MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Ahad, 30 Mei 2010

PERCEPATKAN PENDAKWAAN KES BUANG BAYI DAN DERA KANAK2 - BH.

2010/05/30




SULTANAH Kalsom, Shahrizat dan Adnan melihat tempat perlindungan bayi yang disediakan OrphanCARE di Kuala Lumpur, semalam.Pertubuhan Kebajikan dan pengurusan Anak Yatim (OrphanCARE) melancarkan Baby Hatch, tempat perlindungan bayi 'tidak dikehendaki' ibu bapa pertama di Kampung Tunku, Petaling Jaya



KLANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara untuk mempercepatkan proses pendakwaan terhadap mereka yang disabitkan kesalahan membuang bayi dan penderaan kanak-kanak. Menterinya, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata cadangan itu antara langkah terbaik untuk memastikan mereka yang disiasat segera dibawa ke muka pengadilan untuk dihukum, sekali gus menjadi pengajaran kepada rakyat. “Sekarang pun kementerian mendapat kerjasama polis untuk mempercepatkan siasatan,” katanya selepas merasmikan program Juara Rakyat dan Hari Keluarga Parlimen Kota Raja di sini, semalam.



Terbaru, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dipercayai menanam mayat bayi lelaki berhampiran landasan kereta api Stesen Komuter Padang Jawa, di sini, Sabtu lalu direman empat hari, mulai kelmarin. Turut direman, kakaknya yang berusia 24 tahun kerana disyaki bersubahat.



Pada majlis berasingan di ibu negara, Shahrizat berkata, lelaki yang melarikan diri kerana enggan bertanggungjawab selepas menghamilkan wanita tidak terlepas daripada undang-undang.



“Sudah terlalu lama wanita saja dipersalahkan dalam kes hamil luar nikah dan pembuangan bayi tetapi lelaki melarikan diri. Saya memberi amaran kepada bapa ghaib ini mereka tidak akan terlepas,” katanya selepas majlis perasmian Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (OrphanCARE) serta pelancaran Baby Hatch atau Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini, yang pertama di Malaysia.

Perasmian itu disempurnakan Penaung OrphanCARE yang juga Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.



Shahrizat berkata, beliau tidak menyangka Baby Hatch perlu diwujudkan di Malaysia kerana negara memiliki kerajaan yang bertanggungjawab serta rakyat penyayang.



Beliau turut menegaskan kewujudan Baby Hatch tidak bertujuan menggalakkan kes kehamilan luar nikah, sebaliknya menyelamatkan bayi dibuang ibu bapa yang tidak menghendaki mereka.



Presiden OrphanCARE, Datuk Adnan Mohd Tahir, berkata Baby Hatch yang beroperasi 24 jam adalah pilihan terakhir kepada bayi tidak dikehendaki yang menyediakan tempat perlindungan sihat dan selamat sebelum diserahkan kepada keluarga angkat.



Beroperasi selama 24 jam, beliau berkata, sesiapa saja datang ke OrphanCARE dan meletakkan bayi di tempat yang dikhaskan. Komen Anda

Khamis, 27 Mei 2010

BAWA PULANG SEGERA RAJA PETRA - UTUSAN MALAYSIA.

DALAM NEGERI

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

pengarang@utusan.com.my

RAJA PETRA


KUALA LUMPUR 26 Mei – Pelbagai pihak hari ini terus mempersoalkan bagaimana pengendali portal berita antikerajaan, Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dapat menjalani kehidupan mewah di Britain jika tidak ada individu yang menaja beliau.



Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, justeru adalah tidak salah sekiranya ramai yang melihat Raja Petra telah ditaja pihak tertentu bagi meneruskan misi memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.



“Tidak mungkin dia boleh hidup dengan selesa di Britain, yang kita tahu kos hidup di sana sememangnya tinggi tanpa dibantu sesiapa ditambah pula dia adalah seorang yang muflis.



“Ini menimbulkan kehairanan dan kita mahu persoalkan siapakah yang terlibat dalam perkara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.



Beliau diminta mengulas kemunculan semula Raja Petra Sabtu lalu yang mencabar kerajaan Malaysia supaya mendakwanya di mahkamah Britain atas segala pertuduhan terhadapnya sebelum ini.



Raja Petra seperti dilaporkan portal miliknya itu dan beberapa portal propembangkang mendakwa dirinya bersedia berhadapan dengan semua pertuduhan itu kerana menganggap Britain adalah ‘wilayahnya’.



Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa di negara ini diminta segera mengambil tindakan terhadap Raja Petra dengan meminta bantuan kerajaan Britain bagi membolehkannya dibawa pulang ke Malaysia.



“Sepatutnya kita sudah lama minta bantuan dari Britain. Saya harap kita tidak biarkan kerajaan dimain-mainkan seperti ini,” katanya,



Sementara itu, seorang lagi ahli MT UMNO, Datuk Dr. Latiff Ahmad menggesa Raja Petra sendiri mendedahkan siapa yang membiayai kehidupan mewahnya di London itu.



Katanya, Raja Petra hanya perlu menyebut sama ada pihak tersebut merupakan ahli politik, tokoh korporat atau negara-negara tertentu.



“Raja Petra tak perlu sebut nama penajanya sebab kita tahu jika dia bongkar identiti penajanya maka bantuan kewangan kepadanya akan dihentikan serta-merta. Dia hanya perlu beritahu golongan mana yang menajanya,” katanya.

OSMAN DOL KOMEN: MANA DIA NAK LARI DUNIA INI BULAT.....

Rabu, 26 Mei 2010

ANAK PRESIDEN MIC BIADAP - TPM iBAHAB DARI UTUSAN MELAYU)

BERITA UTAMA

Anak Presiden MIC biadab – TPM



Oleh SAHBULAH DARWI dan KAMIL MASLIH

utusanjohor@utusan.com.my



MUAR 25 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan anak Presiden MIC, S. Vell Paari menuduh UMNO melakukan ‘pembunuhan politik’ (political assassin) untuk memecahbelahkan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu sebagai biadab dan tidak bertanggungjawab.



Timbalan Perdana Menteri yang menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut menegaskan, kepimpinan BN dan UMNO tidak terlibat dalam masalah MIC.



Oleh itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN meminta supaya UMNO tidak dikaitkan dengan masalah dalaman parti yang diterajui Datuk Seri S. Samy Vellu itu.



“Jangan kaitkan UMNO dalam soal itu. Ia satu perbuatan yang bagi saya bukan sahaja tidak adil tetapi biadab,” katanya selepas merasmikan majlis ramah mesra Menteri Pelajaran bersama warga pendidik di Kompleks Sukan Pagoh dekat sini hari ini.



Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO mengulas kenyataan Vell Paari semalam yang menuduh UMNO menggunakan ‘pembunuhan politik’ untuk memecahbelahkan parti komponen BN itu dalam wawancara dengan laman web Free Malaysia Today.



Sambil merujuk desas-desus mengenai kewujudan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) mendapat restu pemimpin tertinggi UMNO, Vell Paari yang juga Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC menyelar UMNO kerana memulakan tindakan berbahaya.



Menurut Muhyiddin, tuduhan Vell Paari tidak adil lebih-lebih lagi ia dibuat kerana beliau mempunyai kepentingan sebagai anak kepada Presiden MIC.



“Dia bercakap kerana dia anak presiden, jadi jangan buat tuduhan melulu. Saya nak menafikan sekeras-kerasnya bahawa kita terlibat, kalau ada pun pihak-pihak yang membuat pengakuan, itu adalah pandangan mereka tapi kepimpinan BN dan UMNO tidak terlibat,” jelasnya.



Beliau berkata, pucuk kepimpinan BN dan UMNO sentiasa mengambil kira dan menjaga kepentingan semua parti komponen dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.



“Kita tak mahu cari jalan yang lebih menimbulkan masalah, yang ada sudah cukup,’’ katanya dan menambah perbuatan menuding jari sebagai tidak bertanggungjawab.



Beliau menasihatkan Vell Paari supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut dan pada masa sama, Samy Vellu perlu memberi nasihat kepada anaknya agar tidak mudah melakukan sesuatu perkara yang menyentuh perasaan pemimpin-pemimpin parti lain.

KOMEN OSMAN DOL: ....LU FIKIRLAH SENDIRI....

Isnin, 24 Mei 2010

LIMA DILUCUTKAN PINGAT KEBESARAN - DARI BERITA HARIAN.

Oleh Ismail Mat



2010/05/24

Pemangku Raja Kelantan anggap penerima gagal jaga integriti



KOTA BHARU: Lima kenamaan negeri terdiri tiga bergelar Datuk dan dua Jaksa Pendamai (JP) dilucutkan pingat kebesaran masing-masing yang dikurniakan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.



Mereka yang dikenakan tindakan terbabit terdiri daripada tiga kakitangan kerajaan negeri yang masih berkhidmat di pusat pentadbiran Kota Darul Naim dan Balai Islam. Dua lagi ahli perniagaan dikenakan tindakan sama pula terbabit dalam bidang pembinaan dan automobil. Sumber berkata, semua individu terbabit dipercayai sudah atau akan menerima surat makluman mengenai perlucutan pingat kebesaran daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan dalam tempoh terdekat.



Katanya, tindakan itu diambil Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, berikutan kegagalan individu berkenaan menjaga integriti sebagai penerima darjah kebesaran negeri ini seterusnya menjejaskan nama baik institusi Istana Kelantan.



Difahamkan, dua daripada individu terbabit juga berdepan perbicaraan di mahkamah selepas didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dan rasuah.



Sebelum ini, tindakan melucutkan pingat kebesaran Kelantan bagi gelaran Datuk diambil Pemangku Raja terhadap empat individu yang terdiri daripada seorang ahli politik dan tiga ahli perniagaan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, ketika dihubungi meminta perkara itu dirujuk kepada Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias yang bertanggungjawab mengenainya.



"Saya tidak dapat mengulas tindakan itu kerana ia adalah di bawah urusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya.



Usaha mendapatkan komen daripada Mohd Aiseri tidak berhasil kerana menghadiri mesyuarat.
 
KOMEN OSMAN DOL:  TAHNIAH TUANKU....

Ahad, 23 Mei 2010

PENGORBANAN GURU - DARI BERITA HARIAN.

Oleh Hassan Omar

hassanomar@bharian.com.my

2010/05/16

sebelum - selepas



Terpaksa naik perahu, meredah ombak Laut Sulawesi untuk ke sekolah



ALUNAN ombak Laut Sulawesi di celahan puluhan pulau terpencil di daerah Semporna, Sabah tidak pernah menjanjikan kebahagiaan untuk golongan pendidik dari Semenanjung atau dari wilayah lain. Pada ketika angin dari pelbagai penjuru mengubah wajah ombak menjadi gulungan ganas menghempas perahu, mahu saja si pendidik meninggalkan pulau terpencil itu untuk pulang ke Semenanjung sambil melupakan khidmat bakti yang harus dicurahkan kepada anak nelayan. Namun, tautan tugas sebagai pendidik menuntut mereka mengetepikan desakan nurani untuk meninggalkan bumi Semporna. Kemurnian tugas mendidik anak bangsa membuatkan mereka harus tabah menghambakan diri kepada tugas meskipun hati terasa berat untuk meneruskan perjuangan membela nasib anak bangsa.



Meskipun terpaksa menempuh ombak Laut Sulawesi untuk menjejakkan kaki di Pulau Bait, kira-kira tujuh batu nautika dari tanah besar di Kampung Tanjung Kapor, Semporna, si pendidik dari pelbagai negeri di Semenanjung tidak mudah mengalah.



Walaupun terpaksa bermandi peluh dan ada ketika kuyup ditimpa hujan ketika perahu mendaki dan menuruni ombak sewaktu berulang alik ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bait di pulau kecil itu, mereka tidak mudah tewas kepada persekitaran yang mencabar minda dan fizikal.



Pulau Bait, satu daripada 49 pulau terpencil dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan, tidak pernah menjanjikan jalan berturap, bangunan sekolah diperbuat daripada batu, kemudahan bekalan air bersih, bekalan tenaga elektrik dan pelbagai kemudahan lain yang ada di tanah besar, khususnya di bandar.

Setiap pagi, mulai jam 6, ketika guru di bandar selesa memandu kereta ke sekolah, guru di Pulau Bait terpaksa memperjudikan nasib kepada perahu yang dikemudi penduduk kampung ketika meninggalkan jeti Kampung Tanjung Kapor untuk ke sekolah.



Begitu juga dengan guru di SK Pababag, di Pulau Pababag yang bersebelahan dengan Pulau Bait. Mereka terpaksa menyerahkan ketentuan nasib kepada Allah SWT setiap kali menggunakan perahu dari jeti Kampung Tanjung Kapor ke pulau terpencil itu.



Dengan perahu menggunakan enjin 15 kuasa kuda, si pendidik berdoa semoga perjalanan berulang alik dari Kampung Tanjung Kapor ke Pulau Bait dan Pulau Pababag sentiasa dirahmati Allah.



Kira-kira 20 minit berada dalam perut perahu ketika meredah ombak ke Pulau Bait dan Pulau Pababag tidak banyak membolehkan mereka berbual dengan rakan-rakan atau penumpang yang lain. Yang ada dalam fikiran mereka hanyalah mahu segera tiba di jeti.



Bagi Ustazah Mazwin Nasir, 27, dari Kampung Jerik, Gua Musang, Kelantan, khabar yang diterimanya pada Januari 2007 bahawa beliau akan ditugaskan di SK Bait, seolah-olah merentap nuraninya.



Pada usia pernikahan baru berusia sebulan, graduan jurusan Usuluddin Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu terpaksa meninggalkan suaminya untuk terbang jauh ke Semporna dan menabur bakti di pulau terpencil.



"Saya mula bertugas di sekolah ini pada 29 Januari 2007. Pertama kali menaiki perahu, rasa macam hendak menangis. Macam tak mahu menjadi guru. Ketika itu, ombak besar. Habis kuyup saya ditimpa tempias ombak. Setibanya di jeti Kampung Bait, terpaksa mula meniti jeti kayu licin dan mendaki bukit berlumpur untuk ke sekolah.



"Pengalaman sepanjang menaiki perahu berulang alik dari jeti Kampung Tanjung Kapor ke jeti Kampung Bait ada kalanya membuatkan saya seolah-olah mahu segera meninggalkan pulau ini. Namun, berkat kesabaran, saya harungi juga ombak Laut Sulawesi ini. Alhamdulillah, sekarang saya sudah biasa dengan ombak," ujarnya.



Bagi rakan serumah Ustazah Mazwin, Ustazah Nur Suhaila Mohamad, 32, dari Kampung Pangkal Kalong, Ketereh Kelantan, pertama kali menjejakkan kaki dalam perut perahu bersama Mazwin membuatkan tekak terasa loya dan kepala berpinar-pinar apabila dibuai ombak.



"Rasa nak muntah mabuk laut tetapi saya tahan juga. Sewaktu dilambung ombak, rasa macam hendak menjerit. Wajah ibu dan ayah terbayang-bayang di depan mata. Namun, inilah cabaran yang harus saya hadapi. Bukan mudah menjadi guru di pulau terpencil macam Pulau Bait," ujarnya dengan segaris senyuman.



Mazwin dan Nur Suhaila yang menyewa rumah di sebuah taman perumahan kira-kira tiga kilometer (km) ke Kampung Tanjung Kapor dan 10 km dari pekan Semporna, memperuntukkan RM60 seorang untuk berulang alik menaiki perahu ke sekolah.



Ketiadaan tenaga elektrik dan bekalan air paip di Kampung Bait tidak memungkinkan mereka menjadi sebahagian daripada kira-kira 300 penduduk kampung berkenaan.



Selepas tiga tahun menabur bakti mendidik anak nelayan di pulau terpencil itu, kini Mazwin dan Nur Suhaila tidak lagi menganggap ombak yang diharungi setiap hari sebagai bebanan besar untuk meneruskan kerjaya murni membentuk murid berilmu dan bersahsiah.



Cuma pada ketika cuti persekolahan dan Aidilfitri, mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama keluarga walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk pulang ke pangkuan keluarga.



Bagi Mazwin, suami di Bangi, Selangor harus segera ditemui pada setiap musim cuti persekolahan, manakala Nur Suhaila mahu segera menatap wajah ibu dan ayah di Ketereh.



Bagi mereka, ombak Laut Sulawesi, jeti licin di kedua-dua kampung itu, lereng bukit agak curam di laluan dari jeti Kampung Bait ke SK Bait dan titis air masin yang membasahi kulit wajah dan tubuh ketika mengharungi laut adalah teman paling setia selagi pengorbanan mereka dituntut demi masa depan anak bangsa di pulau terpencil.
 
KOMEN OSMAN DOL: SANJUNGI DAN HORMATILAH GURU....

Jumaat, 21 Mei 2010

ABUYA MINTA DIRELAKAN PEMERGIANNYA - DARI BH.

Oleh Norfatimah Ahmad

tim@bharian.com.my

2010/05/21

Hatijah beritahu Abuya minta direlakan ‘pemergian’



KUALA LUMPUR: Hatijah Aam, isteri kedua Asaari Muhammad mendakwa mendengar suara suaminya meminta supaya merelakan pemergiannya secara fizikal bagi membolehkan rohnya bangkit memimpin umat Islam ketika terlantar sakit di sebuah hospital di Ipoh, baru-baru ini.

Hatijah Amm berkata, tugasan penting Asaari adalah untuk pergi dan kemudian kembali semula untuk bersama pengikutnya. “Suara itu menyebut “kamu nak suruh orang tua yang tidak ada gigi yang kerepot ini bangun buat apa? Kenapa tidak fikir yang akan bangun nanti bukan yang ini,” katanya ketika ditemui di Bandar Country Homes Rawang, baru-baru ini. Hatijah, 56, berkata suara itu kedengaran jelas beberapa minit sebelum Asaari, disahkan meninggal dunia pada 13 Mei lalu, di KPJ Ipoh Specialist Centre akibat jangkitan paru-paru.

“Abuya sudah bebas di alam ini... Abuya boleh pergi dan boleh balik. Janji Allah kepada orang-orang roh, mereka bebas di alam roh tanpa diganggu kerana selama ini fizikal mengganggu keaktifannya. Jadi, sekarang saksikan keajaibannya,” katanya.

Malah Hatijah berkata, ketika berkomunikasi dari hati ke hati dengan suaminya itu, Asaari sempat mengukir senyuman kepadanya dan membuka mata sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

Beliau berkata, Asaari kini boleh melakukan kegiatan roh secara total kerana sudah bebas daripada fizikalnya yang menyekat pergerakannya selama ini. Komen Anda

Guna Facebook id anda.

Nama : OSMAN DOL

Emel :

Komen : BOLEHKAH ANDA PERCAYA APA YANG DINYATAKAN OLEH HATIJAH////

Khamis, 20 Mei 2010

PANTOMIN ABUYA.... DARI BH ONLINE...

Oleh Anwar Hussin

anwarhussin@bharian.com.my

2010/05/20


PERSEMBAHAN pantomin Abuya terlantar sakit dengan rohnya berdiri di sampingnya ketika konsert di Bandar Country Homes, Rawang, Isnin lalu.Pengikut percaya Asaari tak mati

KUALA LUMPUR: Tidak sampai seminggu Asaari Muhammad atau lebih dikenali sebagai Abuya meninggal dunia, pengikutnya kembali mencetuskan kontroversi apabila mengadakan konsert khas bagi menggambarkan kononnya bekas pemimpin kumpulan Al-Arqam yang diharamkan itu cuma ghaib dan akan pulang semula dalam masa terdekat.

Konsert ‘Kalahkan Nafsu Abuya Pulang’ yang diadakan selama dua hari bermula Isnin lalu di Bandar Country Homes, Rawang, diselitkan dengan nyanyian nasyid dan bacaan puisi yang antara lain memuji Asaari sebagai pemimpin hebat, manakala persembahan pantomin menunjukkan Abuya terlantar sakit dengan rohnya berdiri di sampingnya. Anak sulungnya, Fakhrur Razi memangku jawatan Pengerusi Eksekutif Global Ikhwan Sdn Bhd – syarikat yang sebelum ini diterajui Asaari dalam ucapan pembukaan konsert itu, berkata Abuya sebenarnya hanya pergi sementara dan akan kembali dengan jasad yang hidup bagi memimpin umat Islam. “Kita bersyukur kerana kita semua tidak bersedih dengan pemergian Abuya kerana sebenarnya Abuya tidak mati, tetapi hanya ghaib. Kegembiraan yang kita tunjuk ini adalah bukti yang kita yakin perkara itu.

