MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Jumaat, 14 Ogos 2009

APA YANG MENDORONGKAN AKU MENJADI PENULIS....

Apabila bertemu dengan rakan-rakan dan bercakap tentang penulisan banyak yang bertanya apakah yang mendorong aku menjadi penulis. Rumit juga untukku menjelaskannya. Barangkali mungkin boleh aku katakan, aku berminat di bidang penulisan di samping mempunyai sedikit bakat yang perlu diasah dan digilap. Selain dari itu mungkin aku rajin mencuba dan berani menghantarnya karya-karyaku ke majalah-majalah dan ke akhbar-akhbar.
Zaman kanak-kanakku aku seorang yang rajin membaca buku-buku cerita dan rajin mendengar drama-drama radio.
Aku teringat ketika aku darjah empat atau darjah lima aku ada meminjam sebuah buku di perpustakaan sekolah; selepas membacanya aku tidak memulangkannya kembali. Niatku semata-mata untuk membaca buku itu beberapakali. Tetapi guru yang bertanggungjawab tentang buku-buku perpustakaan itu meminta aku untuk mengembalikan buku itu segera.
Selain dari minat, bakat dan rajin mungkin juga didorong oleh beberapa faktor yang lain. Aku membesar di kampung dalam serba kekurangan. Ibu bapaku bukanlah orang yang berada. Aku melakukan berbagai-bagai kerja seperti menjual kue, jual buah-buahan, jual petai dan lain-lain untuk mendapat sedikit wang bagi meneruskn persekolahan. Ketika tingkatan dua atau tingkatan tiga aku bekerja menebas kebun, membersihkan teres kebun getah, menggali lubang untuk tanam anak-anak getah. Pernah juga aku bekerja memanjat dan menetak dahan-dahan getah.
Aku juga pernah disuruh menjadi 'jaga' di rumah seorang guru ketika guru itu pergi ke luar negara.
Pendiknya atas faktor-faktor kemiskinanlah maka mendorongkan semangatku untuk berkarya. Aku tidak bermaksud untuk mendedahkan kemiskinan hidupku itu kepada masyarakat, setidak-tidaknya dunia penulisan itu dapat membina hidupku dengan lebih baik lagi.
Aku juga tidak dilahirkan dari keturunan penulis. Ayah, ibu, datuk, nenek dan moyang-moyangku bukan penulis. Membaca pun barangkali terlalu kurang. Cuma ku dilahirkan dan dianugerahkan oleh Allah SWT untuk menjadi penulis. Walaupun aku bukanlah seorang penulis yang hebat, tetapi aku tetap bersyukur kepadaNya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan