MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Khamis, 29 Mac 2012

Berita Harian Online | Hari Sastera Nasional Ke-15 di Melaka

Melaka Bandaraya Bersejarah menjadi tuan rumah Hari Sastera kali ini. Rakan-rakan penulis dari Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM) turut sibuk. Ketua satu Mokhtar Yasin dan Ketua dua Razali Endun teramatlah sibuknya. Apa cerita baru agaknya....
Berita Harian Online | Hari Sastera Nasional Ke-15 di Melaka

Ahad, 25 Mac 2012

PUISI "LANDASAN KEBENARAN"

SEBUAH lagi puisi saya tersiar dalam Mingguan Malaysia bertajuk LANDASAN KEBENARAN. Terima kasih Mingguan Malaysia khususnya Ku Seman Ku Hussein. Kebetulan seorang sahabat saya dari utara tanah air turut mendapat tempat. Dalam Berita Minggu GURINDAM MEMBACA dan dalam Mingguan Malaysia KITA SAKSIKAN. Tahniah anaknda Mohd Hilmi Ahmad.

Sabtu, 24 Mac 2012

TIBA-TIBA SAYA TERINGATKAN RAKAN-RAKAN LAMA MALAH ADA YANG TELAH MENINGGALKAN KITA BUAT SELAMA-LAMANYA.....

SEMASA mula-mula menjinakkan diri dalam dunia penulisan dahulu saya banyak didorong oleh penulis veteran HANIFAH MELAKA atau DATUK AHMAD BIN HAJI ABDULLAH. Dia banyak menulis cerpen dan sajak  yang tersiar disekitar tahun 50an. Cerpen dan sajaknya banyak tersiar dalam majalah Mutiara dan lain-lain majalah di zamannya. Beliau meninggal dunia dalam usia 74 tahun pada tahun 2006 (kalau tak silap).
2) Pengarang novel KALAU ROBOH KOTA MELAKA Allahyarham Omar Ahmad meninggal dunia awal tahun 90an dalam usia sekitar 57 atau 58 tahun. Omar Ahmad banyak memberi saya panduan untuk menjadi seorang penulis yang baik. Omar Ahmad aktif menulis cerpen pada tahun 60an dan beliau selalu memenangi hadiah menulis cerpen RM100.00 yang dianjurkan oleh Berita Harian. Omar Ahmad kenalan rapat Datuk A. Samad Said, kebetulan mereka sekampung. Kampung Durian Tunggal, Melaka. Hanifah Melaka juga orang Durian Tunggal.
3) Allahyarham T.S.Sidi juga orang Durian Tunggal. Dia lebih tua dari saya 3 atau 4 tahun. T.S.Sidi banyak menulis puisi dan cerpen pada tahun-tahun 60an, 70an dan 80an. Bila bertemu dengannya saya selalu bercakap fasal sastera. Dia seorang yang gigih belajar dan bekerja. Dari seorang penjual sayur di Pasar Besar Kuala Lumpur sehingga menjadi seorang Pengarah di Syarikat Dumex.
4) Ketika menjadi polis Di Singapura saya mengenali Nordin Yunus (Adi Nor), Kamsani Ideris dan Rafaeah Buang (penyanyi). Adi Nor masih ada dan menetap di Kampung Durian Tunggal, sekarang. Kamsani Ideris tidak dapat di hubungi. Rafaeah Buang (Allahyarham). Seorang lagi ialah Allahyarham Onn Abdul Rahman. Mereka yang saya sebutkan ini adalah sidang pengarang majalah Satria Malaysia kemudian menjadi majalah Perkawalan. Terima kasih kepada mereka yang sentiasa memberi perhatian pada karya-karya saya.
5) Selepas bertukar ke Kelantan saya dihubungi oleh seorang tokoh sasterawan Singapura ia
allahyarham Mahmud Ahmad. Beliau mengikuti setiap cerpen saya yang tersiar dalam akhbar-akhbar waktu itu (Berita Minggu dan Mingguan Malaysia) dan memberikan sedikit komen yang membina. Itulah Mahmud Ahmad pengarang majalah sastera MEDAN SASTERA. Beberapa buah cerpen saya disiarkan dalam majalan Medan Sastera ini.
.......saya akan sambung lagi...

Rabu, 21 Mac 2012

APA YANG SAYA HENDAK TULIS......???

KADANG-KADANG berjam-jam saya mengadap laptop untuk menulis sesuatu. Tetapi tidak ada apa yang dapat saya hasilkan. Kalau saya terus juga berkarya, maka pasti karya saya itu tidak bernialai. Kalau tidak bernialai, sesuai untuk disimpan sahaja. Dihantar ke majalah-majalah atau ke akhbar-akbar pun tidak akan disiarkan. Kerana itu saya banyak menghabiskan masa bermain dengan cucu-cucu atau membaca novel atau majalah. Membaca amat penting bagi seorang penulis yang ingin maju. Terima Kasih.

Selasa, 6 Mac 2012

AKU TELAH BERUSIA.....


SASTERAWAN NEGARA Datuk Abdullah Hussein dalam usia lebih dari 70 tahun telah dapat menghasilkan sebuah novel yang hebat (IMAN)dan memenangi hadiah sastera Malaysia beberapa tahun lalu. Sekarang Abdullah Hussein telah berusia hampir atau telah mencecah 90 tahun. Beliau tidak berkarya lagi. Aku sekarang walaupun belum mencecah 70 tahun (68) tetapi sudah terasa tidak mempu hendak berkarya. Hendak menghasilkan sebuah puisi pun terkial-kial. Memakan masa begitu lama sekali. Lebih-lebih hendak menghasilkan sebuah cerpen atau novel. Rasanya macam tidak mampu lagi. Terasalah diri ini semakin tua dan semakin lemah. Semoga Allah SWT terus memberikan aku semangat untuk terus berkarya. ALLAHUAKBAR.

Ahad, 4 Mac 2012

PUISI "AKU INGIN MELAGUKAN"

Ini puisi ke tigaku tahun 2012 tersiar 4.3.2012. Alhamdulillah. Sebulan tersiar satu pun sudah cukup. Tidak kira cerpen atau sajak.....