MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Isnin, 29 Mac 2010

PESTA BUKU CATAT SEJARAH

(NAJIB KETIKA MEMBUAT UMRAH)
KUALA LUMPUR 28 Mac - Hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010 menyaksikan dua sejarah penting terpahat dalam industri perbukuan negara.

Kedua-dua catatan sejarah itu dilakar oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang muncul sebagai Perdana Menteri pertama mengunjungi PBAKL selepas 29 tahun penganjurannya.

Beliau juga muncul sebagai Perdana Menteri pertama yang terlibat dalam majlis bacaan buku di negara ini.

Majlis bacaan buku itu berlangsung dalam suasana santai dan menarik perhatian lebih 100 pengunjung yang bersesak-sesak di gerai penganjur majlis iaitu Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

Lebih menarik, buku yang dibaca pada majlis itu ialah hasil karya Perdana Menteri sendiri iaitu Menakhoda Zaman.

Pada majlis berkenaan, Najib membacakan 23 baris ayat dalam buku tulisannya yang dipetik daripada bab lima yang bertajuk Pertarungan Minda Masa Depan.

Pada ayat ke enam, peserta majlis itu menyertai bacaan bersama-sama Perdana Menteri sebelum diakhiri dengan baris ayat: "Menyingkir kelemahan, menyahut cabaran, menggerak perubahan, membina masa depan.''

Majlis berkenaan turut disertai oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom; Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Raslin Abu Bakar dan Pengarah Urusan ITNM, Mohd. Khair Ngadiron.

ITNM dalam kenyataan akhbarnya berkata, konsep majlis bacaan buku merupakan aktiviti intelektual yang menjadi amalan di kebanyakan negara Barat tetapi tidak pernah dilaksanakan dalam skala formal pada mana-mana acara di negara ini.

Justeru menurut ITNM, pihaknya mengambil inisiatif itu dengan harapan ia dapat menyuntik budaya baru yang menyumbang kepada semangat membaca di kalangan rakyat.

"Selari dengan itulah buku Menakhoda Zaman dipilih sebagai pengisian program ulung bacaan buku anjuran ITNM dan PNM ini kerana penulisnya adalah pemimpin tertinggi negara sekali gus menjadi model yang paling berkesan untuk menyampaikan mesej mengamanahkan budaya membaca kepada rakyat.

"Jika seorang pemimpin dalam kapasiti waktunya yang amat terhad itu masih mahu dan masih boleh mencari waktu untuk menulis dan membaca, maka apa sangatlah kita sebagai rakyat di bawah kepimpinan beliau," menurut kenyataan itu.

Sejurus majlis bacaan buku berakhir, Perdana Menteri kemudiannya meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk melakukan tinjauan mesra di PBAKL.

Kehadiran beliau ternyata menarik perhatian ribuan pengunjung yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman.

Najib juga tidak menghampakan beberapa pengunjung yang meminta beliau menurunkan autograf pada buku yang dibeli mereka walaupun difahamkan beliau masih belum sembuh sepenuhnya daripada demam.

(PETIKAN DARI UTUSAN MALAYSIA - 29. 3. 2010)
(Seorang sahabat baik menelefon saya, katanya, kau sokong sangat kerajaan apa yang kau dapat? Tak dapat apa-apa, kata saya, dan saya bertanya balik, yang kau sokong pada pembakang sangat itu, apa yang kau dapat? Dia ketawa saja......Aku pun ketawa juga.....Kami bersahabat rapat walaupun fahaman politik berbeza).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan