MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Rabu, 28 September 2011

PEMBUNUH KEJAM...

BERITA UTAMA Wanita warga emas dibunuh kejam

Oleh ANGELINA SINYANG

pengarang@utusan.com.my

ANAK S. Danaletchemee terduduk sedih dan terpaksa ditenteramkan oleh salah seorang saudaranya selepas mengetahui ibunya dibunuh kejam di rumah mereka di Semenyih, semalam. – UTUSAN/SITI RAFEAH AZANAN

--------------------------------------------------------------------------------

HULU LANGAT 27 Sept. – Sekumpulan penjenayah bertindak kejam apabila tanpa belas kasihan mencampak seorang wanita warga emas ke dalam kolah air selepas menikam dan memukul mangsa sampai mati dalam kejadian samun di sebuah rumah di Kampung Pasir Baru, Jalan Sungai Lalang, Semenyih di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, suspek yang dipercayai lebih daripada seorang sempat membersihkan kesan darah di atas lantai dan pada senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa bagi mengelak perbuatan mereka dikesan.

Suspek mengambil kesempatan memasuki rumah mangsa, S. Danaletchemee, 64, semasa wanita warga emas itu tinggal bersendirian, manakala seorang anak lelaki, menantu serta tiga cucunya masing-masing keluar bekerja dan bersekolah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, kejadian pembunuhan itu disedari anak lelaki mangsa yang tinggal bersamanya apabila pulang ke rumah pada pukul 11 pagi.

“Tiba di rumah, anak lelaki mangsa terkejut mendapati keadaan dalam rumah mereka berselerak dan menemui ibunya sudah tidak bernyawa dalam kolah air di bilik mandi.

“Polis yang menjalankan siasatan menemui satu kesan tikaman di leher dan hentakan di dahi mangsa yang disyaki menjadi punca kematiannya,” kata Ab. Rashid kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.

Beliau berkata, anggota polis forensik yang menyiasat tempat kejadian pula menemui masing-masing sebilah parang dalam bilik air dan pisau dalam laci yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.

Menurutnya, kedua-dua senjata tersebut tiada kesan darah dipercayai sudah dicuci oleh suspek, malah penjenayah turut membersihkan kesan-kesan darah yang berlumuran di atas lantai.

Katanya, mangsa dibunuh di bilik tengah sebelum mayatnya diseret ke bilik air dan dicampak dalam kolah.

“Kita tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dalam jenayah ini adalah individu dikenali oleh mangsa kerana tiada kesan pecah masuk dan pergelutan berlaku di rumah tersebut,” katanya.

Beliau memberitahu, semasa insiden pembunuhan berlaku, sekumpulan pekerja kebetulan sedang membuka khemah di hadapan rumah mangsa tetapi mereka mendakwa tidak menyedari kejadian itu.

Ab. Rashid berkata, setakat ini, pihaknya belum dapat mengenal pasti barang-barang yang dilarikan suspek dari rumah terbabit kerana semua ahli keluarga mangsa tidak boleh memberi keterangan disebabkan terlalu sedih dan terkejut.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan Hirdawati Isa melalui talian 03-87362222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, seorang menantu kepada Danaletchemee, M. Murugun, 35, ketika ditemui memberitahu, keluarganya juga mengesyaki suspek yang membunuh ibu mertuanya adalah individu dikenali dan mungkin pernah datang ke rumah itu semasa mereka mengadakan kenduri kesyukuran bagi meraikan seorang anak saudaranya pada Sabtu lalu.

PEMBUNUH ITU ORANGKAH ATAU BINATANG?

Khamis, 22 September 2011

Putar, putar, putar.....

Mat Sabu nafi fitnah isu komunis


Oleh Amin Ridzuan Ishak dan Petah Wazzan Iskandar

bhnews@bharian.com.my

2011/09/22


MAT SABU ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Butterworth, semalam.Timbalan Presiden PAS pula tuduh BN jadi dalang, bawa kes ke mahkamah

BUTTERWORTH: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang mengaku tidak bersalah atas dakwaan memfitnah anggota polis serta keluarga mereka yang mempertahankan diri ketika diserang komunis di Balai Polis Kepong pada 1950 dalam ceramahnya bulan lalu, menuduh kerajaan terpaksa menghadapkannya ke mahkamah selepas gagal memberi penjelasan kukuh berhubung fakta sejarah sebenar. Mohamad, 57, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata beliau tidak terkejut dengan pendakwaan ke atasnya, malah yakin akan memenangi kes itu kerana kebenaran akan terserlah. “Saya tidak terkejut dengan tindakan ini kerana untuk menghentikan isu ini, Barisan Nasional (BN) yang mendalangi isu ini mengambil jalan membawa kes ini ke mahkamah,” katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Terdahulu, dalam prosiding di depan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin, Mat Sabu mengaku tidak bersalah atas dakwaan memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri ketika diserang pengganas komunis di Balai Polis Kepong pada 23 Februari 1950 dalam ceramahnya, bulan lalu dan memohon untuk dibicarakan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dalam ucapan kepada orang ramai di antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam, 21 Ogos lalu di depan Pusat Asuhan Tadika Islam (PASTI) Al-Fahmi, Markas Tarbiyah PAS, Padang Menora, Tasek Gelugor.

Bagi pertuduhan alternatif yang dibuat mengikut seksyen sama, Mat Sabu didakwa memfitnah anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Konstabel Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada masa serta tempat yang sama.

Ikmal Hishan menetapkan 27 Oktober ini bagi sebutan semula, manakala 5 hingga 9 Disember sebagai tarikh perbicaraan dan mengenakan ikat jamin berjumlah RM15,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya terdiri daripada Mohamad Hanafiah Zakaria, Ishak Mohd Yusoff dan Suhaimi Ibrahim, manakala Mat Sabu diwakili peguam, Hanipa Maidin serta Aminuddin Zulkifli.

Dalam prosiding itu, Mohamad Hanafiah memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM50,000 tetapi Ikmal Hishan menetapkannya RM15,000 selepas Hanipa membuat rayuan.

Pada majlis lain, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, tindakan menahan pemimpin pembangkang itu dibuat berdasarkan lebih 1,000 laporan polis oleh pelbagai pihak yang menganggap dakwaan Mat Sabu adalah berbentuk fitnah dan perlu disiasat.

Komen AndaGuna Facebook id anda.

Komen Osman Dol: Lu buat kecuh....BN pulak yang lu salahkan....mana ada patut...

Isnin, 19 September 2011

DARI UTUSAN...

Biadab, kurang ajar hina Jalur Gemilang


KUALA LUMPUR 18 Sept. - Biadab dan kurang ajar.



Itu reaksi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berhubung kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan yang menegaskan bahawa pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika berkuasa dalam pilihan raya umum akan datang.



Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris berkata, penghinaan terhadap panji negara itu adalah cubaan pembangkang untuk menerap ideologi komunis moden terhadap generasi muda demi mencapai matlamat untuk memecah-belahkan bangsa Malaysia.



Justeru, beliau secara sinis 'mempersilakan' ADUN DAP itu untuk meninggalkan negara ini secara hormat dan memulangkan taraf kewarganegaraan yang dimiliki jika tidak bersetuju dengan setiap perkara yang menjadi lambang dan identiti negara Malaysia.



"Mereka (DAP) semakin kurang ajar dan mereka inilah pengkhianat negara yang sepatutnya tidak layak duduk di muka bumi Malaysia ini.



"Kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya kerana mereka dilihat mempunyai agenda tersusun untuk mencucuk minda masyarakat melalui penghinaan demi penghinaan secara halus," katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.



Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohd. Rapiee pula berkata, kenyataan terlampau Manoharan itu tidak boleh dipandang enteng kerana sanggup menjatuhkan maruah negara melalui penghinaan cukup besar terhadap Jalur Gemilang.



Justeru, DAP perlu segera membuat pendirian rasmi terhadap Manoharan dengan bertindak melucutkan jawatan beliau sekiranya parti itu benar-benar berjuang demi negara.



Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli pula menganggap Manoharan seolah-olah seorang pendatang asing yang baru tiba di Malaysia apabila 'terkejut' dengan rupa bentuk bendera yang dikatakan meniru bendera AS.



"Satu demi satu fakta sejarah mahu diubah dan dipertikaikan pembangkang. Jika kerajaan tidak menangani isu sebegini secara bijak, saya percaya tidak lama lagi ramai rakyat negara ini sakit jiwa dengan permainan politik mereka," katanya.



Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, tindakan Manoharan itu menunjukkan matlamat pembangkang adalah untuk membuang identiti kebangsaan negara serta membuka ruang untuk budaya asing menyelinap masuk.



"Sekiranya pembangkang memerintah satu hari nanti, tidak mustahil bagi mereka untuk membuang identiti kebangsaan negara ini yang telah dibina melalui keringat nenek moyang serta kepimpinan kita terdahulu."

Ahad, 18 September 2011

MEREKA TAK OK ITU BAIARKANLAH...KITA TINGGALKAN DIA.

Bisik-Bisik Mingguan - AWANG SELAMAT


Realiti baru

Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menerima reaksi yang pelbagai. Ramai yang positif dan menyambut baik sambil menyifatkan ia langkah pembaharuan yang berani daripada Perdana Menteri, Najib Tun Razak.

Tidak kurang yang skeptikal dan lahirkan kebimbangan kerana ISA dilihat masih relevan di Malaysia. Ada juga yang marah.

Awang ada pandangan sendiri. Memang apa yang dirintis oleh Najib kena pada masanya. Kita harus melihat ke hadapan dalam realiti baru dunia hari ini. Lambat laun pembaharuan akan tetap berlaku. Negara tidak boleh selamanya berada di takuk lama. Era sekarang menuntut lebih keterbukaan dan kerajaan moden perlu cekap mengurus risiko tanpa bergantung kepada undang-undang seperti ISA.

Tetapi pandangan orang seperti Awang tidak penting. Yang perlu digarap ialah maklum balas dan pemikiran rakyat, badan-badan bukan kerajaan (NGO), pasukan keselamatan, ahli akademik, kakitangan awam dan pelbagai kelompok lain.

Pada peringkat ini, biarlah rakyat memberikan apa sahaja reaksi dan input. Kita semua harus ada keberanian untuk mendengar sebarang bentuk komen.

Jika dilayari Internet, terdapat reaksi negatif yang juga perlukan perhatian dan renungan. Perspektif mereka tidak boleh ditolak begitu sahaja. Golongan ini tidak boleh dibiarkan merajuk. Apatah lagi, mereka merupakan pihak yang selama ini kuat menyokong kerajaan.

Awang berpendapat pengumuman pemansuhan ISA perlu disusuli dengan penjelasan yang menyeluruh daripada kementerian dan agensi berkaitan. Jika tidak, ia akan membawa salah pengertian dan membentuk persepsi negatif terhadap kepimpinan dan kerajaan.

Perubahan drastik seperti pemansuhan ISA menuntut kekuatan penerangan dan penjelasan. Sesuatu yang baru, mengambil masa untuk diterima dengan baik. Awang percaya sebahagian besar suara yang membantah dan meragui langkah tersebut, boleh bertukar positif menerusi lebih banyak pertemuan dan dialog.

Berdasarkan pengamatan, ramai yang masih tidak jelas kebijaksanaan di sebalik pemansuhan ISA dan kekuatan dua undang-undang baru yang akan diperkenal bagi menghadapi ancaman keselamatan.

Ada juga hujah yang melihat tindakan memansuhkan ISA merugikan politik orang Melayu. Selain itu, kerajaan dituduh asyik tunduk kepada aspirasi politik kaum lain sedangkan tiada jaminan mereka akan melonjakkan sokongan kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

Bagi Awang, ia mempunyai hikmah tersendiri. Batas psikologi orang Melayu perlu dipecahkan agar jangan terlalu gundah dengan pembaharuan. Pemansuhan ISA juga seharusnya mendorong orang Melayu lebih agresif dalam politik. Sejak kebelakangan ini, kaum bukan Melayu bukan sahaja bijak berpolitik malah lebih bersatu dan lantang. Suara minoriti menjadi seperti majoriti sehingga akhirnya mampu mencorakkan persekitaran baru politik tanah air. Pemansuhan ISA dan beberapa perubahan lain termasuk pindaan kepada Akta Mesin Cetak adalah isyarat keterbukaan buat semua, bukannya kelompok atau kaum tertentu sahaja.

Apa pun, Najib terbukti komited melaksanakan transformasi politik menerusi pengumuman menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September. Ketika ketua pembangkang, Anwar Ibrahim dikenang dengan peristiwa 16 September iaitu isu bercakap bohong, Najib tunaikan janji untuk membawa Malaysia ke dimensi yang baru. Reaksi Anwar bahawa keputusan itu adalah hasil perjuangan beliau, sudah boleh dijangka. Beliau akan manipulasi apa sahaja isu. Najib telah membuktikan keberaniannya untuk melakukan transformasi. Anwar pula asyik beretorik selain menjebak diri dengan isu moral yang serius. Malah untuk bersumpah laknat dan memberikan keterangan bersumpah di mahkamah, juga tidak berani. Bagaimana mahu menggerakkan transformasi jika diri sendiri menyimpan ketakutan luar biasa?

Ohhh Mat Sabu

Sejak memenangi jawatan Timbalan Presiden Pas dalam persaingan tiga penjuru, Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu, menjadi bahan kontroversi.

Dari awal lagi kemenangan beliau mencetuskan rasa kurang selesa di kalangan sebahagian pemimpin dan ahli parti.

Tidak lama selepas itu muncul satu demi satu isu. Mat Sabu didakwa oleh pihak berkuasa bercakap bohong kononnya beliau dilanggar oleh kenderaan polis ketika kekecohan perhimpunan haram di Kuala Lumpur 9 Julai lalu.

Rakaman video polis menjadi bukti tetapi Mat Sabu tetap pertahankan dakwaannya.

Kemudian muncul isu bil rawatan beliau yang cedera semasa perhimpunan itu dibiayai oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP). Mat Sabu adalah ahli lembaga pengarah PBAPP. Banyak pihak persoalkan kewajaran pembiayaan bil rawatan lebih RM8,400 kerana Mat Sabu cedera akibat menyertai aktiviti salah di sisi undang-undang, yang bertentangan dengan amalan korporat. Sedangkan kakitangan biasa syarikat tersebut tidak ditanggung kos rawatan jika bersangkutan kecederaan atau sakit daripada aktiviti haram. Ada yang melihatnya sebagai isu penyelewengan wang PBAPP.

Lebih panas lagi ialah kenyataan beliau menghina pejuang Bukit Kepong yang mati terkorban dalam tragedi itu dan sebaliknya mengherokan Mat Indera, salah seorang anggota pengganas komunis.

Sebanyak 1,265 aduan polis ke atas Timbalan Presiden Pas itu telah dibuat di seluruh negara. Awang macam tak percaya dengan kemarahan dan bantahan pelbagai pihak serta orang ramai terhadap beliau.

Setakat ini, tiada sepatah pun permohonan maaf daripada beliau menyebabkan Pas turut menanggung akibatnya. Rakyat Malaysia terkenal dengan sikap pemaaf tetapi bagaikan tidak layak mendapat kemaafan daripada Mat Sabu. Sedangkan teras kenyataan beliau yang boleh diikuti menerusi video di Internet, bercanggah dengan fakta sejarah. Kalau di negara lain, para pemimpin yang terlanjur kata atau tersilap fakta berani mengakui segera kesilapannya.

Belum pun reda, satu lagi isu lama terbongkar dalam blog. Kali ini melibatkan apa yang didakwa oleh beberapa pengendali blog, percakapan seks menerusi telefon bersama seorang wanita.

Rakaman perbualan itu mendapat perhatian meluas. Setahu Awang, belum ada sebarang pengakuan atau penafian daripada Mat Sabu. Beliau mengambil sikap berdiam dan enggan mengulas, yang menjadikan isu itu lebih memikat.

Awang tidak berhajat komen panjang lebar. Sama ada kita suka atau tidak, itulah pemimpin yang menjadi sandaran Pas. Menyebut nama beliau sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja tersenyum sinis, marah mahupun hairan kebingungan. Dia punya ‘kehebatan’ tetapi dengan cara berlainan.

Bendera Amerika?

Ketika isu penghinaan Mat Sabu ke atas pejuang negara masih menjadi bahan bualan, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Shah Alam (DAP), M. Manoharan membuka perhatian baru.

Beliau mendakwa pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa pada pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan Manoharan dibuat menerusi Facebook miliknya kelmarin, mengundang bantahan banyak pihak termasuk rakan-rakannya dalam laman sosial itu.

Awang naik bosan dengan tindakan seorang demi seorang pemimpin pembangkang menghina negara. Fakta sejarah dirobek, pengganas diagungkan, batik Malaysia diperlekeh dan pelabur dihasut jangan menanam modal di tanah air kita.

Kali ini, bendera pula menjadi sasaran. Hujah Manoharan bahawa Jalur Gemilang meniru bendera Amerika Syarikat adalah dangkal. Lebih bahaya keghairahan untuk menukar bendera itu boleh memberi isyarat bahawa DAP akan menukar banyak lagi perkara termasuk asas kenegaraan seperti perlembagaan.

Bagaimanapun setelah menerima tekanan agar menarik balik kenyataannya, Manoharan memohon maaf sambil menyatakan bahawa dia warga yang patriotik.

Ketika Mat Sabu tetap berdegil enggan memohon maaf atas keceluparannya, Manoharan mengambil jalan keluar lebih bijak. Setidak-tidaknya beliau berani bertanggungjawab dan sensitif kepada respons orang ramai.

Pada Awang, dakwaan dan kenyataan Mat Sabu jauh lebih serius berbanding Manoharan. Dalam hukum psikologi memohon maaf selepas melakukan kesilapan tidak akan menjatuhkan maruah seseorang, sebaliknya dilihat sebagai tindakan mulia. Apatah lagi pemimpin perlu bertanggungjawab kepada rakyat. Nampaknya banyak lagi yang Mat Sabu perlu belajar.

KOMEN OSMAN DOL: Kadang2 terasa sedih juga...buat baik pun tak guna kalau tak sealiran politik dengaan mereka....

Jumaat, 16 September 2011

GUA CAYA LULAH NAJIB...

Keputusan mansuhkan ISA: Zaid mohon maaf pada PM


16/09/2011 3:23pm

KOTA BHARU 16 Sept – Bekas menteri Kabinet, Datuk Mohd Zaid Ibrahim hari ini memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana suatu ketika dahulu beliau tidak pernah yakin dengan keupayaan Najib untuk melakukan sesuatu termasuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mohd Zaid berkata, ternyata pandangan beliau terhadap Najib adalah meleset sama sekali apabila Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan akta berkenaan semalam.

"Saya dahulu tidak yakin Najib mempunyai keberanian untuk membuat sesuatu yang besar dan hari ini saya minta maaf pada Perdana Menteri kerana akhirnya sanggup berbuat sesuatu yang bermakna dan besar untuk memansuhkan ISA ini.

"Saya sifatkan ini sebagai satu hadiah kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini.

Semalam, Najib mengumumkan pemansuhan ISA dan memberi jaminan dua undang-undang baru yang akan digubal untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang serta perbuatan jenayah tidak akan digunakan untuk menahan mana-mana individu semata-mata kerana ideologi politik.

Mohd Zaid yang kini Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) berkata, apa yang dilakukan Najib itu telah memberi nafas baru kepada istilah demokrasi untuk terus subur di negara ini. – Bernama

Khamis, 15 September 2011

MARI SAMA-SAMA KITA FIKIR....

Tentang golongan tolak perpaduan
Oleh SAIFULIZAM MOHAMADpengarang@utusan.com.my


Sulaiman Saloomi
KUALA LUMPUR 14 Sept. - Golongan yang menolak perpaduan termasuk mereka yang mengaku alim perlu ditentang kerana tindakan tersebut amat jelas berlawanan dengan al-Quran dan hadis yang menyuruh umat Islam bersatu-padu.

Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi berkata, bagi mereka yang arif dalam agama tetapi menolak perpaduan, pendirian tersebut jelas bukan disandarkan kepada ajaran Islam sebenar, sebaliknya hanya sekadar pendapat peribadi.

Ini kerana, menurutnya, Islam tidak pernah menyuruh umatnya berpecah-belah, sebaliknya umatnya diperintahkan supaya bersatu-padu seperti yang dinyatakan menerusi al-Quran dan hadis.

Beliau berkata, umat Islam harus sedar tanpa perpaduan ia akan memudahkan tugas musuh-musuh Islam yang selama ini sentiasa berusaha memecah-belahkan lagi masyarakat supaya negara akhirnya menjadi porak-peranda.

"Ingat, di luar sana terdapat musuh-musuh Islam yang terdiri daripada golongan kafir musyrik serta fahaman tertentu seperti Syiah yang sentiasa menunggu peluang untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam.

"Oleh itu, saya amat mengharapkan umat Islam di Malaysia mengekalkan perpaduan tanpa mengira mazhab mahu pun pendirian politik agar negara ini terselamat daripada sebarang bencana serta mala petaka akibat perpecahan," katanya kepada Utusan Malaysia di Bangi, hari ini.

Sheikh Sulaiman juga adalah pensyarah di Universiti Ummul Qura, Mekah selain memegang jawatan sebagai Ketua Majlis Pentadbiran Pejabat Dakwah dan Kesedaran Islam di Mekah.

Beliau merupakan pakar dalam fahaman Syiah dan bidang kajiannya ketika mengambil sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) juga berkaitan dengan fahaman itu.

Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram itu berada di negara ini sejak Jumaat lalu sempena lawatan peribadi beliau selama lapan hari.

Menurut Sheikh Sulaiman, golongan menolak perpaduan akan menerima hukuman berat yang bukan sahaja ditanggung oleh mereka, malah pengikut sehingga hari kiamat kerana menentang arahan Allah.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, setiap umat Islam di Malaysia secara umumnya wajib mempertahankan negara ini daripada sebarang anasir yang cuba merosakkan keamanan dan keharmoniannya.

Katanya, bagi golongan seperti pemimpin politik, ulama, media, golongan profesional serta mana-mana pihak berpengaruh dalam masyarakat pula, hukumnya adalah fardu ain.

"Secara peribadi, saya gembira melihat suasana Islam di Malaysia. Di negara ini terdapat organisasi berteraskan Islam seperti Lembaga Tabung Haji dan begitu juga dengan pelaksanaan sistem kewangan Islam.

"Syariat Islam juga berkembang dengan baik. Universiti-universiti berteraskan Islam juga wujud di negara ini. Selain itu, sistem pembelajaran Islam di Malaysia juga boleh dianggap maju ke hadapan. Di sini juga tidak kurang banyaknya buku-buku yang membicarakan tentang Islam," katanya.

Beliau berkata, perkembangan Islam tidak akan berlaku jika suasana di Malaysia tidak berada dalam keadaan baik serta stabil.

"Nasihat saya pelihara negara ini baik-baik, ia satu amanah yang wajib dilaksanakan. Kekalkan perpaduan dan elakkan perpecahan.

"Musuh-musuh Islam sentiasa mencari peluang untuk memporak-perandakan umat dan perkara ini perlu diawasi bagi memastikan Islam di Malaysia sentiasa terpelihara," katanya.

Selasa, 13 September 2011

MALULAH SIKIT....AWAK SIAPA?

Muhyiddin tidak akan berdebat dengan Mat Sabu


2011/09/13

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak akan berdebat dengan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengenai isu pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa individu yang layak berdebat dengan Mohamad Sabu adalah pakar-pakar sejarah dan bukannya beliau. Ditanya mengenai tindakan saman yang akan dibuat oleh Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu sekiranya beliau enggan menyahut cabarannya, Muhyiddin berkata: "Tak apalah, saya tunggulah dia saman saya." Muhyiddin, yang sebelum itu menghadiri majlis Tawaran Baru kepada Pengetua (Sekolah Menengah) dan Guru Besar (Sekolah Rendah) Bidang Kerberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan 2010 di Bahagian Teknologi Pendidikan, Bukit Kiara di sini berkata, Mat Sabu tidak seharusnya memutarbelitkan fakta sejarah demi mengejar cita-cita politiknya kerana sejarah tidak ada kena mengena dengan politik dan apa yang dibangkitkannya boleh memporak-perandakan negara.

"Mat Sabu sebagai seorang pemimpin politik seharusnya menarik balik kenyataannya bahawa pengganas komunis adalah hero sebenar dalam tragedi Bukit Kepong dan meminta maaf secara terbuka," katanya.

Mengenai majlis makan malam beliau bersama Setiausaha Agung Parti Komunis Republik China, Sun Zhenglai malam ini, Muhyiddin berkata, hubungan diplomatik Malaysia dengan China adalah baik dan Malaysia menghormati pandangan ideologi negara itu.

"Malaysia tidak mengkritik China kerana berfahaman komunis tetapi mengutuk tindakan kejam pengganas komunis sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan dahulu.

"Hubungan dua hala Malaysia dan China adalah penting kerana negara itu menjalinkan hubungan dalam sektor perniagaan, dalam perdagangan, perindustrian dan pelbagai sektor lain," katanya.

Beliau berkata, Amerika Syarikat yang mengamalkan demokrasi sepenuhnya pun turut menjalin hubungan diplomatik dengan China.

"Maka kita perlu pragmatik dalam perkara ini dan tidak menimbulkan isu politik mengenainya," katanya. - BERNAMA

Komen Osman Dol: Siapalah Mat Sabu nak berdebat dengan YAB Timbalan Perdana Menteri, malulah sikit, dengan Khairy Jamaludin pun dia tak layak berdebat. Dia patut berdebat dengan cikgu sejarah sekolah rendah saja....

Isnin, 12 September 2011

MESTI SIASAT...

Siasat segera laporan palsu Anwar



Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

pengarang@utusan.com.my



KUALA LUMPUR 11 Sept. - Pihak polis didesak supaya tidak menunggu kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai di mahkamah sebelum menyiasat sama ada Ketua Pembangkang itu telah membuat laporan palsu bagi menafikan beliau adalah pelaku dalam video aksi seks yang tersebar pada Mac lalu.



Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, ini kerana kes liwat kedua Anwar itu dan isu video seks yang dikatakan membabitkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu adalah dua perkara yang berbeza.



"Ini (video seks) tiada kena-mengena dengan kes liwat. Siasatan perlu dibuat secepat mungkin kerana jika tidak ia akan mencerminkan bahawa polis menggalakkan masyarakat membuat laporan palsu untuk mengaburi pandangan orang ramai atau demi kepentingan politik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.



Beliau diminta mengulas desakan banyak pihak supaya polis segera mengambil tindakan terhadap Anwar berikutan laporan palsu yang dikatakan dibuatnya berhubung isu video aksi seks yang dikaitkan dengannya.



Puteri UMNO pada minggu lalu membuat laporan polis terhadap tindakan Anwar membuat laporan palsu bagi menafikan penglibatannya dalam video seks yang didedahkan trio Datuk T.



Ini kerana pihak polis berdasarkan bantuan pakar sebelum ini mengesahkan bahawa video seks tersebut adalah 99.9 peratus tulen.



Choo Keong berkata, siasatan terhadap kes itu perlu supaya ia dapat dijadikan contoh kepada orang ramai untuk tidak sewenang-wenangnya membuat laporan palsu kepada polis.



"Sebelum ini saya telah mendesak di Parlimen. Jika video itu direka, bukan tulen maka memang ada konspirasi, tapi ia telah dibuktikan tulen oleh polis. Maka memang jelas laporan polis oleh Anwar adalah palsu," katanya.



Sementara itu Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali sekali lagi mendesak supaya pihak polis bertindak terhadap Anwar kerana melakukan laporan palsu itu.



"Sudah banyak kali kita mendesak supaya pihak berkaitan mengambil tindakan terhadap Anwar kerana telah dibuktikan bahawa video itu adalah tulen.



"Malah Peguam Negara juga patut bertindak kerana perlakuan Anwar itu adalah salah di sisi undang-undang," katanya.

Ahad, 11 September 2011

JASA WIRA-WIRA BUKIT KEPONG PATUT DISANJUNG - KERAJAAN PATUT MEMBALAS BUDI MEREKA DENGAN MENYUMBANG SEDIKIT HABUAN KEPADA KETURUNAN MEREKA.

(Gambar yang ditangkap semula dair m2 Mingguan Malaysia - inilah dia wajah wira-wira Bukit Kepong)

ORANG yang meanggap komunis itu sebagai pejuang kemerdekaan sebenarnya adalah orang yang paling tidak berotak. Walaupun dia bercakap mungkin kerana ingin main politik tetapi bukan begitu caranya. Kata-kata itu boleh menyentuh kepada banyak pihak, lebih-lebih lagi kepada mereka atau keturunan mereka yang pernah menjadi mangsa kekejaman komunis.

Saya sendiri sebagai bekas anggota PDRM dan pernah terlibat dalam beberapa gerakan memburu komunis di kawasan sempadan agak tersinggung juga perasaan dengan kenyataan orang yang tidak berotak seperti itu.

Kata orang bijak pandai negara ini, Inggeris sebenarnya tidak menjajah kita. Inggeris hanya memberikan naungannya kepada kita. Kerana itu Inggeris juga telah menggunakan askar-askar upahannya untuk berjuang menentang komunis dizaman darurat. Inggeris tidak mejajah dan menekan kita seperti apa yang dilakukan oleh Jepun.

Kalau tidak ada Inggeris mungkin komunis akan bermaharaja-lela di negara ini. Bintang 3 menjadi raja. Tentu banyak orang yang akan dibunuh dan deksa untuk menegakkan fahamannya. Bagi saya, sesiapa yang memuja komunis itu sebenarnya dialah yang komunis...

Sabtu, 10 September 2011

MAT SABU MALU AGAKNYA....

Ibrahim Ali minta Mat Sabu tarik balik kenyataan


2011/09/10

KUALA TERENGGANU: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, diminta menarik balik kenyataan yang dikeluarkan semasa berucap di Tasek Gelugor, Pulau Pinang baru-baru ini yang menyanjung perjuangan komunis dan memperlekehkan pasukan keselamatan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali, berkata ucapan Mohamad atau Mat Sabu pada majlis itu amat mengelirukan dan secara tidak langsung pemimpin kanan PAS itu dilihat cuba mengubah fakta sebenar sejarah negara. "Mat Sabu tidak perlu takut atau malu untuk menarik balik ucapannya tempoh hari atas alasan terlanjur. Ini kerana 'ular yang menyusur akar, tidak akan hilang biasanya," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat agung khas tahunan PERKASA negeri Terengganu di sini hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua PERKASA Terengganu Mohd Lukman Muda.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, amat menyedihkan apabila Mat Sabu membelakangkan perjuangan Datuk Onn serta Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman, yang berjuang membebaskan negara ini daripada British tanpa menumpahkan darah. - BERNAMA

Komen Osman Dol: Orang berilmu tidak sama dengan orang yang berilmu....

Jumaat, 9 September 2011

BERITA DARI BERITA HARIAN....

Anggota polis patah kaki ketika kejar suspek kes ragut

2011/09/09

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis patah kaki dan mengalami komplikasi pendarahan dalaman akibat terjatuh daripada motosikalnya yang ditendang dua suspek kes ragut ketika mengejar mereka, di sini semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata dalam kejadian 1 petang itu, Konstabel Mohd Hafiz Hashim, 23, dan seorang lagi anggota polis menunggang motosikal berasingan, meronda di sekitar Jalan P Ramlee. "Mereka kemudian melihat dua lelaki menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri apabila ternampak mereka, menyebabkan dua anggota terbabit mengejar," katanya kepada pemberita selepas melawat Mohd hafiz di Hospital Kuala Lumpur, di sini hari ini. Beliau berkata, suspek yang berusia lingkungan 20-an itu bertindak menendang motosikal yang ditunggang Mohd Hafiz menyebabkan motosikal beliau dan juga suspek terjatuh.

Katanya, akibat kejadian itu, seorang daripada suspek mengalami kecederaan di badan manakala rakannya melarikan diri.

"Dengan kerjasama daripada seorang pemandu teksi yang kebetulan berada di kawasan itu, suspek yang cedera berjaya ditahan," katanya.

Mohmad berkata, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau, kini menerima rawatan di hospital yang sama dan akan ditahan reman.

Katanya, polis juga sudah mengenal pasti identiti seorang lagi suspek dan sedang menjejakinya.

Mengulas perkembangan berkaitan, Mohmad memuji tindakan pemandu teksi tersebut yang membantu polis membanteras jenayah dan berharap lebih ramai orang awam memberi kerjasama serupa. - BERNAMA

Selasa, 6 September 2011

ALHAMDULILLAH...KITA ADA BAPA KEMERDEKAAN NEGARA...TUNGKU ABDUL RAHMAN PUTERA AL HAJ.

Enggan temu Mat Sabu


Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman dan Mohd Iskandar Ibrahim

bhjb@bharian.com.my

2011/09/06


MOKHTAR dan Raja Zainal (dua dari kiri) bertemu Zaaba menyampaikan keputusan Jamilah menolak kunjungan mereka di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, semalam.



JAMILAH menunjukkan gambar bapanya, Abu Bakar Daud.

JOHOR BAHRU: Anak perempuan Allahyarham Koperal Abu Bakar Daud, salah seorang anggota polis yang cedera parah dalam serangan komunis di Bukit Kepong, 61 tahun lalu, enggan menemui Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang datang bersama rombongan ke rumahnya di Bandar Baru Uda, di sini semalam.

Jamilah Abu Bakar yang ketika itu baru berusia empat tahun dan melihat sendiri bapanya ditembak bertubi-tubi, tidak dapat menerima kenyataan pemimpin PAS itu yang mendakwa Ahmad Indera atau Mat Indera yang mengetuai serangan, adalah pejuang kemerdekaan kerana menentang British yang menjajah negara ketika itu. “Tak payah datang, saya tak mahu berjumpanya. Ia amat keterlaluan hingga menyebabkan luka lama berdarah kembali. Macam mana saya boleh terima kedatangan orang yang menafikan pengorbanan dan perjuangan bapa dan rakan-rakannya mempertahankan maruah bangsa dan negara hingga sanggup mengorbankan nyawa sendiri, sedangkan dia (Mohamad) boleh pula mengagungkan komunis. “Kata-katanya tidak boleh dimaafkan. Saya ketika itu berusia empat tahun, menyaksikan sendiri arwah bapa berusia 29 tahun, cedera parah terkena tembakan di badan. Saya juga melihat ibu, Fatimah Ya’aba, mengambil alih mengangkat senjata sehingga dia terbunuh ketika berbalas tembakan dengan komunis. Adik lelaki saya berusia dua tahun juga mati tertembak.

“Kenyataannya (Mohamad) seperti mengungkit kembali sejarah hitam yang terpalit dalam hidup saya selama ini. Saya tidak mahu ia dikenang lagi kerana ia membuat saya tertekan,” katanya yang kini berusia 65 tahun ketika ditemui selepas menolak hasrat rombongan pemimpin PAS untuk berkunjung ke rumahnya, di Persiaran Barli, Bandar Baru Uda.

Bapanya meninggal dunia pada 1979 akibat penyakit barah.

Rombongan Mohamad atau Mat Sabu yang menaiki beberapa kenderaan, termasuk sebuah Proton Exora berwarna merah hati tiba di jalan masuk menuju ke rumah Jamilah kira-kira jam 2.30 petang.

Menyedari kehadiran tidak dialu-alukan keluarga dan jiran Jamilah, kenderaan yang membawa Mat Sabu yang dipandu Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat, beredar dari situ sementara seorang wakilnya bersemuka dengan keluarga Jamilah di surau berdekatan.

Di surau itu, sepupu arwah suami Jamilah, Raja Zainal Abdullah, 74, dan jirannya, Mokhtar Jalok, 72, bersemuka dengan Naib Yang Dipertua PAS Pulai, Zaaba Ibrahim dan menyampaikan keputusan Jamilah menolak kunjungan itu.

Zaaba yang dihubungi selepas itu, mengesahkan Mat Sabu terpaksa beredar berikutan keengganan keluarga Jamilah menerima kunjungannya. Sebelum rombongan tiba di laluan menuju ke rumah Jamilah, seorang wakil PAS beberapa kali menghubungi anak bongsunya, Raja Zamzura Raja Buntat, 32, bertanyakan jika wakil Berita Harian dan TV3 berada di rumahnya.

Raja Zamzura mendakwa, wakil rombongan itu agak marah apabila diberitahu wakil media turut berada bersama kerana sudah meminta keluarga Jamilah tidak memaklumkan kepada media dan penduduk kampung berhubung kunjungan itu. Komen AndaGuna Facebook id anda.

Komen OSMAN DOL: Kalaulah komunis menang perang dulu - semua kita ini akan jadi komunis. Sanjungai jasa-jasa perwira negara kita yang mempertahankan negara ini dari penjajahan komunis...