BERCAKAP fasal kereta lembu tidak dapat tiada akan dikaitkan dengan Negeri Melaka. Memang tidak boleh dinafikan Negeri Melaka amat terkenal dengan kereta lembu. Di suatu masa dahulu, saya sering membantu ayah saya membuat kereta lembu mainan yang dijual dengan harga RM1.50 sebuah pada awal tahun 60an.
Pada tahun-tahun 50an dan awal tahun 60an, kereta lembu masih menjadi alat pengangkutan utama di negara ini. Ayah saya dan ayah-ayah saudara saya dianggap orang berada kerana mempunyai kereta lembu. Ninda saya yang terkenal dengan panggilan BABA KUAN mempunyai kereta lembu yang selalu disewa oleh orang-orang kampung untuk mengangkut barang-barang jualan seperti kayu api, ubi, keledek, pisang, keladi, nenas dan lain-lain. Kerana itu anak-anak datuk saya boleh dikatakan semuanya mempunyai kereta lembu.
Seorang ayah saudara saya yang bernama Mat Sin, selain dari mempunyai kereta lembu dia juga mempunyai matokar. Kereta lembu dan matokarnya sentiasa disewa orang. Cerita yang saya dengar, ayah saudara saya itu orang paling cantik di Kampung Durian Tunggal. Entahlah, ini cakap orang. Selain dari itu dia memang orang berada kerana ada kereta lembu dan ada matokar. Tuk Ana, ulamat besar Durian Tunggal pernah menyatakan kepada saya, ke mana-mana dia pergi, dia menggunakan kereta ayah saudara saya itu. Ketika dia hendak pergi Mekah dan balik dari Mekahi, bapa saudara saya inilah yang menolongnya. Kebetulan Tuk Ana dan ayah saudara saya ini kawan rapat dan hampir sebaya pula. Kini kedua-duanya sudah tidak ada lagi, ayah saudara saya telah pergi jauh lebih awal darinya sebelum kedatangan Jepun. Saya pun tidak pernah melihatnya selain dari melihat gambar sahaja.
Ayah saya bukan sahaja mempunyai kereta lembu, tetapi dia juga turut berniaga lembu. Diawal tahun 60an ayah saya juga membeli sebuah kereta jenis Hillman nombor pendaftarannya M 1688. Hebatkan?
Apa yang hendak saya kisahkan, saya selalu diajak oleh ayah saya untuk menemaninya membawa kayu atau apa-apa sahaja untuk dijual di bandar Melaka. Ayah ajak saja untuk temankan dia. Dan bila lembu tidak berupaya menarik kereta lembu itu ayah suruh sasya membantu menolaknya dari belakang. Dan bila kereta lembu itu hendak terjongket ke belakang, ayah suruh saya duduk di bom kereta berhampiran lembu menarik itu supaya dapat diselaraskan beratnya supaya tidak terjongket.
Fasal kereta lembu ini aku betul-betul banyak pengalaman. Semoga Allah SWT merahmati usahaku itu. AM IN.
Ahad, 13 Disember 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan