MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Rabu, 31 Mac 2010

SEORANG LAGI BAYI 'TERBUANG'.

DALAM NEGERI

(DARI UTUSAN MALAYSIA)
Oleh HAMIMAH HAMID

utusanperak@utusan.com.my

IPOH 30 Mac – Belum reda kisah seorang bayi perempuan ditemui dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di sini pada Sabtu lalu, timbul pula kisah seorang bayi perempuan yang ditinggalkan oleh ibunya sejak seminggu lalu.

Nasib yang dialami bayi perempuan itu agak baik kerana dia ditinggalkan kepada seorang wanita di sebuah rumah di Jalan Tawas Baru, Taman Ehsan, Tasek dekat sini.

Ibu bayi itu menemui wanita tersebut minggu lalu meminta dia menjaga anaknya yang baru berusia beberapa hari.

Menurut jurucakap Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB), ibu bayi itu berjanji akan menjemput anaknya keesokan hari namun tidak berbuat demikian.

‘‘Selepas seminggu tidak datang mengambil bayi itu, wanita yang menerima bayi tersebut menyerahkannya kepada pihak hospital,’’ katanya di sini hari ini.

Bayi seberat 3.1 kilogram itu kini ditempatkan di HRPB sementara menunggu tindakan selanjutnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pada 20 Mac lalu, bayi perempuan yang diberi nama Mahsya Kurnea ditemui dalam kawasan semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu di sini.

Beberapa hari selepas penemuan bayi itu, mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam keadaan yang lebih tragis, tangannya terputus digonggong seekor anjing berhampiran sebuah kilang simen di Kampung Melayu Subang, Selangor.

Berikutan isu pembuangan bayi yang dilihat tiada kesudahannya, Utusan Malaysia menganjurkan kempen ‘Kami Prihatin’ bagi membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap gejala tidak berperikemanusiaan itu.

Melalui program amal itu, barisan artis terkenal tanah air akan bergabung merakamkan sebuah lagu khas ‘Harapan Tanpa Suara’.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman yang melawat Mahsya Kurnea di HRPB hari ini melahirkan rasa sedihnya dengan nasib bayi tersebut.

Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai perkara tersebut, Hamidah turut meluangkan masa melawat bayi itu.

Menurut beliau, sekiranya ada di kalangan ibu bapa yang mempunyai masalah untuk menjaga anak mereka, beliau menyarankan supaya berhubung dengan mana-mana pihak untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.

“Jangan begitu mudah meletakkan anaknya di mana sahaja. Sedih saya memikirkan nasib anak-anak yang dibuang ini. Tolonglah, jangan ada lagi kejadian seperti ini,” katanya

(PAK: BILALAH NAK HABISNYA PENYAKIT INI AGAKNYA)

Isnin, 29 Mac 2010

PESTA BUKU CATAT SEJARAH

(NAJIB KETIKA MEMBUAT UMRAH)
KUALA LUMPUR 28 Mac - Hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010 menyaksikan dua sejarah penting terpahat dalam industri perbukuan negara.

Kedua-dua catatan sejarah itu dilakar oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang muncul sebagai Perdana Menteri pertama mengunjungi PBAKL selepas 29 tahun penganjurannya.

Beliau juga muncul sebagai Perdana Menteri pertama yang terlibat dalam majlis bacaan buku di negara ini.

Majlis bacaan buku itu berlangsung dalam suasana santai dan menarik perhatian lebih 100 pengunjung yang bersesak-sesak di gerai penganjur majlis iaitu Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

Lebih menarik, buku yang dibaca pada majlis itu ialah hasil karya Perdana Menteri sendiri iaitu Menakhoda Zaman.

Pada majlis berkenaan, Najib membacakan 23 baris ayat dalam buku tulisannya yang dipetik daripada bab lima yang bertajuk Pertarungan Minda Masa Depan.

Pada ayat ke enam, peserta majlis itu menyertai bacaan bersama-sama Perdana Menteri sebelum diakhiri dengan baris ayat: "Menyingkir kelemahan, menyahut cabaran, menggerak perubahan, membina masa depan.''

Majlis berkenaan turut disertai oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom; Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Raslin Abu Bakar dan Pengarah Urusan ITNM, Mohd. Khair Ngadiron.

ITNM dalam kenyataan akhbarnya berkata, konsep majlis bacaan buku merupakan aktiviti intelektual yang menjadi amalan di kebanyakan negara Barat tetapi tidak pernah dilaksanakan dalam skala formal pada mana-mana acara di negara ini.

Justeru menurut ITNM, pihaknya mengambil inisiatif itu dengan harapan ia dapat menyuntik budaya baru yang menyumbang kepada semangat membaca di kalangan rakyat.

"Selari dengan itulah buku Menakhoda Zaman dipilih sebagai pengisian program ulung bacaan buku anjuran ITNM dan PNM ini kerana penulisnya adalah pemimpin tertinggi negara sekali gus menjadi model yang paling berkesan untuk menyampaikan mesej mengamanahkan budaya membaca kepada rakyat.

"Jika seorang pemimpin dalam kapasiti waktunya yang amat terhad itu masih mahu dan masih boleh mencari waktu untuk menulis dan membaca, maka apa sangatlah kita sebagai rakyat di bawah kepimpinan beliau," menurut kenyataan itu.

Sejurus majlis bacaan buku berakhir, Perdana Menteri kemudiannya meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk melakukan tinjauan mesra di PBAKL.

Kehadiran beliau ternyata menarik perhatian ribuan pengunjung yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman.

Najib juga tidak menghampakan beberapa pengunjung yang meminta beliau menurunkan autograf pada buku yang dibeli mereka walaupun difahamkan beliau masih belum sembuh sepenuhnya daripada demam.

(PETIKAN DARI UTUSAN MALAYSIA - 29. 3. 2010)
(Seorang sahabat baik menelefon saya, katanya, kau sokong sangat kerajaan apa yang kau dapat? Tak dapat apa-apa, kata saya, dan saya bertanya balik, yang kau sokong pada pembakang sangat itu, apa yang kau dapat? Dia ketawa saja......Aku pun ketawa juga.....Kami bersahabat rapat walaupun fahaman politik berbeza).

BERHATI-HATI DIJALAN RAYA, BIAR LAMBAT ASALKAN SELAMAT, SAYANGILAH DIRI KITA....

(SEBUAH KERETA YANG TERSASAR DARI JALAN RAYA)
Pak Osman suka menasihatkan diri sendiri, anak-anak dan sesiapa saja. Pak Os bukan polis, bukan JPJ bukan orang-orang yang ada kuasa, Pak Os hanya orang biasa saja. Bacalah surat khabat lihat tv, kisah kemalangan jalan raya ini sentiasa dipaparkan. Berpuluh-puluh orang malah beratus yang menemui ajal di jalanraya.

Sebenarnya banyak punca yang boleh menyebabkan kemalangan; cuai, mabuk, laju, mengantuk, berlumba dan macam-macam lagi. Pak Os fikir, manusia yang mati di jalan raya lebih ramai dari yang mati dalam peperangan.

Kempen jalan raya ini sentiasa sangat diingatkan kepada pengguna-pengguna jalan raya ini. Tapi nampaknya kurang berkesan. Sebab-sebab seperti yang Pak Os sebutkan tadi adalah punca berlakunya kemalangan.

Sepekara lagi bagi kita yang beragama Islam mungkin kerana lupa membaca Bismilah, atau doa-doa yang berkaitan dengan perjalanan. Masuk dalam kereta saja bacalah doa. Ini ajaran Islam kata ulamak. Banyak doa perjalanan yang boleh kita amalkan. Jangan lupa doa itu. Setidak-tidaknya baca Bismilah dan baca doa dalam bahasa Melayu saja.

Kalau kita mati, banyak orang yang menangis: suami, isteri, anak-anak, ibu bapa, tunang, kekasih dan lain-lain. Mereka manangis kerana kematian anda. Mereka menangis kerana kecuaian anda. Allahuakbar.

Ahad, 28 Mac 2010

KERETA KEBAL ZIONIS CEROBOH GAZA


LUAR NEGARA



GAZA CITY 27 Mac - Seorang rakyat Palestin terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam serangan sepanjang malam oleh kereta kebal Israel yang menceroboh Gaza selepas dua askar Yahudi dibunuh pejuang Palestin semalam.

Angka kematian dan kecederaan terburuk dalam keganasan di Gaza dalam tempoh 14 bulan lalu ini berlaku apabila kereta kebal Israel melepaskan bedilan, menurut pegawai perubatan Palestin.

Menurut saksi, serangan ke atas Genting Gaza oleh pasukan tentera darat Israel turut disokong dengan helikopter.

Kereta kebal tersebut memasuki bahagian Khan Yunis, Gaza untuk satu tempoh singkat sebelum kembali semula ke kawasan Israel.

Pencerobohan itu berlaku selepas satu pertempuran ganas semalam di sempadan antara Genting Gaza dengan Israel yang mengorbankan dua askar dan seorang pegawai Yahudi serta empat penduduk Palestin, lapor tentera Israel.

Pegawai Palestin bagaimanapun masih belum mengesahkan angka tersebut.

Briged Ezzedine al-Qassam, sayap tentera Hamas yang memerintah Gaza mengaku bertanggungjawab membunuh dua askar rejim Zionis itu dalam pertempuran sengit di wilayah itu sejak berakhirnya Perang Gaza 2008-2009.

Briged Al-Quds, satu lagi sayap tentera pejuang Palestin, Jihad Islam turut melaporkan pertempuran dengan tentera Israel.

Sementara itu, tentera Yahudi melaporkan bahawa pejuang Palestin telah melancarkan serangan roket dari Genting Gaza ke Israel pagi tadi namun tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kerosakan. - AFP

PAK OSMAN: Bersyukur kita kepada Allah kerana negara kita Malaysia aman damai. Bencana Allam pun boleh dikatakan .0002 peratus sahaja. Ini mungkin kerana cuaca panas, hujan, banjir sikit-sikit selain dari itu kes-kes kemalangan jalanraya, kerana itu saya rasakan MALAYSIA  adalah negara paling aman  di dunia. Lihatlah apa yang berlaku di Thailand sekarang ini, Palastin, Haiti dan lain-lain. Negara kita cukup aman.
Pandai-pandailah kitas pilih pemimpin, jangan pilih pemimpin  yang tidak jujur, pembohong, kaki syaitan....Kerajaan yang ada sekarang, Alhamdulillah.

Sabtu, 27 Mac 2010

BAYI DIGONGGONG ANJING

INILAH MAYAT LELAKI  YANG MALANG ITU, SEBELAH TANGANNYA TELAH DIGONGGONG ANJING.(SILA RUJUK TULISAN  SAYA  BERTARIKH 20.3.2010 BERTAJUK BAYI  LUAR NIKAH  BERHAK DILUNDUNGI -Berita Harian.)

Oleh ASSIM HASSAN

jenayah@utusan.com.my

(Berita dan gambar dipetik dari Utusan Online)
Bahagian sebelah tangan mayat bayi lelaki (dalam bulatan) yang ditemui berhampiran sebuah kilang simen di Jalan Padang Tembak, Kampung Melayu Subang, semalam.

KUALA LUMPUR 26 Mac - Belum pun cukup seminggu kes seorang bayi perempuan ditemui di tempat pembuangan sampah di Ipoh, Perak, negara sekali lagi digemparkan dengan penemuan mayat seorang bayi lelaki dalam keadaan yang tragis hari ini.

Jika bayi perempuan yang ditemui itu selamat dan diberikan nama Mahsya Kurnea, nasib yang dilalui bayi lelaki ini tidak sama.

Sebaik sahaja dilahirkan, bayi yang masih bertali pusat itu diisi dalam plastik lalu dibuang di tepi jalan berhampiran sebuah kilang simen di Jalan Padang Tembak, Kampung Melayu Subang.

Sebelah tangan bayi malang yang telah bercerai dari badan itu kemudiannya digonggong oleh salah seekor daripada sekumpulan anjing yang menyelongkar bungkusan plastik itu.

Sukar untuk digambarkan betapa seksanya mayat bayi tidak berdosa itu diperlakukan.

Mujurlah ada seorang insan yang prihatin, kebetulan melalui jalan tempat kejadian kira-kira pukul 4 petang, ternampak kejadian menyayat hati itu.

Lelaki itu pada mulanya ternampak seekor anjing sedang menggonggong sesuatu berhampiran sebuah kilang simen.

Setelah dihampiri, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati apa yang digonggong oleh anjing itu adalah tangan kecil bayi.

Dia juga berasa pelik apabila ternampak sekumpulan anjing sedang mengerumuni satu bungkusan plastik.

Lelaki itu kemudian menghalau anjing-anjing tersebut dan apa yang menimbulkan kebimbangan dalam hatinya terjawab - bungkusan plastik itu berisi mayat seorang bayi.

Dia kemudiannya segera memaklumkan penemuan itu kepada polis yang bingkas datang ke lokasi mayat bayi tersebut ditemui.

Sabtu lalu, Mahsya Kurnea ditemui dalam kawasan semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu di Ipoh.

Malah, tidak tahan dengan isu pembuangan bayi ini - Utusan Malaysia menganjurkan kempen 'Kami Prihatin' bagi membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap gejala tidak berperikemanusiaan ini.

Melalui program amal itu, barisan artis terkenal tanah air akan bergabung merakamkan sebuah lagu khas 'Harapan Tanpa Suara'.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, bayi malang itu dibuang sebaik sahaja dilahirkan kerana masih terdapat tali pusat.

Beliau mengesahkan hanya tangan bayi itu yang terputus manakala anggota lain masih lengkap.

"Terdapat kecederaan pada anggota badan bayi berkenaan dipercayai akibat gigitan anjing liar. Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Masih terlalu awal, katanya, untuk mengenal pasti bila bayi itu dilahirkan tetapi polis tidak menolak kemungkinan ia dibuang pagi ini.

Sehubungan itu, Arjunaidi meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.

KATA PAK OSMAN DOL: Sampai bila cerita buang bayi ini hendak habis. Betulkah kata orang "SELAGI MANUSIA BERNAMA MANUSIA SELAGI ITU KEMUNGKARAN AKAN BERLAKU."

Tidak adil kalau kita hendak namakan manusia ini dengan nama yang lain kerana manusia-manusia yang curang itu hanya segelintir sahaja. Puncanya adalah disebabkan oleh pergaulan bebas. Mampukah kita cegah pergaulan bebas ini.

Tidak dapat di nafikan, dari pergaulan bebas itulah yang menerbit perzinaan. Tetapi perzinaan itu berlaku diluar jangkaan  kita. Melainkan kalau dapat kita cegah pergaulan bebas itu.....

Marilah kita sama-sama menjadi rakyat yang perihatin. Sama-sama kita berdoa semoga menginsafkan manusia-manusia syaitan itu. Wallahualam.

Jumaat, 26 Mac 2010

SELAMAT HARI POLIS YANG KE 203.

SELAMAT HARI POLIS ke 203. Alhamdulillah, saya juga mengucapkan taniah kepada seluruh warga POLIS DIRAJA MELAYSIA (PDRM) yang telah diberikan beberapa intensif sebagaimana yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri yang kita sayangi Dato' Seri Najib Tun Razak. Pemberian itu adalah suatu penghormatan kerajaan kepada PDRM yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara ini. TANIAH sekali lagi.

Walaupun saya sendiri telah meninggalkan PDRM lebih dari 10 tahun yang lalu, sayang dan cinta saya kepada PDRM tidak pernah hilang dan luput. Selama 34 tahun menaburkan khidmat dalam PDRM bukanlah satu masa yang pendik dan singkat. Sepanjang waktu itu sudah tentu berbagai-bagai pahit manis yang telah saya alami. Semua itu menjadi nostalgia dalam hidup ini yang pasti tidak akan saya lupakan sehinggalah ke akhir hayat.


Tentunya pengumuman YAB Perdana Menteri itu amat mengembirakan semua pegawai dan anggota-anggota PDRM. Pesara seperti saya pun turut gembira. Rakan saya yang masih berkhidmat seperti Che Azmi Bidin dan lain-lain tentulah akan dapat merasakan Rahmat dan NikmatNya itu. KAYALAH LU. Pak Osman tak ada apa-apa cuma tumpang bangga.

Pangkat cepat naik gaji pun besar, harap-harap khidmat yang akan kita berikan mestilah besar juga. Jangan main-main lagi. Elakan dari rasuah dan sebagainya.

Pak Osman dah berumur sekarang. Kalau Pak Osman kembali muda, pastilah kerjaya polis juga PakOsman cari. Saya cukup-cukup minat polis ini. Apa nak buat, polis sudah tidak mahu Pak Osman  lagi. Sudah tua.

Harap-harapkan kerajaan tidak lupakan orang-orang pencen ini. Naikkan sedikit pencen polis ini baik juga. Harap-harap Perdana Menteri mendengar rayuan Pak Osman ini.

Khamis, 25 Mac 2010

YA ALLAH YA TUHAN KAMI, LINDUNGILAH AGAMA KAMI, NEGARA KAMI DAN RAKYAT KAMI DARI FITNAH-FITNAH YANG JAHAT....

YB ZULKIFLI NORDIN
Dengan pendedahan yang dibuat oleh YB Zaharain dan YB Zulkifli Nordin nampaknya fitnah ini makin menjadi-jadi. Buat fitnah macam makan roti canai di kedai mamak. Fitnah ini berdosa besar. Dosa memfitnah sama sahaja dengan dosa seorang pembunuh. Biasanya kita mendengar, kalau nak tahu jahat seseorang itu bertanyalah dengan musuhnya dan kalau hendak tahu baiknya, bertanyalah dengan sahabatnya. Dan apa yang terjadi ini, sahabat baik pula yang mendedahkan keburukan sahabatnya.

Marilah sama-sama kita berdoa, semoga Allah SWT selamatkan kita, negara kita dan agama kita dan seluruh rakyat di negara ini dari segala bencana.

Fitnah-fitnah ini terjadi semata-mata kerana gila kuasa. Tetapi mereka lupa. Mereka lupa bahawa kuasa yang mereka kejar itu amat kerdil sekali di sisi Allah SWT berbading Kuasa Allah. Allah Yang Maha Berkuasa. Allahlah yang menjadikan langit dan bumi ini. Allahlah yang menjadikan sekalian makhluk di muka bumi ini. Allah boleh menjahanamkan dengan sekelip mata orang yang terlalu gila kuasa seperti Firaun. Semuanya kuasa Allah.....

Kuasa manusia di muka dunia ini hanya sementara sahaja. Bila mati, habislah semua kuasa itu. Janganlah kerna kuasa kita sanggup menuduh dan memfitnah orang lain.

Tidak takutkah mereka kepada Allah? Bertaubatlah segera yang saudara-saudaraku yang beragama Islam....

Rabu, 24 Mac 2010

BENARKAH DR. SULAIMAN DAUD BERASAL DARI DURIAN TUNGGAL, MELAKA?

Allahyarham Dr. Sulaiman Daud yang meninggal dunia dua hari yang lalu dan bekas Menteri Pendidikan Malaysia dikatakan berasal dari Kampung Durian Tunggal, Melaka. Benarkah cerita ini? Pelik bin ajaib. Tak masuk akal.
Hal ini diceritakan oleh seorang guru, Allahyarham Cikgu Shariff bin Md. Dom. Cikgu memang suka mengumpul sejarah. Dia gemar mencatetkan keturunan orang-orang Durian Tunggal. Selalunya apa yang disebut dan dikaitkan memang ada kenenarannya. 
Misalnya Allahyarham menyatakan Toh Puan Asmah Alang, Allahyarham, isteri kepada Allahyarham Tun Ghafar Baba, katanya ada kaitan dengan orang Durian Tunggal. Bila dikasji selidik, rupanya betul.
Allahyarham Cikgu Shariff bagitahu, kalau tidak silap saya, datuk Dr. Sulaiman ini berasal dari Durian Tunggal, Melaka dan membina penghidupan di Serawak. Khabarnya dia seorang Majestret di Serawak pada zaman penjajah Inggeris dahulu.
Betulkah ini?
Keturunan Dr. Sulaiman Daud dikaitkan dengan seorang ulamak terkenal Negeri Melaka yang berasal dari Durian Tunggal. Ulamak itu ialah Allahyarham Tuan Haji Abdullah bin Sahabudin. Mungkinkah Sahabudin ini adik beradik dengan datuk Dr. Sulaiman itu? Wallahualam.
Perkara ini tidak penting sangat, tapi saja saya hendak masukkan dalam blog saya ini sebagai ingatan. Namun begitu, kalau ada sesiapa yang mengetahui sejarah ini, bolehlah kita kongsikan bersama.



Selasa, 23 Mac 2010

BAYI MALANG MENJADI ANAK ANGKAT EXCO PERAK

(Berita dari Utusan Malaysia online)
IPOH 22 Mac - Tersentuh dengan nasib bayi malang yang dibuang di kawasan semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu kelmarin telah mendorong Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Hamidah Osman mengambilnya sebagai anak angkat.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri itu turut memberikan nama Mahsya Kurnea yang bermaksud kurniaan hebat kepada bayi perempuan seberat 2.8 kilogram tersebut.

Menurut Hamidah, beliau akan membuat permohonan secara rasmi berhubung hasratnya itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

''Saya difahamkan pihak JKM memberi tempoh sebulan kepada ibu bapa bayi ini untuk menuntut anak mereka.

''Sekiranya mereka tidak berbuat demikian, saya akan membuat permohonan secara rasmi kepada JKM untuk menjadikannya anak angkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat bayi malang yang dibuang di kawasan semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu, di sini kelmarin.

Turut serta dalam lawatan di wad kanak-kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Datuk Rusnah Kassim; ADUN Bebas (Jelapang), Hee Yit Foong serta Skuad Sayang Wanita UMNO Perak.

Mengulas tujuan lawatan terbabit, ujar Hamidah, ia bagi menunjukkan keprihatinan ADUN-ADUN wanita negeri Perak dengan masalah pembuangan bayi.

Ditanya mengenai mengenai gejala pembuangan bayi yang masih berleluasa jelas Hamidah, kerajaan negeri dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menubuhkan rumah perlindungan menempatkan bayi malang dan wanita teraniaya di negeri itu.

Jelas beliau, rumah perlindungan itu bukan bertujuan menggalakkan gejala sosial terutama di kalangan remaja, sebaliknya untuk memberi pembelaan kepada golongan terbabit.

Katanya, kerajaan negeri sedang mengenal pasti sebuah rumah bagi dijadikan rumah perlindungan tersebut.

''Kita mungkin tidak boleh mengatasi masalah sosial seratus peratus. Namun, dengan adanya rumah perlindungan ini sekurang-kurangnya nasib anak-anak yang dibuang akan terbela.

''Tetapi saya harap masyarakat tidak salah faham tujuan sebenar kerajaan. Kita bukan hendak menggalakkan orang buang bayi tetapi untuk memberi mereka perlindungan," katanya.

Kata Hamidah, selain untuk menempatkan bayi malang yang dibuang, rumah perlindungan itu juga akan menjadi 'rumah selamat' kepada kanak-kanak dan wanita mangsa penderaan.

Beliau turut mengalu-alukan langkah Utusan Malaysia menggerakkan kempen Kami Prihatin bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai dalam membanteras kegiatan yang tidak berperikemanusiaan tersebut.

Isnin, 22 Mac 2010

Bayi luar nikah berhak dilindungi

Telah tersiar pada Sabtu 20/3/10.Berita Harian


SEBAGAI rakyat Malaysia saya amat meyokong cadangan mana-mana pihak untuk membina sebuah pusat bayi luar nikah bagi mengelakkan bayi yang tidak berdosa itu dibunuh atau dibuang dimerata-rata tempat. Saya kata begini kerana telah ada suara-suara yang mahukan pusat ini dibina oleh kerajaan atau mana-mana pihak tertenu.

Gesaan supaya pussat ini dibina segera bukanlah untuk menggalakkan agar gejala sosial itu berleluasa, tetapi adalah bermaksud untuk menyelamatkan nyawa-nyawa yang tidak berdosa dari menjadi mangsa oleh ibu bapa mereka yang tidak bertanggung jawab itu.

Salah satu punca yang menyebabkan berlakunya kelahiran haram ini adalah semata-mata disebabkan oleh pergaulan bebas. Inilah gejala sosial yang amat merbahaya dalam dunia yang serba maju ini. Penyakit ini mungkin bukan berlaku di Malaysia sahaja, malah mungkin seluruh dunia.

Islam amat melarang pergaulan bebas ini. Tetapi apalah yang dapat kita lakukan, selain dari boleh menasihatinya sahaja. Kita tidak mampu untuk bertindak lebih dari itu. Walaupun kita ada polis dan ada penguat kuasa pencegahan maksiat, tetapi kejadian-kejadian zina itu berlaku diluar jangkaan kita.

Oleh itu saya berharap kerajaan hendaklah memberi perhatian utama dalam menangani masalah ini. Selain dari menyediakan pusat-pusat penjagaan anak-anak luar nikah, sebaik-baiknya ibu-ibu yang bakal melahirkan anak luar nikah itu dapat ditempatkan dipusat-pusat penjagaan bayi itu. Mungkin ada sebahagian yang melahirkan anak luar nikah ingin melihara anaknya itu.

Sebanarnya apa yang dapat saya rasakan kebanyakan mereka yang sudah terlanjur itu merasa malu dengan masyarakat sekelilingnya. Kerana itu saya rasa mereka menyembunyikan diri sementara menantikan kelahiran. Bila melahirkan lalu anak itu dibunuh atau dibuang untuk tidak diketahui oleh orang lain.

Kerana itu saya berpendapat pusat penjagaan anak luar nikah ini patut disegera bagi mengelakkan lebih banyak bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa.



OSMAN DOL,

Durian Tunggal, Melaka.

Ahad, 21 Mac 2010

BERSENTUHAN DENGAN ORANG YANG BUKAN MAHRAM

CATATAN yang saya buat dalam blog saya pada 11.3.2010 yang berkaitan bersentuhan lelaki dan perempuan yang bukan mahram telah mendapat perhatian dari seorang pelawat blog saya. Pelawat ini memberikan komennya yang amat membina pada pendapat saya. Walaupun beliau tidak menyatakan nama dan alamatnya, tetapi teguran yang dibuat pada 20.3.10 dapat mengingatkan saya supaya lebih berhati-hati ketika menulis di dalam akhbar-akhbar atau majalah-majalah berkaitan agama atau sebagainya dimasa-masa yang akan datang.

Tulisan yang saya paparkan dalam blog saya itu sebenarnya hanyalah suatu catatan sahaja. Walaupun sesiapa bebas membacanya tetapi adalah lebih baik seseorang pelawat itu meneliti dan mengkajinya terlebih dahulu untuk mendapat kepastian yang lebih meyakinkan. Dalam catatan itu saya tidaklah KETERLALUAN menekan pada sesuatu isu. Misalnya saya tidak menekankan bersalaman itu HARAM. Tidak boleh bersentuh dengan yang bukan mahram. Tidak begitu. Pelawat mempunyai ruang untuk memilih dan mengkajinya. Saya tidak terus membetul dan menyalahkan pada sesuatu isu itu.

Ustaz-ustaz yang mengajar kami itu sebenar berpandukan pada sesuatu kitab. Ada tempat rujukannya. Ada dibacakan dalilnya di hadapan murid-muridnya. Dia tidak boleh mengajar mengikut pendapat dan lojik dia sendiri. Mereka lebih mengeahui halal haramnya. Ada sandarannya. Cuma saya yang tidak mencatatkannya.

Sebenarnya telah banyak saya menulis di akhbar-akhbar dan majalah-majalah tentang agama. Sejak muda sampai ke tua begini. Memang kita perlukan dalilnya dalam sesuatu hukum yang kita utarakan. Tetapi tulisan saya dalam blog ini lebih merupakan catatan sahaja. Kalau dalam akhbar atau majalah kita tulis tanpa dalil, jawabnya tulisan kita itu dibakul sampahkan. Seperti saya sebutkan tadi, kita kajilah dahulu tulisan itu kalau kita mahu mengamalkannya.

Dan  saudara pelawat melahirkan rasa bimbangnya akan kemungkinan berlakunya jenayah akademik dengan tulisan tanpa sumber. Saya setuju pendapat itu. Tetapi tidaklah mungkin sehingga menjadi jenayah kalau kita sekadar memberikan pendapat dan pandangan. Kalau kita paksa orang suruh bersalam dan mengatakan HALAL walaupun bukan mahram kita, saya rasakan itu cuma keterlaluan sahaja. Kalau lebih dari itu sehingga boleh menerbitkan gejala yang tidak sihat, mungkinlah boleh diklasfikasikan sebagai jenayah.

Berdosa kita menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Janganlah sampai ke peringkat itu. Kita mesti bijak dan menyusun kata-kata kita agar boleh diterima oleh semua pihak.

Hanya sekian. Assalamualaikum WRT.

Jumaat, 19 Mac 2010

BERKAWAN BIAR SERIBU BERCINTA BIAR SATU.

CANTIK betul bunyinya ungkapan BERKAWAN BIAR SERIBU BERCINTA BIAR SATU. Saya tidak pasti dari manakah terbitnya ungkapan ini. Siapakah yang mula-mula menyebutnya. Ada juga orang yang mengklasfikasikan ungkapan di atas sebagai pepatah atau peribahasa orang Melayu. Tidak kisahlah walaupun dari mana pun datangnya ungkapan itu (kalau sesiapa yang tahu dari mana asalnya ungkapan ini, tulislah dalam blog saya ini) tetapi yang pentingnya, ungkapan ini cantik, menarik dan boleh dihuraikan lebih panjang lagi.

Berkawan biar seribu....tepat. Kita harus mencari sebanyak-banyak kawan. Banyak baiknya kalau kita ramai kawan. Kenduri kendara kita, sakit pening kita malah kalah kita mati sekalipun, kawan-kawan kitalah yang akan mengunjungi kita dan membantu kita. Ini amat penting. Katakan kalau kita buat kenduri, tidak ada orang datang untuk membantu atau mera'ikan kenduri kita itu, apahal, masak sendiri dan makan sediri sahajalah nampaknya.

Untuk mendapat kawan yang ramai ini macam-macam cara boleh kita lakukan. Pergi ke Masjid atau Surau, bantu orang-orang lain atau jiran-jiran kita yang sedang membuat kenduri, pergi dalam aktiviti gotong-royong, ziarah orang sakit atau orang meninggal dunia dan macam-macam lagi. Dengan mengguna facebook pun kita boleh dapat banyak rakan.

Tetapi harus diingat. Memang benar berkawan ini boleh dengan sesiapa saja tanpa sekatan umur, agama, bangsa, keturunan, kaya atau miskin, bangsawan atau bukan bangsawan boleh berkawan. Tetapi harus hati-hati. Ada kawan yang baik budi dan ada juga kawan yang berduri. Kawan yang berduri inilah yang kita mesti ingat-ingat. Kawan-kawan semacam inilah yang akan mendorong kita menjadi tidak betul. Dialah yang menyeret kita menjadi mat rempit, bosia, dadah, rompak, samun dan seterusnya kawan-kawan hantu ini boleh membawa kita ke tali gantung seperti pengedar dadah yang berlebihan, kes bunuh, memiliki senjata api, bunuh kanak-kanak dan lain-lain.

Tetapi kenapa bercinta biarlah satu. Faham-faham sajalah. Kalau anda seorang yang handsome, kacak, jelita tentu sekali anda mempunyai ramai peminat. Pilihlah satu sebagai kekasih. Kalau semua itu menjadi kekasih kita, Allahuakbar, anda sendiri yang akan pening kepala. Renungkanlah.

Kata ulamak, cinta utama kita hanyalah kepada Allahb SWT,  kemudian kepada RasulNya Muhammad SAW, selepas itu kepada ibu dan bapa kita dan selepas itu baharulah kepada kekasih kita. Kalau kekasih men jadi cinta utama, itulah yang boleh menyebabkan seseorang itu sanggup membunuh diri atau melakukan apa sahaja selepas putus cinta.  Kalau Allah dan RasulNya cinta utama kita, Insya-Allah kita akan selamat. Selamat dunia dan akhirat.

Wallahhualam bissawab.