MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Selasa, 24 November 2009

JANGAN TERSALAH PANGGIL NANTI TERSINGGUNG.

(GAMBAR: Nenek yang sudah berumur lebih dari 100 tahun ini barangkali tak kisah kalau kita panggil dia nenek.)
HUJAN pula pagi ini. Biasanya, selain dari hari Jumaat, Sabtu dan Ahad saya ke kebun untuk membuat kerja sedikit. Mesin rumput, meracun rumput-rampai dan lain-lain. Hari ini saya nak tumpukan perhatian kepada prnulisan sahaja. Dalam blog ini saya nak tulis tentang manusia-manusia yang tidak insaf diri sudah tua. Tajuk tulisan ini saya namakan: "jangan salah panggil...."
1) Semasa bertugas di Tampin seorang pemilik restoran amat marah bila seorang pelannggan memanggilnya 'kakak' ketika hendak membeli rokok. Waktu itu peniaga itu baru berumur 30an, manakala pelanggan itu saya rasa sudah berumur hampir 50 tahun. Saya nampak tauke itu bersikap kasar dengan pelanggannya. Saya cuma geleng kepala saja. Apa saya nak kata. Dan tauke restoran itupun tak sporting, bila lihat pelanggan lebih tua sedikit darinya, dia panggil pakcik. Pelanggan itu tak marah pula. Restoran itu sudah tutup sekarang.
2) Ketika saya naik keretapi dari Kelantan ke Tampin bersama Allahyarhamah ibu saya, seorang lelaki yang lebih tua dari saya memanggil saya pakcik. Umur saya waktu itu baru 23 tahun dan sipemanggil itu berumur 30 tahun. Sama ada dia tak perasan dirinya sudah tua atau dia lihat saya barangkali jauh lebih tua darinya. Saya tahu umurnya 30 tahun itu sebab saya bertanya dia tentang umurnya.
3) Hampir 40 tahun yang lalu saya ke Pejabat Pos Tumpat, Kelantan, kerana hendak pos surat.
Waktu itu umur saya dalam lingkungan 20an. Seorang wanita yang saya lihat jauh lebih tua dari saya datang menemui saya untuk meminta tolong saya mengisikan borang pengeluaran wang nya. Saya panggil dia makcik. Bila tengok kad pengenalannya, rupa-rupanya dia hampir 10 tahun lebih muda dari saya. Betulkah dia yang empunya kad pengenalan itu. Nasib baik dia tak marah.
4) Seorang yang rapat dengan saya yang bekerja disebuah restoran tidak puas hati kerana pelanggan-pelanggannya memanggil dia 'abang', padahal orang itu jauh lebih tua darinya. Biasalah itu, kata saya kepadanya.
5) Saya singgah minum kopi disebuah restoran lima atau enam tahun yang lalu. Restoran ini dakat kampung saya sendiri. Kebetulan dalam restoran itu ada seorang yang saya kenal sedang berbual-bual dengan seorang sahabatnya. Saya duduk semeja dengannya. Kawan saya itu memanggil kawannya itu 'abang' dan kawannya juga memanggil dia 'abang'. Masing-masing merasa muda agaknya antara satu dengan lain. Nakalnya pula saya ini, saya lalu bertanya, siapakah yang lebih tua antara kamu berdua ini. Selepas itu barulah mereka bertanya umur masing-masing.
6) Ada seorang sahabat saya yang muda dari saya. Umurnya baru awal 50 an agaknya. Anak-anak jirannya memanggil dia datuk. Dia tak kisah. Dan bila anaknya sendiri memanggil jiranya itu 'makcik', jirannya tak boleh terima walaupun umurnya sudah lebih dari 40 tahun.
7) Semasa bertugas di Port Dickson, seorang wanita iaitu isteri kepada pengusaha kantin balai polis telah memanggil pakcik kepada seorang bekas polis yang bersara awal. Mungkin umurnya awal 50an agaknya. Tiba-tiba pesara ini naik marah, suaranya melansing tinggi memaki wanita itu kerana memanggilnya pakcik. Wanita itu pula melawan balik. Jadi kelam-kabut dekat kantin itu dibuatnya. "Awak sudah ada cucu itulah sebabnya saya panggil pakcik...." kata wanita itu.
Dan banyak lagi. Macam-macam. Wallahualam....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan