEKAS PERDANA MENTERI MALAYSIA.

AKHIRNYA dunia dan khususnya rakyat Malaysia mengenal juga hati budi bekas Perdana Menteri Malaysia Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohammad. Beliau memang seorang yang berpandangan jauh, bijak dan amat berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan. Saya sendiri amat kagum dengan ketabahan dan kebijaksanaannya dalam menangani sesuatu masalah.

Mahathir nampak makin sihat. Makin hebat. Makin bijak membuat sesuatu penyataan.

Semasa diawal Datuk Sri Anwar Ibrahim dipecat oleh Mahathir boleh dikatakan sebahagian besar rakyat Malaysia tidak berpuas hati terhadap tindakannya itu. Rakyat amat bersimpati dengan nasib Anwar. Kerana itu seluruh rakyat Malaysia mengadakan sembahyang hajat yang kononnya untuk menyelamatkan Anwar dan memberikan keinsafan kepada Dr. Mahathir. Waktu itu Anwar di dalam penjara.

Pelik dan ajaib. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Mahathir semakin sihat dan semakin gagah. Anwar pula yang mengelami berbagai penyakit.

Saya sendiri sebenarnya amat menyokong Anwar waktu itu. Tetapi Mahathir tetap tegas. Dia tidak berganjak dari tekad dan pendiriannya. Waktu itu dia ada kuasa untuk memperalatkan mahkamah sekiranya dia mahu. Tetapi Mahathir tidak mengambil kesempatan itu. Dia menerima keputusan Mahkamah yang membenaskan Anwar dalam kes liwat.

Akhirnya seluruh rakyat Malaysia memahami kebenaran dan kejujuran Mahathir. Mereka memuji langkah-langkah dan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri itu.

Baru-baru ini beliau mengkritik Negara Singapura yang meminggirkan orang Melayu di negara itu. Melayu Singapura tidak dapat menerima kritikan Dr. Mahathir. Dr. Mahathir tetap tersenyum malah beliau akur dengan kritikan rakyat Melayu Singapura terhadap kritikannya itu.

Sekian pandangan saya terhadap Tun Dr. Mahathir Mohammad....

Sabtu, 22 Januari 2011

RAJA PUTAR ALAM - TPM. Utusan Malaysia - 22.1.11.

POLITIK Anwar ‘raja putar alam’ – TPM

LABIS 21 Jan. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggelar Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘raja putar alam’ kerana dakwa beliau, ketua pembangkang itu adalah penipu paling besar dalam sejarah politik Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri berkata, gelaran itu sewajarnya ‘dikalungkan’ kepada Anwar kerana terlalu banyak pembohongan dan putar belit dilakukan ketua pembangkang itu termasuk mengkhianat kepada negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh rakyat supaya jangan mudah percaya dan terpengaruh dengan segala janji-janji manis yang cuba ditawarkan oleh Anwar dan pembangkang.

“Anwar ini adalah ‘raja putar alam’ kerana segala kejayaan dan kemajuan yang dilaksanakan kerajaan tidak pernah dihargai sebaliknya dia lebih suka memaki-hamun dan memutar-belit isu bagi menimbulkan kebencian.

“Sebab itu saya berkali-kali memberitahu bahawa Anwar ini adalah pengkhianat, dia sanggup melakukan apa sahaja dan berbohong apa sahaja demi kepentingan politik,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di Kampung Bukit Mambai, di sini malam ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri turut menempelak janji pembangkang melalui ‘buku jingga’ yang antara lain mahu melupuskan tol dan menyerah kembali tanah Felda kepada peneroka.

Kata beliau, pembangkang hanya berani menjanjikan 10 perkara tidak berpijak di alam yang nyata tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara ini sejak 53 tahun sudah melaksanakan ribuan janji kepada rakyat.

“Jangan ada di kalangan kita terpedaya dengan hanya 10 janji kosong sedangkan manifesto pada 2008 pun masih banyak yang mereka belum tunaikan. Hanya kerajaan BN yang terbukti dan sentiasa komited untuk membangunkan negara,” katanya.

Sementara itu, sempena majlis bersama rakyat tersebut, Muhyiddin meluluskan peruntukan RM300,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Penduduk Kampung Mambai.

Jelasnya, peruntukan itu bakal digunakan untuk pelbagai pembangunan Kampung Mambai antaranya bagi membeli perkakasan dewan, membina pagar dan menaik taraf Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas.

MELAYU SINGAPURA - KRITIKAN DR. MAHATHIR.....Utusan Malaysia 22.1.11.

DALAM NEGERI Kritikan Dr. M benar


Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung nasib orang Melayu di Singapura yang dikatakan terpinggir dan ketinggalan adalah benar.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, komen oleh beberapa orang Melayu yang merupakan rakyat Singapura berhubung kritikan Dr. Mahathir itu sebenarnya adalah propaganda yang dirancang bagi menutup cerita tentang Melayu Singapura yang tertindas.

"Kita tidak hairan langsung dengan berita yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian Singapura baru-baru ini mengenai kritikan terhadap Dr. Mahathir.

"Kita percaya ia adalah propaganda dan psikologi terbalik. Siapa dan orang Melayu mana yang benar-benar bersuara di Singapura? Kita semua tahu kebebasan di sana. Silap sikit pasti kena," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan akhbar Berita Harian Singapura yang menyiarkan beberapa surat daripada pembacanya sepanjang minggu lepas yang mengecam Dr. Mahathir kerana sering memberi ulasan mengenai nasib Melayu republik itu yang terpinggir dan ketinggalan.

Melalui ruangan forum akhbar itu, seorang pembaca, Sallim Ahmad menulis bahawa beliau rasa tercabar mengikuti ulasan Dr. Mahathir yang dikatakan membuat kenyataan yang tidak berasas itu.

Ibrahim bagaimanapun berkata, semua orang tahu bahawa hakikat sebenarnya adalah orang Melayu di Singapura ditindas.

"Kita semua tahu tidak perlu banyak cerita. Mana ada pegawai tinggi Melayu dalam perkhidmatan awam di negara itu atau dalam tentera," katanya.

Beliau berkata, kritikan Dr. Mahathir terpaksa ditutup dengan melancarkan propaganda menggunakan dua tiga kerat orang Melayu yang tidak sedar diri di negara itu.

Jumaat, 21 Januari 2011

ANWAR TETAP MAHU DEBAT DENGAN PM....Berita Harian.

2011/01/21

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap bertegas mahu berdebat dengan Datuk Seri Najib Razak berhubung 'Pelan 100 Hari' pembangkang.

Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar kelmarin yang menyatakan beliau tidak mengajak Perdana Menteri berdebat, sebaliknya hanya berbincang. “Saya tegaskan di sini, saya tidak akan berganjak dan hasrat yang terkandung dalam surat rasmi berniat mempelawa Perdana Menteri untuk berdebat secara terbuka demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. Anwar sebelum ini mempelawa Perdana Menteri berdebat mengenai “Pelan 100 Hari” pembangkang selepas Najib membidas sikap pembangkang yang bertindak mencari populariti serta tidak berpaksi kepada realiti kerana tidak menyatakan punca kewangan bagi membiayai semua program dijanjikan.

Perdana Menteri turut mengingatkan Anwar supaya tidak terlalu mendesak untuk berdebat kerana beliau mempunyai pelbagai maklumat yang boleh menyebabkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ‘demam’ jika rahsianya dibongkar ketika berdebat.

Osman Dol: Banyak pihak menasihatkan YAB supaya tidak layan kehendak Anwar itu termasuklah bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Muhammad. Saya sendiri pun rasa tidak perlu berdebat. Anwar hendak sangat berdebat itu kerana hendakkan pablisiti. Najib bercakap itu ada point. Jangan melatah Najib...nanti jadi cakap tidak serupa bukin.

Sabtu, 15 Januari 2011

RAYUAN ANWAR DITOLAK - berita dari BERITA HARIAN.

Rayuan Anwar minta tukar hakim ditolak

                                                     Gambar dari Google


Oleh Azrina Ahzan

2011/01/15

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam menolak rayuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menggugurkan hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah daripada mendengar kes liwatnya.

Tiga panel hakim yang bersidang iaitu Datuk Low Hop Bing, Datuk Abdul Malik Ishak dan Datuk Ahmad Maarop sebulat suara memutuskan bahawa mahkamah itu tidak mempunyai kuasa untuk mendengar permohonan berkenaan dan membenarkan bantahan awal yang dikemukakan pihak pendakwaan. Mahkamah memutuskan tertuduh tidak mempunyai hak untuk merayu pada peringkat interlokutori (perintah sementara). Jadi, mahkamah mengekalkan bantahan awal oleh pihak pendakwaan dan menolak rayuan itu, kata Hop Bing. Pihak pendakwa diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, Noorin Badaruddin, Mohamed Hanafiah Zakaria dan Wong Chiang Kiat. Manakala, Anwar diwakili peguam Karpal Singh, Sankara N Nair dan Datuk Param Cumaraswamy.

Disember lalu, Anwar mengemukakan permohonan supaya Mohamad Zabidin menarik diri secara sukarela daripada terus mendengar perbicaraan kes liwatnya.

Peguam Karpal Singh, dalam hujahnya berkata anak guamnya, Anwar, serius memberikan perhatian bahawa akan wujud berat sebelah jika hakim itu terus mendengar perbicaraan berkenaan.

Karpal Singh mempertikaikan bahawa Anwar tidak akan diberikan perbicaraan yang adil jika hakim itu kekal mendengar kes itu.

Ini kali kedua Anwar memohon untuk hakim itu menarik diri. Permohonan pertamanya ditolak Hakim Mohamad Zabidin serta Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Anwar, 63, didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Anwar memohon untuk Mohamad Zabidin menarik diri atas alasan hakim berkenaan telah mengugut peguamnya.

Walaupun Mohamad Zabidin menarik balik kenyataan yang didakwa ugutan itu, Anwar berkata wujud sikap berat sebelah jika hakim berkenaan terus mendengar kesnya.

Sementara itu, Anwar yang tiba di mahkamah pada jam 10 pagi bersama isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, enggan mengulas mengenai keputusan berkenaan.

komen OSMAN DOL: Lufikirlah sendiri...

Selasa, 11 Januari 2011

INTERLOK....

ABDULLAH Hussain mengesat air mata kerana tidak dapat menahan sebak di dada ketika memperkatakan nasib malang novel Interlok karyanya itu di Petaling Jaya, Selangor, semalam. – UTUSAN/HAFIZ JOHARI
TIADA apa yang lebih meremukkan hati seorang penulis apabila melihat karyanya dihina dan dipolitikkan pihak tertentu hanya kerana kandungannya tidak difahami secara keseluruhannya.

Itulah yang dirasakan oleh Sasterawan Negara, DATUK ABDULLAH HUSSAIN, 91, ketika menatap gambar sekumpulan penduduk kaum India membakar novel Interlok karya beliau di Klang, Selangor yang disiarkan akhbar ini, dua hari lalu.

Dalam linangan air mata, Abdullah yang ditemui oleh wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL bersama jurugambar, HAFIZ JOHARI di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor, semalam turut melahirkan kekesalan yang mendalam apabila karyanya yang diterbitkan 40 tahun lalu disalahertikan oleh pihak tertentu.

Abdullah yang berkerusi roda ketika ditemui meminta untuk berbaring ketika menjawab soalan-soalan yang dikemukakan kerana keuzurannya.

Malah, beliau juga hanya mampu menjawab soalan-soalan itu secara bertulis kerana tidak berdaya lagi untuk berbicara.

Ikuti soal jawab itu yang terpaksa dilakukan dengan ringkas ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Bagaimana perasaan Datuk dengan apa yang menimpa karya Interlok?

ABDULLAH: Saya berasa dukacita kerana maksud saya baik, tetapi orang salah menerima.

Apa yang tidak difahami oleh kaum India menerusi buku Interlok itu?

ABDULLAH: Di India (terutamanya di India Selatan), masih kuat dengan fahaman ‘paria'. Saya ikut Mahatma Gandhi. Tetapi orang India di sini cuba melupakannya.

Apa sebenarnya yang cuba disampaikan menerusi Interlok?

ABDULLAH: Ia merupakan kisah Maniam, iaitu watak utama seorang India dari India Selatan. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di sini. Dia seronok menaiki kapal bersama orang India yang lain dan seronok apabila sampai di Pulau Pinang. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di Malaysia.

Nasihat Datuk kepada kaum India yang menolak buku ini?

ABDULLAH: Baca betul-betul (Interlok) apa maksud sebenar saya tulis. (Saya) bukan mahu menghina masyarakat India.

Datuk masih menulis?

ABDULLAH: Saya tidak lagi boleh menulis. Menulis memerlukan saya bergaul dengan banyak orang.

Komen OSMAN DOL: Sebagai seorang sasterawan negara Abdullah Hussin tentu tahu apa yang ditulisnya. Mustahil beliau menulis sesuatu yang ada kaitan dengan perkauman. Mungkin ada pihak yang tidak faham apa yang ditulis oleh Sasterawan Negara itu.  Saya sokong agar INTERLOK diteruskan untuk menjadi buku teks...

Ahad, 9 Januari 2011

KEKAL MENAWAN HATI SUAMI......dari Harian Metro

Ahad, 09 Januari 2011 
Kekal menawan pikat suami
Oleh ISMA ISMAIL dan MOHD RAZLAN SALLEH
metahad@hmetro.com.my

INTIM... Mansura bahagia di sisi suami, Yusuf. SANDAKAN: “Walaupun kegarangan suami boleh diumpamakan seperti sang harimau yang pantang dicabar, itu tidak bermakna mereka tidak boleh dijinakkan.

“Seperti bayi yang akan berhenti merengek selepas dapat menyusu, begitu juga halnya dengan si suami yang akan layu ketika ‘disusukan’,” begitulah nasihat Mansura Sirai tanpa segan silu menceritakan rahsia kerukunan rumah tangganya bersama suami tercinta, Yusuf Susuk, 70, sejak lebih 50 tahun lalu.

Ibu berusia 65 tahun yang melahirkan 23 cahaya mata ini mengakui payudara isteri memainkan peranan utama bagi menawan suami dan mengelaknya beralih cinta kepada wanita lain.

“Sebagai isteri, kita harus tahu menjaga penampilan diri dari luar dan dalam selain sentiasa bergurau setiap masa, terutama di bilik tidur.

“Bayangkan perasaan suami apabila melihat tubuh kita kendur di sana sini, sudah pasti hilang selera untuk bersama dan menjadi alasan mencari pucuk muda yang lebih gebu,” katanya tanpa berselindung.

Mansura berkata, jika aset wanita itu sentiasa padat, kerukunan rumah tangga dan hubungan suami isteri sentiasa hangat.

Kesempatan menemui Mansura secara bersemuka membuktikan kebenaran kata-katanya.

Meskipun boleh dianggap nenek, tubuh Mansura seakan-akan tidak ditelan waktu dan kelihatan sihat seperti wanita berusia 30-an.

Penulis juga hanya menggeleng kepala sebaik diberitahu wanita berkenaan berusia 65 tahun dan memiliki 23 anak selain bercucu dan cicit.

“Payudara perlu dijaga sebaik-baiknya dan antara caranya ialah memakan jamu dan bersenam.

“Jamu boleh dibuat sendiri menggunakan barang yang mudah didapati di pasar seperti ibu kunyit, asam jawa, lada putih, sirih, manjakani, gula, garam dan telur ayam kampung,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini, baru-baru ini.

Mansura berkata, pemakanan jamu membolehkan badan lebih sihat dan bertenaga serta menegangkan otot kendur, terutama sistem peranakan.

“Saya tidak pernah mengamalkan ilmu songsang atau susuk kerana ia perbuatan syirik,” katanya.

Selain 23 anak, termasuk enam yang meninggal dunia sebaik dilahirkan, Mansura turut dikurniakan 60 cucu dan empat cicit.

“Bayangkan selepas melahirkan anak, saya boleh berjalan seperti biasa keesokannya dan ke pasar seminggu selepas itu. Ramai tidak percaya, tetapi itulah hakikatnya,” katanya.

Mansura berkata, dia berkahwin dengan Yusof ketika berusia 13 tahun dan terus bunting pelamin, namun kurang bernasib baik apabila beberapa anaknya meninggal selepas dilahirkan.

“Anak pertama mak cik sepatutnya berusia 52 tahun tetapi meninggal dunia sebaik dilahirkan, manakala paling bongsu berusia 15 tahun dan menuntut di Sekolah Menengah Batu Sapi,” katanya.

Mengikut perkiraan kasar, pasangan itu memperoleh anak sulung iaitu Junaidah, 46, ketika Mansura berusia 19 tahun dan melahirkan anak ke-23, Jefry Aman, 15, pada usia emas 50 tahun. Malah ketika berusia 30 tahun, dia mempunyai lapan anak.

Menurut Mansura, ramai wanita kini mengabaikan penjagaan diri dan enggan mengikuti nasihat orang tua yang dianggap kolot serta ketinggalan ramai.

“Selain petua ketika bersama, suami isteri perlu bertolak ansur kerana alam berumah tangga mempunyai 1,001 cabaran dan dugaan.

“Ketika suami marah, kita sebagai isteri perlu berdiam diri dan jangan sesekali melawan kerana ‘harimau’ yang mengamuk pantang dicabar,” katanya.

Mansura berkata, perkara sama perlu dilakukan suami apabila melihat isteri dalam keadaan marah.

“Sebagai orang tua, saya hanya mampu memberi nasihat kerana sedih mendengar pasangan yang baru mendirikan rumah tangga sudah naik turun mahkamah untuk bercerai.

“Sedih melihat isteri yang masih muda dan cantik terpaksa menjadi janda pada usia muda,” katanya.

Mansura juga berkata, kewangan bukan masalah utama jika tahu menguruskannya.

“Saya tidak kaya dan hanya menetap di rumah kayu, tetapi suami tetap sayang dan sentiasa membahagiakan saya. Sebagai balasan, saya kini mengambil alih tugasnya mencari rezeki berikutan kesihatannya kurang baik kebelakangan ini,” katanya.

>Senarai nama anak pasangan Mansura dan Yusuf

1. Junaidah, 46, suri rumah (perempuan)

2. Jainal, 43, polis bantuan (lelaki)

3. Halimah, 42, suri rumah (perempuan)

4. Junaida, 41, suri rumah (perempuan)

5. Zubaidah, 39, suri rumah (perempuan)

6. Maisah, 37, berniaga (perempuan)

7. Hamidah, 36, berniaga (perempuan)

8. Mohd Dalfa, 35, pemandu lori (lelaki)

9. Mohd Alfiah, 32, berniaga (lelaki)

10. Hassan, 30, jurujual (lelaki)

11. Hussin, 26, tidak bekerja (lelaki)

12. Masnah, 27, suri rumah (perempuan)

13. Halimah, 25, - meninggal dunia ketika usia 15 tahun (perempuan)

14. Hafizah, 23, suri rumah (perempuan)

15. Mohd Rafi, 21, pekerja swasta (lelaki)

16. Norasikin, 18, penganggur (perempuan)

17. Jefry Aman, 15, pelajar (lelaki)



Nota: Enam lagi tiada nama kerana meninggal dunia sebaik dilahirkan.

Sabtu, 8 Januari 2011

AMAH TAK DIPERKOSA...UNTUSAN MALAYSIA.

BERITA UTAMA Amah tak diperkosa - Detik.com

JAKARTA 7 Jan. - Ketua Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BNP2TKI) hari ini menegaskan, tidak wujud sebarang kes pemerkosaan melibatkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Rais Yatim dengan pembantu rumah dari Indonesia seperti mana digembar-gemburkan.

Ketuanya, Jumhur Hidayat berkata, berdasarkan kepada keterangan daripada pembantu rumah berkenaan iaitu Rubingah, kejadian tersebut tidak pernah berlaku sepanjang dia bekerja dengan Rais.

''Malahan dalam kenyataan bertulisnya, Rubingah turut menafikan berlaku sebarang perbuatan tidak senonoh oleh majikannya itu,'' kata beliau seperti mana dilaporkan oleh Detik.com hari ini.

Penjelasan Jumhur adalah berdasarkan kepada pertemuan empat pegawai Balai Pelayanan, Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BP3TKI), Semarang dengan Rubingah dan suaminya, Sukirman, baru-baru ini.

Rubingah bekerja di rumah Rais mulai tahun 1999 hingga 2007 selepas itu dia kembali ke kampungnya di Banjarnegara, Jawa Tengah.

Dia mempunyai dua anak iaitu Monika Umami, 26 dan Agustina Umami, 21.

Menurut Jumhur, beliau sudah menyerahkan penjelasan Rubingah kepada Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Muhaimin Iskandar.

Oleh itu, beliau meminta semua pihak supaya berhati-hati dalam membuat tuduhan sedemikian kerana ia berkait rapat dengan nama baik Rubingah dan keluarga wanita tersebut.

Sementara itu, dalam kenyataan bersumpahnya, Rubingah menjelaskan, sepanjang 8 tahun bekerja dengan Rais tidak pernah berlaku sebarang gangguan seksual ke atasnya.

''Semuanya baik-baik sahaja tidak pernah ada masalah, apa tah lagi berkaitan perlakuan tidak senonoh terhadap saya," katanya.

Komen OSMAN DOL: Apa lagi yang hendak dilakukan oleh pembakang untuk memburuk-burukkan kerajaan dan menabur fitnah. Berita di atas jelas menampakkan pembohongan mereka. Boleh pakatkah...? Satu orang amah pun tak boleh berpakat - apatah lagi kalau melibatkan beratus-ratus orang saksi. Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dan Negara Kita....

Khamis, 6 Januari 2011

NOVEL BARU - SUATU TRAGEDI..... - BANYAK KURANGNYA......

TAJUK NOVEL - SUATU TRAGEDI...
KOLEKSI BACAAN MUTIARA
PENERBIT TULIP PUBLICATION
HARGA (TIDAK DICATATKAN)

Kalau bertanya padaku, aku memang tidak berapa puas dengan penerbitan buku ini. Gambar kulitnya menunjukkan sebuah kereta yang terbalik - sebenarnya kisah ini adalah kisah perlumbaan motosikal. Apa ada kena mengena dengan kereta itu....???

RAIS MEANGGAP DIRINYA DIFITNAH KES ROGOL - (PETIKAN DARI BERITA HARIAN 6.1.11)

2011/01/06

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim (atas) semalam menafikan tuduhan beliau terbabit dalam kes jenayah perkosaan pada 2007 serta semua dakwaan lain yang dilemparkan penulis blog di internet dan parti pembangkang.

Beliau berkata, dakwaan itu adalah fitnah dan wajar disiasat mengikut lunas undang-undang negara. Katanya, beliau dan ahli keluarganya bersedia memberi sepenuh kerjasama dan akan menerima serta mematuhi sebarang keputusan hasil siasatan rasmi itu. “Sementara siasatan dijalankan pihak berkuasa, demi keadilan dan kemanusiaan, mereka yang mengamalkan politik kotor melalui internet atau media lain wajar menghentikan sebarang spekulasi, cemuhan atau berbuat sesuatu yang mencabul budaya berpekerti baik.

“Semua tulisan, laporan, picisan, spekulasi termasuk ilustrasi foto atau gambar berhubung dakwaan salah laku atau jenayah memperkosa itu adalah bertujuan jelek, berniat jahat dan memfitnah secara fabrikasi atau rekaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata: “Dakwaan perkosaan seperti dikarang penulis blog tiada kaitan langsung dengan dedahan yang kononnya dipanggil Wikileaks.”

Katanya, tindakan mengaitkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai tidak melayani aduan pada 2007 berkaitan kes itu adalah perbuatan “politik licik murahan yang semata-mata bertujuan mengelirukan fakta”.

Rais berkata, dengan adanya gara-gara dan perkembangan pilihan raya kecil dan umum di musim kini, isu seperti ini diolah oleh mereka itu sebagai ‘lembing rejaman’ yang diharap akan membunuh politik dan perjuangan murni kerajaan.

“Mereka menganggap pendedahan bersifat spekulasi dan tohmahan ini dapat mengalih perhatian umum terhadap kes jenayah besar seperti liwat yang membabitkan pimpinan pembangkang,” katanya.

Sejak kebelakangan ini, beberapa laman blog menyiarkan cerita yang mengaitkan Rais merogol seorang pembantu rumah pada 2007.

Sementara itu di SEREMBAN: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membuat laporan polis berhubung dakwaan Rais terbabit dalam kejadian merogol pembantu rumah warga Indonesia, kira-kira tiga tahun lalu.

Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard, berkata pihaknya mahu polis menyiasat dakwaan itu yang tersebar luas di internet dengan telus demi menegakkan kebenaran.

"Seseorang tidak bersalah sebelum dibuktikan bersalah. Dalam perkara ini, mangsa pertama ialah Rais kerana beliau belum dibuktikan bersalah, namun boleh dikatakan hampir semua blog dan cakap mulut sudah menyebut namanya terbabit dalam kes rogol," katanya pada sidang media di depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, semalam.

OSMAN DOL memberikan komennya: Entahlah, sehingga kini aku juga meanggap Datuk Sri Rais Yatim difitnah. Bagiku, sama ada perkara itu betul atau tidak, pasti memberi keuntungan kepada pembakang. Kalau betul berlaku pembakang akan bersorak untuk merosakkan imej kerajaan dan kalau tidak betul pula mereka akan mengatakan kerajaan melindungi perogol katanya. Tidak sempat-sempat lagi mereka sudah mengatakan bekas perdana menteri Dato Abdullah Ahmad Badawi dan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hasan tidak menghiraukan laporan yang dibuat tentang kejadian itu.

Saya setuju polis hendaklah siasat tuduhan itu sama ada betul atau fitnah. Kalau betul Rais mesti dihadapkan ke mahakamah dan kalau tak betul, penulis blog berkenaan patut juga dituduh...