MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Jumaat, 29 Oktober 2010

Pemanis makanan bagi pesakit kencing manis...

Pensyarah hasilkan pemanis habuk kayu

2010/10/29



MIMI SAKINAH menunjukkan produk ciptaannya ketika ditemui di UMP, semalam.KUANTAN: Seorang pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya menghasilkan gula ringkas, Sorbitol yang digunakan secara meluas sebagai pemanis makanan bagi pesakit kencing manis menerusi proses fermentasi habuk kayu.

Kejayaan Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim, daripada Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA) UMP itu mendapat pengiktirafan British Invention Show (BIS) 2010 dengan memperoleh anugerah khas ‘Grand Final Double Gold Industrial 2010’ menerusi projek ‘Pengeluaran Sorbitol Daripada Sisa Buangan Menggunakan Pendekatan Teknologi Hijau’. “Hasil penyelidikan ini lebih murah dan berkesan bagi menghasilkan bahan berkenaan dengan menjadikan habuk kayu yang mengandungi selulosa sebagai bahan mentah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. "Penggunaan teknologi hijau menerusi kaedah fermentasi digunakan bagi mengurangkan kos pengeluaran berbanding kaedah hidrogen yang digunakan secara meluas bagi penghasilan gula ketika ini," katanya ditemui pada majlis meraikan Kejayaan Cemerlang Penyelidik UMP di BIS 2010 bersama Naib Canselor universiti itu, Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, di sini, semalam.

BALQIS BUKAN GHAIB DILARIKAN JIN

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin, Azman Mahmood, Haryanti Ahmad Rodzidan Mohammad Ishak

bhkt@bharian.com.my

2010/10/29



Norwaniza RamliMisteri konon disorokkan di Gunung Jerai terbongkar

KUALA TERENGGANU: Misteri kehilangan Siti Balqis Mohd Nor yang didakwa keluarganya disorok ‘Jin Islam' di Gunung Jerai, Kedah, sejak Ahad lalu, terungkai selepas gadis itu ditemui polis di rumah keluarga seorang kenalannya di Kampung Batu 18, Ulu Klawang, Kuala Klawang, Negeri Sembilan, pagi semalam. Siti Balqis sebenarnya keluar seorang diri dari rumahnya di Kampung Gong Nangka, Jertih dan menaiki bas ekspres ke Shah Alam pada jam 9 malam, sebelum ke Seremban dan meneruskan perjalanan menaiki teksi ke Kuala Klawang. Ketika di situ, Siti Balqis, 22, tinggal di rumah seorang sahabat pena perempuan yang dikenalinya menerusi laman berkenalan sebuah majalah remaja pada 2005, tetapi tidak pernah bertemu sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata Siti Balqis juga sudah membeli tiket untuk pulang ke kampungnya esok.

“Dengan penemuan ini, polis menganggap kes ini selesai dan polis tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak,” katanya pada sidang media sebelum menyerahkan Siti Balqis kepada ibunya, Norizan Said, 47, di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, di Kampung Raja di sini, semalam. Hadir sama sahabat penanya, Norwaniza Ramli, 19.

Kamaruddin berkata, polis mendapat maklumat mengenai gadis itu apabila bapa sahabat pena Siti Balqis menghubungi polis daerah Jelebu selepas terbaca berita kehilangan misteri gadis itu dalam akhbar ini.

Polis juga mendapat petunjuk gadis itu berada di Negeri Sembilan selepas semakan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada ibunya pada jam 5 pagi Isnin lalu mendapati pencawang terakhir ialah di Kuala Klawang.

Pada Isnin lalu, Norizan memberitahu menerima SMS daripada anaknya pada jam 5 pagi yang mendakwa berada di Gunung Jerai selepas dibawa jin berbulu lebat.

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata laporan Norizan di Balai Polis Jertih pada jam 1.30 pagi Isnin lalu, antara lain menyebut melihat anaknya menaiki kereta Perodua Kembara milik keluarga pada jam 8 malam.

"Berikutan laporan itu, kita menjalankan siasatan kes orang hilang dan meliputi semua aspek termasuk sama ada gadis berkenaan melarikan diri atau dilarikan," katanya sambil menambah kereta itu ditemui di Stesen Bas Jertih pada jam 1 tengah hari Isnin.

Norizan ketika ditemui terkejut dengan penemuan itu kerana sebelum ini anaknya menghantar SMS dan memberitahu berada di Gunung Jerai dan dibawa jin berbulu serta yakin anaknya berada di gunung berkenaan berdasarkan gerak hatinya.

Norwaniza pula berkata, dia selalu berutus surat dan menghubungi Siti Balqis tetapi hanya bertemu selepas kenalannya itu datang sendiri ke rumahnya Isnin lalu.

"Saya tidak menduga pertemuan ini rupanya dengan seorang gadis yang sering dilaporkan ghaib kerana sebelum ini Siti Balqis tidak pernah menceritakan kisahnya,” katanya.

Di KUALA KLAWANG, ibu Nurwaniza berkata gadis itu mengajaknya dan anaknya ke Seremban, Selasa lalu dan menggunakan wang sendiri membeli pelbagai makanan dan pakaian bernilai RM279, termasuk tiket bas untuk pulang ke Terengganu.

Ramlah Meon, 60, berkata beliau pelik melihat Siti Balqis kerap SMS dan apabila ditanya dimaklumkan ia di hantar kepada kawannya.

“Siti Balqis beritahu dia tinggal bersama ibu saudaranya selepas ibunya meninggal dunia dalam kemalangan November tahun lalu. Dia turut beritahu rumahnya besar dan ada tujuh bilik lengkap dengan pembantu rumah dan kolam renang," katanya.

Ramlah berkata, pembohongan Siti Balqis terbongkar apabila anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu datang ke rumahnya, kelmarin, berikutan SMS diterima ibu Siti Balqis menggunakan nombor telefon yang didaftarkan atas nama Nurwaniza.

Beliau berkata, ketika menyelongkar beg pakaian Siti Balqis, mereka menemui lebih 20 kad sim yang masih aktif, sejumlah wang, beberapa kad ATM dan sebuah kotak kecil berisi 10 batu delima dalam kain kuning.

Khamis, 28 Oktober 2010

BANYAK CERITA DALAM AKHBAR HARIAN METRO SELAIN CERITA PILIHAN RAYA KECIL DI GUA MUSANG DAN BATU SAPI SANDAKAN...


1) HEBOH lagi negara kita bila pilihan raya kecil akan diadakan di Gua Musang dan di Batu Sapi, Sandakan. Kata mengata hina menghina akan berlakulah kembali. Bebagai-bagai janji pasti akan disemaikan kepada penduduk2 di kedua-dua kawasan pilihan raya itu.
Sebagai pengundi kita haruslah bijak memilih parti yang boleh menjamin masa depan kita. Selama ini BN adalah parti yang boleh kita yakini.
Pilihan raya Batu Sapi lebih merupakan satu ujian bagi penasihat parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim yang sedang dihadapkan di mahkamah atas kes lewat. Kalau PKR menang kemungkinan Anwar dapat menepis calar yang sedang menjalar pada dirinyha.


2) AZAP tolak cinta...Mangsa dikatakan disimbah acid oleh seorang lelaki yang kecewa kerana cintanya tidak berbalas. Kasihan mangsa. Macam tak ada perempuan lain yang boleh pilih untuk menjadi isterinya. Gadis yang sedang bertunang itu bimbang sama ada tunangnya masih mahu memilihnya untuk dijadikan isteri.
3) /Tsunami di Sumatera, 311 maut dan 410 masih hilang. Alhamdulillah negara kita masih selamat. Diharapkan ulamak2 negara kita boleh bersatu untuk menolak segala bencana....
4) Banyak lagi kisah menarik yg patut kita ketahui...

OSMAN DOL: SELAMATKANLAH DIRIKU, KELUARGAKU DAN NEGARAKU DARI SEGALA BENCANA....AMIN.

Khamis, 21 Oktober 2010

IBU KUAT MAKAN DIBUANG - SEDIH.....

9 anak 'buang' ibu kuat makan

Oleh Mary Victoria Dass

JOHOR BAHRU: Hanya dengan alasan ibu kuat makan, seorang wanita tua yang lumpuh separuh badan dihantar anaknya ke pusat jagaan warga emas. Lebih menyedihkan, wang pencen arwah suami yang sepatutnya menjadi haknya turut dikaut sembilan zuriatnya itu setiap bulan.

Wanita berusia 84 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Aminah, dihantar ke pusat jagaan selepas semua anaknya bersikap lepas tangan mengenai kebajikannya sedangkan ada antara mereka berjawatan tinggi termasuk bergelar profesional.

Akibatnya, Aminah bergantung sepenuhnya terhadap ihsan pihak lain bagi meneruskan kehidupan walaupun dia sebenarnya berhak mendapat pencen arwah suami RM700 sebulan.

“Sebelum suami meninggal dunia, dia berpesan kepada anak supaya menjaga saya. Namun, setahun selepas suami meninggal, kedua-dua kaki saya lumpuh sehingga terpaksa mengengsot.

“Sejak itu saya dianggap beban oleh anak hingga mereka menolak satu sama lain menjaga saya sebelum mengambil keputusan menghantar saya ke pusat jagaan ini tiga tahun lalu,” katanya.

Aminah mempunyai sembilan anak, lima lelaki dan empat perempuan berusia antara 30-an hingga lewat 50-an. Suaminya yang bekerja sebagai anggota polis meninggal dunia 10 tahun lalu.

Menurutnya, dia yang lebih banyak menguruskan semua sembilan anak kerana suami sering bertugas luar daerah, mendidik mereka dengan penuh kasih sayang sehingga berjaya.

Aminah berkata, buat masa ini, perbelanjaannya bagi membeli ubat-ubatan mahupun lampin pakai buang yang mencecah RM800 sebulan diuruskan Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan di Taman Bukit Kempas.

Menurutnya, hasratnya menggunakan wang pencen arwah suaminya tidak kesampaian kerana setiap kali persoalan itu ditimbulkan, ia mencetuskan pertengkaran di kalangan anak.

“Mereka mengambil wang itu secara bergilir-gilir. Jika anak sulung lelaki menggunakannya bulan ini, anak kedua mengambilnya pada bulan depan sebelum kad ATM (mesin juruwang automatik) itu diserahkan kepada anak ketiga.

“Saya sedih kerana setiap kali meminta daripada pengurusan pusat jagaan termasuk membeli minyak angin kerana tidak mempunyai wang sedangkan anak bekerja dan hidup senang,” katanya yang sebak ketika menceritakan kisah hidupnya.

Sementara itu, Pengurus Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Norijah Bidin, 45, berkata, seorang anak wanita berkenaan menghantar ibu kandungnya itu ke situ dengan alasan wanita berkenaan terbabit kuat makan.

Menurutnya, biarpun pada awalnya berjanji mahu membantu meringankan kos penjagaan ibunya dengan menyerahkan wang pencen arwah bapanya, lelaki berusia 40-an itu langsung tidak mengambil peduli mengenai warga emas terbabit sejak dihantar ke situ, kira-kira tiga lalu.

“Kadangkala nenek berkenaan segan meminta hingga kami menggunakan pendekatan psikologi supaya dia tidak kesunyian dan tidak berasa rendah diri dengan keadaannya itu.

“Kami bukan mendesak keluarga itu, tapi sekurang-kurangnya mereka yang berkemampuan sepatutnya membantu meringankan kos yang ditanggung pusat jagaan,” katanya.

MOMEN OSMAN DOL: DAHSYAT....SEMOGA ALLAH SWT MENERIMA TAUBAT ANAK-ANAK DERHAKA ITU.....

Isnin, 18 Oktober 2010

TERBAYANG MAUT....



Terbayang maut ditikam perompak

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

am@hmetro.com.my

BERLUBANG...Noraini menunjukkan tingkap rumahnya yang diumpil perompak, semalam.

DISELONGKAR...kabinet televisyen diselongkar perompak terbabit. KUANTAN: “Ketika perompak itu berdiri di hujung katil, saya hanya terbayang akan ditikam, mati atau dirogol,” kata Nurul Asmidah Takuki, 20, menceritakan saat mencemaskan apabila rumahnya di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di Balok Pine, di sini, dimasuki lima perompak, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, seorang daripada lima perompak terbabit dipercayai warga Indonesia yang bersenjatakan sebilah pisau mengopak pintu belakang rumah mangsa sebelum masuk ke satu daripada bilik dalam rumah berkenaan.

Nurul Asmidah berkata, sebelum kejadian, dia tidur lena dalam bilik sebelum terjaga dan terlihat kelibat mencurigakan berdiri di hujung katil.

Menurutnya, sebaik membuka mata, perompak terbabit yang tidak bertopeng menunjukkan pisau sambil memberi isyarat memintanya mendiamkan diri.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan ketakutan melihat wajah bengis perompak terbabit, dia menjerit memanggil ibunya, Noraini Aziz, 44, yang tidur bersama dua lagi adiknya berusia 11 dan 17 tahun di bilik bersebelahan.

“Perompak itu yang terkejut selepas mendengar suara ibu yang menjawab jeritan saya melarikan diri melalui pintu belakang.

“Selepas membuat pemeriksaan, saya mendapati tiga telefon bimbit bersama wang tunai RM20 dan dokumen penting hilang dipercayai dilarikan perompak terbabit mengakibatkan jumlah kerugian semuanya kira-kira RM400,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dia tidak pasti bilangan sebenar perompak terbabit dan kenderaan yang dinaiki, tetapi yang jelas hanya seorang masuk ke dalam bilik tidurnya tanpa menutup muka sebelum lintang-pukang melarikan diri ketika ibunya datang ke biliknya.

Nurul Asmidah berkata, dia juga tidak pasti sama ada lima perompak yang ditembak mati polis berhampiran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Indera Mahkota, di sini, pagi semalam mempunyai kaitan dengan kejadian samun di rumahnya.

Bagaimanapun, katanya, seorang pegawai polis datang ke rumahnya dengan menunjukkan gambar seorang daripada perompak terbabit dan dia mendapati wajahnya sama dengan perompak yang masuk ke bilik tidurnya.

“Saya mendapati pintu belakang dikopak perompak terbabit selain hanya memikirkan soal mati atau dirogol ketika berdepan perompak terbabit,” kata anak kedua daripada empat beradik.

Bagaimanapun, dia bersyukur tidak dicederakan perompak terbabit sebelum membuat laporan di Balai Polis Beserah, di sini, kira-kira jam 4 pagi semalam.

Sementara itu, difahamkan kira-kira jam 3 pagi selepas menyamun rumah berkenaan, kelima-lima penyamun dipercayai warga Indonesia itu ditembak mati polis selepas dikejar kira-kira 10 kilometer dari rumah mangsa.

Sabtu, 16 Oktober 2010

'KAMI MOHON MAAF, KAMI SUDAH INSAF'

'Kami mohon maaf, kami sudah insaf'

Oleh Ibrahim Isa, Murni Wan Omar dan Muhammad Apendy Issahak

am@hmetro.com.my

2010/10/16 BANTING: Sambil memohon maaf kepada keluarga mangsa dan rakyat Malaysia, dua pekerja ladang mengaku mengangkat, membakar dan membuang abu mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya; pemandunya, Kamaruddin Shamsudin; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad.

BERSALAH...Sarawanan (kiri) dan Suresh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, semalam.

BUKTI...kenderaan yang digunakan untuk mengangkut abu mayat keempat-empat mangsa dibawa ke mahkamah, semalam. Dengan wajah tenang, K Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, terhadap pertuduhan menghilangkan bukti dengan cara membakar mayat dan membuang abu mayat keempat-empat mangsa bagi mengelakkan tertuduh utama dalam kes pembunuhan itu dikenakan tindakan undang-undang.

Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun kepada kedua-dua tertuduh bagi empat pertuduhan itu dan memerintahkan ia berjalan serentak mulai tarikh mereka ditangkap iaitu 9 September lalu.

Ketika diberi peluang bercakap, Sarawanan dan Suresh dengan nada perlahan dalam bahasa Tamil memohon maaf terhadap perbuatan mereka sebelum diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh jurubahasa mahkamah.

“Saya memohon maaf kepada keluarga mangsa dan masyarakat atas perbuatan saya. Saya sudah insaf,” kata kedua-dua tertuduh.

Sarawanan didakwa menghilangkan bukti yang menjadi satu kesalahan serius dengan sengaja membakar mayat keempat-empat mangsa dengan niat untuk mengelakkan N Pathmanabhan, T Thilaiyalagan, R Matan dan R Kathavarayan daripada seksaan undang-undang.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, pada jam 9.45 malam hingga jam 12 tengah malam, 30 Ogos lalu.

Berdasarkan fakta kes, Sarawanan didakwa melihat keempat-empat mangsa dibunuh Thilaiyalagan. Dia diarahkan Thilaiyalagan dan Matan untuk mengambil petrol dan diesel yang diletakkan di hadapan sebuah rumah pekerja ladang.

Tertuduh kemudian membawa dua tong putih dan menyerahkan kepada Thilaiyalagan dan Matan sebelum ketiga-tiga mereka mengangkat mayat semua mangsa untuk diletakkan di atas longgokan kayu yang sudah disusun.

Ketiga-tiga mereka juga menyusun kayu di atas keempat-empat mangsa sebelum mencurahkan minyak. Tertuduh bersama Matan membakar semua mayat itu.

Suresh pula didakwa menghilangkan bukti berkaitan kesalahan tertuduh utama dengan sengaja membuang abu mayat keempat-empat mangsa ke dalam Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting, pada masa dan tarikh sama, juga bagi mengelakkan Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Matan, dan Kathavarayan daripada seksaan undang-undang.

Berdasarkan fakta kes juga, ketika kejadian, Suresh yang berada di ladang milik Pathmanabhan didakwa melihat Thilaiyagan dan Matan memungut sesuatu di tempat pembakaran berhampiran pondok di ladang itu dan memasukkannya ke dalam tong biru.

Suresh bertanya kepada Thilaiyagan serta Matan dan diberitahu ia berisi abu mayat empat mangsa yang mereka bunuh dan bakar pada malam kejadian.

Pekerja ladang itu mendakwa melihat Kathavarayan membawa sebuah kenderaan pikap Isuzu D-Max ke tempat abu mayat itu dipungut. Setibanya di situ, Thilaiyagan dan Matan mengangkat tong biru yang mengandungi abu mayat ke dalam kenderaan berkenaan.

Selepas itu, dia bersama Thilaiyagan dan Kathavarayan pergi ke Sungai Panchau, untuk membuang abu mayat itu. Kathavarayan mencurah abu mayat itu ke dalam sungai bersama tong sekali.

Selepas selesai kerja pembuangan abu mayat pada jam 10 pagi, dia bersama Thilaiyagan dan Kathavarayan pulang semula ke ladang itu.

Suresh dan Thilaiyagan kemudian diarahkan Kathavarayan untuk membersihkan tempat pembakaran dengan membuang semua sisa kayu dan kepingan zink ke dalam lori sebelum membuang sisa kayu di tempat pembuangan sampah Sungai Arak, Kampung Kelanang, Banting manakala kepingan zink dibuang ke dalam sungai kampung itu.

Ketiga-tiga mereka balik semula ke ladang dan membuat kerja seperti biasa.

Bagi semua perbuatan itu, Sarawanan dan Suresh didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun penjara dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sebuah kenderaan Isuzu D-Max berwarna kelabu yang digunakan untuk mengangkut abu mayat keempat-empat mangsa sebelum dibuang ke dalam Sungai Panchau turut dibawa ke mahkamah sebagai barang bukti kes dan prosiding ditangguhkan seketika bagi membolehkan majistret, pihak pendakwaan dan pembelaan melihat kenderaan itu.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff dan dibantu Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abdul Ghani.

Sarawanan dan Suresh diwakili peguam M Puravelan, Mohd Naguib Abdul Malik dan Roslie Sulie.

Roslie ketika berhujah bagi pihak Sarawanan memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya menanggung beban keluarga dengan menyara bapa yang menghidap sakit jantung serta ibunya yang hanya seorang suri rumah.

Menurutnya, Sarawanan tidak mempunyai kesalahan lampau dan pengakuan anak guamnya perlu diambil kira kerana ia menjimatkan masa mahkamah.

Sementara itu, Mohd Naguib dalam rayuan bagi meringankan hukuman terhadap Suresh berkata, anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan perlu menyara adik serta menjaga ibunya yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan alahan kepada ubat.

Ishak dalam hujahnya membantah hukuman ringan dan memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum tanpa memberi diskaun kepada semua tertuduh selain meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang berjalan secara berasingan.

Menurutnya, hukuman maksimum perlu bagi memberi pengajaran bukan saja kepada tertuduh, tetapi memberi peringatan kepada orang lain.

Rabu lalu, peguam Pathmanabhan, 41, didakwa bersama-sama Thilaiyalagan, 19, Matan, 20 dan Kathavarayan, 30, membunuh Sosilawati, 47.

Selain itu, keempat-empat tertuduh turut didakwa membunuh pemandu wanita itu, Kamaruddin, 44; peguam, Ahmad Kamil, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham, 38.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, di sini, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Disember ini.

Khamis, 14 Oktober 2010

LEPAS GHAIB DICAMPAKKAN PERMATA PULA - TENTU HARGA PERMATA ITU MAHAL....

Dapat permata

Oleh Mohamad Ishak

2010/10/14 JERTIH: Kisah gadis misteri yang semakin menarik perhatian orang ramai, Siti Balqis Mohd Nor, 22, bertambah unik apabila tujuh batu permata dipercayai delima, nilam dan zamrud tiba-tiba jatuh dari siling rumahnya, semalam.

BUKTI...Norizan menunjukkan batu permata yang jatuh di rumahnya, semalam. Lima daripada batu itu berwarna putih manakala dua lagi masing-masing berwarna biru dan hijau sebesar kira-kira duit syiling 20 sen.

Kejadian pertama berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika Siti Balqis dan ahli keluarganya berada di ruang tamu dan mereka terdengar bunyi benda jatuh dalam biliknya.

Selepas membuat pemeriksaan, mereka menemui sebiji batu delima di atas katil.

Manakala batu kedua pula jatuh jam 2.45 petang di ruang tamu, diikuti batu ketiga pada jam 3 petang.

Kira-kira 20 minit kemudian, sebiji lagi batu delima jatuh di hadapan seorang jurukamera TV3 yang sedang minum bersama kru rancangan Misteri Nusantara di ruang tamu dan terpelanting pada kameranya.

Dua biji batu lagi jatuh kira-kira jam 6 petang di ruang tamu dengan salah satu daripadanya berwarna biru dipercayai nilam. Kira-kira sejam kemudian, sebiji batu berwarna hijau dipercayai zamrud pula jatuh di ruang tamu.

Ibu Siti Balqis, Norizan Said, 47, berkata, dia menyifatkan penemuan batu terbabit sesuatu yang luar biasa dan mungkin ada hikmahnya.

Katanya, semua batu berkenaan kini disimpan dalam bekas khas yang direndam dengan air Zam-Zam.

OSMAN DOL: BETULKAH ITU? SEERAH KEPADA ALLAH....

Ahad, 10 Oktober 2010

BOMOH TANGKAP 9 MAKHLUK HALUS/

Bomoh kejar lembaga

Laporan dan foto MOHAMMAD ISHAK

am@hmetro.com.my

2010/10/10 JERTIH: Rumah gadis misteri di Kampung Gong Nangka, Apal, dekat sini, yang kerap ghaib menjelang senja dan tengah malam diserbu ratusan penduduk apabila dua bomoh yang merawat gadis itu mendakwa berjaya menangkap sembilan jin dan makhluk halus, malam tadi.

TERTARIK... orang ramai berebut-rebut mengambil gambar jin dan makhluk halus yang dimasukkan ke dalam tabung khas sebelum ia dihanyutkan ke laut oleh bomoh malam tadi.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dua bomoh itu yang datang untuk menawarkan khidmat percuma selepas mengetahui kisah gadis itu menerusi akhbar sejak Selasa lalu, berpecah ketika sesi merawat, dengan seorang mengerjakan solat di dalam rumah dan seorang lagi menggunakan jampi di luar rumah.

Selepas 15 minit kedua-dua bomoh itu merawatnya, rakan bomoh di luar rumah ternampak satu lembaga dan terus mengejar lalu berjaya menangkap makhluk berkenaan.

Kerja menangkap berkenaan berlangsung satu demi satu sebelum sembilan jin atau makhluk halus berjaya ditangkap, menyebabkan beratus-ratus penduduk setempat menyerbu rumah gadis itu dan melihat usaha bomoh menangkap makhluk itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Ramlan Ali serta isteri turut hadir untuk melihat peristiwa yang menggemparkan penduduk daerah ini.

Ramlan berkata, selepas menangkap sembilan jin dan makhluk itu, bomoh terbabit memasukkannya ke dalam bekas khas yang bertutup bagi mengelak ia keluar.

Orang ramai yang menyaksikannya tidak melepaskan peluang mengambil gambar dan video, kebanyakannya menggunakan telefon bimbit, untuk dijadikan kenangan dan bahan bukti kejayaan bomoh berkenaan.

Ibu gadis itu, Norizan Said, 47, ketika ditemui berkata, sejak kisah anaknya disiarkan media ini, Selasa lalu, seramai 17 bomoh datang menawarkan diri untuk merawat Siti Balqis secara percuma, tetapi kejadian malam tadi paling kemuncak apabila bomoh berkenaan menunjukkan kepakaran berjaya menangkap makhluk yang sebelum ini didakwa menjadi punca anaknya ghaib.

Usaha wartawan Berita Minggu untuk mendapatkan komen dan mengambil gambar dua bomoh itu gagal kerana mereka tidak mahu menonjolkan diri, sebaliknya memberitahu makhluk halus yang ditangkap akan dihanyutkan ke laut.

KOMEN: KITA LIHAT LAGI PERKEMBANGAN YANG AKAN DATANG....HARAP2 PERKARA ITU TIDAK BERULANG LAGI.

Khamis, 7 Oktober 2010

OBJEK TERBANG...

Objek terbang

Oleh Mohammad Ishak

2010/10/07 JERTIH: Kejadian aneh menimpa Siti Balqis Mohd Noor, 22, yang didakwa ghaib setiap kali senja dan tengah malam turut dirasai ahli keluarga dan jirannya ketika mengawal gadis itu untuk mengelaknya hilang, malam kelmarin.

Kejadian pertama berlaku kira-kira jam 10.30 malam apabila keluarga dan jiran yang berada di rumah gadis itu di Kampung Gong Nangka, dekat sini, terkejut berikutan terdengar bunyi kuat seperti benda jatuh di dalam bilik rumah itu.

Kejadian berlaku sejurus seorang bomoh selesai mengadakan sesi rawatan secara Islam terhadap Siti Balqis dan bunyi benda jatuh itu menyebabkan beberapa ahli keluarga gadis berkenaan memeriksa bilik terbabit tetapi tidak menemui apa-apa yang meragukan.

Kejadian kedua kira-kira jam 2 pagi lebih mengejutkan apabila mereka yang berada di rumah itu termasuk wartawan dan jurugambar Harian Metro melihat objek besi berukuran 12 sentimeter tiba-tiba melayang dan jatuh di penjuru ruang tamu rumah.

Bagaimanapun, objek itu tidak menimpa sesiapa walaupun jatuh di sisi sekumpulan wanita yang sedang berbincang mengenai kelakuan gadis terbabit. Adik Siti Balqis kemudian mengambil besi itu dan mencampaknya ke halaman rumah.

Selain itu, jurugambar Harian Metro, Aswadi Alias juga mendakwa terlihat objek berbalut kain putih melayang sebelum jatuh berhampiran kumpulan wanita berkenaan.

Kejadian itu menyebabkan mereka yang berada di rumah itu terdiam seketika.

“Jangan bimbang dan takut dengan bunyi yang berlaku serta jelmaan benda lain di rumah ini kerana ia perkara biasa sejak kejadian misteri menimpa anak saya,” kata ibu gadis itu, Norizan Said, 47, bagi menenangkan tetamu yang ada di rumahnya.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan Siti Balqis ghaib secara misteri hampir setiap kali senja dan lewat malam sejak dua bulan lalu. “Ada kalanya dia ditemui di atas pokok, siling di rumahnya, mesin pembancuh simen dan juga di tanah perkuburan Islam Kampung Bukit Kenak kira-kira lima kilometer dari rumahnya.

Sementara itu, Norizan kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atasnya dan keluarga.

Katanya, seorang lelaki mendakwa bomoh menemuinya tengah hari kelmarin dan menawarkan mengubati anaknya

OSMAN DOL: KITA IKUTI PERKEMBANGAN SETERUSNYA....

Selasa, 5 Oktober 2010

GHAIB KALA SENJA - PELIK TAPI BENAR.

Ghaib kala senja

Oleh Mohammad Ishak

am@hmetro.com.my


2010/10/05 BESUT: Kejadiannya memang aneh dan mungkin ada menganggapnya tidak logik, namun hakikatnya ia benar-benar berlaku sehingga menggemparkan penduduk setempat dan turut menarik perhatian pemimpin masyarakat.

TAK SEDAR...Siti Balqis ditemani ibunya menceritakan kejadian pelik dialaminya. Sejak kira-kira dua bulan lalu, seorang gadis berusia 22 tahun, Siti Balqis Mohd Nor dari Kampung Gong Nangka, Apal di sini, ghaib secara misteri hampir setiap kali tiba waktu senja atau pada tengah malam sebelum dia ditemui semula di lokasi yang sukar dijelaskan kehadirannya.

Antara lokasi itu di tanah perkuburan, di atas pokok, di atas siling dalam rumahnya dan dalam kejadian terbaru kelmarin, Siti Balqis ditemui dalam mesin pembancuh simen berhampiran rumahnya.

Biarpun dikawal rapi keluarganya, gadis itu tetap ghaib apabila individu yang mengawalnya leka atau terlepas pandang beberapa detik saja.

Kejadian misteri itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Ramlan Ali yang meminta penduduk mengawal sekitar rumah keluarga Siti Balqis setiap malam, namun usaha itu tetap gagal.

Ramlan berkata, dia simpati dengan keluarga terbabit kerana sudah banyak mengeluarkan wang untuk khidmat bomoh.

“Saya sendiri sudah membantu mencari bomoh, tapi keadaannya tetap serupa apabila gadis terbabit tiba-tiba ghaib terutama pada waktu senja dan tengah malam,” katanya.

Ibu Siti Balqis, Norizan Said, 47, berkata, pelbagai usaha dilakukan keluarganya dan jiran untuk menghalang anak sulung daripada empat beradik itu ghaib, tetapi apabila tiba waktunya dia tetap hilang.

Kejadian menimpa anak saya memang aneh. Sejak dua bulan lalu hampir setiap malam dia ghaib dari rumah menyebabkan kami sekeluarga terpaksa berjaga malam,” katanya.

Norizan berkata, apabila ditemui semula, Siti Balqis kebiasaannya berada di lokasi tidak jauh dari rumahnya seperti di atas siling rumah, atas pokok manggis dan terbaru dalam mesin pembancuh simen.

“Pernah sekali dia temui semula di tanah perkuburan Islam kira-kira 10 kilometer dari rumah kami,” katanya sambil memaklumkan keluarganya sudah mendapatkan khidmat bomoh dari Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk mengatasi masalah itu, tetapi masih gagal.

Siti Balqis ketika ditanya mengenai kejadian aneh dialaminya berkata, dia sendiri sukar memberi penjelasan dan tidak tahu apa sebenarnya berlaku ke atasnya.

“Setiap kali kejadian berlaku saya tidak sedarkan diri. Apabila sedar, saya dapati diri saya berada di tempat lain, sama ada di atas pokok atau kawasan perkuburan.

“Saya dapat melihat orang mencari saya, tapi saya tak berupaya memanggil mereka. Ketika saya berada di kubur dalam kejadian Ramadan lalu, saya mendengar pelbagai bunyi termasuk suara orang mengaji al-Quran dan menangis,” katanya.

KOMEN OSMAN DOL: Tanda2 kebesasran Allah SWT...kena siasat dulu.

YAHUDI OH YAHUDI YG TELAH DILAKNATKAN OLEH ALLAH SWT.....

PELAMPAU YAHUDI MEMBAKAR MASJID, AL-QURAN DAN SAJADAH DI TEBING BARAT.

(Bahan dari Utusan Malaysia - )

RAMALLAH 4 Okt. - Pihak tidak bertanggungjawab membakar masjid di sebuah perkampungan Palestin di Tebing Barat hari ini, menconteng dinding dengan perkataan 'dendam' dalam bahasa Ibrani serta membakar salinan kitab suci al-Quran akan mencetuskan ketegangan baru setelah usaha perdamaian Asia Barat menemui jalan buntu.

Penduduk Palestin mengesyaki pelampau pendatang-pendatang Yahudi melakukan kebakaran di perkampungan Beit Fajjar tersebut yang mana 15 salinan al-Quran dan permaidani masjid itu dibakar, kata pegawai majlis perbandaran, Ali Thawabti.

Jelasnya, penduduk bagaimanapun berjaya memadamkan kebakaran dan 'pendatang Yahudi melarikan diri menggunakan kereta Peugeot putih'.

Ini merupakan kali keempat sebuah masjid di Tebing Barat mengalami vandalisme yang didakwa dilakukan pendatang Yahudi.

Ketua perunding Palestin berkata, kebakaran tersebut mencerminkan peranan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dalam konflik Israel-Palestin.

Usaha perdamaian tertunggak selepas sebulan siri rundingan dilakukan di Washington.

Pihak Palestin menegaskan, mereka tidak akan meneruskan rundingan damai tersebut sekiranya pembinaan penempatan haram diteruskan.

Namun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang berdepan tekanan dalam kerajaan campuran yang menyokong penempatan haram, menolak untuk melanjutkan larangan pembinaan.

Wakil khas White House, George Mitchell berada di rantau ini sejak minggu lalu bagi mencari jalan penyelesaian namun masih gagal berbuat demikian.

Netanyahu juga turut memberitahu sekutu-sekutu politiknya tentang kemungkinan memperbaharui larangn pembinaan untuk memuaskan hati AS.

Pada awal sidang Kabinet hari ini, Netanyahu berkata Israel 'dalam rundingan diplomatik bersama pentadbiran AS bagi mencari satu penyelesaian untuk meneruskan proses rundingan damai' namun tidak meletakkan harapan terhadap kemungkinan beberapa manfaat dari AS. - AP/REUTERS