MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Ahad, 13 September 2009

IKTIBAR - KERANA TEGURKAN JEMAAH YANG BERTENGKAR SUAMI ISTERI.

(GAMBAR: PADANG ARFAH 20 KE 30 TAHUN YANG LALU. TIDAK SEPOHON POKOK PUN YANG TUMBUH DISITU)
Maaf. Saya tidak bertujuan untuk mengata sesiapa. Apa yang saya tulis adalah untuk dijadikan iktibar kepada orang ramai yang berhasrat untuk menunaikan haji atau umrah. Kisah yang saya paparkan ini tidak menyebut nama sebenar mereka yang terlibat walaupun ini kisah benar yang berlaku.
Kisah ini berlaku ketika saya menunaikan haji bersama isteri pada tahun 1995. Ketika di Madinah al Munawarah ada sepasang suami isteri yang telah saya lupa nama mereka sentiasa sahaja bergaduh. Isterinya suka membantah apa yang dikatakan oleh si suami dan si suami pula bila marah suka meninggikan suaranya. Kadang-kadang memang bosan mendengarnya.
Seorang sahabat saya, Abu namanya, terlalu tidak senang dengan gelagak suami isteri yang kaki bertengkar itu. Dia melahirkan rasa tidak puas hatinya kepada saya. Tapi saya nasihatkan dia supaya banyak-banyak bersabar dan sentiasa mengingati Allah SWT. Nampaknya dia menerima nasihat saya itu.
Tetapi bila kami berada di Mekah al Mukaramah dengan tidak disangka-sangka si Abu pula sering bergaduh dengan isterinya sehingga dia sering bersedirian kerana merajuk. Saya menasihatinya supaya bersabar dan ingatlah bahawa kita berada di Tanah Suci waktu ini.
Makan masa lama juga Abu hendak baik semula dengan isterinya. Alhamdulillah, akhirnya Abu kembali normal. Dan yang peliknya, suami isteri yang selalu bergaduh ketika di Madinah itu, tidak bergaduh pula ketika di Mekah. Inilah tanda-tanda Kebesaran Allah SWT, Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan