MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Isnin, 30 November 2009

APA MASALAHNYA TUAN GURU NIK AZIZ ?


SEBENARNYA saya dah rasa malas hendak menulis tentang politik atau hendak menyentuh sesiapapun yang ada hubung kaitnya dengan politik. Tetapi apa yang saya harapkan itu tidak kesampaian bila membaca akhbar yang menyatakan Nik Aziz hendak mendoakan supaya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat kesusahan kerana tidak memberikan royalti minyak kepada Kelantan. Kerana itu saya rasa terpanggil untuk memberikan sedikit pendapat dan pandangan.
Bagi saya, sama ada Kelantan berhak mendapat royalti minyak itu atau tidak, itu soal lain. Tetapi yang menarik perhatian kita bila Nik Aziz hendak mendoakan keburukan kepada perdana menteri.


Bolehkah orang Islam mendoakan keburukan sesama Islam. Zalimkah Najib ini? Berapa ramai orang yang tidak berdosa telah dipancung dan dibunuhnya? Adakah dia mengabaikan tanggungjawabnya sebagai perdana menteri untuk kemakmuran rakyat di negara ini? Dan kerana tidak memberi royalti minyak itu bolehkah dia dikatakan zalim? Soalnya masalah royalti itu belum diputuskan di mana-mana mahkamah. Itu hanya pendapat Nik Aziz dan konco-konconya yang mengatakan Kelantan patut dibayar royalti. Kerajaan Pas patut saman kerajaan pusat terlebih dahulu untuk mendapatkan keputusannya.
Saya berpendapat Nik Aziz ini terlalu angkuh tentang keulamakannya itu. Sesuatu yang tidak sehaluan dengan pendiriannya patut dimusnahkan. Itu pendapatnya. Jadi jalan terbaik yang terfikir di kepalanya ialah dengan melakukan sembahyang hajat dan berdoa kepada Allah. Berdoa untuk menghancurkan sesiapa sahaja yang  tidak sehaluan dengannya. Kononnya dialah yang paling betol di dunia ini.
Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat oleh Tun Dr. Mahathir dahulu, Nik Aziz pernah mengepalakan orang ramai untuk membuat sembahyang hajat dengan tujuan tertentu. Stadium Sultan Muhammad ke IV itu penuh orang. Beratus ribu orang turut sama buat sembahyang hajat itu. Tidak cukup di Malaysia, mereka pergi ke Mekah pula untuk berdoa. Alhamdulillah, Mahathir tak apa-apa pun.


(Dr. Mahathir amat tegas ketika menjadi perdana menteri. Dia lansung tidak bagi muka orang-orang yang biadap dan kurang ajar. Dia memang hebat dizamannya. Tetapi kegemilangannya itu tidak dapat diteruskan oleh penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi. Dimana silapnya tidaklah diketahui. Tetapi dia memang berani, benar, tegas dan ikhlas. Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak nampaknya lembut seperti Tun Abdullah juga. Kita berharap Najib akan bergerak tegas seperti Muhathir. Itulah harapan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan).


Tetapi Mahathir saya lihat makin sihat dan makin hebat. Allah tetap melindungi orang-orang yang tidak bersalah.
Nik Aziz dan sebahagian besar pengikutnya menilaikan seseorang dari luaran sahaja. Sebenarnya dia tidak tahu perkara sebenarnya. Baginya, sesiapa sahaja yang menentang kerajaan adalah orang-orang yang benar. Sesiapa sahaja yang menentang kerajaan Pas di Kelantan adalah orang-orang jahat. Seorang pembunuh, ;perasuah, pezina, penipu atau sebagainya sekiranya menyokong perjuangannya, maka orang itu adalah orang baik, begitulah pendapat Nik Aziz. Orang itu patut dibela dan disokong kalau ada sesiapa yang cuba menangkapnya.
Pembunuh, penipu, pembohong, pezina, perompak dan sebagainya boleh berlakon menjadi ulamak besar. Dia boleh jadi imam sembahyang dan boleh baca khutubah Jumaat atau sebagainya. Nik Aziz sepatutnya memahami semua ini.


Yahudi adalah orang kafir paling zalim di muka bumi ini kerana menzalimi dan menghancurkan masjid tempat beribadah umat Islam. Setiapkali selepas sembahyang kita berdoalah agar Allah SWT menghancurkan Yahudi dan menyelamatkan negara dan umat Islam di Pelastin itu. Rakyat Pelastin mengharapkan doa dari tuan guru. Allahu Akbar.

Sabtu, 28 November 2009

PUISI: APABILA SAMPAI PERINTAH ALLAH


TAJUK: APABILA SAMPAI PRINTAH ALLAH
Apabila sampai Perintah Allah
Ismail meredakan dirinya dikorbankan
lalu dia berseru kepada ayahnya
ikatlah seluruh badanku
biar kuat tali pengikatnya
supaya aku tidak dapat meronta ketika disembelih
kerana kepedihannya yang akan kurasa.



Apabila sampai Perintah Allah
Ismail dibebaskan dari semua ikatan
digantikan dengan seekor kibas
menjadi mercu kehebatan umat Islam
yang sanggup bekorban
walaupun belian sepenuh kapal
hatta anak yang tercinta.




Apabila sampai Perintah Allah
lahirlah Muhammad menyampaikan wahyu
berlari-lari manusia dari Safah ke Marwah
dari Marwah ke Safah
mengelilingi kaabah penuh takwa
menjejaki tapak Ibrahim, Ismail dan Muhammad
dibumi suciMu yang makmur.

Apabila sampai Perintah Allah
bersama Rahmat dan Nikmatnya
yang melimpah ruah rezekinya
bertaburan merata alam
berduyun-duyunlah manusia
menunaikan kewajipan yang difardhukan
menunaikan rukun Islam ke lima.

Khamis, 26 November 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDUL-ADHA

(Gambar bonda saya Allahyarham Hajah Lepeh binti Hitam bersama ibu saudara saya Hajah Tijah binti Puteh. Gambar ini dirakamkan pada tahun 1972 ketika bonda saya bersiap-siap untuk menunaikan fardhu haji kali pertama dengan menaiki kapal laut bersama ibu saudara saya itu. Ibu saudara saya itu masih hidup lagi.)
Selamat Hari Raya Aidul-Adha atau Selamat Hari Raya Korban kepada semua umat Islam di negara ini yang jatuh pada esok hari, yaitu 27.11.2009. Hari ini 26.11.2009 ialah hari wukuf di Arfah bagi semua jemaah haji, malam ini nanti mereka akan mencari batu di Muzalifah untuk melontarnya di ketiga-tiga jumrah di Mina.
Telah dua kali saya melalui detik-detik ini, pertama pada tahun 1992 bersama-sama dengan Allahyarhamah bonda saya Hajah Lepeh binti Hitam dan bonda saudara saya Hajah Tijah binti Puteh. Kali kedua saya menunaikan haji ialah pada tahun 1995 bersama isteri. Alhamdulillah, kedua-dua kali saya ke Tanah Suci itu saya dapat menunaikannya dengan sebaik-baiknya.
Beberapa orang yang menunaikan haji tahun 1992 itu telahpun menemui Penciptanya termasuklah bonda saya sendiri.
Alhamdulillah, nampaknya saya masih sihat lagi walaupun umur telah menjangkau 66 tahun. Semoga Allah terus memelihara saya dan keluarga saya. Amin, amin ya Rabal'alamin.

(PENGERTIAN KORBAN ITU ADALAH LUAS. SEBAGAI ORANG ISLAM KITA BUKAN SAHAJA DITUNTUT BERKORBAN BINATANG SAHAJA, HATTA HARTA BENDA DAN WANG RINGGIT YANG KITA SAYANGI. IBRAHIM SANGGUP MENGORBANKAN ISMAIL ANAKNYA DEMI UNTUK MENUNAIKAN PERINTAH ALLAH. SEKIRANYA KITA MEMPUNYAI WANG LEBIH BANTULAH ORANG-ORANG YANG TIDAK BERKEMAMPUAN MENUNAIKAN HAJI ATAU UMRAH) KITA RENUNGKAN BERSAMA.

Rabu, 25 November 2009

WANG - PANDAI PINJAM TAK PANDAI BAYAR.

SAYA kadang-kadang rasa begitu simpati nasib yang menimpa pada bangsa saya sendiri. Bila sempit wang, mereka pinjam dengan ah long atau ceti haram. Bila tak mampu bayar peminjam akan diburu dan diugut dengan berbagai-bagai ugutan. Ada yang dibunuh oleh samseng-samseng ah long itu.
Dengan saudara-mara dan anak-anak saudara aku selalu membantu mereka. Kalau mereka datang menemui aku untuk meminjam wang, insya-Allah aku akan bagi pinjam sekiranya aku berkemampuan. Aku tidak mahu mereka mencari ah long dan akhirnya ah long akan memburu mereka.
Aku bagi pinjam secara percuma saja. Kalau mereka pinjam RM100.00 pulangkan balik RM100.00. Kalau boleh janganlah simpan lama-lama duit saya itu. Kalau sudah ada duit, pulangkanlah segera.
Tetapi sayang. Sayang seribu kali sayang. Mereka pandai pijam tetapi tidak pandai membayarnya semula. Inilah yang kerap menimpa pada diri saya ini. Saya kasihankan mereka, tetapi mereka nak menjadikan saya ini mangsanya. Lebih dari itu, kita ini macam musuh dibuatnya. Bila bertembung dengan kita, mereka pusingkan muka. Kenduri-kendara kita dia tak datang lagi.
Saya kalau bukan saudara-mara saya tak akan bagi pinjam. Pujuk macam mana pun saya tak bagi. Kalau dengan saudara-mara, saya bantu jugalah. Malangnya itulah dia - pandai pinjam tak pandai bayar balik. Hati-hati kawan....

Selasa, 24 November 2009

JANGAN TERSALAH PANGGIL NANTI TERSINGGUNG.

(GAMBAR: Nenek yang sudah berumur lebih dari 100 tahun ini barangkali tak kisah kalau kita panggil dia nenek.)
HUJAN pula pagi ini. Biasanya, selain dari hari Jumaat, Sabtu dan Ahad saya ke kebun untuk membuat kerja sedikit. Mesin rumput, meracun rumput-rampai dan lain-lain. Hari ini saya nak tumpukan perhatian kepada prnulisan sahaja. Dalam blog ini saya nak tulis tentang manusia-manusia yang tidak insaf diri sudah tua. Tajuk tulisan ini saya namakan: "jangan salah panggil...."
1) Semasa bertugas di Tampin seorang pemilik restoran amat marah bila seorang pelannggan memanggilnya 'kakak' ketika hendak membeli rokok. Waktu itu peniaga itu baru berumur 30an, manakala pelanggan itu saya rasa sudah berumur hampir 50 tahun. Saya nampak tauke itu bersikap kasar dengan pelanggannya. Saya cuma geleng kepala saja. Apa saya nak kata. Dan tauke restoran itupun tak sporting, bila lihat pelanggan lebih tua sedikit darinya, dia panggil pakcik. Pelanggan itu tak marah pula. Restoran itu sudah tutup sekarang.
2) Ketika saya naik keretapi dari Kelantan ke Tampin bersama Allahyarhamah ibu saya, seorang lelaki yang lebih tua dari saya memanggil saya pakcik. Umur saya waktu itu baru 23 tahun dan sipemanggil itu berumur 30 tahun. Sama ada dia tak perasan dirinya sudah tua atau dia lihat saya barangkali jauh lebih tua darinya. Saya tahu umurnya 30 tahun itu sebab saya bertanya dia tentang umurnya.
3) Hampir 40 tahun yang lalu saya ke Pejabat Pos Tumpat, Kelantan, kerana hendak pos surat.
Waktu itu umur saya dalam lingkungan 20an. Seorang wanita yang saya lihat jauh lebih tua dari saya datang menemui saya untuk meminta tolong saya mengisikan borang pengeluaran wang nya. Saya panggil dia makcik. Bila tengok kad pengenalannya, rupa-rupanya dia hampir 10 tahun lebih muda dari saya. Betulkah dia yang empunya kad pengenalan itu. Nasib baik dia tak marah.
4) Seorang yang rapat dengan saya yang bekerja disebuah restoran tidak puas hati kerana pelanggan-pelanggannya memanggil dia 'abang', padahal orang itu jauh lebih tua darinya. Biasalah itu, kata saya kepadanya.
5) Saya singgah minum kopi disebuah restoran lima atau enam tahun yang lalu. Restoran ini dakat kampung saya sendiri. Kebetulan dalam restoran itu ada seorang yang saya kenal sedang berbual-bual dengan seorang sahabatnya. Saya duduk semeja dengannya. Kawan saya itu memanggil kawannya itu 'abang' dan kawannya juga memanggil dia 'abang'. Masing-masing merasa muda agaknya antara satu dengan lain. Nakalnya pula saya ini, saya lalu bertanya, siapakah yang lebih tua antara kamu berdua ini. Selepas itu barulah mereka bertanya umur masing-masing.
6) Ada seorang sahabat saya yang muda dari saya. Umurnya baru awal 50 an agaknya. Anak-anak jirannya memanggil dia datuk. Dia tak kisah. Dan bila anaknya sendiri memanggil jiranya itu 'makcik', jirannya tak boleh terima walaupun umurnya sudah lebih dari 40 tahun.
7) Semasa bertugas di Port Dickson, seorang wanita iaitu isteri kepada pengusaha kantin balai polis telah memanggil pakcik kepada seorang bekas polis yang bersara awal. Mungkin umurnya awal 50an agaknya. Tiba-tiba pesara ini naik marah, suaranya melansing tinggi memaki wanita itu kerana memanggilnya pakcik. Wanita itu pula melawan balik. Jadi kelam-kabut dekat kantin itu dibuatnya. "Awak sudah ada cucu itulah sebabnya saya panggil pakcik...." kata wanita itu.
Dan banyak lagi. Macam-macam. Wallahualam....

Isnin, 23 November 2009

BENARKAH KEDONDONG PUNCA BAYI MEMBESAR DALAM KANDUNGAN.

HARI ini 23.11.2009 aku ingin kongsikan kisah Puan Aisha Bee Yasin melahirkan anak lelaki yang beratnya ialah 6.15 kilogram pada 21.11.2009 disebuah hospital swasta di Changlun, Kedah. Bayi itu dilahirkan mengikut proses kelahiran biasa. Anak kelima dari Puan Aisha ini dikatakan antara bayi yang terberat dan terbesar pernah dilahirkan di Malaysia. Gambar menunjukkan bayi ini sedang didokong oleh neneknya manakala datuknya sedang membaca doa. Alhamdulillah.
Mengikut kata ibu yang telah berusia 35 tahun ini dia makan satu kilogram kedondong dan juga makan dua kuntum bunga ros saban hari sejak dua bulan kehamilannya.
Datuk Dr. Zulkifli Ismail juga menyatakan bahawa pemakanan adalah penyumbang utama pembesaran bayi tersebut. Wallallahualam.
Sumber dari majalah KOSMO menyatakan, mengikut Guinness World Record bayi terbesar didunia pernah dilahirkan pada tahun 1879 di Amerika Syarikat. Berat bayi itu ialah 10.4 kilogram. Bayi itu meninggal dunia selepas sebelas jam dilahirkan. Ibu kepada bayi ini, Anna Bates meninggal dunia ketika sedang tidur pada 5.8.1888 sehari sebelum tarikh kelahirannya yang ke 42 tahun.
Pada 21 September lalu, di Sumatera Utara, Indonesia seorang bayi lelaki Muhammad Akbar Risudddin dilahirkan dengan beratnya 8.7 kilogram. Dia dilahirkan menerusi pembedahan hari kedua Syawal yang lalu.
Apakah kedondong boleh menyebabkan bayi membesar dalam kandungan?

Ahad, 22 November 2009

GAMBAR LAMA - 1930 - GURU-GURU DAN MASYARAKAT DURIAN TUNGGAL.

SAYA memang suka menyimpan gambar-gambar lama. Gambar lama ini saya perolehi dari Allahyarham Cikgu Sulehudin Sulaiman. Click dua kali kita akan dapat melihat gambar ini lebih dekat lagi.
Gambar ini dirakamkan pada tahun 1930. Saya dibagitahu tidak ada sesiapa lagi dalam gambar ini yang masih hidup. Semuanya sudah meninggal dunia. Seorang kanak-kanak yang terdapat dalam gambar ini pun sudah meninggal. Adik pada kanak-kanak itu masih hidup yang telah berumur lebih 70 tahun sekarang ini. Tetapi gambar adiknya itu tidak ada dalam gambar ini.
Dalam gambar ini termasuklah datuk-datuk dan ayah-ayah saudara saya. Entah esok atau lusa, saya pula akan pergi bersama mereka. Walallahualam.

Sabtu, 21 November 2009

KEMBAR SIAM YANG ENGGAN DIPISAHKAN.....

Kembar siam ini sebenarnya dari India. Saya petik gambar ini dari akhbar Kosmo beberapa hari yang lalu tetapi tidak mencatatkan dengan lengkap butir-butir peribadi kedua-dua wanita yang kembar siam ini. Apa yang saya masih ingat, kedua-dua wanita ini enggan dipisahkan walaupun doktor memberitahu, kembar siam ini boleh dipisahkan. Tetapi mereka tetap enggan.
Mereka telah digunakan oleh sebuah sarkas bagi mengadakan pertunjukkan di seluruh India. Mereka dibayar sedikit wang dari hasil persembahan itu. Dan dari bayaran itulah mereka menyambung hidup di bumi Allah SWT ini.
Inilah kebesaran Allah SWT. Orang cacat pun ada istimewanya. Wallahhualam.

Jumaat, 20 November 2009

TERINGATKAN PESANAN SASTERAWAN NEGARA - S.OTHMAN KELANTAN.

SEDANG saya terfikir-fikir apa yang hendak saya tulis hari ini, tiba-tiba saya teringatkan sahabat saya, Sasterawan Negara Allahyarham, saudara S.Othman Kelantan. Saya mengenali beliau dan bersahabat dengannya ketika saya bekerja di Kelantan lebih 40 tahun yang lalu.
Beliau seorang yang tidak kedekut ilmu. Ketika bersahabat dengannya beliau sering menasihatkan saya supaya sentiasa menulis. Sebagai penulis katanya, hari-hari kita mesti menulis walaupun satu ayat sehari.
Tetapi saya tidak praktikkan nasihatnya itu. Kadang-kadang hingga bertahun-tahun saya tidak menulis sama ada sibuk, malas dan sebagainya.
Mujurlah sekarang ini ada media baru, iaitu blog, dan sebagai seorang blogger di medan inilah yang saya gunakan untuk menulis walaupun sehari sebaris ayat yang mampu saya hasilkan sebagaimana nasihat Allahyarham S. Othman Kelantan.
Baru-baru ini saya sempat menonton motivasi pagi, tv 3, dimana pakar motivasinya ialah Ustaz Sasazan (mungkin silap ejaan - maaf), kata ustaz itu, setiap orang mestilah menghormati diri sendiri setelah beberapa kejayaan yang kita perolehi. Kerana itu, kita juga patut menghadiahkan seuatu pada diri kita sendiri. Misalnya, kata ustaz itu, hadiahkan diri kita walaupun sebatang pen. Niatlah dalam hati kita bahawa pen itu kita hadiahkan pada diri sendiri sekalipun harganya tidak seberapa.
Nasihat sasterawan negara itu saya hargai dengan menulis di blog setiap hari disamping itu tulisan itu saya hadiahkan untuk diri saya sendiri sebagaimana nasihat ustaz itu. Kedua-dua insan ini saya hormati dan kagumi.
Kerana tulisan ini hadiah dari saya untuk diri saya sendiri jadi saya tidak kisah sangat sama ada orang membacanya ataupun tidak. Yang penting saya tetap menulis.....

Khamis, 19 November 2009

LUASNYA ANUGERAH ALLAH SWT

AMAT hebat dan besarnya anugerah Allah SWT kepada hamba-hambanya. Setiap makhluk yang Allah SWT cipta ada hikmah dan ada sebabnya, begitu juga manusia yang dijadikan oleh Allah SWT. Manusia bukan sahaja makluk paling istimewa kerana mempunyai akal berbanding dengan makhluk-makhluk lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Lebih dari itu manusia telah diamanahkan oleh Allah SWT untuk memelihara bumi ini. Tidak banggakah kita menjadi manusia ini?
Allah SWT juga menjadikan manusia ini dan makhluk-makhluk lain tidak pernah sama pada segi rupa dan fizikalnya. Ada yang kurus, ada yang tinggi, ada yang gemuk, ada yang rendah. Ada yang cantik dan ada yang tidak cantik.
Rezeki pun yang Allah SWT kurniakan kepada kita tidak sama, ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada yang terlalu kaya dan ada yang terlalu miskin.
Manusia juga dijadikan berpasang-pasangan lelaki dan perempuan agar umat manusia di muka bimi ini membiak.
Kedudukan dan darjat kejadian manusia ini juga tidak sama. Ada yang Allah SWT cipta manusia ini untuk menjadi pemimpin seperti raja dan menteri dan lain-lain.
Manusia yang dicipta oleh Allah SWT ini juga dijadikan dengan berbagai-bagai kaum dan agama.
Semua sifat dan keadaan yang dicipta oleh Allah SWT ini ada hikmahnya. Manusia miskin patut berusaha untuk menjadi kaya. Orang kaya mesti membantu pada yang miskin. Dan siapa pun yang dicipta itu mestilah bersyukur kepada Allah SWT di atas segala apa yang dikurniakan kepada kita.
Fikiran yang dikurniakan oleh Allah SWT ini amat besar munafaatnya. Dari fikiran inilah kita boleh berfikir yang baik dan yang tidak baik. Kita boleh berfikir tetang agama dan sebagainya. Allah SWT turut menciptakan syurga dan neraka. Fikirlah dengan waras agama mana yang boleh membawa kita kesyurga.
Fikirlah apa yang baik dan apa yang tidak baik. Menipu, mencuri, memukul orang, mencari dadah, merempit dan sebagainya adalah tidak baik. Buanglah yang tidak baik itu cari yang baik demi cintakan Allah SWT dan syurgaNya.
Rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT terdiri berbagai-bagai sumber. Datuk Siti Norhaliza walaupun mungkin pada segi akademiknya tidak seberapa, tetapi Allah SWT kurniakan dia bakat menyanyi yang begitu menonjol. Rupa cantik duit pun banyak. Satu filem iklan yang dilakonkan, kata orang, dia boleh mendapat bayaran sehingga sejuta ringgit Malaysia. Itu kurnia Allah kepadanya. Alhamdulillah.
Khabarnya Datuk Siti Norhaliza juga amat baik orangnya. Tidak sombong. Merendah diri. Lebih dari itu dia suka bersedekah dan menderma.
Alhamdulillah, semoga Allah SWT buka pintu hatinya agar bertudung sepanjang masa. Insya-Allah.

Rabu, 18 November 2009

OBAMA DIKRITIK KERANA TUNDUK HORMAT MAHARAJA JEPUN

Penulis-penulis blog di Amerika Syarikat mengkritik teruk presidennya, Barack Obama kerana tunduk sebagai menghormati Maharaja Jepun Akihito minggu lalu, sebagaimana tercatat dalam akhbar KOSMO.
Aku tidak nampak janggalnya Obama berbuat begitu. Salahkah dia menghormati seseorang yang patut dihormatinya. Apakah Obama setaraf dengan maharaja Jepun itu atau setaraf dengan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang DiPertuan Agong.
Bagi saya, raja atau sultan berbeza dengan presiden walaupun presiden sebuah negara besar seperti Amerika Syarikat. Apa yang dinamakan presiden itu, saya rasa tidak ada bezanya dengan Presiden Penarik Beca, Presiden Kereta Sewa atau Presiden Pengusaha Lori Malaysia. Tarafnya sama sahaja dengan Presiden Amerika Syarikat itu.
Mereka menjadi presiden kerana dipilih oleh rakyat atau dipilih oleh pemerintah yang berkuasa seperti di Singapura.
Raja atau Sultan tidak sama. Mereka ini adalah keturunan bangsawan. Mereka harus dihormati
mengikut adat sesebuah negara atau negeri itu.
Presiden juga sebenarnya patut dihormati. Tetapi sekiranya mengikut protokolnya, Maharaja tentulah lebih di atas berbanding presiden.
Sepekara lagi yang patut kita sedari ialah sifat sombong dan besar diri di kalangan rakyat Amerika Syarikat. Mereka berfikir orang lain sahaja mesti menghormatinya kerana Amerika Syarikat negara kuasa besar dunia. Sombong nampaknya mereka.
Islam menyuruh kita hormat menghormati antara satu dengan lain. Anak wajib menghormati ibu bapanya. Rakyat wajib menghormati raja dan pemerintahnya. Cara menghormatinya itu terpulanglah pada budaya masing-masing.
Tunduk menghormati seseorang yang patut dihormati tidak salah.

Selasa, 17 November 2009

CERITA PEMBANTU RUMAH RAKYAT MALAYSIA DIDERA DI SWITZERLAND

Hari ini aku ingin kongsikan kisah pembantu rumah yang didera oleh majikannya. Di Malaysia kisah ini sudah cukup hangat diperkatakan orang sehingga menjadi tegang hubungan Malaysia dengan Indonesia. Berbagai-bagai syarat dan cadangan ditimbulkan oleh kedua-dua belah pihat.
Banyak cerita tentang pembantu rumah didera dan tidak kurang juga cerita pembantu rumah yang tidak jujur. Lebih dari itu ada pembantu rumah yang mendera dan menyiksa majikannya.
Bagaimanapun, kerajaan Malaysia telah menjanjikan perlindungan kepada rakyat asing yang bekerja di negara ini secara sah dari segi undang-undang. Dan kalau rakyat asing itu tidak jujur malah bersikap kejam terhadap majikannya, maka undang-undang untuk mendakwa mereka sedang menanti.
Dan dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini 17.11.09 mengisahkan rakyat Malaysia yang bekerja sebagai pembantu rumah didera di Switzerland. Adakah di Switzerland mempunyai undang-undang yang sama seperti negara kita. Bolehkah mangsa mendapat perlindungan dari negara asing itu. Kalau tidak, kasihanlah rakyat kita.
Saya suka nasihatkan rakyat Malaysia yang minat untuk menjadi amah atau pembantu rumah atau orang gaji lebih baiklah bekerja di negara ini sahaja. Tidak payah berhijrah ke tempat lain.
Dari kita import pembantu rumah dari negara asing baiklah juga kita gunakan pembantu rumah dari negara kita sendiri.
Satu undang-undang yang khusus patut diujudkan agar tidak berlaku kekerasan, kecurangan dan ketidakupayaan.

Isnin, 16 November 2009

PENULIS-PENULIS MUDA YANG BERBAKAT BESAR

DIAWAL penglibatanku dalam penulisan pada tahun 60an dan 70an, ramai penulis-penulis muda yang begitu menonjol dan sering mendapat tempat dalam majalah-majalah dan akhbar-akhbar waktu itu. Mereka terus hidup dalam ingatanku. Didalam penulisan cerpen dan novel aku tidak dapat melupakan nama-nama seperti Khadijah Hashim, Norhisham Mustafa, Zahari Affendi, Azizi Hj. Abdullah, Allahyarham Abdullah Tahir, Allahyarham Razak Mamat (sekadar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi. Mereka terus menulis dan terus hidup dalam diari memoriku.
(S.M.Zakir)




(Razali Endun)

Dalam genere puisi, aku cukup kagum kerajinan M.Z. Alias, Zahari Hasib, Wadi Leta s.a dan ramai lagi. Kita dapat membaca tulisan mereka disetiap akhbar dan majalah sehinggalah ke hari ini.
(Faisal Tehrani)
(Khadijah Hashim)

Penulis muda yang kian meningkat dewasa ini ialah Nisah Haron, Faisal Tehrani dan S.M. Zakir. Mereka rajin dan berbakat besar. Nisah Haron walaupun seorang peguam, tetapi beliau menjadi penulis sepenuh masa. Alhamdulillah. Taniah dariku.
Penulis-penulis veteran yang terus berkarya walaupun telah berihat sekian lama ialah Saudara Razali Endun. Saya kagum juga tentang kerajinannya menulis cerpen dan novel.
Ada juga penulis kreatif yang masih hidup, sihat dan segar, tetapi minat menulisnya sudah mati. Umpamanya sahabat saya saudara Mokhtar Yassin. Beliau penyair yang amat hebat. Entah kenapa beliau menyepi sekarang ini. Bagaimanapun beliau aktif dalam persatuan penulisan di Melaka.


(Nisah Haron)

                                 

(Abdul Latip Talip)

Latip Talip yang tidak begitu aktif pada awal pembabitannya dalam penulisan, kini telah bangun dengan novel-novel sejarah Islamnya yang bermutu dan mendapat sambutan menggalakkan.
Taniah saudara. Anda amat membanggakan
PEN dan membanggakan Negeri Smbilan.                            
Seoga anda semua berjaya dan terus berjaya.

Ahad, 15 November 2009

KE MANA PERGINYA NORA ATAU Hj. ALI HJ. AHMAD.....

(GAMBAR: GAMBAR NORA YANG AKU RAKAMKAN SEMULA DARI SEBUAH AKHAR UTUSAN ZAMAN - SURAT KHABAR LAMA.)
SAYA selalu teringatkan NORA atau nama sebenar Haji Ali Haji Ahmad. Nora ialah bekas pengelola ruangan sastera MINGGUAN MALAYSIA (MM). Bagi saya beliau adalah seorang penulis kreatif yang amat mantap dan berbakat besar.
Aku mula mengenalinya ketika aku menziarahi Zahari Afendi di Utusan Melayu. Zahari yang memperkenalkan aku dengannya.
Dia seorang yang baik dan tidak pernah meninggikan diri.
Ketika aku mula bergiat dalam penulisan kreatif aku memang terlalu rajin. Memang terlalu banyaklah aku menghantar cerpenku ke MM. Banyak juga yang tersiar. Tetapi NORA terlalu risau kerana aku banyak menghantar cerpen ke MM. Walaupun aku kerap menghantar cerpen - tetapi tidak pernah sekali aku kirimkan cerpenku terus kepadanya. Aku tidak mahu orang cakap aku ini pandai mengampu. Oh, itu bukan cara aku.
Bagaimanapun, seorang sahabat rapatku yang juga rapat dengan NORA telah datang ke rumahku. Masa itu aku duduk di Kampung Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan.
Sahabat saya itu bagitahu: "Nora cakap kau terlalu banyak kirimkan cerpen. Katanya dia tidak boleh hendak menyiarkan cerpenku tiap-tiap minggu. Nora nasihatkan kau supaya kirimkan cerpen sebulan atau dua bulan sekali."
Sebenarnya maksudku bukanlah hendakkan agar setiap cerpen yang aku kirimkan itu mesti disiarkan. Aku bermaksud supaya cerpen-cerpenku itu dinilaikan. Itu sahaja.
Tetapi aku akui bahawa aku memang kuat menulis diawal pembabitanku dalam penulisan.

Sabtu, 14 November 2009

TERKENANG-KENANG MASA SILAN - 15.

Sebahagian dari rakan-rakanku dalam gambar ini telahpun meninggal dunia. Dalam gambar aku sedang duduk nombor dua dari kiri. Gambar ini dirakamkan pada tahun 1963 sebelum aku menyertai Polis DiRaja Malaysia. Sebenarnya gambar ini aku rakamkan dari majalah Fashion yang amat ramai peminatnya. Majalah ini diterbitkan di Singapura. Aku memang penggemar majalah ini dan tulisan-tulisanku sering disiarkan. Baca tajuk dibawah gambar itu: AIR KERUH AKAN MENJADI TAMAN BINATANG. Pada waktu aku melawat ditempat ini kawasan disekitarnya masih hutan belantara lagi. Mungkin komunis pun masih ada di situ. Dan dalam kawasan zoo itu hanya ada beberapa ekor binatang sahaja. Tidak sangka-sangka apa yang aku tulis itu menjadi kenyataan. Zoo Air Keroh Melaka adalah diantara zoo yang terkenal juga di Tenggara Asia ini. Setiap minggu malah setiap hari Zoo Air Keroh sentiasa menerima ribuan pengunjungnya.

Jumaat, 13 November 2009

N. HAMRAN - SAHABAT RAPATKU BERCITA-CITA MENJADI PENGARAH TEATER TERKENAL.

(GAMBAR: WAJAH N. HAMRAN KETIKA MUDA)
N. Hamran atau nama sebenarnya Ninggal Ibrahim adalah sahabat yang cukup rapat denganku. Semasa remaja dia bergelar Hang Lekir yang pernah bercita-cita untuk memanjat Gunung Ledang menutut ilmu dengan Adi Putera di gunung itu.
N. Hamran bercita-cita tinggi di bidang seni. Dia ingin menjadi pengarah teater atau drama petas waktu itu. Pernah dia menghasilkan sebuah skrip yang bertajuk, JALAN KENERAKA. Aku baca skripnya memang cantik dan susunannya amat kemas. Tetapi entah mengapa skrip itu tidak dapat dipentaskan.
Kami sama-sama ahli jawatankuasa persatuan belia ANGKATAN SETIA JAYA (ASJ). Drama yang mula-mula kami pentaskan ialah drama KUTU DI TEPI JALAN karangan dan arahan Allahyarham Omar Ahmad tahun 1963. Dan pada awal tahun 63 atau hujung tahun 1963 drama aku pula dipentaskan bertajuk DAGANG DIAMBANG SORE. Selepas itu barulah kami hendak pentaskan JALAN KE NERAKA. Tetapi entah apa sebabnya, karya N. Hamran terbengkalai.
Tapi dia memang berbakat. Berbakat besar. Dan sayangnya bakatnya terperap begitu sahaja.
Saya tidak tahu dimanakah N. Hamran berada sekarang. Dia bekas tentera laut. Ada mengatakan dia berada di Seremban. Tetapi alamat lengkapnya aku tak tahu. Harap-harap ada orang yang mengenali dia dan sudi menghubungi aku.

Rabu, 11 November 2009

BENLUDIN HAMBA ALLAH BARANGKALI PENGGUNA BLOGGER PALING TUA....

ANAK-ANAK, abah fikirkan abahlah pengguna blogger paling tua kerana umur abah telah mencecah 65 tahun. Rupa-rupanya ada pengguna blogger yang lebih tua dari abah. Dia daftar sebagai pengguna blogger tahun 2007 ketika berusia 80 tahun. Sekarang mungkin umurnya telah mencecah 82 tahun. Dia orang Kuala Lipis. Taniah 'walk of life' Benludin Hamba Allah. Adakah anda orang paling tua di Malaysia yang menggunakan blogger untuk menyampaikan apa yang terdetik dihati. Semoga Allah terus memelihara kesihatanmu. Dan semoga kita sering dapat mengikuti curahan perasaannya. Insya-Allah. Assalamualaikum WRT.

Isnin, 9 November 2009

SAJAK TERBAHARU - BINALAH SEBUAH ISTANA

Terima kasih Utusan Melayu Mingguan 9.11.2009 kerana menyiarkan sajakku bertajuk BINALAH SEBUAH ISTANA. Ini karyaku yang ke 11 sepanjang tahun 2009 yang tersiar. Alhamdulillah setinggi syukurku kepada Yang Maha Pencipta - Allah SWT. Entah dibayar entahkan tidak, tidaklah dapat aku pastikan. Tetapi bayaran tidak penting. Yang penting karyaku tersiar.
Pada tahun 1967 sajak pertamaku tersiar dalam akhbar tulisan jawi, yaitu UTUSAN ZAMAN. Dan ini adalah sajak kedua yang tersiar.
Sajak ini sebenarnya mengajak manusia supaya taat kepada Allah SWT. Jauhkan dari segala kemungkaran. Insaflah bahawa hidup ini hanya sementara sahaja. Akhiratlah tempat berkekalan. Semoga kita mendapat tempat duduk yang indah di Akhirat kelak. Hayatilah sajak terbaru ku ini.
TAJUK: BINALAH SEBUAH ISTANA
Binalah sebuah istana
tempat berihat yang abadi
bersama dayang-dayang syurga
bersama kelazatan juadahnya

Binalah sebuah istana
dalam syurga yang permai
jagalah diri dipersinggahan ini
agar tidak tergelincir
dari batas keimanan

Binalah sebuah istana
dengan Rahmat dan Reda Allah
bersama rasul-rasulnya
bersama para malaikatnya

Binalah sebuah istana
dari pelaburan dunia yang mencabar
pagari diri untuk ketaatan dan keikhlasan
hindarkan dari kemaksiatan dan kemungkaran
jalan ke syurga terbuka luas.

SIKEMBAR LAPAN....

(GAMBAR: Nadya Suleman bersama anak kembar lapannya. Semua anak-anak kembarnya itu duduk dikerusi warna kuning.)
Los Angeles, Amerika Syarikat, Nadya Suleman terus ketagih untuk mendapatkan anak yang ramai. Beliau adalah wanita kedua dunia yang melahirkan anak kembar lapan.....Tidak siapa yang dapat menghalang kehendak Allah SWT.

Ahad, 8 November 2009

KE MANA SELEPAS SABAH......?

(GAMBAR: ISTERI DAN ANAK DARAKU KETIKA MELAWAT CHINA)
SUDAH ada suara-suara dari anak-anak, saudara-mara terdekat dan sahabat-sahabat rapat; mereka bertanya, selepas Sabah, nak melancong ke mana pula? Sebahagian dari negara-negara Arab aku telah jejaki seperti Jordan, Syria, Mesir dan Turki. Manakala Qatar dan Bahrin adalah negara persinggahan sementara - Sementara untuk menuju kesuatu distinasi lain.
Negeri Cina juga aku sudah pergi, manakala Hong Kong dan Pakistan hanya negara persinggahan sementara.
Aku ada juga bercita-cita hendak pergi ke Iran, Libya, Kuwait, Qatar, Bahrin, Maghribi, India dan lain-lain. Ada juga cita-cita hendak pergi Vietnam, Hong Kong, Acheh, Bandung dan lain-lain. Disamping itu ada juga cita-citaku untuk buat umrah. Bila hah? Entahlah, Allah SWT yang Maha Besar dan Maha Berkuasa yang akan menentukan segalanya. Sebagai makhluk biasa, kita hanya boleh berserah sahaja.
Jangan lupa sembahyang. Sentiasa berzikir dan mengingati Allah. Sentiasalah berdoa kepadanya semoga DIA panjangkan umur dan murahkan rezeki kita. Insya-Allah.
India juga negara yang cantik untuk kita melancong. Saya sering bercita-cita untuk melihat Taj Mahal. Kata orang, jauh perjalanan luas pemandangan lama hidup banyak dirasa. Taj Mahal ada salah satu tempat mesti dilawati. Taj Mahal adalah satu dari beberapa tempat yang dianggap pelik ahli-ahli kaji sejarah.
Hubungi saya kalau nak melancong bersama.

Sabtu, 7 November 2009

MAJOR NIDAL MALIK HASAN MENGAMUK.....

(GAMBAR: NIDAL MALIK HASAN - BERJUBAH)
KALAU bertanya dengan saya tentang sikap Major Nidal Malik Hasan yang menembak rakan sendiri di Kem Pertahanan Fort Hood, Texas, Amerika Syarikat, saya meanggap sikap itu amatlah kejam dan Islam tidak menyuruh orang Islam membunuh sesama Islam atau membunuh orang yang bukan Islam. Tindakan Major Malik Hasan itu, bagi saya adalah tidakan oirang pengecut dan amat memalukan kepada umat Islam sendiri.

Memang benar Umat Islam menyuruh kita bertindak kepada sesiapa sahaja yang bendak merobohkan masjid dan menghancurkan negara orang-orang Islam. Wajib kita bertindak balas dan membunuh orang yang berniat jahat itu. Tetapi kejadian ini berlaku di Amerika Syarikat, bukan negara Islam. Dan mereka yang ditembak itu pula sedang menjalani pemeriksaan perubatan. Kenapa major ini mengamuk? Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.

Selama ini kita dilebelkan sebagai pengganas. Harap-harap apa yang berlaku ke atas Malik Hasan itu biarlah bermotifkan pribadi. Wallahualam......

Khamis, 5 November 2009

MACAM-MACAM MASALAH POLITIK NEGARA KINI....

PENING KEPALA bila direnung tentang politik negara ini. Tidak ada yang tenang dan damai nampaknya. Tuan Guru Nik Aziz semacam saja. Tak ubah-ubah. Hadi Awang nampak cool sikit. Tapi tak berubah juga. MCA tak habis-habis berebut kuasa semacam sengaja hendak menghancurkan Barisan Nasional. MIC nampak tenang sedikit setelah bergolak sekian lama. Satu lagi parti India, PPP sedang bergolak. Masing-masing berebut kedudukan nombor satu. PKR juga nampaknya tidak aman. Khabarnya banyak lagi ahli-ahli YBnya ingin cabut meninggalkan Anwar kerana tidak berpuas hati dengan penasihat PKR itu. Gasaklah. Semoga Allah SWT terus memelihara negara ini.
AKU INGIN LARI DARI MEREKA....

Rabu, 4 November 2009

OSMAN DOL LEBIH COOL.....KATA SEORANG BLOGGER "DIARI SEORANG PEREMPUAN"

Aku tidak jelas OSMAN DOL mana yang dimaksudkan itu. Mungkin akulah agaknya. Biasanya orang yang telah melewati 'usia emas' seperti aku ini tidak ada apa yang istimewanya. Namun begitu aku bersyukur kepada Allah yang telah memanjangkan usiaku sehingga kini. Orang-orang muda belum tahu adakah mereka boleh mencapai usia begini. Sekarang terlalu banyak cabaran. Orang tua semakin tua dan orang muda mati di tengah jalan. Dadah, rempit dan bergaduh adalah cabaran-cabaran bagi orang-orang muda agar tidak panjang umur. Aku suka menasihati diriku sendiri dan kelurga dan orang-orang muda malah sesiapa sahaja - rakan-rakan atau keluarga blogger 'diari seorang perempuan' - berhati-hatilah dipersinggahan sementara ini (lihat sajakku dalam Dewan Sastera Oktober 2009 - Dipersinggahan ini) sudah cukup untuk menyeru manusia supaya membuat kebaikan demi agama, bangsa dan negara. Hindarkan diri kita dari apa-apa juga kemungkaran yang boleh membinasakan diri kita sendiri. Meredekakan diri kita dari segala penyakit masyarakat. Si warga emas diharap tidak terlajak.
Cool mungkin tidak ada sesiapa yang ingin singgah di blogku - cool itulah ketenangan dan kedamaian yang aku harap-harapkan dan sesiapa juga mengharapkannya. Kata ulamak, dipersinggahan yang penuh dengan ujian dan cabaran ini sebenarnya menyuruh kita banyak bersabar. Kerana itu kita sentiasa perlukan ketenangan (cool) supaya segala halangan dan rintangan itu dapat dihadapi dengan kemenangan. Insya-Allah. Assalamualaikum WRT.

Isnin, 2 November 2009

KENAPA DR. ASRI ZAINUL ABIDIN DITANGKAP?

(GAMBAR: DR. ASRI DAN PENYOKONG-PENYOKONGNYA)
BANYAK orang dan termasuklah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak puas hati terhadap penahanan bekas mufti Perlis Dr. Asri Zainul Abidin oleh JAIS malam tadi. Perdana Menteri mempertikaikan motif tangkapan bekas mufti Negeri Perlis itu, kononnya Dr. Asri ditangkap kerana tidak mempunyai permit ceramah dan melanggar Sek. 119 Enakmen Prentakbiran Agama Islam tanpa tauliah.

Banyak orang lain yang berceramah tanpa permit tidak ditangkap, kata Perdana Menteri kita. Kenapa Dr. Asri sahaja yang kena tangkap? Ini tidak patut. Berita terakhir tentang Dr. Asri dikatakan tidak akan didakwa. Dia dibebaskan oleh Mahkamah Ulu Kelang dengan bon bahawa beliau dikehendaki datang ke mahkamah pada bila-bila masa dikehendaki.

Adakah kerana Wahbi sahaja Dr. Asri ditahan. Madinah dan Mekah yang saya tahu dikuasai oleh mereka yang berfaham Wahbi. Raja Arab Saudi pun berfaham Wahbi. Haramkah atau kafirkan orang yang mengamalkan Wahbi itu.

Wahbi ujud dari Mazhab Maliki. Saya terlalu kabur tentang penahanan Dr. Asri. JAIS kena beri penjelasan supaya tidak merunsingkan rakyat negara ini.