MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Isnin, 24 Ogos 2009

TERKENANG-KENANG MASA SILAM....12



Diawal tahun 50an penduduk-penduduk Kampung Durian Tunggal tidaklah seramai yang ada sekarang. Di Solok Bukit Balai dari pangkal solok hingga ke hujung solok barangkali baru ada 10 ke 15 buah rumah. Dan berhampiran dengan rumahku cuma terdapat empat buah rumah sahaja.
Waktu itu cuma ada 5 orang sahaja kanak-kanak lelaki yang duduk berhampiran. Kami berlima memanglah kawan amat rapat sejak kanak-kanak lagi. Aku, Jantan (Ahmad), Latif, Ninggal dan Nordin (Cikmat) adikku. Kami selalu bersama-sama walau ke mana pun. Kami bagaikan Hang Tuah lima bersaudara.
Umur kami sebenarnya hampir sebaya. Jantan tua setahun lebih dariku. Latif muda lapan bulan dariku. Ninggal muda 11 bulan dariku. Dan Nordin adikku muda setahun lebih dari aku. Lebih kurang umur kami disekitar 11 ke 13 tahun waktu itu. Jantan sebagai Hang Tuah, aku Hang Jebat, Latif Hang Kasturi, Ninggal Hang Lekir dan Nordin Hang Lekiu. Kami mempunyai keris sebilah seorang yang diperbuat dari papan. Waktu petang bila tidak ada apa-apa kerja kami berlonggok di tepi-tepi sungai lalu kami pun bersilat.
Kami berlima bercita-cita untuk memanjat Gunung Ledang untuk belajar silat dengan Adi Putera. Filem Hang Tuah lakonan P.Ramlee dan Ahmad Mahmud itu benar-benar memberi semangat kepada kami untuk menjadi pahlawan.
Apa yang kami rancangkan tidak akan kesampaian. Tetapi seronok berangan-angan dan berbincang kosong serperti itu. Kami berlima berkawan rapat sehinggalah kami dewasa.
(Gambar: Aku dan Abdul Latif Aziz - Latif rendah sedikit dariku. Latif telah meninggal dunia tiga tahun yang lalu. Yang lain masih ada lagi. Gambar dirakamkan sekitar tahun 63 atau
64).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan