DULU-DULU, zaman semasa aku kanak-kanak dahulu dalam tahun-tahun 50an ketika berumur antara 7 ke 10 tahun memang tidak pernah berjumpa seluar panjang. Kemana-mana sahaja pakai seluar pendeklah. Hari raya pun pakai seluar pendek. Orang-orang tua zaman itupun jarang yang memakai seluar panjang. Mungkin orang-orang zaman itu kurang ilmu, kerana bagi orang lelaki auratnya ialah dari lutut ke bawah. Atau tidak mampu untuk membeli seluar panjang waktu itu. Dan kalau aku pergi mengaji Quran pakai kainlah
KETIKA aku berumur 10 atau 11 tahun, ayahku telah membelikan untukku sehelai seluar panjang. Lama seluar panjang itu tersimpan kerana malu hendak pakai. Bila kulihat ada rakan-rakan sebayaku yang pakai seluar panjang, aku pun pakai seluar yang lama tersimpan itu. Aduh, teruk aku kena usik kawan-kawan. Wah pakai seluar panjang ya? Siapa beli?....Aku malu jadinya dan kawan-kawanku macam gayat saja nampaknya. Pelik sangat jadinya kerana pakai seluar panjang itu.
PAKAI jam pun macam itu juga. Satu hari, saya kutip jam abang saudara saya yang dicampakkan di belakang rumah. Jam itu telah rosak sebenarnya. Aku ambil jam itu dan entah apa yang aku buat, tiba-tiba jam itu boleh berfungsi. Aku gembira sangat. Waktu itu jarang sangat budak-budak pakai jam. Tapi aku sudah pakai jam. Kerana ada jam aku selalu pergi ke pekan. Aku tayang jam yang sudah terbuang itu. Aku asyik tengok jam sahaja. Kawan-kawan pula semuanya menegur aku. Wah ada jam ya, ada jam......
Aku bangga sheikh, Terlalu bangga.
ZAMAN sekarang ini dah bersepah jam, kanak-kanak baharu pandai berjalan pun dah pakai jam. Semasa aku ke Mekah, jam Rolex pun ada jual. cuma RM10.00 sahaja harganya sebuah.
(SEMUA GAMBAR YANG DISIARKAN INI HANYA UNTUK HIASAN SAHAJA. GAMBAR DIPETIK DARI GOOGLE IMAGES.)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan