MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Rabu, 9 Mac 2011

Utusan Malaysia 8.3.11.

Tidak diterima jadi barang bukti


Oleh AMIRUDDIN HARUN

pengarng@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 8 Mac - Sehelai tuala kecil Good Morning, sebatang berus gigi dan satu botol minuman plastik yang diambil dari lokap menempatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai 2008 tidak diterima masuk sebagai barang bukti dalam kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan demikian hari ini selepas mendapati barang-barang berkenaan yang diambil bagi tujuan mendapatkan profil asid deoksiribonukleik (DNA), diperoleh dengan cara yang tidak sah.

''Saya mendapati sampel DNA yang diperoleh dari tuala kecil Good Morning, berus gigi dan botol plastik tersebut dibuat melalui cara yang tidak adil. Dengan itu, ketiga-tiga barang berkenaan dan segala keterangan berkaitan analisis DNA tersebut tidak diterima masuk sebagai sebahagian bahan bukti,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam penghakiman ringkasnya selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak di akhir prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) sejak semalam.

Hakim Mohamad Zabidin sebelum itu menyatakan, penghakiman penuh mengenai keputusan tersebut akan dikeluarkan kemudian.

Selepas keputusan tersebut dibacakan, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya belum bersedia dengan saksi-saksi pada hari ini.

Mohd. Yusof turut memberitahu, pihaknya akan memanggil tiga orang saksi lagi sebelum hakim tersebut membenarkan perbicaraan bersambung esok.

Tiga saksi yang akan dipanggil ialah seorang lagi doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Razuin Rahimi yang mengisi butiran dalam borang protokol perubatan (proforma) semasa pemeriksaan ke atas Mohd. Saiful Bukhari Azlan; Ketua Staf di pejabat Anwar, Ibrahim Yakob dan pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira.

Prosiding TWT diadakan selepas pasukan pembelaan mempertikaikan tindakan pihak pendakwaan yang ingin mengemukakan beberapa barang kes untuk dijadikan bahan bukti dalam kes berkenaan kerana mendakwa barang-barang itu diperoleh secara tidak sah.

Barang-barang kes tersebut adalah sehelai tuala kecil Good Morning, sebatang berus gigi kecil warna putih dan satu botol plastik jenama 'Cactus'.

Mengikut keterangan bekas Ketua Bahagian CSI Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Amidon Anan pada 1 Mac lalu, beliau merampas ketiga-tiga barang tersebut dan sehelai bulu dari lokap Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) ibu negara pada 17 Julai 2008 selepas didiami oleh Anwar semalaman.

Ketua Unit DNA Paterniti, Jabatan Kimia Malaysia, Nor Aidora Saedon dalam keterangannya di mahkamah pada 23 Februari lalu pula menyatakan bahawa ujian analisis DNA terhadap tuala, berus gigi dan botol minuman tersebut menunjukkan wujudnya profil DNA Lelaki Y.

Enam hari sebelum itu, seorang lagi ahli kimia, Dr. Seah Lay Hong mengesahkan bahawa ujian analisis DNA pada empat calitan putik kapas menunjukkan kehadiran profil DNA Lelaki Y di dalam rektum (salur dubur) dan permukaan dubur (perianal) Mohd. Saiful Bukhari.

Dengan keputusan hari ini, mahkamah boleh untuk tidak mempertimbangkan segala keterangan daripada Nor Aidora dan Amidon berkaitan tuala kecil, berus gigi dan botol minuman terbabit.

Anwar, 64, dibicarakan atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya yang berusia 26 tahun itu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Terdahulu, semasa menjawab hujah pihak pendakwaan, peguam Karpal Singh sekali lagi mendakwa bahawa barang-barang tersebut telah diperoleh dengan cara tipu helah dan muslihat selepas Anwar enggan memberi sampel DNA kepada doktor di HKL.

Menurutnya, keterangan saksi dalam perbicaraan kes tersebut juga menunjukkan bahawa Judy telah mengarahkan anggota polis yang mengawal lokap berkenaan tidak menyentuh barang-barang terbabit.

''Mengapa perlu arahan sedemikian kecuali ia adalah helah pihak polis untuk memastikan sampel DNA diperoleh dari barang-barang terbabit sungguhpun Anwar sebelum itu enggan memberi sampel darah untuk profil DNA di HKL dan perkara ini jelas dalam pengetahuan Judy yang menemani Anwar ke HKL,'' katanya.

Karpal juga menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi terikat dengan keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes Goi Ching Ang berhubung bahan bukti yang diperoleh melalui cara tekanan, bukannya bersandarkan nas undang-undang dari Amerika, Britain mahupun negara-negara asing.

Semalam, Mohd. Yusof mengemukakan hujahan melibatkan nas undang-undang dari Amerika Syarikat selain Britain dan negara-negara Komanwel yang menyatakan bahawa barang-barang kes yang relevan meskipun diambil melalui cara yang dipertikaikan, boleh diterima sebagai bahan bukti.

Beliau turut menghujahkan bahawa adalah tidak wajar untuk mahkamah menggunakan budi bicara bagi mengetepikan barang-barang kes terbabit kerana tiada sebarang unsur yang salah digunakan oleh pihak berkuasa dalam memperoleh barang-barang tersebut.

KOMEN OSMAN DOL: dARI KAJIAN YANG DIBUAT OLEH AHLI KIMIA BAHAWA BARANG KES YANG DIKEMUKAKAN ITU ADALAH MILIK LELAKI Y. LELAKI Y ITU IALAH ANWAR IBRAHIM....TETAPI KETAPA BARANG KES ITU DITOLAK OLEH MAHKAMAH....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan