MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Sabtu, 31 Julai 2010

BUKTI KETELUSAN UNDANG-UNDANG NEGARA

                         BAHAN DARI UTUSAN MALAYSIA 31.7.2010.
                                -------------------------------------------
                         Kes Tun Dr. Ling Liong Sik bukti sistem undang-undang di Malaysia telus
                         -----------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 30 Julai - Tindakan pihak berkuasa mendakwa bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membuktikan sistem perundangan negara ini tidak mengenal pangkat serta kedudukan seseorang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fakta itu sekali gus menolak dakwaan pihak pembangkang khususnya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa perundangan Malaysia tidak adil dan berat sebelah.

Beliau berkata, selama ini telah menjadi dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menyebelahi mana-mana pihak yang didakwa melakukan kesalahan sebaliknya pihak berkenaan akan dibawa ke muka pengadilan untuk dibicarakan secara adil, telus dan saksama.

"Saya akui agak terperanjat apabila mendengar berita ini tetapi saya juga percaya apabila sampai satu peringkat pihak berkuasa harus mengambil tindakan-tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat dengan dakwaan seperti ini.

"Oleh itu kita harus menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sepatutnya dan sistem perundangan negara kita sudah tentu akan berlaku adil kepada pihak terbabit,'' katanya selepas meraikan kejayaan kontinjen Malaysia yang menyertai Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN kedua di Sekolah Sukan Bukit Jalil di sini.

Akhbar hari ini melaporkan Liong Sik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Putrajaya atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion, hampir lapan tahun lalu.

Bekas Presiden MCA itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas satu tuduhan utama dan satu tuduhan pilihan - menipu Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan terhadap pembelian tanah di Pulau Indah bagi projek PKFZ (dahulu dikenali sebagai Mega Distribution Hub).

Jumaat, 30 Julai 2010

BN TIDAK BERAT SEBELAH......

SUMBER KOSMO ON LINE
30 Julai 2010Laman Utama

Liong Sik didakwa tipu kerajaan

LIONG SIK (tengah) ketika merasmikan Sistem Pembersihan Laut Pelabuhan Barat di Pulau Indah pada 10 September 2000.
-------------------------------------------------------------

PUTRAJAYA - Bekas Menteri Pengangkutan dan mantan Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang.

Liong Sik, 67, yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 17 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2003 didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 418 dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Hakim Suzana Hussin membenarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 3 September ini untuk sebutan kes.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengetuai pendakwaan dan dibantu oleh Ketua Bahagian Pendakwaan, Datuk Tun Majid Tun Hamzah, Dzulkifli Ahmad dan Manoj Kurup manakala Liong Sik diwakili peguam Datuk R.R. Sethu.

Para wartawan dan jurugambar yang menanti sejak pagi selepas tersebarnya berita seorang kenamaan akan didakwa hanya mengetahui identiti tertuduh apabila Liong Sik tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 4.36 petang bersama isterinya, Toh Puan Ena Ling.

Beliau yang berbaju biru belang masuk ke dalam mahkamah pada pukul 4.43 petang dan terus duduk di kandang tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Liong Sik didakwa telah menipu Kerajaan Malaysia antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Beliau dituduh memperdaya Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn. Bhd. dengan Lembaga Pelabuhan Klang yang antara lainnya ialah:

Luas tanah ialah 999.5 ekar (399.8 hektar) atau 43,538,200 kaki persegi (3,918,438 meter persegi).

Kadar pembelian tanah adalah sebanyak RM25 satu kaki persegi menjadikan jumlah pembelian sebanyak RM1,088,456.

Tempoh pembayaran balik berdasarkan kaedah bayaran tertangguh selama 15 tahun dengan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun (jumlah RM720,014,600) dan dengan curangnya menyembunyikan fakta bahawa penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah tersebut pada kadar RM25 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 10 tahun atau RM25.82 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 15 tahun, adalah termasuk kupon/faedah yang boleh dikenakan untuk tempoh bayaran balik tersebut.

Dengan demikian, beliau telah dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan kepada pembelian tanah tersebut yang mana Jemaah Menteri tidak akan memberikan persetujuan sekiranya fakta itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Penipuan itu dilakukan dengan mengetahui bahawa tertuduh boleh menyebabkan kehilangan salah kepada Kerajaan Malaysia yang kepentingannya dalam urusan yang berkaitan dengan penipuan itu bahawa tertuduh terikat oleh suatu kontrak di sisi undang-undang untuk melindungi dan dengan demikian telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan.

Liong Sik merupakan individu kelima berkedudukan tinggi yang didakwa berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Akhir tahun lepas, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka O.C. Phang dan tiga lagi didakwa melakukan pecah amanah dan menipu dengan membuat tuntutan palsu.

Berita selanjutnya di akhbar Kosmo!

KOMEN: SIAPA JUGA YANG DIDAPATI ADA BUKTI BERLAKUNYA SESUATU KESALAHAN  JENAYAH AKAN DIHERET KE MAHKAMAH. UNDANG-UNDANG SEBENARNYA TIDAK MENGENAL SIAPA. KERAJAAN BN SAYA RASA CUKUP ADIL. PEMERINTAHANNYA SEJAK DULU LAGI TIDAK PERNAH BERAT SEBELAH. SEMOGA ALLAH MENYELAMATKAN DATO NAJIB DAN KERAJAAN BARISAN NASIONAL....OSMAN DOL.

Khamis, 29 Julai 2010

SAJAK-SAJAK TERBARUKU YANG TERSIAR DALAM DEWAN SASTERA (JULY) DAN BERITA HARIAN 24JULY 2010 HARI SABTU.

SAJAK YANG TERSIAR DALAM DEWAN SATERA JULY 2010
 
SAJAK INI TERSIAR DALAM BERITA HARIAN 24HB JULY 2010 - TERPULANGLAH KEPADA PEMBACA UNTUK MENILAI SAJAK-SAJAK INI.

Selasa, 27 Julai 2010

PASANGAN IRAN HIDUP MEWAH HASIL JUALAN DADAH

Pasangan warga Iran hidup mewah hasil jualan dadah

              --------------------------------


Oleh Wan Faizal Ismayatim dan Ifwan Tun Tuah

2010/07/27

sebelum - selepas



KASTAM menemui dadah jenis syabu bernilai RM104,587 yang disembunyi dalam tapak kasut dipakai warga Iran.Beli banglo RM1.5 juta, sewa rumah jadi stor proses syabu
------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR: Dalam tempoh tidak sampai tujuh bulan, sepasang suami isteri warga Iran mampu mengecapi hidup mewah, termasuk memiliki banglo bernilai RM1.5 juta di ibu negara yang dipercayai dibeli menggunakan hasil kegiatan pengedaran dadah.

Pasangan berusia 39 dan 34 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan pada Khamis dan Jumaat lalu, masing-masing di sebuah rumah teres tiga tingkat yang dipercayai dijadikan stor menyimpan pelbagai bahan kimia bagi pemprosesan syabu di Sri Hartamas dan banglo mewah di Sunway SPK Damansara, kedua-duanya di sini. Dalam serbuan pertama di rumah tiga tingkat jam 4.30 petang, Khamis lalu, polis menemui sembilan tong plastik berisi cecair hitam dipercayai minyak syabu yang mampu menghasilkan 200 kilogram dadah jenis itu dengan nilai pasaran mencecah RM40 juta. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata lelaki Iran ditahan selepas ejen hartanah yang menguruskan rumah sewa Sri Hartamas membuat laporan polis selepas mengesyaki sesuatu mencurigai di kediaman itu berikutan bau busuk dari dalam ketika mahu mengutip sewa rumah.

Pemeriksaan di dalam rumah itu polis menemui sembilan tong plastik berisi cecair hitam disyaki minyak syabu, beberapa perkakas kaca dan pelbagai bahan kimia untuk memproses dadah itu. Jumlah minyak syabu dirampas ialah 327.6 liter yang boleh memproses 200 kilogram syabu bernilai RM40 juta.

Berikutan penemuan itu, polis dengan kerjasama ejen hartanah terbabit mengumpan suspek sebelum menahannya di sebuah restoran makanan segera di Kepong.

Suspek yang positif ketamine, syabu dan amphetamine direman tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, katanya.

Beliau berkata, sehari selepas itu polis menyerbu banglo milik lelaki Iran di Sunway SPK Damansara dan menahan isterinya serta menemui buku memproses syabu serta peralatan yang berkaitan dengan pengedaran dadah.

Kita dalam proses mendapatkan perintah untuk menyita banglo bernilai RM1.5 juta itu yang disyaki dibeli pasangan Iran terbabit menggunakan hasil jualan dadah. Mereka disyaki terbabit dalam kegiatan itu sejak tujuh bulan lalu, katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Muhammad Sabtu berkata, polis juga sudah mengenal pasti dan memburu seorang lagi lelaki Iran yang disyaki rakan kongsi mereka. Lelaki berusia 30-an itu dipercayai sudah melarikan diri ke negara jiran.

Beliau menyifatkan rampasan dadah itu adalah yang terbesar di ibu negara tahun ini dan yakin polis berjaya melumpuh satu sindiket dadah didalangi warga Iran yang memproses dan mengedar syabu sekitar Lembah Klang dan luar negara, sejak awal tahun ini.

Polis sedang menyiasat sama ada sindiket itu turut dianggotai warga tempatan. Kita juga sedang menyiasat dari mana mereka memperoleh bahan membuat dadah. Kita syak minyak syabu itu dibawa mereka dari luar negara, katanya.

Di SEREMBAN, dua lelaki Iran berusia dalam lingkungan 20-an ditahan berasingan kerana cuba menyeludup dadah jenis syabu dianggarkan bernilai lebih RM417,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Rabu dan Khamis lalu.

Timbalan Pengarah Cawangan Narkotik Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Mohd Subri Awang, berkata lelaki pertama ditahan jam 10.30 malam Rabu dan menemui enam bungkusan kecil syabu seberat 1,250 gram dianggarkan bernilai RM312,500.

Kira-kira 12 jam kemudian, kita menahan seorang lagi lelaki warga negara sama dan menemui 418.35 gram syabu bernilai RM104,587 disembunyikan dalam kasutnya, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KDRM di Seremban, semalam

Rabu, 21 Julai 2010

PERTELINGKAHAN UMNO - PAS JEJASKAN PEMBANGUNAN UMMAH.

Oleh Haspaizi Mohd Zain

haspaizi@bharian.com.my

2010/07/21

Pertelingkahan politik antara UMNO – PAS turut jejas agenda pembangunan ummah
                                         ----------------------------------
AHLI keluarga penulis ada yang menyokong PAS dan ada juga penyokong tegar UMNO. Pernah satu ketika bapa saudara penulis seorang adalah ahli UMNO mengadakan kenduri perkahwinan anak perempuannya dan seorang lagi bapa saudara penulis penyokong tegar PAS datang ke majlis berkenaan tetapi tidak menjamah makanan kerana menganggap ia haram. Begitulah taksubnya penyokong PAS ketika itu dan begitulah rosaknya hubungan kekeluargaan yang harmoni gara-gara politik sempit sehingga sanggup melabelkan apa saja demi kepentingan politik. Bukan itu saja, malah imam di masjid ketika itu juga ada dua, imam UMNO dan imam PAS, padahal masyarakat Islam di negara ini mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Politik sempit ini membawa lebih banyak keburukan jika dibandingkan dengan kebaikan. Sesama Melayu dan Islam bercakaran kerana ingin menegakkan benang basah, akhirnya membawa kepada perpecahan begitu serius dan merugikan kedua-dua pihak.

Mungkin orang Melayu dan umat Islam sudah sedar bahawa pertelingkahan berpanjangan antara kedua parti terbesar ini banyak membawa kerugian dan menguntungkan pihak ketiga, maka terdengar suara-suara kecil terutama daripada rakyat bawahan menyimpan impian untuk melihat UMNO dan PAS bersatu.

Apatah lagi hari ini perpecahan dalam kalangan orang Melayu semakin serius dan mempunyai tiga mazhab politik, bagaimanapun usaha untuk menyatukan UMNO dan PAS sehingga kini dilihat masih gagal walaupun UMNO sudah membuka pintu yang luas kepada PAS untuk duduk semeja.

Malah Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan, sendiri mengakui bahawa pertelingkahan politik antara UMNO dan PAS merugikan orang Melayu serta umat Islam di negara ini, selain mengakibatkan agenda pembangunan negara juga terbengkalai.

Bagi Nasruddin, UMNO dan PAS perlu mempunyai pelan damai bagi menghentikan persengketaan itu apatah lagi umat Islam diajar supaya bersatu dengan tali Allah dan bangsa Melayu tidak akan maju dan hebat jika asyik bercakaran, selain banyak masa hilang begitu saja tanpa membawa manfaat kepada umat Islam kerana persengketaan itu.

“Ahli UMNO rata-ratanya Melayu dan beragama Islam, demikian juga ahli PAS berbangsa Melayu dan beragama Islam. Malah seorang ahli UMNO pasti saja memiliki ahli keluarganya yang menjadi ahli PAS. Demikian sebaliknya, ahli PAS juga mempunyai ahli keluarganya daripada kalangan UMNO.

“Persoalannya sampai bila Melayu UMNO dan PAS ini mahu bertelagah sehingga menjejaskan keharmonian berkeluarga. Saya kira UMNO dan PAS perlu ada pelan damai untuk menamatkan persengketaan yang panjang ini. Kebanyakan kita umat Melayu tentu sudah berasa bosan dengan pertelagahan ini.

“Kita juga tidak mempunyai banyak masa untuk menjayakan pelan damai yang saya cadangkan ini, semua pihak mesti berlapang dada. Korbankan perasaan dan kemahuan untuk bertolak ansur mencari noktah damai atau gencatan senjata laksana Aus dan Khazraj,” katanya mengulas soal perpaduan Melayu melalui laman blog peribadinya.

Walaupun sudah ada pihak yang sanggup menjadi orang tengah bagi mendamaikan pertelingkahan berlanjutan PAS-UMNO, namun masih ada suara sumbang mempertikaikan hasrat murni berkenaan. Apakah mereka ini adalah golongan tidak mahu melihat penyatuan yang menguntungkan umat Islam dan orang Melayu.

Masih ramai suara sumbang pemimpin PAS yang menentang usaha parti itu untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO, Mengapa masih ada dalang sebegini dalam parti yang dikatakan mendaulatkan Islam. Mengapa begitu marah terhadap penyatuan Melayu, sedangkan pihak menentangnya juga adalah orang Melayu.

Salahkah jika PAS dan UMNO mengambil masa seketika untuk duduk semeja berbincang mengenai masalah yang melanda orang Melayu di negara ini, selain mencari kebaikan dan menutup segala persengketaan lama.

Cukuplah berpolitik dengan cara yang merugikan orang Melayu, jangan biarkan kaum majoriti ini terhimpit dan menjadi minoriti kerana perpecahan disebabkan oleh kepentingan politik pihak tertentu. PAS yang mendukung Islam rasanya lebih arif mengenai Islam dan Nabi Muhammad SAW sendiri sentiasa mementingkan perpaduan umatnya.

Kembalilah kepada landasan Allah dalam membuat perkiraan, jangan pula emosi dan kepentingan politik melebihi kewarasan akal, contohilah sifat pemaaf dan keterbukaan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang sanggup berbuat baik dengan Yahudi yang menentangnya.

Inikan pula PAS dengan UMNO, sama-sama Islam yang memerlukan pertimbangan untuk mengadakan perbincangan secara bersama. Kepada pemimpin PAS jangan pula kerana kepentingan politik, ulama disanggah kerana tidak memihak kepada parti itu. Fikirkan seketika kepentingan Melayu dan agama Islam di negara ini.

Isnin, 19 Julai 2010

DOKTOR KATA 3, RUPANYA 4.....

A
GAMBAR MENUNJUKKAN MOHD RIZAL SHAARI DAN HORHAYU MAT HANAFI MEMANGKU ANAK PEREMPUAN  KEMBAR EMPAT DI HOSPITAL PULAU PINANG PADA 4 MEI YANG LALU.
--------------------------
Semua ini kuasa Allah SWT. Sesungguhnya Allah itu Maha Besar dan Maha Berkuasa diatas segala-segalanya. Apa yang hendak ditakdirkan oleh Allah SWT tidak siapa pun yang dapat menghalangnya.
Anak kembar empat
Pasangan suami isteri ini berasal dari Kampung Sungai Batu, Bayan Lepas Pulau Pinang telah berkahwin selama 7 tahun tetapi tidak mendaspat zuriat. Dengan izin Allah SWT mereka mendapat anak sulung kembar empat. Alhamdulillah.
Kata pasangan itu sebagai mana tersiar dalam akhbar Berita Harian mereka amat gembira menyambut kehadhrian anak-anak kembarnya itu. Pada mulanya doktor menyatakan anak-anaknya hanya kembar tiga sahaja. Tetapi sebenarnya, Allah memberinya empat orang.
Bagi saya, doa suami isteri ini dimakbulkan oleh Allah SWT.....

Khamis, 15 Julai 2010

PERPADUAN UMNO - PAS SEMOGA MENJADI KENYATAAN. UTUSAN MALAYSIA.

Najib sangkal UMNO lemah


A
Oleh HELMI MOHD. FOAD dan THOMAS CHONG

pengarang@utusan.com.my


Najib Tun Razak melihat sijil anugerah perkhidmatan cemerlang yang diterima oleh pegawai Kementerian Kewangan pada majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di Putrajaya, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
PUTRAJAYA 14 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak menolak sebarang dakwaan bahawa UMNO kini berada dalam keadaan terlalu lemah sehingga terpaksa mencari rakan baru termasuk menjalinkan kerjasama dengan Pas.

Perdana Menteri berkata, UMNO mempunyai kekuatan tersendiri dan tiada sesiapa yang harus meragui bahawa parti itu juga memperjuangkan Islam sebagai salah satu teras perjuangannya selama ini.

Dalam hal ini, beliau yang juga Presiden UMNO mahu melihat perkembangan selanjutnya berhubung saranan pelbagai pihak agar parti itu menjalin kerjasama dengan Pas dalam pelbagai bidang termasuk mengukuhkan Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini.

''Kita hendak juga Pas menghormati UMNO sebagai parti yang ada kekuatan dan sebagai parti yang juga memperjuangkan Islam sebagai salah satu teras perjuangannya selama ini dan tidak ada sesiapa yang harus meragui akan perjuangan kita.

''Sama ada ia (kerjasama dengan Pas) menjadi kenyataan atau sebaliknya bergantung kepada perkembangan selanjutnya," kata beliau.

Najib berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 serta Penganugerahan Pembaharuan Pensijilan 5S Perbendaharaan di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, buat masa ini beliau tidak mahu membuat sebarang ulasan tentang usaha kerjasama kedua-dua parti berkenaan dan menganggap kenyataan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perkara itu semalam sudah mencukupi.

Laporan akhbar hari ini memetik Muhyiddin sebagai berkata, UMNO menyatakan komitmen dan kesediaan untuk bertemu dan menjalinkan kerjasama dengan Pas dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan orang Melayu di negara ini.

Dalam reaksinya pada hari yang sama, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dilaporkan bersetuju bahawa UMNO dan Pas perlu bersatu dalam memperjuangkan agama Islam di negara ini.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

• Khalid seret Pusat

• Najib sangkal UMNO lemah

• Pasir: Tamparan hebat kepada Pakatan

• Klinik bergerak 1Malaysia akan diperkenalkan

KOMEN: HARAP-HARAP PENYATUAN UMNO DAN PAS MENJADI KENYATAAN.

Jumaat, 9 Julai 2010

PENDEKATAN PEMBANGUNAN EKONOMI PERLU SYUMUL BAGI BINA PERADABAN SEMPURNA.

2010/07/08

KEADAAN dunia semasa sepatutnya membuka hati kita kepada usaha mendukung nilai kemanusiaan untuk membangun. Senario masyarakat di dunia Barat yang menjadi kiblat manusia kini perlu kepada penilaian.

Usaha membangun masyarakat melalui pencapaian pertumbuhan ekonomi bukan saja memusnah peradaban kehidupan manusia tetapi juga gagal meneruskan agenda pertumbuhan ekonomi negara secara berterusan. Hukum alam menjelaskan jika penumpuan dalam membina sesebuah masyarakat tertumpu kepada sesuatu aspek keperluan manusia sudah pasti aspek lain akan terabai. Keperluan untuk memajukan umat manusia adalah pelbagai dan perlu dijayakan dalam acuan yang sepadu. Keadaan ekonomi di Amerika Syarikat dan Eropah walaupun angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sedikit memberangsangkan tetapi hakikatnya membimbangkan pada masa depan. Angka pengangguran berada pada tahap tinggi, kos sara hidup terus meningkat, kadar hutang individu dan negara makin membesar dan kadar kemiskinan pada tahap tinggi.

Pertumbuhan KDNK di negara itu tidak mencerminkan kebajikan masyarakat turut meningkat. Bahkan, angka KDNK yang menjadi penanda aras pertumbuhan ekonomi sekarang mula dipersoalkan terhadap kesan positif kepada kebajikan masyarakat.

Persoalan yang perlu diberi perhatian ialah adakah pengukuran pertumbuhan ekonomi saja mampu menyelesai keperluan guna tenaga, penurunan kadar kemiskinan dan penurunan kos sara hidup.

Jika Malaysia mahu mencapai kemajuan ekonomi dengan meningkat kebajikan rakyat, maka strategi penyusunan kehidupan yang menyeluruh perlu diberi perhatian oleh pemerintah.

Pendekatan ini memerlukan Malaysia menggubal hanya satu rancangan pembangunan negara meliputi semua aspek termasuk bidang kerohanian, pendidikan, kebudayaan, ekonomi, institusi keluarga dan politik.

Melalui pendekatan itu, semua aspek yang menghasil kepada kebajikan rakyat akan dirancang dan dilaksana secara komprehensif serta bersepadu. Maknanya, pendekatan itu mampu menghala masyarakat membina sebuah peradaban sempurna.

Matlamat akhir perancangan pembangunan negara yang menyeluruh hendaklah mampu menjana kepada kesejahteraan rakyat. Pendekatan bersifat syumul ini adalah langkah untuk membangun peradaban masyarakat sempurna.

Krisis dan kemelut ekonomi dihadapi masyarakat dunia adalah natijah daripada pendekatan memberi tumpuan kepada usaha mencapai pertumbuhan ekonomi. Tidak menghairankan jika strategi ini menjadi panduan kebanyakan negara semasa kerana mereka yakin dengan ideologi kapitalisme.

Walaupun kerenah kemanusiaan hasil daripada pelaksanaan sistem ini kepada masyarakat sangat mendalam, manusia seolah-olah tidak mampu merujuk kepada pendekatan alternatif. Jika ada perubahan yang hendak dilaksana ia masih dalam gagasan ideologi itu.

Kapitalisme dibina atas falsafah kebendaan, individualisme dan naturalisme. Ia bersifat kebendaan kerana pada awal lagi manusia ditakrif sebagai makhluk ekonomi. Matlamat hidup manusia seperti kefahaman demikian ialah untuk memuaskan nafsu jasadnya (hedonism).

Cara harta itu dikumpul bagaimanapun tidak menjadi perhatian. Hasilnya banyak kerenah ketidakadilan berlaku dalam masyarakat hari ini. Penindasan, penipuan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya sudah pasti menjadi natijah dari pendekatan kehidupan itu.

Dalam menyusun perjalanan sistem ekonomi, sistem kapitalisme mengemukakan pendekatan laisse faire (kebebasan mutlak hendaklah diberi kepada individu) melalui institusi pasar. Melalui institusi pasar semua aktiviti ekonomi akan dijalankan. Individu justeru itu akan mengguna kebijaksanaannya memanipulasi aktiviti ekonomi untuk kepentingan diri.

Di samping itu, peranan sektor awam hendaklah diminimumkan. Jika sektor awam turut aktif dalam penyusunan ekonomi negara, sektor swasta (sektor individu) akan terhakis. Penyusunan sistem ekonomi kapitalisme masa kini sudah tidak menepati ideologi dan pendekatan asal kapitalisme.

Turut membimbangkan alam sekitar menghadapi permasalahan. Cuaca tidak menentu, bekalan keperluan asas seperti air dan makanan menjadi isu ketara dalam masa terdekat. Keadaan alam sekitar membuktikan kerakusan tingkah laku manusia membolot hasil bumi dalam proses membangun kekayaan.

Apa yang lebih membimbangkan, institusi kekeluargaan bertambah rapuh akibat banyak masa diperuntukkan untuk menampung keperluan hidup menyebabkan keperluan ahli keluarga terpaksa diabaikan. Akibatnya institusi keluarga makin rapuh dan perkahwinan dianggap lapok. Sekarang perkahwinan sejenis sudah menjadi kenyataan.

Dalam suasana sedemikian, manusia terus gagal mencari pendekatan baru untuk kembali kepada kesejahteraan. Sudah tiba masanya untuk manusia kembali kepada ajaran agama. Malangnya jika ada pendekatan baru berunsurkan agama, usaha masih tidak dapat dikemukakan di luar kerangka kapitalisme.

Kegagalan memahami Islam secara syumul turut membantut kepada pembinaan tamadun berasaskan Islam. Bahkan apa yang dianggap pendekatan menepati kehendak Islam tidak bersifat syumul dan komprehensif.

Justeru, pendekatan agama khususnya Islam mesti diasaskan kepada falsafah tauhid. Semangat keadilan dan memupuk muafakat dikalangan umat manusia termasuk aspek penyusunan ekonomi perlu menjadi gagasan Model Baru Ekonomi sesebuah negara.

Penulis ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Selasa, 6 Julai 2010

RAKAN-RAKAN FB

AKU memang amat suka berceloteh dengan rakan2 fb. Kini rakan2ku telah lebih dari 600 orang. Seronok juga. Lelaki perempuan, tua muda, kanak2 dewasa semuanya menjadi rakan. Ada sesetengahnya pandai berceloteh. Aku suka mengikutinya.

ADA sesetengahnya tidak faham pula erti bersahabatan. Mereka fikirkan apa yang aku cakap itu betul. Mereka jadi cemburu BODOH. Aku ramai ada anak-anak angkat fb, kami mesra berbicara, ada dlm kalangan kami yang bijak berpantun. Berbalas-balas pantunlah aku dengan mereka.

Ada berfikiran nagative tentang pantun2 yg kami karang. Mereka jadi cemburu. Mereka hentam aku. Tidakkah bodoh namanya itu.

Sebenarnya aku sendiri tidak yakin dalam usia yang selanjut ini apakah dapat aku menemu merekitua. Dapatkah aku minum atau makan semeja dengannya. Aku sendiri sebenarnya tak gemar berjumpa kawan2 fb. Aku suka beginilah. Berceloteh, balas pantun, usik mengusik dan tak lebih dari itu.

Sekian dan terima kasih.

Ahad, 4 Julai 2010

CERITA BOLA SEPAK DI MANA-MANA...


SEBENARNYA aku tidaklah minat sangat bola sepak ini walaupun disuatu masa dahulu aku seorang pemain bola sepak diperingkat kampung dan daearah polis. Kata orang, aku sekadar boleh sepak bola saja. Permainannya tidak seberapa.
       Kbetulan bola sepak piala dunia sedang berlansung diAfrika Selatan dan sedang asyik diperkatakan di mana-mana, maka aku pun turutlah mencelah atau mendengar apa yang diperkatakan oleh peminat-peminatnya di kedai-kedai kopi. Akhbar-akhbar, radio dan television begitu asyik memperkatakannya. Kadang2 penonton lebih bijak menilaikannya dari penadil dan pemain itu sendri.
       Kaki judi pun mulalah mengadu nasib. Sebenarnya aku sendiri tidak tahu bagaimana pertaruhan judi itu dilakukan. Kerana aku ini bukan kaki judi agaknya, kerana itulah agaknya bagaimana pertaruhan itu dilakukan aku tidak mengambil berat. Dan aku tidak tahu tentang judi bola.
       Masa aku remaja dulu, sibuk dikatakan tentang pawang, bomoh, jin dan sebagainya. Satu pasukan yang dianggap kuat tetapi kalah, maka lawannya itu akan dikatakan pakai pawan   g, bomoh atau pakai jin  untuk mengalahkan lawannya. Entahlah. Wallahualam bs.
        Dalam piala dunia kali ini beberapa pasukan yang dianggap kuat dan hebat telah pun kalah. Argentina, Portugal dan Brazil dah kalah. Italy juga dah balik kampung.
        Surat2 khabar dah menyebut berbagai-bagai pasukan yang kalah itu.
        Dalam fb pun sibuk. Nak ketawa dibuatnya. Mereka zahirkan pasukan mana yg mereka sokong. Bila palsukan itu kalah...bersoraklah mereka yg menyokong pasukan yang menang itu.
        Aku sekadar mengikut perkembangannya saja.