MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Khamis, 29 April 2010

ZAID FAIL PETISYEN CABAR KEMENANGAN CALON BN - Berita Harian.

2010/04/29

PETALING JAYA: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tewas pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim akan memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan yang memihak kepada calon Barisan Nasional (BN).

Zaid berkata, petisyen itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam masa dua minggu bagi mengisytiharkan keputusan pilihan raya itu sebagai tidak sah atas alasan pihak BN didakwa mengamalkan rasuah melalui janji yang dibuat bertujuan meraih undi rakyat kawasan itu. “Peguam saya akan merangka butiran secara terperinci minggu depan. Mereka akan lihat bukti yang ada dan putuskan sama ada cukup atau tidak, tapi kita ada (bukti). “Selain itu, jika ada pengundi Hulu Selangor yang berani dan ada maklumat, boleh mengemukakannya kepada pejabat pakatan pembangkang supaya kita ada lebih bukti, ” katanya kepada media di kediamannya di sini, semalam.

Ahad lalu, Zaid tewas kepada calon BN, P Kamalanathan dengan majoriti 1,725 undi.

Zaid berkata, beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana didakwa mengendalikan pilihan raya secara tidak adil dan memihak kepada BN.

“Selagi SPR tidak melakukan kerjanya mengikut peraturan seperti suruhanjaya di negara lain dan mencapai standard antarabangsa, selagi itu suara rakyat tidak akan kedengaran di negara,” katanya.

KOMEN OSMAN DOL: BN ....khususnya UMNO begitu hebat dasn sporting. Senyap sahaja setiapkali kalah dalam pilihan raya kecil di banyak tempat. Lain keadaannya dengan parti pembangkang. Tidak kisahlah dari parti mana pun pembakang itu -mereka pasti tidak akan berpuas hati. Mereka akan bertindak memburuk2kan BN dengan berbagai cara. Sehingga BN hendak membangunkan kawasan2 pilihan raya itu pun tak boleh.

Tetapi kalau dia menang - DUNIA BOLEH TERBALIK BEB....Dia punya sora...Fuuuuuuuiiiii..... Sikit punya gila dia orang punya kepala. BN setiasa sabar sama ada waktu kalah atau menang.

Selasa, 27 April 2010

BN KAJI TINDAKAN TERHADAP ZAID - BAHAN DARI BERITA HARIAN.

. BN kaji tindakan terhadap Zaid

Oleh Halina Mohd Noor

halina@bharian.com.my

2010/04/27

Tuduhan Barisan Nasional beli undi raih kemenangan tidak berasas

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengkaji kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim yang menuduh BN membeli undi untuk memenangi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor. Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata tuduhan itu tidak berasas dan boleh mengelirukan rakyat. Beliau berkata, berdasarkan pemantauan, pembangkang dilihat membeli undi apabila mengagihkan wang kepada pengundi serta makanan seperti beras ketika berkempen.

“Kerajaan negeri melakukan pelbagai cara untuk menarik pengundi sehingga mengagihkan borang 5A iaitu borang untuk memohon tanah dan berkata kalau mereka (PKR) kalah, borang 5A akan ditarik balik dan tanah tidak akan diberikan kepada rakyat. Bukankah itu satu sogokan,” katanya semalam.

Beliau berkata, BN akan membuat bedah siasat bagi mengkaji mengapa pengundi Cina tidak memberikan sokongan kepada BN dan MCA, sekali gus mengenal pasti masalah sebenar pengundi Cina dan membolehkan parti mengatasinya.

“Walaupun menang, tidak bermakna kita harus lepas tangan dengan tidak mempedulikan pengundi yang tidak menyokong BN. Kita mahu tahu apa yang menghalang mereka memberikan sokongan kepada BN.

“BN dengan kerjasama MCA akan mengenal pasti masalah ini sehingga ke akar umbi dan membuat pembaikan sewajarnya. Kadangkala punca sebenar bukan disebabkan parti, tetapi mungkin kesilapan wakil rakyat sendiri,” katanya.

Tengku Adnan berkata, bedah siasat juga akan dilakukan bagi mengkaji punca 731 undi rosak walaupun ia menunjukkan penurunan hampir separuh berbanding Pilihan Raya Umum 2008, disamping penurunan jumlah pengundi Melayu.

“Kita sudah membuat bedah siasat awal sebelum ini dan mendapati rakyat bosan dengan provokasi pembangkang yang sering melemparkan dakyah kepada BN. Ini mungkin antara punca mengapa ada sesetengahnya tidak tahu parti yang harus dipilih serta ada yang enggan keluar mengundi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap Tamrin Ghafar, anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba termasuk menggantung keahlian beliau dalam Umno kerana menyertai kempen pembangkang.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno, berkata Umno Bukit Bendera perlu mengadakan mesyuarat agung khas berikutan peletakan jawatan Exco bahagian berkenaan.

Tarikh mesyuarat ditentukan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, pihak pengurusan akan mempertimbangkan tindakan terhadap ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda Umno Shah Alam, Johan Md Diah yang menawarkan diri bertanding sebagai calon bebas di Hulu Selangor tetapi kemudian menarik diri.

KOMEN OSMAN DOL: ....Tndakan keatas Zaid Ibrahim amat perlu demi menghapuskan manusia2 kaki fitnah. Bedahsiasat juga amat penting....kenapa banyak Cina lari BN. BN perlu mengatasinya.

Isnin, 26 April 2010

BN TAWAN SEMULA HULU SELANGOR.....BAHAN DARI UTUSAN MALAYSIA.

BERITA UTAMA

BN tawan semula Hulu Selangor


P. Kamalanathan bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) terdiri daripada Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin, Noh Omar, Shahrizat Abdul Jalil, Dr, Chua Soi Lek dan Dr. Koh Tsu Koon meraikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, semalam.

HULU SELANGOR 25 April – Barisan Nasional (BN) memberikan isyarat awal kebangkitan semula parti itu di Selangor apabila menawan kerusi Parlimen Hulu Selangor berikutan kejayaan calonnya, P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu, hari ini.

Kamalanathan memperoleh 24,997 undi manakala Zaid mendapat 23,272 undi. Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nurhisham Ahmad Dahalan pada pukul 9.20 malam di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru, di sini.

Seramai 49,000 atau 76 peratus daripada 64,500 pemilih berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr.Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G.Palanivel dengan majoriti 198 undi. Kali terakhir BN menguasai kerusi Parlimen tersebut ialah pada tahun 2004 juga melalui Palanivel.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut yang dicapai oleh BN dalam sepuluh pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum 2008.

Turut meraikan kejayaan BN ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di dewan itu kira-kira pukul 9.10 malam, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet dan pemimpin-pemimpin komponen BN.

Berdasarkan kepada keseluruhan undi yang diterima daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di bawah Parlimen Hulu Selangor, dua daripadanya dimenangi oleh BN manakala satu lagi dimenangi oleh PKR.

BN menang di DUN Hulu Bernam dan Batang Kali tetapi tewas di Kuala Kubu Bahru yang pada pilihan raya umum lalu dimenangi oleh BN dengan majoriti 448 undi.

Bagaimanapun terdapat peningkatan ketara di kalangan pengundi Cina yang majoritinya berada di dalam DUN Kuala Kubu Bahru.

Kejayaan BN di Hulu Selangor, selain dilihat sebagai kebangkitan semula BN dalam usahanya merampas kembali pemerintahan di Selangor yang kini berada di bawah pakatan pembangkang yang diketuai oleh PKR, lebih penting daripada itu, pemimpin-pemimpin BN menyifatkan ia isyarat penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Najib dan Muhyiddin.

Sepanjang kempen berlangsung sejak 15 April lalu, kepimpinan BN terus berusaha meyakinkan pengundi-pengundi untuk menerima kembali parti itu di kawasan Parlimen berkenaan melalui penerapan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Kempen pembangkang yang terus memainkan isu syarikat perunding antarabangsa, Apco Worldwide (Apco) ternyata gagal mempengaruhi pengundi yang dilihat lebih mengutamakan isu-isu tempatan dan pembangunan.

KOMEN OSMAN DOL: ALHAMDULILLAH, SYUKUR KEPADA ALLAH SWT, AKU HARAP BN AKAN MENANG DAN TERUS MENANG DI MASA-MASA YANG AKAN DATANG. SEMUA INI ADALAH KETENTUAN ALLAH.

OSMAN DOL

PEMIMPIN-PEMIMPIN YANG HIPOKRIT, KURANG AJAR, SOMBONG DAN HANYA PANDAI MENABUR FITNAH DAN KAKI PEMBOHONG SEPATUTNYA DITOLAK...

TANIAH BN.

Ahad, 25 April 2010

PILIHAN RAYA KECIL HULU KELANG HARI INI.....



HARI ini  24.4.2010 hari mengundi bagi pilihan raya kecil kawasan Hulu Selangor - BN atau PKR yang akan menang. Pengundi2 di Hulu Selangorlah yang akan menentukannya hari ini.

Jentera pilihan raya kedua-dua belah pihak telah bekerja keras untuk memenangi hari rakyat. Macam2 janji yang di taburkan.

Bertuah juga orang2 Hulu Selangor. Semua pihak mendapat sedikit sebanyak habuan dari BN atau PKR. Bagaimanapun rakyat harus bijak memilih. BN atau PKR.

Rakan2 saya meramalkan BN akan menang dalam PR kali ini. Janji BN kata rakan2 saya bukanlah janji kosong, BN sebuah kerajaan dan memang telah banyak berjasa kepada rakyat....

Pemimpin2 atasan pun, BN lebih menyerlah....Najib telah menafikan tomahan mengatakan dia terlibat dengan kes pembunuhan Atantuya....dia berani bersumpah....rakyat dapat menilaikan kejujurannya. Tidak seperti PKR...tak berani bersumpah dan tak berani beri kerjasama dengan polis...

Mengenai dengan calon pula, calon BN P.Kamalanathn mempunyai akhlak yang baik walaupun dia bukan Islam. Dia anak Selangor. Dia nampaknya sentiasa dekat di hati rakyat. Zaid orang Kelantan - akhlaknya amat neragukan....

leh itu berhati-hati pengundi....pilih emas jngan pilih besi.

Harap2 Bn akan berjaya merampas kerusi itu.

Sabtu, 24 April 2010

PILIHLAH PEMIMPIN YANG JUJUR....PETIKAN DARI BERITA HARIAN.


CALON BN DI HULU SELANGOR - P.KAMALANATHAN
Oleh Ibrahim Abdullah

2010/04/24

Nilai kejujuran ibarat mutiara yang indah harus diamalkan dalam diri setiap insan

PEMIMPIN adalah suatu amanah yang harus diserahkan kepada seseorang yang ahli untuk memimpin. Kerana bila kepemimpinan diberikan kepada orang yang bukan ahlinya, akan mengalami kegagalan bahkan kerosakan serta kehancuran yang akan dialaminya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila suatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kehancurannya." (Hadis riwayat al-Bukhari). Merujuk hadis di atas, dapat difahamkan dengan jelas Islam menganjurkan, apabila memilih seorang pemimpin hendaknya harus diketahui kemampuan dan kejujurannya memimpin. Kejujuran sebagai kata lawan daripada kedustaan yang memang mudah untuk diucapkan, tetapi payah untuk dilaksanakan. Nilai kejujuran adalah ibarat mutiara yang indah harus diamalkan dalam diri setiap insan kerana kejujuran akan membawa kedamaian dan rasa aman dalam masyarakat. Ertinya, siapapun yang menjadi pemimpin yang mempunyai sifat jujur akan dapat melahirkan kedamaian dan rasa aman sejahtera.

(DATUK SRI NAJIB TUN RAZAK ADALAH PEMIMPIN YANG DAPAT DITERIMA OLEH SEMUA RAKYAT SEKARANG INI - HARAP2 BELIAU TERUS MENJADI PM NEGARA INI.


Seorang pemimpin yang jujur pasti akan disayangi rakyat, kerana mereka menikmati rasa aman, damai, dan mendapatkan perlindungan daripada penindasan dan penganiayaan.

Sebaliknya pemimpin dusta akan dibenci dan dicemuh oleh rakyatnya, kerana mereka berasa tidak aman daripada penindasan dan ketidakadilan.

Mereka sentiasa menunggu pemimpin itu jatuh daripada kerusi kepemimpinannya.

Antara kriteria pemimpin yang terbaik itu ialah:

Mencintai rakyat dan dicintai rakyat. Seorang pemimpin yang baik akan dicintai oleh rakyatnya disebabkan perilakunya yang baik, bertanggungjawab dengan jabatannya sebagai pemimpin dan ia bekerja gigih dengan mencurahkan segenap tenaga serta fikirannya untuk mendatangkan kemaslahatan terhadap rakyatnya.

Beliau sangat disayangi rakyat sehingga terjalin ikatan kasih sayang antara pemimpin dengan rakyatnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik pemimpin ialah yang kamu sayangi dan sayang pada kamu, dan kamu doakan mereka dan mereka mendoakan kamu.” (Hadis riwayat Muslim).

Seterusnya, pemimpin yang baik itu akan didoakan oleh rakyatnya semoga ia sentiasa dilimpahkan Allah dengan rahmat dan pertolongan-Nya, kesihatan dan kekuatan dalam menjalankan tugasnya sebagai pemimpin yang penuh bertanggungjawab untuk kemaslahatan rakyatnya. Dengan demikian saling mendoakan kebaikan antara pemimpin dan rakyatnya.

Memiliki teladan (uswah hasanah) yang baik. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya sudah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah." (Surah al-Ahzab, ayat 21).

Bersifat istiqamah (konsisten). Jika ada peraturan, undang-undang ditetapkan, maka harus dipatuhi bersama. Peraturan itu harus konsisten di laksanakan. Bagaimana rakyat boleh mematuhi kepada pemimpin atau undang-undang, kalau undang-undang yang dibuatnya itu sering diubah tanpa kompromi atau musyawarah dengan sesuka hatinya oleh yang berkuasa hanya untuk kepentingan kekuasaannya. Pemimpin yang baik selalu melaksanakan kejujuran dan istiqamah dalam melaksanakan peraturan dan undang-undang yang dibuatnya.

KOMEN: GAMBAR2 YANG DISIARKAN HANYA HIASAN SAJA.

Khamis, 22 April 2010

ANWAR BONEKA ISRAEL

BERITA UTAMA

‘Anwar boneka Israel’

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

mohdasron.mustapha@utusan.com.my

HULU SELANGOR 21 April – Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd. Noor berkata, beliau telah mengumpulkan segala bukti mengenai kaitan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin-pemimpin Yahudi.

Beliau berkata, ‘dossier’ (maklumat) itu akan diserahkan kepada ahli-ahli Parlimen esok.

Dakwanya, antara dokumen tersebut ialah surat bertarikh 1 Oktober 2006 yang ditulis oleh Anwar selaku Pengerusi Foundation for the Future kepada Kaunselor Bank Dunia, Robin Cleveland bagi memohon agar teman wanita bekas Presiden Bank Dunia, Paul D. Wolfowitz, iaitu Shaha Ali Riza, dipinjamkan ke yayasan tersebut.

Beliau berkata, surat itu membuktikan Anwar sanggup menjadi boneka kepada Israel demi menutup skandal Wolfowitz walaupun umum mengetahui bekas Presiden Bank Dunia itu merupakan bangsa Yahudi yang bertanggungjawab menjadi arkitek perang Iraq sehingga membunuh ratusan ribu umat Islam di negara tersebut.

‘‘Anwar duduk di Foundation for the Future untuk kepentingan Israel dan Yahudi. Saya cabar Anwar untuk jawab ini,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Kubu Bahru dekat sini.

Ezam mengulas mengenai tindakan pembangkang yang menyerang gagasan 1Malaysia secara konsisten, pada sesi ceramah sempena kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor dengan mendakwa gagasan itu kononnya ditiru daripada konsep One Israel walaupun Apco telah berulang kali menafikan mereka terbabit dalam merangka gagasan dan konsep itu.

Ditanya mengenai kesediaannya untuk menjadi saksi terhadap semua dakwaan itu, Ezam menjelaskan, beliau sedia untuk berbuat demikian.

‘‘Saya sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana mahkamah dan juga Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi menyiasat kenyataan Anwar berhubung gagasan 1Malaysia dan Apco,” katanya.

Ezam turut menyelar sikap hipokrit Anwar yang menuduh kononnya kerajaan bekerjasama dengan Israel, sedangkan pada masa sama beliau pernah menggunakan khidmat syarikat pelobi yang ditunjangi warga Yahudi semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu.

Beliau berkata, Anwar berselindung di sebalik nama kerajaan bagi menjalinkan kerjasama dengan syarikat pelobi iaitu Pusat Polisi Asia Pasifik (APPC), sekitar awal tahun 90-an bagi meningkatkan imejnya di mata dunia sama seperti yang dilakukan oleh syarikat perunding antarabangsa Apco terhadap kerajaan sekarang.

‘‘Semasa menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dahulu beliau sendiri bersekongkol dengan APPC yang diketahui diterajui oleh bangsa Yahudi dan sejumlah besar peruntukan digunakan bagi tujuan tersebut khususnya bagi meningkatkan imejnya.

‘‘Tetapi garis sempadannya, kerjasama dengan Apco menguntungkan kerajaan dan hasilnya telah dapat dilihat terutamanya dalam meningkatkan keyakinan pelabur luar berbanding semasa era beliau dahulu,” katanya.

KOMEN OSMAN DOL:  EZAM DAN ANWAR KAWAN RAPAT SEJAK DULU LAGI. GAYA BERCAKAP EZM PUN MACAM ANWAR JUGA. TIBA-TIBA MEREKA BERPECAH. ESAM MENDEDAHKAN SEGALA-SEGALA TENTANG DIRI ANWAR. SAYA YAKIT BETUL APA YANG DI CAKAP OLEH EZAM ITU.KALAULAH HENDAK DIKATAKAN A EZAM MENDAPAT SESUATU KEPENTINGAN DARI KERAJAAN BARISAN.....MUSTAHIL....EZAM MACAM BIASA SAHAJA NAMPAKNYA....

Selasa, 20 April 2010

PEMIMPIN DIPILIH MESTI LAKSANA AMANAH.....BERITA HARIAN.

Oleh Muhamad Razak Idris
2010/04/20

Pemimpin dipilih mesti laksana amanah kepemimpinan tanpa pilih kasih antara rakyat

DALAM Islam, segala amalan dan perbuatan adalah ibadah apabila dilakukan secara ikhlas untuk memperoleh keredaan Allah dan disempurnakan mengikut aturan atau tatasusila nilai yang mulia.

Menerusi kacamata ini, berpolitik ialah satu bentuk amalan atau perbuatan yang dikategorikan sebagai ibadah jika pembabitannya dilakukan dengan penuh ikhlas dan berakhlak. Kedudukan kegiatan berpolitik dalam struktur nilai ibadah dalam Islam amat tinggi. Kedudukan yang tinggi ini disebabkan kepentingan peranannya menentukan kesejahteraan urus tadbir sesebuah masyarakat. Satu daripada urusan terpenting dalam kegiatan politik ialah fungsinya sebagai saluran atau wahana menentukan tonggak kepimpinan sesebuah masyarakat. Oleh itu, dalam sejarah tamadun Islam, urusan berpolitik dalam konteks memilih dan menetapkan kepemimpinan dalam sesebuah masyarakat perlu didahulukan daripada urusan lain apabila berlaku kekosongan kepemimpinan akibat kematian atau peralihan.

Dalam hal ini, barangkali kita selalu mengikuti perbahasan dalam sejarah awal Islam setelah kewafatan Nabi Muhammad, masyarakat Islam mendahulukan majlis untuk memilih pemimpin baru atau khalifah sebelum baginda dikebumikan. Semangat kepentingan terhadap urusan ini juga dapat dilihat dalam amalan pemerintahan Islam sehingga hari ini.

Kenapakah urusan politik atau tugas memilih pemimpin begitu mustahak dalam kehidupan? Pemimpin adalah keperluan asasi sesebuah masyarakat. Peranan pemimpin amat besar dan tanggungjawabnya berat.

Masyarakat memerlukan pemimpin kerana mereka memerlukan seseorang yang boleh dipercayai bagi memastikan urusan kehidupan seharian seperti hal ehwal keselamatan, sumber makanan dan kebajikan sentiasa terjamin. Adalah menjadi peranan dan tanggungjawab pemimpin, apabila terpilih untuk menjaga segala urusan kehidupan ini secara bijaksana dan amanah.

Oleh itu, dalam beberapa perbahasan mengenai takrif politik, sebahagian sarjana menyatakan politik ialah satu bentuk seni kepemimpinan bagi mengatur dan mengurus percaturan hidup sesebuah masyarakat. Oleh demikian, tugas seorang pemimpin meliputi tanggungjawab mengendalikan seluruh urusan kehidupan masyarakatnya secara hikmah dan berseni bagi memastikan setiap warga mendapat ruang saksama dan berpeluang maju serta bangkit membangun secara berterusan.

Justeru, beberapa perbahasan dalam teks klasik oleh sarjana Muslim berkaitan kepemimpinan, kriteria yang amat ketat diletakkan untuk memilih seseorang pemimpin masyarakat. Sarjana seperti al-Farabi menyatakan, seseorang pemimpin itu perlu memiliki watak mulia dan terpuji, kebijaksanaan yang tinggi, ikhlas dan beramanah selain bertanggungjawab dan memiliki tahap kerohanian berkualiti. Dengan memiliki watak dan ciri kepemimpinan ini, seseorang pemimpin itu akan berupaya membawa masyarakatnya menuju kesejahteraan dan kemakmuran.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk memilih kepemimpinan terbaik yang mampu mengurus tadbir percaturan kemasyarakatan dan kenegaraan secara adil serta saksama.

Di negara ini, proses memilih pemimpin harus melalui kegiatan berpolitik. Sejak merdeka, kita bersepakat menerima sistem demokrasi sebagai cara memilih pemimpin masyarakat dan negara. Menerusi sistem ini, semua orang yang merasakan dirinya layak hendaklah mencalonkan dirinya menerusi sebuah institusi pemilihan yang dikenali sebagai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Seseorang yang ingin mencalonkan diri sebagai pemimpin boleh melakukan sama ada secara individu atau menerusi parti politik berdaftar secara sah. Bagi memperoleh sokongan pula, setiap calon perlu berkempen untuk meraih undi dalam pilihan raya.

Seperti dijelaskan sebelum ini, politik adalah satu bentuk ibadah yang tertinggi daripada perspektif agama. Bagi tujuan memastikan segala amalan menerusi kegiatan politik dinilai sebagai satu bentuk ibadah di sisi agama, kita ingin menganjurkan beberapa tatasusila berikut dipatuhi.

Pertama, hendaklah mengikhlaskan diri kepada Allah iaitu dengan menyedari bahawa pembabitan kita dalam kegiatan politik bertujuan menyempurnakan ibadah kepada-Nya iaitu bagi menjalankan tugas memilih pemimpin terbaik untuk masyarakat dan negara.

Kedua, hendaklah menjaga tatasusila akhlak dan etika dalam berpolitik. Dalam hubungan ini, kita hendaklah mengelakkan daripada terjebak perbuatan bertentangan dengan prinsip akhlak Islam seperti menipu, merasuah, mencerca, mengaibkan, memfitnah dan menjatuhkan maruah orang lain dalam kempen politik sama ada menerusi ucapan mahupun tulisan.

Ketiga, hendaklah menjaga hubungan silaturahim dan ukhwah sesama kita sepanjang berpolitik. Kita jangan bermusuhan sehingga kepada pergaduhan dan menyakiti hati dan perasaan orang lain. Tugas menjaga kesatuan dan perpaduan masyarakat dan Ummah juga adalah satu bentuk ibadah yang tertinggi menurut perspektif agama yang perlu dijaga oleh kita semua.

Keempat, hendaklah berlaku adil dalam memberi ruang yang saksama kepada semua pihak dalam berpolitik. Semua calon perlu diberikan hak mereka dalam menyampaikan hasrat dan cita kepemimpinannya untuk dinilai oleh masyarakat.

Kelima, rakyat hendaklah memilih calon terbaik yang mampu mewakili inspirasi politik yang terbaik untuk negara kita.

Keenam, hendaklah reda dengan keputusan pemilihan yang diputuskan secara bersama oleh seluruh pengundi yang layak dilaksanakan secara telus, adil dan saksama.

Ketujuh, hendaklah bersatu selepas pemilihan dan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada pemimpin terpilih. Pemimpin terpilih hendaklah menjalankan amanah kepemimpinannya tanpa pilih kasih antara rakyat.

Dengan memenuhi tatasusila dan etika politik ini, amalan dan kegiatan politik kita akan terhitung sebagai sebahagian dari nilai ibadah kepada Allah.

KOMEN OSMAN DOL:  KERANA TAMAK DAN KHALOBA, GILA KUASA, GILA GLAMOR MAKA BERLAKULAH PEMBOHONGAN, PENIMPUAN DAN KEZALIMAN...

Isnin, 19 April 2010

HARAPAN PENUMPANG TERUSKAN PERJALANAN MASIH KABUR - PETIKAN DARI BERITA HARIAN.

2010/04/19

LONDON: Letusan gunung berapi yang mengeluarkan debu hitam mungkin melingkari langit Britain selama seminggu lagi, menyebabkan kesukaran kepada penumpang udara.

Harapan bahawa sesetengah penerbangan mungkin dibenarkan beroperasi hujung minggu ini musnah apabila lebih banyak habuk berkumpul di ruang udara negara itu. Malam kelmarin, penutupan ruang udara dilanjutkan sehingga sekurang-kurangnya 1 petang, namun sekatan penerbangan yang menyebabkan penumpang terkandas di seluruh Eropah dijangka berlanjutan seminggu lagi. Malah Perkhidmatan Ambulans Udara terpaksa menghentikan operasi di seluruh Britain kerana bimbang debu tebal akan mengganggu penerbangan.

Pejabat kaji cuaca pula memberi amaran terdapat bukti meningkat habuk itu jatuh ke tanah, yang menambah kebimbangan risiko kesihatan kepada kanak-kanak dan golongan tua.

Permulaan tiga hari huru-hara akibat letusan gunung berapi Eyjafjallajoekuli menyaksikan skala letusan gunung berapi itu semakin hebat dengan gumpalan asap baru dikeluarkan sehingga 9,144 meter ke udara.

Seorang jurucakap P&O Ferries, yang mengangkut 6,000 penumpang kelmarin berkata, ia menerima 400 panggilan setiap 15 minit, bersamaan satu bagi setiap dua saat.

Lembaga Pelabuhan Dover berkata pelabuhan itu menguruskan 63,017 penumpang, 10,833 kereta, 464 bas pesiaran dan 5,497 kenderaan pengangkutan.

Sesetengah pelawat muncul dengan penyelesaian mudah terhadap krisis itu. Ketika ruang kepada penumpang berjalan kaki di atas feri di Dunkirk habis dijual, golongan dewasa berpakaian sut perniagaan dilihat membeli basikal wanita dan kanak-kanak supaya mereka layak untuk mendapat tempat khusus buat penumpang menaiki basikal.

Tom Noble, 52, dari Highgate di utara London, berkata pengendali feri Norfolkline tidak memiliki tiket penumpang berjalan kaki dan hanya membenarkannya naik jika penumpang menaiki basikal.

Ketidaktentuan pengunjung menjadi bertambah buruk dengan demonstrasi kakitangan kereta api di Perancis yang menahan mereka yang bercuti melakukan perjalanan merentasi benua menaiki kereta api.

Ryanair membatalkan semua penerbangan dari dan ke utara Eropah sehingga 1 petang hari ini. – Agensi

KOMEN OSMAN DOL: BERSYUKUR KITA KEPADA ALLAH KERANA NEGARA KITA DILINDUNGI OLEH ALLAH SWT DARI SEGALA BENCANA ALAM...ALHAMDULILLAH.

Ahad, 18 April 2010

Facebook mudah jadi jerat kes tipu....BAHAN BERITA MINGGU .

Oleh Bennie Zie Fauzi

bennie@bharian.com.my

2010/04/18

Pengguna jangan dedah maklumat diri, elak terpedaya kenalan siber

LAMAN web sosial sepatutnya bermatlamat menambah kenalan di samping mudah berhubung serta menghimpunkan sahabat yang dipisahkan oleh kedudukan geografi. Namun, pelbagai salah faham serta kejadian buruk membabitkan laman sosial itu terutama Facebook sejak kebelakangan ini sedikit sebanyak mencalarkan kredibilitinya sebagai wadah penghubung nombor satu dunia. Penipuan, tohmahan dan kata-kata hasutan bertujuan menggugat ketenteraan awam, skandal seks dan perbuatan menjatuhkan imej seseorang antara isi kandungan Facebook yang perlu diberi perhatian dan dinilai semula. Pelayar setia laman web itu yang juga seorang pelajar, Syafika Mohd Ghazi, 20, mengaku taksub dengan Facebook sehingga kerugian kira-kira RM2,000 akibat ditipu kenalan laman web sosial.

“Saya terbaca pengumuman seorang kenalan menawarkan kamera profesional dengan harga sangat murah. Tertarik dengan sebut harga ditawarkan, saya menghubunginya menyatakan minat untuk membeli.

“Namun, seminggu selepas membayar menerusi akaun, kamera berkenaan masih tidak nampak bayang. Saya cuba menghubunginya bagi maklumat lanjut tetapi malang, bukan saja nombor telefon diberikan tidak wujud, malah akaun Facebooknya juga sudah ditutup,” katanya yang menggunakan sebahagian wang simpanan bekerja separuh masa semata-mata mendapatkan kamera berkenaan.

Syafika berkata, kejadian yang berlaku kira-kira lima bulan lalu membuatkan beliau serik membuat pembelian menerusi laman web, selain sukar menaruh kepercayaan kepada sebarang pengumuman dibuat melalui laman itu.

“Sepatutnya kejadian ditipu tidak berlaku kerana orang terbabit ialah ahli kelab fotografi Facebook. Difahamkan, majoriti ahlinya mempunyai ikatan persahabatan kukuh kerana dijalin atas dasar kepercayaan juga berkongsi hobi sama. Tidak sangka pula ada yang mengambil kesempatan memperdayakan orang lain,” katanya yang enggan membuat laporan polis kerana menganggap perkara itu berlaku atas kecuaian peribadi.

Penulis, Mohd Faisal Md Noor, 25, dihujani pelbagai panggilan yang menawarkan pakej pinjaman wang serta pelancongan selepas menghantar resume jawatan wartawan dan pembaca berita TV3 seperti diiklankan di laman Facebook.

Mohd Faisal berkata, pada mulanya beliau musykil kerana resume itu perlu dihantar ke e-mel peribadi, namun dia mengambil keputusan mencuba kerana menyukai bidang kerjaya ditawarkan.

“Selepas tiga hari mengirim resume, saya menerima beberapa panggilan daripada syarikat kewangan. Tidak sedap hati, saya membaca semula iklan jawatan kosong berkenaan namun terkejut dengan komen susulan ditulis bekas kakitangan syarikat televisyen itu menyatakan pihak TV3 tidak pernah menggunakan e-mel peribadi dalam sebarang urusan syarikat.

“Saya syak ada sindiket cuba menjual maklumat peribadi kepada syarikat tertentu dan Facebook antara cara paling mudah, pantas dan berkesan,” ujarnya menceritakan pengalaman diperdaya melalui Facebook dua minggu lalu.

Seorang kakitangan universiti tempatan, Noor Eszreen Juferi, 29, menghadapi dilema melayan mesej atau salam perkenalan daripada individu tidak dikenali selepas berbelas pesanan lucah dihantar ke kotak mesejnya.

“Saya tidak sangka seorang kenalan di Facebook tergamak mengeluarkan kata-kata lucah serta menawarkan perkhidmatan seks percuma kepada saya. Saya akui tidak berapa mengenalinya tetapi sudi berkenalan atas dasar percaya, ditambah individu terbabit turut tersenarai antara barisan kenalan kawan lama saya,” katanya.

Noor Eszreen berkata, biarpun nama lelaki itu sudah dibuang daripada senarai kenalannya, beliau berterusan diganggu. Bahkan, bagi mengelak dikenal pasti, lelaki itu cuba berkomunikasi dengannya menggunakan akaun yang didaftarkan dengan pelbagai nama.

“Selepas memutuskan persahabatan, bertalu-talu mesej perkenalan singgah di Facebook saya. Sungguhpun, menggunakan nama berbeza saya dapat mengecamnya melalui gambar dan lenggok bahasanya. Mujur saya tidak sempat bertukar nombor telefon dengannya, kalau tidak tentu lebih teruk saya diganggu.

“Justeru, saya nasihatkan pengguna Facebook lebih berhati-hati meletakkan butiran peribadi dalam akaun mereka. Begitu juga ketika menyambut salam perkenalan, jangan mudah percayakan gambar dan maklumat diri disertakan kerana semua itu boleh dipalsukan,” katanya.

Mengenai kemunculan awal Facebook, Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Syed Agil Alsagoff, berkata laman web sosial berkenaan diilhamkan McLuhan sekitar 1970 bertujuan mendekatkan talian persahabatan yang dipisahkan jarak tempat.

Begitupun, pada hari ini, Facebook tidak dilihat memberi manfaat sebaliknya dianggap mengancam keselamatan awam. Kenyataan ini dibuat berpandukan beberapa kejadian buruk akhir-akhir ini membabitkan sensitiviti kaum, pencerobohan hak asasi dan ancaman keselamatan negara.

Syed Agil berkata, peralihan fungsi Facebook daripada laman interaktif mengerat dan membina persahabatan baru kepada luahan perasaan serta pandangan peribadi mungkin menjadi penyebab utama kepincangan sosial berlaku.

“Facebook kini boleh disamakan dengan diari siber yang bukan saja mengutarakan luahan perasaan tetapi medan menarik sokongan serta perhatian umum menerusi paparan tulisan. Seperti media berfungsi sebagai ejen pemberi maklumat, Facebook juga boleh mempengaruhi fikiran awam melalui ideologi diterapkan,” katanya.

Meskipun belum mampu menandingi kredibiliti media perdana, Facebook berjaya mengumpul populariti berasaskan hak kebebasan bersuara ditawarkan.

“Facebook menjadi simbol pemangkin mempercepatkan lagi kebebasan bersuara. Sebarang isu dan topik boleh dibangkitkan tetapi menjadi tanggungjawab khalayak pengguna untuk menilai, menyaring seterusnya menentukan maklumat diterima baik atau sebaliknya,” katanya sambil menambah pengaruh Facebook semakin popular berikutan syarikat telekomunikasi dan pengeluar telefon bimbit memuatkan aplikasi itu sebagai daya tarikan utama produk mereka.

“Disebabkan kandungan Facebook bersifat santai, ramai yang leka serta mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Masa lapang yang sepatutnya dikhaskan bagi aktiviti keluarga tidak dimanfaatkan, sebaliknya baik suami mahupun isteri leka melayan sahabat alam maya itu,” katanya.

Gaya bahasa santai di samping isu ringan menjadi topik perbualan mungkin faktor utama Facebook tersenarai laman web paling kerap dilayari sehingga ada yang mengabaikan keselamatan diri serta keluarga.

Justeru, pengguna laman interaktif yang ada ketika ini termasuk Twitter, MySpace dan Friendster dinasihatkan tidak terlalu mendedahkan maklumat peribadi, bijak menyaring isi kandungan baik dan buruk, selain jangan mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan dan iklan yang disiarkan di laman itu.

MACAM-MACAM DI AKHBAR HARI INI......18 APRIL 2010

MINGGUAN MALAYSIA  - ANTARA LAIN:

1).    AZMIN ALI CABAR BN:
BUKTIKAN ZAID KAKI BOTOL.....Setiap tuduhan mesti disokong dengan bukti yang berasas.
KOMEN OSMAN DOL: Susah nak cakap, mungkin fitnah mungkin juga betul. Tak ada angin tak akan pokok bergoyang.

2)    ACIK SPIN MAUT NAHAS JALAN RAYA...
KOMEN OSMAN DOL: Malang tak berbau....

3)    TIADA TEMPAT RUJUKAN PUNCA BUANG BAYI - Mashitah
KOMEN OSMAN DOL: Kempen KAMI PERIHATIN belum begitu meluas.

4.    ISTERI DERITA SUAMI KAHWIN WANITA SEBERANG
KOMEN OSMAN DOL: BETUL JUGALAH MALAYSIA MEMPERKETATKAN SEDIKIT SUAMI INGIN BERKAHWIN LAGI....

Jumaat, 16 April 2010

KORBAN GEMPA CINA MENINGKAT 617 ORANG.....UTUSAN MALAYSIA.

LUAR NEGARA


Bangunan kediaman dan komersial di bandar Jiegu, daerah Yushu di Qinghai, wilayah barat China ranap selepas dilanda gempa bumi kuat, kelmarin. - AP

YUSHU 15 April - Jumlah korban gempa bumi di daerah terpencil dan bergunung-ganang di Yushu, wilayah barat laut China meningkat kepada 617 orang hari ini.

Angka kematian dijangka meningkat kerana mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan rumah, sekolah dan biara di ibu kota daerah, Jiegu (Gyegu dalam bahasa Tibet) menghadapi peluang tipis untuk hidup dalam keadaan suhu di bawah paras beku.

Konvoi trak membawa bekalan bantuan dan khemah kepada mangsa yang menghadapi ancaman cuaca sejuk mula tiba di kawasan tersebut hari ini.

Konvoi bas yang membawa pekerja penyelamat dan trak yang mengangkut makanan dan ubat-ubatan bergerak sepanjang malam mengharungi salji, ribut pasir dan angin kencang di lebuh raya sejauh 1,000 kilometer yang memisahkan Yushu daripada ibu kota Qinghai, Xining.

Khemah-khemah didirikan di sekitar patung seorang pahlawan berkuda di Jiegu, di mana tinggalnya majoriti daripada 100,000 penduduk di kawasan itu.

Sami Buddha menggali runtuhan menggunakan penyodok, sementara askar menghulurkan nasi dan bubur kepada mangsa yang kesejukan.

Stadium sukan kini dijadikan hospital sementara, tetapi masih tidak mencukupi bagi merawat begitu ramai mangsa yang patah tulang dan mengalami kecederaan lain. Berpuluh-puluh penduduk Tibet yang cedera dan trauma terlantar di luar stadium.

Gempa bumi itu berpusat di kawasan pergunungan yang membahagikan wilayah Qinghai dengan Wilayah Autonomi Tibet (TAR).

Dataran Tibet sering digegarkan gempa bumi, walaupun kemalangan jiwa selalunya sedikit kerana tidak ramai penduduk tinggal di sana.

Hampir 10,000 penduduk cedera dalam gempa bumi semalam, 1,000 daripada mereka parah, sementara beratus-ratus lagi penduduk belum diketahui nasib mereka. - Reuters

KOMEN: SETINGGI-TINGGI KESYUKURAN KEPADA ALLAH NEGARA KITA TERHINDAR DARI BENCANA ALAM SEPERTI ITU. MUNGKIN NEGARA KITA MASIH BANYAK LAGI ULAMAK-ULAMAK YANG HEBAT,MUNGKIN PEMIMPIN-PEMIMPIN KITA SELAMA INI ADALAH PEMINPIN YANG JUJUR DAN IKHLAS....

Khamis, 15 April 2010

KANAK-KANAK DIDERA BAPA TIRI MENINGGAL - DARI BERITA HARIAN.

Oleh Suhana Roslan

suhanaroslan@bharian.com.my

2010/04/15

sebelum - selepas


JasmineSERI KEMBANGAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati disyaki didera bapa tirinya dengan lebih 30 kesan lebam dan cedera ditemui di badan serta kepala mangsa.

Lee Swee Hui, dari Pangsapuri Bayu, Taman Bukit Serdang di sini, dipercayai didera lelaki berusia 27 tahun itu selepas tidak tahan dengan kerenah mangsa yang dikatakan suka menjerit dan menangis serta agresif, termasuk melompat dari meja makan atau kerusi apabila ditegur. Lee atau panggilan manjanya, Jasmine, dibawa ke Poliklinik Komuniti Seri Kembangan di sini pada jam 7.45 pagi semalam oleh bapa tirinya itu yang juga seorang penganggur, tetapi disahkan sudah meninggal dunia dua jam sebelum itu. Timbalan Ketua Polis, Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin, berkata kanak-kanak itu dipercayai didera seminggu lalu berdasarkan kesan lebam pada badannya.

Bagaimanapun, katanya, siasatan awal mendapati tiada kesan penderaan seksual ke atas kanak-kanak itu.

Pada sidang akhbarnya semalam, beliau berkata, lelaki itu ditahan di klinik berkenaan sebaik menerima laporan mengenai kes berkenaan, manakala isterinya berusia 24 tahun diberkas pada jam 12.45 tengah hari di pangsapuri yang disewa pasangan terbabit sejak setahun lalu.

“Kanak-kanak itu tinggal bersama pasangan berkenaan di rumah sewa itu selepas dia dijaga selama dua tahun oleh seorang pengasuh.

“Pasangan itu turut dikurniakan seorang anak lelaki berusia tiga bulan dan kini dijaga adik wanita itu,” katanya.

Khaw berkata, mayat Lee dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kes itu adalah yang ketiga membabitkan kanak-kanak mati didera dalam dua bulan lalu. Pada 25 Februari lalu, Syafia Humairah Sahari, juga tiga tahun, meninggal dunia dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali.

Seminggu selepas itu, K Haresvarren, 18 bulan, meninggal dunia juga akibat didera dipercayai oleh suami pengasuhnya di Kayu Ara, Damansara dekat sini.

Sementara itu, seorang penghuni pangsapuri itu, Samsul Madi, 30, berkata beliau sering mendengar kanak-kanak menangis pada waktu malam dan awal pagi, tetapi tidak pasti dari rumah mana.

"Boleh dikatakan setiap hari saya dengar kanak-kanak menangis dan suara perempuan marah-marah," katanya.

Seorang jiran yang enggan namanya disiarkan pula berkata setiap kali melalui hadapan rumah pasangan itu, beliau sering mendengar suara kanak-kanak menangis.

“Saya tidak kenal Lee, tetapi setiap kali melintas di hadapan rumahnya untuk ke kedai, saya sering dengar tangisan kuat sampai teresak-esak, tapi saya tidak syak apa-apa, biasalah budak menangis,” katanya.

KOMEN: HARAP2 BAPA TIRI ITU DIHUKUM GANTUNG SAMPAI MATI.

Rabu, 14 April 2010

KUBUR ZAMAN ROME DITEMUI.....BAHAN DARI UTUSAN MALAYSIA.

LUAR NEGARA

14 kubur zaman Rome ditemui


AHLI-ahli arkeologi Mesir menggali dan menarik keluar mumia setinggi satu meter yang diperbuat daripada plaster sarcophagus yang memaparkan wajah wanita bermata besar dan berpakaian jubah yang ditemui di Oasis Bahariya, kira-kira 300 kilometer ke barat daya Kaherah, Mesir, baru-baru ini. – AP

KAHERAH 13 April – Ahli-ahli arkeologi Mesir yang menjalankan kerja-kerja menggali di sebuah lokasi yang dirancang untuk dibina pusat kegiatan belia menemui 14 kubur purba kurun ketiga sebelum Masihi termasuk satu mumia perempuan yang dihiasi dengan barangan kemas.

‘Kubur era Yunani-Rome di Oasis Bahariya, kira-kira 300 kilometer ke barat daya kota ini dijumpai ketika penerokaan menunjukkan ia mungkin merupakan sebahagian daripada tanah perkuburan yang lebih besar,’’ kata Kementerian Kebudayaan Mesir dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mumia setinggi 97 sentimeter itu ditemui dalam sebuah keranda batu dengan plaster berwarna dan barangan kemas berada di dalamnya.

Ahli-ahli arkeologi yang menggali tempat itu sebelum pembinaan sebuah pusat belia turut menemui beberapa artifak lain. Kawasan berkenaan kini diletakkan di bawah pengawasan pihak berkuasa antikuiti Mesir.

‘‘Siasatan awal mendedahkan empat topeng antropoid dibuat daripada plaster, satu kepingan emas yang dihiasi dengan ukiran empat anak lelaki Horus, satu koleksi syiling dan bekas yang diperbuat daripada kaca dan tanah liat,’’ kata Ketua Ahli Arkeologi Mesir, Zahi Hawass dalam kenyataan tersebut.

Empat anak Horus iaitu Imsety, Duamutef, Hapi dan Qebehsenuef merupakan dewa zaman silam Mesir. Ukiran tersebut menunjukkan pengaruh agama kuno Mesir dalam era Yunani-Rome.

Dewa-dewa berkenaan dipercayai bertindak sebagai pelindung perut, usus dan paru-paru mumia terlibat.

Oasis Bahariya digelar sebagai Lembah Mumia Emas Mesir di mana sejumlah 17 kubur dengan 254 mumia dijumpai pada 1996. – AFP

KOMEN: BERIBU-RIBU TAHUN LAMANYA - MAYAT ITU TIDAK REPUT LAGI.....SALAH SATU TANDA KEBESARAN ALLAH SWT.

Selasa, 13 April 2010

SUAMI SIMBAH ASID KENA 6 TAHUN 2 SEBATAN - BAHAN BERITA HARAIAN.

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

irwansha@bharian.com.my

2010/04/13

Supian Hani IsmailKUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan terhadap seorang penganggur selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyimbah cuka getah terhadap isterinya apabila keinginannya untuk melakukan hubungan seks ditolak.

Ketika menjatuhkan hukuman itu terhadap Supian Hani Ismail, 47, Hakim Irwan Suainbon menegaskan mahkamah memandang serius kesalahan dilakukan tertuduh yang sepatutnya melindungi isterinya. Irwan memerintahkan hukuman penjara dilaksanakan bermula hari ini. Supian Hani didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap isterinya, Zarina Wahab, 43, menggunakan cuka getah di sebuah rumah bernombor 67, Felda Bukit Sagu 2, antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 2 pagi, Rabu lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu, Supian Hani yang tidak diwakili peguam, memohon dikenakan hukuman ringan tetapi Timbalan Pendakwa Raya, Heng Yen Loo meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana tindakan tertuduh tidak berperikemanusiaan serta menyebabkan kecederaan kekal terhadap isterinya.

"Mahkamah perlu mengambil kira kesakitan dan kesedihan dialami mangsa, selain maruah dan harga dirinya selepas kes ini mendapat liputan meluas media.

"Rumah tangga dibina sepatutnya menjadi tempat berlindung, bukan penganiayaan yang amat dahsyat. Pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat demi kepentingan awam.

"Pendakwaan juga memohon hukuman sebat dikenakan terhadap tertuduh supaya dapat memberi mesej mahkamah memandang berat kesalahan dilakukan," katanya.

Mengikut fakta kes, kira-kira jam 12.30 tengah malam Rabu lalu, tertuduh pulang ke rumah sebelum memasuki bilik dan melihat isterinya memegang telefon bimbit.

Ketika ditanya, mangsa memaklumkan menghantar SMS kepada anaknya dikenali sebagai 'Kamarul'.

Bagaimanapun, tertuduh cuba merampas telefon itu, tetapi tidak dibenarkan mangsa sebelum dia beredar dari bilik dan kemudian masuk semula lalu mengajak mangsa melakukan hubungan seks, tetapi permintaannya ditolak.

Supian Hani kemudian keluar dari bilik tidur sebelum masuk semula bersama parang dan cuba menetak telefon bimbit terbabit dan pada masa sama, mangsa yang cuba mengambil telefon bimbitnya yang terjatuh, disimbah cuka getah oleh suaminya itu.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dan disahkan mengalami lapan peratus melecur membabitkan bahagian kiri muka, dada, bahu, leher dan lengan.

Tertuduh menyerah diri di Balai Polis Panching dekat sini, kira-kira jam 4.45 pagi hari kejadian.

OSMAN DOL: Hari ini aku tertarik untuk memaparkan kisah SEEKOR syaitan yang menyiram asid kepada isterinya. Ada banyak syaitan yang seumpama ini. Pendera-pendera isteri, suami, anak-anak kecil, perogol, pembuang anak.....semua itu adalah SYAITAN. "YA ALLAH YA TUHAN KAMI JAUHKANLAH DIRI KAMI DARI SYAITAN-SYAITAN ITU...."

Ahad, 11 April 2010

SERONOKNYA MENJADI RAKAN FACEBOOK...

OSMAN DOL

AKU baharu sahaja berkecimpung dalam dunia facebook ini  (fb), baharu hanya beberapa hari sahaja. Mungkin belum sebulan lagi agaknya. Banyak lagi tentang fb ini yang belum aku ketahui dan aku cuba untuk mengetahuinya sebanyak mana yang boleh.

Anak-anak aku dah bijak betul dengan fb ini. Merekalah yang mengajar aku main fb ini. Sedasngkan ada diatara mereka yang dah jemu dah.Tapi aku yang sudah berusia 66 tahun ini sedang asyik menggilainya.

Sebenarnya memang melekakan juga fb ini. Macam-macam yang boleh kita lakukan di situ. Aku berterima kasih juga dengan fb kerana aku dapat merapatkan siraturrahimku dengan beberapa rakan yang telah lama tidak ku temui - seperti Norhisham Mustaffa, Dr. Radzuan Ibrahim, Che Azmi Bidin, Tahrim Salleh, Latip Talib dan ada beberapa orang lagi. Dan ada juga rakan penulis yang belum bersua muka denganku seperti Puan Sri Diah, Darma Muhammad, Ariff Muhmmad dan lain-lain. Alhamdulillah.

Aku juga mendapat ramai kawan2 baru. Antaranya yang selalu berhubung dengan aku ialah TUAH ATAN seorang peguam. Dia seorang insan OKU  yang gigih dan  tidak mengenal erti jemu dan bosan. Dia HEBAT.

Sebenarnya macam-macam yang boleh kita tuliskan dalam fb itu. Aku dan beberapa rakan yang lain minat menulkis tentang agama. Berdakwah melalui fb. Mendidik remaja2 kita supaya jauhkan diri dari dadah, rempit, bohsia dan lain2. Tetapi ada juga yang minat menulis cinta, kasih, sayang sambil pujuk memujuk dan rayu merayu.

Aku tertarik dengan seorang wanita yang bernama ct (biar itu saja yang kusebutkan) yang pasti dia seorang guru, sekarang mengajar di Keluang dan berasal edari Pulai Chondong, Kelantan. Itu katanya ketika bersimbang dengan aku di dinding fbnya.

Pada gambarnya dia memang cantik. Kletah bercakap. Manja lagi. Pandai pula melayan setiap orang yang ingin berinteraksi dengannya. Sesiapa pun dia layan dengan baik.

Yang menariknya, hari 2 dia bertukar wajah. Kalau dia sedih, dikeluarkan gambar sedihnya. Kalau dia marah, gambar marahnya dikeluarkan. Kalau biasa saja dia akan terSENYUM panjang. Dia memang jelita yang dapat memikat rakan-rakan fbnya.

Benarkah dia masih solo? Adakah dia sengaja ingin mencari publisiti begitu padahal dia sudah bertunang atau menjadi iseri orang. Wallahualam.

Aku memang minat berinteraksi dengannya. Bercakap secara gurau-guraulah. Tak disangka2 ada pula orang yang cemburu. Dia menulis melalui pesanan, Osman telah berkahwin. Teperanjat aku. Takkanlah umur dah macam ini tak kahwin lagi. Lagipun kami tak pernah sentuh tentang kahwin dan sebagainya. Cinta pun tak pernah cakap. Siapalah agaknya yang punya kerja itu?

Tapi aku puji dia. Dia memang padai berinteraksi secara bergurau. Teruskan CT.

Sabtu, 10 April 2010

AZEAN TIDAK WAJAR CURIGAI POLIS....BAHAN BERITA HARIAN.

2010/04/10

PELAKON Azean Irdawaty minta campur tangan Menteri Dalam Negeri menyelesaikan kes anaknya, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 32, yang kini ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Azean berkata, beliau tidak berpuas hati selagi tidak mendengar penjelasan berhubung kes itu daripada Datuk Seri Hishammuddin Hussein, malah akan terus menyalahkan polis. Sebagai ibu, saya memahami hati dan perasaan Azean. Namun kita yang lebih dewasa daripada anak harus berfikir secara mendalam benar atau tidakkah anak itu melakukan perkara seburuk ini atau anak terpedaya atau diperdayakan? Dengan ‘menuduh’ polis ada agenda tersendiri, saya rasa ia sangat keterlaluan terutama daripada seniwati yang sangat dihormati dalam industri hiburan. Lihat di akhbar, apakah Benjy artis pertama ditangkap kerana dadah, syabu dan pelbagai pil khayal?

Mungkin jika benar tuduhan ke atas Benjy dia mempelajari cara memproses bahan terlarang menerusi internet, mungkin dia artis pertama ditangkap yang bukan saja menjual atau mengedar, malah memproses sendiri bahan berkenaan.

Azean tentu faham, selama ini sudah berapa ramai artis, orang biasa dan anak orang kenamaan ditangkap kerana kesalahan seperti ini?

Jika ia berlaku kepada anak orang lain, kita tidak kisah dan menyokong polis, tetapi apabila terkena pada anak sendiri, lain pula cara kita membicarakannya. Saya faham Azean tidak dapat menerima kenyataan ini, namun menuduh dan meminta Menteri Dalam Negeri untuk menyelesaikan kes anaknya itu, saya rasa agak keterlaluan.

Tidak ada maknanya polis menjalankan tugas dan kemudian sesuka hati pihak ibu bapa meminta Menteri Dalam Negeri campur tangan dalam urusan sebegini dan mengatakan polis sudah menjalankan tugas mereka dengan cuai.

Ya benar, ada banyak kes polis melakukan kecuaian, namun selepas mengadakan sidang akhbar dan sebagainya, saya rasa pihak berkuasa tidak melakukan kecuaian seperti dituduh Azean.

Cara mereka menangkap kembali Benjy selepas membayar jaminan juga berlaku pada orang atau tahanan lain, tidak pernah pun kita mempersoalkan tindakan mereka selama ini?

Pada pandangan saya, polis sudah menjalankan tugas dengan baik dan hanya kerana Benjy artis, adakah pihak polis harus melakukannya dengan cara berlainan?

PEMINAT AZEAN,

Sweden.

KOMEN: Terima kasih PEMEINAT AZEAN....Anda faham tentang tugas polis. Harap2 dapat mencelikkan mata orang-orang yang membaca pandangan kamu ini. Semoga Allah memberkati kamu.

Jumaat, 9 April 2010

BENJY CABAR POLIS - BAHAN DARI BERITA HARIAN.9.4.2010.

AZEAN bersama Amer Hamzah hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.Pelakon failkan permohonan isytihar penahanan semula tak sah

KUALA LUMPUR: Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy semalam memfailkan permohonan writ habeas corpus bagi mencabar penahanan semulanya mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, dua minggu lalu. Permohonan itu difailkan peguam Amer Hamzah Arshad di Bahagian Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada jam 12.15 tengah hari. Ibunya, seniwati Azean Irdawaty turut hadir. Melalui notis usul dan afidavit yang diikrarkan dalam permohonan itu, Benjy menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Benjy, 31, memohon perisytiharan penahanannya mengikut akta itu pada 25 Mac lalu tidak sah, salah dan berniat jahat. Sehubungan itu, pelakon berkenaan memohon perintah mahkamah supaya dia dibebaskan dengan serta-merta dan tidak ditahan semula.

Selain notis usul dan afidavit berkenaan, Ameer Hamzah turut memfailkan perakuan segera bagi membolehkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan anak guamnya secepat mungkin.

Benjy ditahan semula tidak sampai dua jam selepas dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Majistret di sini pada 25 Mac lalu selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki dadah methamphetamine seberat 0.24 gram.

Dia ditahan oleh dua anggota polis pada jam 2.50 petang sejurus ibunya membayar ikat jamin RM2,000 di bahagian luar pejabat kaunter pembayaran jamin, Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Sementara itu, Azean ketika ditemui pemberita enggan mengulas berhubung kes Benjy, sebaliknya berkata: “Kepada mereka yang menganiaya anak saya, sampaikan salam saya kepada ibu anda,”

Terdahulu, Azean berkesempatan bertemu Benjy apabila tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret bagi sebutan semula kes berhubung tuduhan memiliki 0.24 gram dadah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada prosiding itu, Majistret Hafizza Sauni juga membenarkan permohonan Amer Hamzah untuk bertemu Benjy selepas beliau memaklumkan tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada polis.

Amer Hamzah berkata, sejak Benjy ditahan semula beliau hanya berpeluang bertemu anak guamnya sekali saja pada 5 April lalu dan hanya dibenarkan berjumpa selama 10 minit.

“Setiap individu mempunyai hak di sisi undang-undang untuk diwakili peguam dan penahanan semula Benjy selepas diikat jamin, jelas menunjukkan polis tidak mematuhi undang-undang serta lebih kepada perbuatan menghina mahkamah.

“Sejak Benjy ditahan, kami sudah menulis surat kepada polis untuk memohon kebenaran supaya tertuduh dibenarkan berjumpa peguam bagi tujuan persediaan kes ini, namun tiada maklum balas yang diterima,” katanya.

Amer Hamzah berkata, mahkamah perlu membenarkan beliau dan keluarga Benjy menemui tertuduh bagi menasihatinya berhubung prosiding kes itu dan mendapatkan arahan selanjutnya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurmadiana Mamat bagaimanapun berkata, tindakan polis menahan semula Benjy adalah mengikut prosedur.

“Kes tahan semula biasa berlaku jika polis mendapat maklumat baru, malah polis juga sudah memberi penjelasan mengapa Benjy ditahan semula dan disebabkan itu saya menegaskan polis berada di landasan yang betul,” katanya.

Nurmadiana berkata, isu peguam Benjy tidak dapat bertemu tertuduh juga tidak timbul kerana prosiding semalam membabitkan kes pemilikan dadah, bukan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).

Hafizza kemudian membenarkan Amer Hamzah bertemu Benjy dan menangguhkan prosiding selama setengah jam.

Selepas pertemuan itu, Benjy yang pada awalnya memakai baju lokap polis, menukar pakaiannya kepada kemeja hitam dan Azean yang duduk di galeri awam menunjukkan isyarat tangan menandakan bagus terhadap anak lelaki tunggalnya itu.

Hafizza menetapkan 12 Mei untuk sebutan semula kes itu dan membenarkan permohonan Amer Hamzah untuk mengemukakan representasi kepada pihak pendakwa supaya tuduhan dikaji semula.

Komen Anda: Banyak orang tak faham kerja polis ini. Saya sendiri telah berkhidmat dalam PDRM lebih dari 30 tahun lamanya - saya tak nampak lagi polis boleh mengkhianati sesiapa yang ditangkap sama ada sebagai 'ORANG KENA TUDUH', 'ORANG DISYAKI' ATAU SEBAGAI SAKSI'. Allah yang lebih mengetahuinya.

Khamis, 8 April 2010

AZIZ M.OSMAN BERTEMU JODOH GADIS 21 TAHUN.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

muzlina.bakar@utusan.com.my

Aziz M. Osman memberikan pos istimewa bersama Puteri Lily, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 7 April – Kegagalan dalam perkahwinan terdahulu, tidak pernah membuatkan Aziz M. Osman serik mencari cinta baru.

Selepas perkahwinan ketiganya dengan seorang guru agama berakhir dengan kontroversi, pengarah berusia 48 tahun ini bakal bertemu jodoh pula dengan gadis 21 tahun.

Aziz bakal menamatkan zaman duda dengan Puteri Sarbainun Lokman atau Puteri Lily pada Jun depan.

Sebelum itu, pasangan berkenaan akan mengikat tali pertunangan pada 18 April ini.

“Biarpun bakal isteri saya muda setahun daripada anak sulung saya, Puteri Nurul Fateha, namun dia sangat matang dalam banyak aspek.

“Saya sangat bersyukur dan gembira kerana dia (Puteri Lily) boleh menerima bukan saja saya tetapi juga anak saya seramai enam orang,” katanya.

Pada pertemuan eksklusif dengan Utusan Malaysia, Aziz turut memberitahu, pada awalnya hasrat beliau untuk berkahwin kali keempat ditentang oleh ibunya, seniwati Afida Es.

Menurut Aziz, ibunya menentang keputusannya itu kerana bimbang bakal menantunya tidak dapat menerima kehadiran cucu-cucunya.

“Saya faham perasaan bonda (panggilan buat ibunya) yang sangat mengambil berat tentang saya dan juga cucu-cucunya.

“Mujur tidak lama selepas itu, bonda dapat menerima hakikat yang saya dan Puteri Lily saling menyayangi antara satu sama lain,” kata Aziz lagi.

(BAHAN DARI UTUSAN MALAYSIA)

Selasa, 6 April 2010

PERBEZAAN MUJTAHID BUKAN UNTUK BERPECAH-BELAH.- DARI BERITA HARIAN.

Gambar hanya untuk hiasan sahaja.
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
2010/04/06

Taklid mazhab penyelesaian terbaik rungkai masalah ummah mengikut peredaran zaman

PEMIKIRAN anti mazhab dibawa ulama modenis-reformis menyebabkan timbulnya kesangsian terhadap ilmuwan silam termasuk ulama sejati yang dikatakan seolah-olah membekukan daya cipta masyarakat Islam dan fahaman taklid dituduh membantutkan akal serta pemikiran masyarakat Islam.

Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Sani Badron, berkata kelompok itu bercita-cita mendirikan jaringan aliran baru berdasarkan fahaman sendiri yang merujuk terus kepada al-Quran dan al-Sunnah. Katanya, usaha mereka itu berlawanan aliran lama yang bertaklid kepada mujtahid mazhab yang berusaha menangani masalah besar terkandung dalam risalah Nabi Muhamad SAW sebagai rahmat membawa manfaat untuk manusia seluruhnya. “Apa yang cuba dibawakan mereka adalah mempersoalkan perkara remeh yang dijadikan masalah besar dan tindakan itu amat memalukan apabila masyarakat melihat golongan agama hanya membahaskan, tidak membaca qunut atau talkin.

“Imam mujtahid seperti Abu Hanifah, Malik, Ibn Hanbal dan Al-Syafi’e memainkan peranan menyelesaikan persoalan yang timbul dalam perhubungan orang Islam pelbagai kaum dan antara orang Islam dengan bukan Islam,” katanya pada Muzakarah Pakar Adab Terhadap Mazhab: Masalah dan Penyelesaian anjuran IKIM.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Puak Anti Mazhab: Beberapa Pengamatan’ berkata tindakan memperbesarkan perkara kecil menyebabkan masalah besar yang benar-benar membelenggu ummah gagal ditangani.

Selain itu katanya, kebelakangan ini banyak pihak suka mengeluarkan pandangan peribadi memberi hukum berasaskan hawa nafsu dan lebih teruk apabila dikelirukan isu popular seperti kepentingan hak asasi manusia atau kebebasan bersuara.

Mohd Sani berkata, Islam tidak menentang perbezaan pendapat dengan syarat ia bukan mengikut hawa nafsu tetapi merujuk kepada sumber sama, cuma berbeza dari segi pendekatan sudut pandangan.

Antara mazhab katanya, perbezaan pandangan bukan dengan menambah perkara baru tetapi pada cara memahami, mengesahkan nas serta menetapkan hukum daripada makna terkandung dalam nas yang sama.

Malah, pandangan pertama tidak bertentangan dengan pandangan kedua tetapi digarap untuk menjawab dua perkara berbeza bukan disebabkan hukum berbeza, sebaliknya zaman atau perkembangan semasa yang berlainan.

“Perpaduan umat terjamin apabila ada kesatuan pemikiran iaitu faham bahawa dua orang mujtahid boleh berbeza kesimpulan dalam pelbagai masalah dan kedua-dua kesimpulan adalah fiqh yang sah,” katanya.

Mohd Sani berkata, hala tuju golongan agama terdiri daripada imam mujtahid adalah jelas kerana 60 peratus daripada ratusan ribu huraian isu syariah meliputi keperluan awam serta negara, perundangan syariah dan muamalah.

Contohnya, apabila Imam Abu Yusuf mengarang kitab al-Kharaj, beliau memberi panduan kepada Khalifah Harun al-Rashid mengenai hasil pendapatan negara termasuk mengenai pembahagian tanah berdasarkan nilai dan produktivitinya, perbezaan kadar hasil, perbezaan status petani yang dihurai secara menyeluruh dengan undang-undang sangat tersusun.

Katanya, imam mujtahid memberi jawapan yang memuaskan bukan hanya kepada soal bacaan Yasin malam Jumaat dan bilangan rakaat solat tarawih tetapi bagaimana untuk menyatukan umat Islam dalam mendepani undang-undang dan tatacara asing dalam urusan pentadbiran masyarakat.

“Wawasan mereka adalah mewujudkan garis panduan asas yang boleh diguna pakai dalam mendepani tahap perkembangan masyarakat dan kemajuan akal manusia. Mereka memahami kehidupan sentiasa berjalan akan menimbulkan banyak perubahan yang perlu ditangani ijtihad bersandarkan al-Quran dan al-Sunnah,” katanya.

Katanya, menyempitkan konsep ilmu menyebabkan ulama sibuk bertengkar serta memeningkan kepala mengenai perkara kecil yang menimbulkan perselisihan sia-sia dan tidak menguntungkan ummah.

Sepatutnya, isi kandungan al-Quran, al-Sunnah dan khazanah ilmu huraian imam mujtahid dimanfaatkan dalam mengenal pasti permasalahan sebenar dan mencari penyelesaian untuk diterjemahkan dalam polisi negara demi kepentingan masyarakat.

Itulah sepatutnya usaha golongan agama yang tidak henti-henti meningkatkan sumbangan kepada pembangunan ummah melalui pencarian hukum penyelesaian terbaik dan perundangan alternatif hingga wujud keseimbangan ilmu dunia, sains dengan nilai kehidupan.

Mohd Sani berkata, mazhab menyediakan untuk umat Islam ribuan jawapan yang betul berasaskan ilmu kepada soalan bagaimana mentaati Allah secara terperinci selain memutus serta menghurai perintah al-Quran dan sunnah mengikut kes demi kes.

Bagaimanapun katanya, dalam konteks bertaqlid hendaklah berasaskan ilmu bukan secara membuta tuli seperti anak guam mengikut peguam, ahli perniagaan mengikut akauntan dan pesakit mengikut nasihat doktor.

“Mazhab bukan hasil kerja seorang mujtahid tetapi himpunan sarjana yang meneliti syariah melalui pembahagian tugas dan pengkhususan dalam jangka waktu panjang bagi menghasilkan karya perundangan lebih baik untuk menawarkan Islam sebagai sistem hidup yang padu,” katanya.

Sementara itu, Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa (ISTAC), Dr Uthman El Muhammady, berkata amalan bermazhab adalah jalan beragama bagi yang bukan mujtahid seperti bidang kehidupan lain iaitu mereka mampu memimpin menjadi pemimpin sementara yang tidak mampu termasuk golongan dipimpin.

Namun, dalam kehidupan bermazhab hendaklah memahami adabnya antaranya menghormati perbezaan pendapat yang berlaku supaya menjadi rahmat yang memberi kebaikan kepada semua bukan menimbulkan masalah.

“Manusia ada yang mempunyai kelebihan ilmu dan ada yang tidak. Maka yang mempunyai kelebihan ilmu serta akal, memimpin mereka yang lain dalam hal kehidupan termasuk perkara agama yang menyentuh hidup abadi,” katanya.

Ahad, 4 April 2010

KIT SIANG TIDAK HORMATI INSTITUSI RAJA - SHAFIE,

(BAHAN DARI UTUSAN MLAYSIA)

Kit Siang tidak hormati institusi raja - Shafie

BANGI 3 April - Tindakan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang pada Khamis lalu mendesak supaya usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dipinda adalah perbuatan yang tidak menghormati institusi raja di negara ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang kesal dengan kelakuan Penasihat DAP itu berkata, sepanjang beliau menjadi ahli Parlimen selama empat penggal, ini adalah kali pertama perkara itu berlaku.

''Saya amat kesal dengan perlakuan seperti ini dan berharap rakyat dapat melihat budaya yang diamalkan pembangkang yang jika diteruskan akan menghancurkan nama baik Dewan Rakyat dan ahli-ahli Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Skuad Cari Seramai Ahli dan Kembara Daftar Pemilih Pergerakan Puteri UMNO di sini hari ini.

Khamis lalu, ahli-ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan beramai-ramai selepas tamat sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Tindakan itu sebagai tanda protes terhadap keputusan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jafaar yang menolak usul dibawa Kit Siang supaya usul menjunjung kasih dipinda.

Kit Siang mahu pindaan dibuat bagi dimasukkan ungkapan bagi menubuhkan satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai peta hala tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) 1Malaysia.

Wan Junaidi menolak usul Kit Siang itu dengan alasan cadangan pindaan berkenaan tidak berkaitan dengan usul menjunjung kasih.

Mohd. Shafie yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau turut kesal dengan tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang itu keluar Dewan selepas Wan Junaidi menolak usul Kit Siang.

''Nampaknya pembangkang bukan sahaja bertindak keluar Dewan ketika perbahasan bajet malah kini ketika penggulungan usul menjunjung kasih.

''Seharusnya perkara seperti ini tidak berlaku kerana kita hendaklah menghormati Yang di-Pertuan Agong yang telah berkenan hadir untuk merasmikan sidang Dewan," ujarnya.

OSMAN DOL: KITA FIKIRLAH SENDIRI.

SUARA KEADILAN MINTA MAAF KEPADA ZAMBRY

(BAHAN DARI UTUSAN MALAYSIA)

Suara Keadilan minta maaf pada Zambry

LUMUT 3 April - Lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan akhirnya memohon maaf kerana menyiarkan artikel memfitnah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dihalang memasuki Amerika Syarikat kononnya namanya tersenarai dalam pangkalan data pengganas antarabangsa.

Permohonan maaf itu dinyatakan dalam edisi terbaru akhbar tersebut keluaran bertarikh 30 Mac hingga 6 April.

Bagaimanapun, Zambry ketika mengulas perkara itu menegaskan, tidak mudah untuk beliau memaafkan Suara Keadilan di atas perbuatan tidak bertanggungjawab mereka.

''Saya difahamkan Suara Keadilan sudah mohon maaf dalam edisi terbarunya dan mahu menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.

''Saya akan lihat dahulu dan maklumkan kepada peguam apa tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Juara Rakyat dan Jamuan Rakyat di Batu 15,

Lekir, Manjung, dekat sini hari ini.

Beliau mengulas permohonan maaf oleh Suara Keadilan dalam edisi terbaru keluaran 30 Mac hingga 6 April kerana memfitnahnya melalui artikel bertajuk Zambry Disyaki Pengganas - Gagal Masuk Ke Amerika Syarikat yang diterbitkan bagi edisi bertarikh 29 Disember 2009 hingga 5 Januari 2010.

Ekoran itu, Zambry memfailkan saman RM100 juta terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan tiga lagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Februari lalu.

Zambry mengambil keputusan tersebut setelah akhbar berkenaan yang diberi peluang memohon maaf, enggan berbuat demikian.

''Saya pernah beri mereka peluang untuk meminta maaf sebelum ini tetapi dengan angkuhnya enggan mengakui kesilapan dan mahu kes tersebut diselesaikan di mahkamah," kata Zambry.

Dalam pada itu, Zambry juga melahirkan rasa kesalnya dengan tindakan dua wakil rakyat bukan Islam dari pakatan pembangkang mengedarkan risalah politik di Masjid Sungai Rokam, Ipoh ketika umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat semalam.

''Saya berada di situ dan saya beritahu tidak elok buat begitu ketika orang Islam sedang solat tetapi mereka kata mereka buat lepas solat dan di kawasan perkarangan masjid.

''Jika mereka rasa tindakan itu betul sebab mereka pun bersama orang Islam pada masa itu, biarlah masyarakat Islam menilai sendiri perbuatan mereka itu," katanya.

Sementara itu, Zambry memberitahu, beliau amat berpuas hati dengan sambutan baik terhadap program Juara Rakyat hari ini dengan kehadiran ribuan pengunjung seawal pukul 8.30 pagi lagi.

OSMAN DOL: BUKTI PEMBAKANG KAKI FITNAH DAN PEMBOHONG.

Jumaat, 2 April 2010

KANAK-KANAK 4 TAHUN MEROKOK

2 April 2010
Gambar kelakuan budak 4 tahun
(BAHAN DARI KOSMO ON LINE)

GAMBAR yang disiarkan di laman web Detiksurabaya.com menunjukkan Sandy menghisap rokok.

JAKARTA - Rakyat Indonesia digemparkan dengan satu klip video di laman web YouTube yang menunjukkan seorang budak kecil merokok sambil bercakap lucah, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Video selama tiga minit yang dipercayai dirakamkan di kediaman kanak-kanak itu di Jl Nusakambangan No 19 C, Malang, Jawa Timur, dimuat naik pada Ahad lepas dan ditonton sebanyak 1,200 kali sebelum ditarik balik tiga hari kemudian kerana melanggar syarat penggunaan YouTube.

Laman itu menunjukkan seorang budak lelaki berusia sekitar empat tahun dikenali sebagai Sandy W, menghisap sebatang rokok dan menghembus asap berbentuk cincin sambil menjawab soalan daripada beberapa orang dewasa.

Sandy berkata, dia mahu menjadi seorang pencuri apabila dewasa dan wang yang diperoleh akan digunakan untuk melanggan pelacur di Dolly, sebuah rumah pelacuran popular di Surabaya.

Bapanya, Mulud, 50, menyatakan Sandy mula merokok sejak berusia satu setengah tahun dan budak itu tidak mengendahkan laranganya supaya berhenti merokok.

Sementara itu, kumpulan aktivis hak kanak-kanak mahu polis melakukan siasatan supaya mereka yang bertanggungjawab mengajar perilaku negatif kepada budak itu dihadapkan ke muka pengadilan. - Agensi


OSMAN DOL: Kedua-dua perokok ini bukan rakyat Malaysia. Gambar di bawah ini saya ambil dari google imej. Entah anak siapalah ini. Harap-harap perangai buruk ini tidak berlaku di Malaysia. Kita sudah teruk dengan kisah buang bayi, dera kanak-kanak dan rogol. Cukuplah.

Khamis, 1 April 2010

DEWAN UNDANGAN NEGERI PERAK MACAM ZOO....

(Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir - MB Perak)

 Kecuh lagi DUN Perak yang disifatkan oleh Utusan Malaysia sebagai kebudak-budakan dan tidak ubah seperti Zoo. Saya rasakan mereka begitu angkuh. Barangkali itulah tektik mereka untuk memancing undi dari rakyat Perak dan rakyat Malaysia.

Lebih-lebih lagi pilihan raya kecil Hulu Kelang akan diadakan tidak lama lagi maka sudah pastilah mereka buat kecuh untuk menagih sokongan. Professinol cara begitu?

Dr. Zamri telah mendedahkan tetang kebodohan PKR untuk melantik Zambry menjadi menteri besar sekiranya dia melompat meninggalkan UMNO. Dia fikir Dr. Zamri itu tidak ada pendirian macam sesetengah orang-orang PKR.

Semoga Allah SWT menyelamatkan negara ini dan segala bencana. Wallahualam.