KOMEN OSMAN DOL; SEMOGA ALLAH SELAMATKAN KITA SEMUA DARI KESESATAN...

Selasa, 18 Mei 2010

REMAJA TANAM BAYI - UTUSAN MALAYSIA.

BERITA UTAMA

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

pengarang@utusan.com.my

MELAKA 17 Mei – Bagaikan bermusim, gejala buang bayi kini seperti tiada penghujungnya.

Ada yang dihanyutkan ke sungai, dibakar, disumbat ke dalam lubang tandas, dibuang ke longkang dan dicampak ke tempat pembuangan sampah.

Semuanya ini menimbulkan persoalan bilakah episod kejam itu akan berakhir.

Ketika masyarakat masih diselubungi rasa simpati, seorang lagi bayi lelaki menjadi mangsa kekejaman ibu bapanya.

Yang mengejutkan, dia adalah anak kepada pasangan remaja yang baru berusia 15 dan 19 tahun.

Mayat bayi itu ditanam berhampiran Sungai Melaka selepas dikatakan meninggal dunia di Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini pada Rabu lalu.

Difahamkan, sebaik sahaja dilahirkan, bayi yang cukup sifat itu masih hidup tetapi dipercayai meninggal dunia sebelum ditanam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kejadian itu disedari ibu kepada remaja perempuan terbabit selepas pulang dari tempat kerjanya pada Rabu lalu.

“Wanita berusia lingkungan 30-an itu terkejut apabila mendapati anak gadisnya yang baru berusia 15 tahun dalam keadaan berlumuran darah dan terus membawanya ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, doktor yang membuat pemeriksaan kemudian mengesahkan remaja perempuan yang masih bersekolah itu baru sahaja melahirkan seorang bayi.

“Terperanjat dengan kata-kata doktor itu, ibunya kemudian membuat laporan polis pada pukul 2.30 petang hari yang sama,” katanya.

Susulan daripada itu, Mohd. Adnan memberitahu, polis menahan teman lelaki pelajar perempuan terbabit yang merupakan penuntut sebuah pusat pengajian tinggi di Terengganu.

Tambahnya, hasil soal siasat terhadap remaja lelaki berusia 19 tahun itu, polis pergi ke lokasi tempat mayat bayi tersebut ditanam pada pukul 4 pagi keesokan harinya.

“Polis kemudian menemui mayat bayi yang ditanam sedalam 0.8 meter di tebing sebatang sungai sebelum membawanya ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

“Siasatan mendapati bayi lelaki yang cukup sifat itu masih hidup ketika dilahirkan selain terdapat beberapa kesan lebam di bahagian kepala,” katanya.

Berikutan itu, polis menahan pasangan terbabit di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. Mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah esok.

KOMEN OSMAN DOL: YA ALLAH YA TUHANKU, JAUHKANLAH DAN KELUARGAKU DARI KEJAHATAN ITU, YA ALLAH....AMIN.

Sabtu, 15 Mei 2010

BAYI COMEL DIBUANG - BAHAN DARI UTUSAN MALAYSIA.

JENAYAH

Oleh OPAT RATTANACHOT

uspetani@utusan.com.my

BAYI lelaki yang ditemui di Masjid Jamek Al-Makmur, Sungai Lalang, Sungai Petani, semalam.

SUNGAI PETANI 14 Mei – Apa lagi yang mampu dikatakan apabila menatap gambar bayi lelaki ini. Raut wajahnya comel. Kulitnya putih melepak. Tapi ada yang tergamak membuang bayi dipercayai baru dilahirkan dua atau tiga hari lalu ini.

Bayi malang ini ditinggalkan di atas lantai beralas tikar di belakang Masjid Jamek Al-Makmur di Taman Makmur, Sungai Lalang, awal pagi ini.

Bagaimanapun, nasib masih menyebelahi insan tidak berdosa itu apabila dia berada dalam keadaan sihat.

Bayi itu ditemui oleh seorang ahli jawatankuasa masjid yang sedang membuat persiapan untuk menunaikan solat Subuh kira-kira pukul 5.15 pagi.

Ketika ditemui, bayi berkenaan menggigil akibat kesejukan. Dia hanya dibalut dengan sehelai tuala manakala di pusatnya terdapat kesan darah akibat digigit semut. Di sisinya ialah sebotol susu.

Seorang kakitangan masjid itu, Rejab Abd. Razak, 62, berkata, bayi berkenaan ditemui oleh Timbalan Pengerusi masjid, Johari Bidin ketika membuka pintu belakang.

“Sebaik sahaja dimaklumkan, saya terus datang ke sini dan nampak bayi itu menggigil kesejukan. Apabila cuba memegangnya, bayi itu cuba menghisap jari saya mungkin kerana terlalu lapar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Menurut Rejab, dengan bantuan penduduk, mereka segera menggantikan tuala putih yang membalut bayi berkenaan.

“Penduduk juga memberi bayi itu minum susu. Bayi ini sangat comel dan berkulit putih. Saya hairan ada yang tergamak membuangnya,” katanya.

Rejab berkata, seorang lelaki warga emas yang menumpang tidur di masjid ini sejak pukul 10 malam tadi juga tidak menyedari kejadian itu.

“Dia beritahu tidak menyedari orang lain keluar masuk ke dalam masjid. Warga emas itu tidur sejak pukul 12 malam sebelum dikejutkan oleh Johari pagi ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Sungai Lalang, Hashim Abdullah, 49, berkata, setelah dimaklumkan mengenai penemuan bayi berkenaan, dia terus menghubungi Balai Polis Bedong.

Menurutnya, polis yang tiba bersama ambulans membawa bayi itu ke Hospital Sultan Abdul Halim kira-kira pukul 7 pagi untuk pemeriksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan suspek. Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4212222.

KOMEN OSMAN DOL: TAK HABIS2 CERITA BUANG BAYI INI. CANTIK BAYI YANG DIBUANG ITU. BUAT APA DIBUANG, SERAHKAN SAJA PADA ORANG2 YANG PERIHATIN. BILA NAK HABIS CERITA INI....

Rabu, 12 Mei 2010

ANWAR TIDAK KISAH AHLI KELUAR PARTI - BAHAN DARI UTUSAN MALAYSIA.

POLITIK

Anwar tidak kisah ahli keluar parti

KUALA LUMPUR 11 Mei - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim seakan tidak mengendahkan kehilangan 1,700 ahli parti itu yang bertindak keluar dari PKR semalam.

Malah, Ketua Pembangkang itu secara bersahaja menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang biasa berlaku terutama apabila menjelang musim pilihan raya.

"Hari-hari keluar (ahli PKR). Kadang-kadang sampai berpuluh ribu terutama menjelang pilihan raya. Tetapi parti masih kuat, " katanya selepas menghadiri perbicaraan kes liwatnya ke atas bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Semalam 1,700 ahli PKR di kawasan Parlimen Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu mengisytiharkan keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap Anwar sekali gus menyebabkan beberapa cawangan PKR di dalam Parlimen itu dibubarkan.

Kumpulan diketuai usahawan, R. Letchumanan, 60, yang sering membawa Anwar berceramah di kawasan itu sebelum ini turut menyatakan rasa bosan dengan janji-janji kosong PKR terutama terhadap Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang didakwa berlagak pandai dan 'cakap tidak serupa bikin'.

KOMEN OSMAN DOL: RIAK BUNYINYA SUARA ANWAR ITU.....

Selasa, 11 Mei 2010

1,700 LAGI AHLI PKR KELUAR PARTI

Oleh OPAT RATTANACHOT

uspetani@utusan.com.my

KULIM 10 Mei – Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan Parlimen Padang Serai dan Kulim- Bandar Baharu hampir lumpuh apabila 1,700 ahlinya malam tadi mengisytiharkan keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebahagian besar daripada mereka merupakan masyarakat India yang menjadi ahli di cawangan Jalan Kattu Raja, Paya Besar, Taman Saderi, Taman Makmur, Taman Mutiara, Taman Sunga Kob, Taman Ria dan Pekan Padang Serai dalam Parlimen Padang Serai.

Cawangan-cawangan tersebut turut dibubarkan dan dua cawangan PKR dalam Parlimen Kulim- Bandar Baharu yang mengikut langkah sama ialah di Kampung Padang Buluh dan Ladang Dublin Pusat.

Seorang usahawan, R. Letchumanan, 60, yang mengetuai kumpulan terbabit berkata, keputusan membubarkan cawangan PKR dan jawatankuasa terbabit dibuat serta merta selepas mendapat mandat majoriti ahli yang tidak lagi percaya dengan perjuangan PKR .

Katanya, semua yang meninggalkan parti akan menyertai MIC dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Barisan Nasional (BN).

‘‘Kita sudah bosan dengan janji kosong pemimpin PKR lebih-lebih lagi Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang berlagak pandai dan cakap tak serupa bikin.

“Sudah dua tahun kami terpedaya, kini kami tak mahu lagi diabaikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan borang menyertai MIC kepada Timbalan Pengerusi BN Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah pada majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Kattu Raja, Jalan Paya Besar, dekat sini malam tadi.

KOMEN OSMAN DOL: BETULKAH CERITA INI? CERITA MASUK PARTI KELUAR PARTI INI
BIASA SANGAT DI KALANGAN ORANG2 POLITIK. BIARKANLAH. BETUL TAK BETUL ITU URUSAN DIA. KALAU BETUL BAGUSLAH, KALAU TAK BETUL PUN APA NAK DIKATA....

Ahad, 9 Mei 2010

REMAJA CEDERA DITEMBAK - UTUSAN MELAYU.

BERITA UTAMA


Oleh MUHAMMAD YASIR JAAFAR

utusanN9@utusan.com.my

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop melawat Mohd. Azizi Aziz, 17, yang cedera ditembak anggota polis di jalan Seremban-Jelebu di Unit Rawatan Rapi, Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, semalam. [ Berita di muka 14 ] – MINGGUAN/Abd Razak Aid

TAMPIN 8 Mei – Tidak sampai dua minggu negara digemparkan dengan kematian Aminulrasyid Amzah dari Shah Alam akibat ditembak polis, kini seorang lagi remaja ditembak anggota peronda pasukan keselamatan itu di Jalan Seremban-Jelebu dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi, Mohd. Azizi Aziz, 17, ditembak setelah enggan memberhentikan motosikal yang ditungganginya selepas diarahkan berbuat demikian oleh dua anggota polis yang berada dalam kereta peronda.

Berikutan itu, salah seorang anggota polis berkenaan bertindak melepaskan satu das tembakan dan mengenai bahagian perut remaja itu sehingga tembus ke bahagian usus.

Mohd. Azizi dikatakan sempat melarikan diri sejauh 1 kilometer dari tempat kejadian sebelum ditahan dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini untuk mendapatkan rawatan.

Berikutan kejadian itu, anggota polis berpangkat konstabel yang bertanggungjawab melepaskan tembakan terhadap remaja itu dikenakan tindakan gantung kerja serta-merta.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, anggota terbabit dikenakan tindakan itu kerana melepaskan tembakan tanpa justifikasi yang boleh membawa ancaman kepada dirinya.

“Saya menganggap kejadian ini sebagai satu kesalahan menggunakan kuasa dan pihak kami amat memandang serius terhadap kesalahan ini.

“Saya kesal dengan insiden ini kerana anggota terbabit telah menembak tanpa justifikasi seperti yang ditetapkan oleh Ketua Polis Negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian lapang sasar polis bantuan Felda di Bukit Rokan, Gemencheh di sini hari ini.

Menurut Osman, Mohd. Azizi kini telah menjalani pembedahan dan berada dalam keadaan stabil di HTJ.

“Saya juga ingin meminta maaf kepada pihak keluarga remaja terbabit di atas insiden yang telah menimpanya.

“Polis memberi jaminan pihak kami akan menyiasat dengan lebih terperinci berhubung kes ini,” katanya.

Pada 26 April lalu, Aminulrasyid, 15, mati ditembak anggota polis selepas remaja itu enggan memberhentikan kenderaannya ketika dikejar di Seksyen 11, Shah Alam.

Sementara itu di HTJ, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, beliau memandang serius terhadap kejadian itu dan akan mengambil tindakan ke atas anggota terbabit mengikut undang-undang sedia ada.

“Kita akan mengambil tindakan ke atas anggota polis terbabit selepas semua laporan siap. Ketika ini, anggota polis terbabit digantung tugas dan pihak kementerian melahirkan rasa simpati ke atas keluarga remaja berkenaan,” katanya.

Abu Seman berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu setiap anggota polis melihat dan merujuk semula Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menjalankan tugas di mana sebelum memulakan tugas mesti ada pesanan atau arahan oleh ketua masing-masing.

“Setiap anggota polis perlu mendengar arahan ketua mereka terhadap tugasan yang diberikan dan mematuhi SOP kerja,” ujarnya.

(KOMEN OSMAN DOL:  POLIS TIDAK MENGAJAR ANGGOTANYA MENEMBAK SESEORANG MENGIKUT SESUKA HATINYA. ANGGOTA POLIS HANYA AKAN MENGGUNAKAN SEJATA APINYA APABILA UJUD KEADAAN YANG MERBAHAYAKAN DIRINYA ATAU DALAM KEADAAN UNTUK MEMPERTAHAN DIRINYA SEKIRANYA PENJENAYAH  ITU  MENGGUANAKAN  SENJATA YANG MERBAHAYA. ENTAHLAH......)

Dalam pada itu, bapa remaja itu, Aziz Omar, 42, mendakwa, anaknya telah dipukul polis sebelum ditembak.


Aziz berkata, beliau telah membuat laporan di Balai Polis Rahang pukul 12 tengah hari ini dan akan melantik seorang peguam untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung kes tembak itu.


Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Jumaat, 7 Mei 2010

IBU 9 ANAK DI BANGSAL LEMBU - UTUSAN MALAYSIA.

BERITA UTAMA

Oleh Torek Sulong

utusankelantan@utusan.com.my

Dalam kepayahan yang terpaksa dilalui bersendirian, Rosnani Mamat amat mengharapkan suaminya pulang lebih-lebih lagi anaknya, Mohd. Shabini disahkan oleh doktor menghidap penyakit buah pinggang.

PASIR PUTEH 6 Mei - Apa yang dipanggil rumah buat seorang ibu bersama sembilan orang anaknya berteduh di Kampung Kolam Tembesu di sini hanyalah sebuah bangsal, bekas kandang lembu.

Sudah lima bulan keluarga itu menetap di situ dan mereka tidak mempunyai pilihan lain biarpun terpaksa tinggal bersesak, tanpa kemudahan bekalan air bersih, malam yang diterangi pelita ayam dan basah bila hujan.

Seperti ibu-ibu yang lain, Rosnani Mamat, 38, mengimpikan anak-anaknya tinggal dalam keadaan sempurna tetapi nasib keluarganya tidak sebaik orang lain kerana himpitan kemiskinan dan diburukkan dengan konflik keluarga.

"Sebelum ini kami menumpang di rumah orang tua tidak jauh dari sini dan kemudiannya terpaksa berpindah, menjadikan keadaan lebih buruk," ujarnya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Bangsal seluas tiga meter persegi di tanah datuknya dibaiki dan diubahsuai menggunakan plastik tebal dan papan lama sebagai dinding.

Enam anaknya masih di bangku sekolah manakala tiga lagi masih kecil termasuk yang bongsu berusia setahun dan Rosnani bersendirian menguruskan anak-anak kerana suaminya bekerja sebagai buruh kasar di Pulau Pinang.

Selain kiriman bulanan suaminya sekadar RM100, dia bersyukur kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghulurkan RM450 sebulan bagi membolehkan dapur rumahnya berasap dan anak-anak ke sekolah.

''Hati saya menangis melihat anak- anak tidur bergelimpangan dalam ruang sempit ini apatah lagi bila melihat mereka resah ketika ruang tidur basah kerana bocor.

Tiga anak saya belajar di sekolah rendah dan tiga lagi belajar di sekolah menengah.

"Anak saya, Norshihah Maidin, 17, dan Nor Shamira, 15, akan ambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini. Mereka perlu lebih banyak belanja," ujarnya.

Selain itu, katanya, Nor Ain Eliya, 13, Mohd. Amirul, 10, dan anak kembarnya, Mohd. Shabani dan Mohd. Rabbani, 8, turut memerlukan wang saku untuk belanja sekolah.

"Lazimnya mereka ini, tidak membawa wang ke sekolah dan mengharapkan bantuan makanan yang disediakan menerusi Rancangan Makanan Tambahan," katanya.

Katanya, keadaan rumah membataskan tumpuan anak-anaknya untuk mengulang kaji pelajaran pada waktu malam kerana hanya menggunakan pelita minyak tanah.

Menurut Rosnani, dia berusaha mengangkut air bersih berulang kali bersama anak-anak sejauh 400 meter untuk keperluan mereka.

Dia memberitahu, pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan Tualang Tinggi bersama Guru Besarnya, Halimah Mahfud terus menziarahi keluarganya dan menyampaikan sumbangan hasil derma guru-guru selepas mendapati ketiga-tiga anaknya tidak pernah membawa wang ke sekolah.

Dalam kepayahan yang terpaksa dilalui bersendirian, Rosnani amat mengharap suaminya pulang, lebih-lebih lagi apabila anaknya Mohd. Shabini disahkan oleh doktor menghidap penyakit buah pinggang dan terpaksa sering menjalani pemeriksaan.

Khamis, 6 Mei 2010

BENJY KE PUSAT PEMULIHAN AKHLAK......UTUSAN MALAYSIA.

Oleh SUWARNI MOKHTAR

pengarang@utusan.com.my

Azean Irdawaty mengatakan sesuatu kepada peguam, Amir Hamzah (kiri) sambil di perhatikan suaminya, Khairil Anuar (kanan) di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 5 Mei - Belum sempat keputusan terhadap permohonan habeas corpus Benjy (gambar) diketahui, ahli keluarganya yang hadir di Mahkamah Tinggi di sini 'dikejutkan' dengan makluman bahawa pelakon itu telah dihantar ke Pusat Pemulihan Akhlak (PPA), Muar, Johor, pagi ini.

Kemasukan anak lelaki tunggal pelakon veteran, Azean Irdawaty ke PPA selama dua tahun dibuat setelah Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan Benjy ditahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas - LLPK) 1985.

Surat arahan terhadap Benjy atau Khaireyll Benjamin Ibrahim, 31, itu ditandatangani oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Najib Zakaria sebelum Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak membacakan keputusan permohonan habeas corpus itu.

Sebelum ini, Benjy telah berada dalam tahanan mengikut Seksyen 3 LLPK yang membolehkannya ditahan selama 60 hari selepas dia dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM2,000.

Jaminan itu dibuat selepas Benjy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memiliki seberat 0.24 gram methamphetamine di sebuah premis beralamat A-6-5 di Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di sini pada 4 petang, 11 Mac lalu.

Umpama jatuh ditimpa tangga, permohonan habeas corpus yang difailkan pada 8 April itu juga ditolak oleh mahkamah.

Hakim Mohd. Sofian dalam keputusannya bersetuju dengan hujah pihak responden bahawa penahanan semula Benjy adalah sah dan pelakon itu mengetahui alasan dia ditahan semula.

Benjy memfailkan permohonan itu selepas tidak berpuas hati dengan penahanannya di bawah LLPK pada 25 Mac lalu. Dia menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai pihak responden.

Selain Najib, pihak responden diwakili dua lagi Peguam Kanan Persekutuan iaitu Zafran Zafri dan Mahmud Abdullah.

Terdahulu, selepas mengetahui bahawa anak guamnya telah dihantar ke PPA, peguam Amer Hamzah Arshad menyatakan, tindakan KDN mengeluarkan perintah tahanan itu sehari sebelum keputusan permohonan habeas corpus dibuat jelas menunjukkan niat jahat responden.

''Melalui notis tahanan yang diserahkan kepada saya juga, jelas menunjukkan anak guam saya tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil kerana dia tidak menandatangani notis tersebut.

''Sepatutnya, satu afidavit baru difailkan supaya pihak-pihak boleh berhujah mengenai perkara ini,'' katanya yang jelas berang dengan arahan terbaru KDN itu.

Mengakui hanya mengetahui mengenai pengeluaran notis itu pagi ini, Mahmud bagaimanapun menafikan bahawa wujud niat jahat di sebalik arahan tersebut.

Amer Hamzah ketika ditemui selepas tamat prosiding memberitahu, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini dan permohonan habeas corpus baru terhadap penahanan Benjy di bawah Seksyen 6 akta itu.

Azean yang ditemani oleh suami dan anak-anak perempuannya pula dengan tenang memberitahu, dia tidak faham kenapa Benjy perlu dihantar ke pusat pemulihan berkenaan.

''Apa yang teruk sangat Benjy tu sampai kena hantar ke sana? Kalau nak hantar pun, benarkanlah Kak Yan jumpa Benjy sekejap. Kak Yan ni penghidap kanser tahap empat, kalau mati sebelum sempat jumpa Benjy, siapa nak tanggung dosa?

''Masing-masing ada ibu, ada emak dan ada anak. Faham-fahamlah sendiri. Allah Maha Berkuasa, kita tengoklah apa akan berlaku,'' ujarnya dengan tenang sebelum berlalu pergi.

Dramatis itu juga memberitahu, dia ingin bertemu Benjy kerana ingin memberikan ubat-ubatan kepada anak lelakinya itu yang mempunyai penyakit asma dan darah tinggi.


KOMEN OSMAN DOL: REDHAKANLAH...... MUNGKIN ADA HIKMAHNYA.

Rabu, 5 Mei 2010

ALLAH SWT YANG MENENTUKAN UMIUR KITA....

OSMAN DOL

SEJAK PETANG SEMALAM AKU TIDAK BERAPA SIHAT, BADAN SEJUK SERAM RASANYA. SEBELUM TIDUR DAH TELAN PANADOL 2 BIJI. SEGAR SEDIKIT RASA BADAN INI. SAYA PUN MASUK KE BILIK UNTUK TIDUR LEBIH KURANG JAM 10.00 MLM.

SAYA TAK BERAPA LENA TIDUR MALAM TADI. MATA SERING TERJAGA. SAYA TELAN DUA BIJNI LAGI PANADOL.

JAM 5.00 PAGI SAYA TERJAGA UNTUK MENUNAIKAN SEBAHYANG SUBUH. BERAT RASA BADAN. SAYA LEWATKAN SEDIKIT UNTUK BANGUN SEHINGGA JAM 5.45. TETAPI BADANKU TERASA BEGITU LETIH. DADA TERASA SAKIT. BAGAIKAN TIDAK MAMPU UNTUK BAWA BADAN KEBILIK AIR. NAMUN BEGITU AKU GAGAHI JUGA UNTUK MASUK KEBILIK AIR ITRU.

SELEPAS BERWHUDUK AKU MERASA BADANKU TERLALU LEMAH. AKU SEMACAM TIDAK BERUPAYA UNTUK KELUAR DARI BILIK AIR. DADA TERASA SAKIT.

NAK SEMBAHYANG PUN TERASA BEGITU LEMAH. MENCANGUT. HANYA JAM 7.00 PAGI BARULAH AKU BOLEH MENUNAIKAN SEMBAHYANG. ITUPUN SEMBAHYNG DUDUK.

SEKARANG INI LEGALAH SEDIKIT. TETAPI BELUMLAH BAIK BETUL LAGI.

Selasa, 4 Mei 2010

KICKDEFELLA BAWA DOKUMEN TAMBAHAN.... Bahan dari BH.

2010/05/04

SYED Azidi tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bersama beg yang mengandungi beberapa dokumen tambahan berhubung dakwaannya menerima lebih RM4 juta.PUTRAJAYA: Penulis blog Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz, semalam, menyambung sesi keterangan berhubung dakwaan membelanjakan sejumlah RM4 juta bagi menjalankan operasi gerak saraf memburukkan kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bekas Pegawai Perhubungan Korporat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 3 petang. Pengarah Siasatan SPRM, Mustafar Ali mengesahkan Syed Azidi dipanggil semula untuk menyambung keterangannya yang pertama kali diambil pada Jumaat lalu. “Beliau hari ini (semalam) menyambung keterangan dan membawa bersama dokumen tambahan untuk rujukan kepada SPRM,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Kickdefella mengakui menerima peruntukan lebih RM4 juta dalam tiga tahun memegang jawatan itu untuk aktiviti gerak saraf untuk mewujudkan persepsi buruk dan melemahkan pentadbiran Abdullah ketika menjadi Perdana Menteri.

Wang itu didakwanya digunakan antara lain untuk membiayai pembelian aset, peralatan, pembayaran upah pekerja, dan bahan percetakan bertujuan menggerakkan operasi gerak saraf itu.

Kelmarin, beliau menyenaraikan lima pembiaya utama firma Global Media Channel (GMC) yang terdiri daripada pemimpin kanan Pas Kelantan, ahli majlis, pengarang kanan sebuah akhbar pembangkang, bekas Ahli Undangan Negeri (Adun) Kelantan dan seorang pemimpin Dewan Pemuda Pas Kelantan.

KOMEN OSMAN DOL: ORANG LAIN PUNYA SALAH NAMPAK - SALAH SENDIRI TAK NAMPAK.

Isnin, 3 Mei 2010

UGUT BUNUH NIK AZIZ - BERITA HARIAN ON LINE.

Lelaki ditahan disyaki terbabit kes ugutan bunuh Nik Aziz

2010/05/03

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit menyiarkan komen berbaur ugutan bunuh terhadap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam laman rangkaian sosial, Facebook.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, berkata lelaki yang berumur dalam lingkungan 20-an itu diberkas sepasukan polis di Butterworth, Pulau Pinang, semalam. "Sepasukan polis menahan suspek itu di satu kawasan di Butterworth kira-kira jam 9 malam berhubung kes penyiaran ugutan bunuh terhadap Nik (Abdul) Aziz," katanya ketika dihubungi hari ini. Beliau berkata, bagaimanapun siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengetahui sama ada suspek adalah pemilik sebenar laman sosial itu dan juga individu yang bertanggungjawab menyiarkan ugutan bunuh terbabit.

Sabtu lalu, Dewan Pemuda Pas membuat laporan polis berhubung kenyataan ugutan bunuh yang dipaparkan dalam sebuah laman rangkaian sosial milik seorang lelaki terhadap Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas itu.

Laporan polis itu dibuat Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan At-Tantawi di Balai Polis Chow Kit selepas membaca mengenai ugutan bunuh itu di laman Facebook.

Dalam laman webnya, lelaki itu dikatakan sanggup dihukum gantung jika dapat membunuh “Nik Aziz”.

Zulkarnain berkata, bagaimanapun polis belum dapat mengenal pasti sama ada suspek adalah pemilik sebenar laman itu dan individu yang bertanggungjawab menyiarkan ugutan bunuh berkenaan.

"Kami sedang mendapatkan tempoh reman terhadap suspek bagi menjalankan siasatan lanjut sebelum dia dibawa ke sini (IPD Dang Wangi) untuk disoal-siasat," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. -

Ahad, 2 Mei 2010

RM 176 JUTA BELI UNDI PILIHAN RAYA KECIL HULU SELANG0OR - Bahan dari Utusan Melaysia on line....

POLITIK

Khalid nafi guna RM176j beli undi Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor

SHAH ALAM 1 Mei - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan bahawa kerajaan negeri telah membelanjakan wang rakyat sebanyak RM176 juta bagi membeli sokongan pengundi dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor, pada 25 April lalu.

Menurut beliau, dakwaan tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan kerana kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang ketika ini tidak mempunyai peruntukan sebanyak itu untuk tujuan berkenaan.

Katanya, jumlah peruntukan yang didakwa dibelanjakan untuk kempen pilihan raya kecil itu adalah terlalu besar jika dibandingkan dengan perbelanjaan kerajaan negeri untuk kemudahan dan bantuan kepada rakyat di Selangor iaitu sebanyak RM40 juta setahun.

"Perkara yang dinyatakan ini (guna peruntukan kerajaan negeri untuk kempen) adalah tidak betul.

"Kita tidak ada duit, kita tidak ada peruntukan... kalau ada, saya akan bagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor, di sini hari ini.

Abdul Khalid diminta mengulas laporan sebuah blog di alamat www.mykmu.net yang mendakwa kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas telah membelanjakan peruntukan negeri sebanyak RM176 juta sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Menurut laporan tersebut, perbelanjaan itu dibuat untuk menarik sokongan pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor supaya mengundi calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim.

Kerajaan negeri didakwa membelanjakan kira-kira RM23,000 untuk pemberian beras kepada pengundi selain memberikan sumbangan kepada 7,653 warga emas, melibatkan peruntukan sebanyak RM3.8 juta dan sumbangan kepada bukan warga emas seramai 16,347 orang (RM1.6 juta).

KOMEN OSMAN DOL: AWAK KATA ORANG TETAPI BUSUK AWAK SENDIRI TAK NAMPAK. AWAK NAMPAK ORANG LAIN MAIN KOTOR TAPI AWK SENDIRI MAIN KOTOR TAK PERASAN. DARI KEGANASAN DAN KERAKUSAN KUASA YANG DITUJUKKAN OLEH PEMBAKANG - HARAP PEMBAKANG AKAN HILANG DARI HANYUT DIBAWA OLEH KEBONGKAKNYA SENDIRI. SEMOGA UMNO TERUS MENERAJUI NEGARA INI.....TOLONGLAH YA ALLAH.....

Sabtu, 1 Mei 2010

KERTAS SIASATAN DITOLAK......Berita Harian.

Kertas siasatan ditolak


Oleh Rafidah Mat Ruzki

fidahruzki@bharian.com.my

2010/05/01


MUSA diberi penerangan oleh Khalid ketika memeriksa tempat kejadian seorang remaja mati ditembak polis di Seksyen 11 Shah Alam, semalam.Peguam Negara arah kes remaja mati terkena tembakan polis diteliti semula

SHAH ALAM: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, mengarahkan polis melakukan siasatan lebih lanjut berhubung kes seorang remaja, Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati terkena tembakan polis dalam satu kejadian di sini, Isnin lalu. Arahan itu dikeluarkan pada hari sama kertas siasatan berhubung kes itu diserahkan ke Pejabat Peguam Negara, semalam. Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata kertas siasatan kes itu diserah pada jam 10 pagi semalam, tetapi Peguam Negara menyenaraikan beberapa arahan untuk tindakan lanjut selepas menelitinya dan berbincang dengan pegawai penyiasat.

Beliau yang dihubungi berkata, kertas siasatan itu diambil semula pada jam 5 petang dan pihaknya akan melaksanakan arahan berkenaan.

“Kita akan serahkan semula kertas siasatan itu minggu depan,” katanya tetapi enggan mengulas lanjut mengenai arahan itu.

Khalid berkata, sehingga semalam keterangan lebih 20 saksi direkodkan bagi membantu siasatan, termasuk anggota keluarga Allahyarham Aminulrasyid dan penunggang motosikal yang dikatakan berlanggar dengan kereta yang dipandu remaja itu.

Beliau berkata, seorang lagi saksi kejadian yang juga jiran remaja itu turut membuat laporan polis dan keterangannya diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, malam kelmarin.

Bagaimanapun, katanya, pemandu kereta yang dikatakan dilanggar oleh Allahyarham belum tampil untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian 2 pagi itu, Aminulrasyid, pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 di sini, mati terkena tembakan polis manakala rakannya melarikan diri ketika terserempak dengan kereta peronda polis di kawasan Seksyen 11 di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, yang ditemui pemberita selepas meninjau tempat kejadian itu, pagi semalam, berkata anggota peronda mengejar kereta yang dipandu Aminulrasyid sejauh enam kilometer.

Beliau menasihatkan orang awam supaya berhenti apabila ditahan polis untuk pemeriksaan kerana tindakan melarikan diri akan hanya mengundang perasaan syak wasangka yang tidak sepatutnya.

"Benda berlaku jam 2, 3 pagi, memang menimbulkan keraguan polis terutama kawasan ini banyak menerima aduan orang awam mengenai kejadian jenayah. Kawasan ini adalah kawasan yang kerap berlaku kejadian pecah rumah.

“Kita menjalankan tugas kita untuk meronda. Kalau polis tahan untuk periksa, berhenti," katanya.

Selain itu, katanya, sejak 2006 lagi beliau sudah mencadangkan supaya setiap kereta peronda dipasang kamera video bagi memudahkan pegawai polis mengambil rakaman apabila berlaku sesuatu insiden, tetapi cadangan itu tidak dapat dilaksanakan berikutan kekurangan peruntukan.

Musa berkata, pihaknya juga mengalu-alukan satu inkues dijalankan untuk mengetahui kejadian sebenar dan sama ada polis mempunyai justifikasi untuk bertindak sedemikian.

Beliau berharap inkues itu dijalankan segera kerana polis juga mahu keadilan diberikan kepada Aminulrasyid.

"Saya tidak melindungi orang saya, tidak... kita harus bersikap adil," katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, pada sidang medianya pula mempersoalkan tindakan polis menyerahkan kertas siasatan itu tanpa berusaha mendapatkan keterangan lebih ramai saksi.

“Sepatutnya polis mengambil keterangan daripada mereka semua. Jika polis tidak boleh menjalankan tugas berkenaan, penyiasatan perlu diserahkan kepada badan bebas seperti suruhanjaya diraja,” katanya.

KOMEN OSMAN DOL:....JANGAN GANGGU....KITA SERAHKAN SEMUNYA KEPADA POLIS.. YAKINLAH....POLIS AKAN MENYISAT SECARA ADIL...