MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Sabtu, 15 Ogos 2009

SAHABAT-SAHABAT JUGA MENJADI PENDORONG......


Selain dari faktor kemiskinan yang mendorong aku menjadi penulis untuk membina hidup yang lebih baik, sahabat-sahabat juga banyak membantu aku untuk menjadi seorang penulis yang baik.
Aku ingin menyebut beberapa orang penulis yang sudah terkenal ketika aku mula berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Misalnya 'Hanifah' atau Ahmad bin Haji Abdullah (Dato'). Hanifah banyak menulis cerpen dan cerpen-cerpennya banyak tersiar dalam majalah-majalah Hiburan dan Mutiara. Waktu aku berumur antara 14 atau 15 bila pergi ke rumahnya, selalulah ditunjukkan karya-karyanya yang telah tersiar. Umpamanya cerpen-cerpennya yang bertajuk SAGAP. MENONTON JOGET dan lain-lain. Secara tidak lansung dari melihat karya-karya nya itu telah mendorong aku untuk menjadi penulis sepertinya.
Selain dari Allahyarham Hanifah, Allahyarham Omar Ahmad dan Allahyarham T.S. Sidi juga banyak memberi semangat kepadaku untuk berkarya. Omar Ahmad pernah mengarang novel Kalau Roboh Kota Melaka dan pernah memenangi beberapakali cerpen RM100.00 anjuran Berita Harian. Tajuk sebuah cerpennya yang masih kuingat sehingga sekarang ialah TERMENUNG.
T.S. Sidi adalah jiran terdekat denganku. Dia mencipta nama ketika bermastautin di Kuala Lumpur. Dia banyak menulis sajak dan pernah menulis beberapa buah cerpen. Aku dan Sidi selalu bercakap tentang penulisan bila dia balik ke kampung. Dan setiapkali dia balik ke kampung pasti dia akan mencari aku untuk diajak bercakap tentang penulisan.
Sesungguhnya mereka ini ada pendorong dan pencetus semangat aku dibidang penulisan.
Aku juga sering bercakap tentang penulisan dengan sahabat-sahabat rapatku seperti Sidek Baba, Hassan Samat dan Othman Rejab. Sidek Baba (Prof. Dr.) banyak menulis skrip drama radio dan menulis cerpen diawal pembabitannya dalam penulisan sebelum melangkah ke universiti.
Hassan Samat juga banyak menulis skrip drama radio dan menulis rencana-rencana biasa. Begitu juga Othman Rejab hanya menulis skrip drama radio sahaja. Sidek Baba masih terus berkarya dan begitujuga Hassan Samat hanya menulis apabila diperlukan oleh sesuatu pihak.
Sahabat saya Othman Rejab nampaknya lansung tidak bekarya lagi. Kami semuanya telah berumur lebih dari 60 tahun - sudah menjadi warga emas.
(Gambar: Ahmad bin Hj.Abdullah - Hanifah Melaka)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan