MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Jumaat, 31 Julai 2009

PENULISAN DAN POLITIK....


SEBAGAI seorang penulis, sebaik-baiknya janganlah menghadkan tulisannya. Tulislah apa sahaja asalkan memberi munafaat kepada pembacanya. Saya menulis cerpen, sajak, novel, drama radio, drama tv dan drama pentas. Yang bukan kreatifnya saya menulis rencana-rencana agama, sastera dan pernah saya menulis tentang politik. Malah ada akhbar yang menawarkan saya menulis politik dalam akhbarnya. Tapi saya menolak. Dibidang apapun yang kita tulis, yang pentingnya kita mesti jujur, ikhlas, menasabah dan tidak taksub pada satu-satu pihak. Kita mesti jadi pendamai bukan perosak. Kita biar memuji jangan mengumpat. Yang penting kita mesti melahirkan pendapat dengan jujur. Janganlah kita betulkan yang salah dan kita salahkan yang betul. Berkata benarlah seseorang penulis itu walaupun ada pihak yang tidak menyukainya. Saya pula memang penulis yang mengutamakan perpaduan, kemesraan, keamanan dan kedamaian. Saya menyokong cara Najib yang mengutamakan perpaduan. Saya mahu ISA dikekalkan demi keamanan. Tidak dapat apa-apa kita sokong kerajaan atau sokong pembangkang. Yang penting jujur dan ikhlas, semoga Allah memberkatinya..... (gambar: hanya hisan sahaja).

Khamis, 30 Julai 2009

IKTIBAR - NAK KUCUP HAJARUL ASWAD


1) Aku pernah ceritakan bagaimana aku dapat mengucup Hajarul Aswad setelah buat sembahyang hajat. Pada tahun 1994 semasa buat umrah, anakku Nor Azyyati menyatakan hasratkan untuk kucup Hajarul Aswad. Aku ajak anakku pergi diwaktu pagi jam 2.00. Sebelum pergi, aku ajak anakku buat sembahyang hajat terlebih dahulu di hadapan Multazam. Kemudian berdoa. Walaupun waktu pagi, tapi orang masih banyak juga. Aku dan anakku cuba menghampiri Hajarul Aswad. Tiba-tiba polis yang menjaga batu Hajarul Aswad itu terpandang aku dan anakku yang telah berumur 11 tahun (darjah 4). Siti Rahmah, Siti Rahmah....polis itu memanggil anakku. Bila aku hampiri polis suruh orang-orang yang sedang berebut-rebut itu memberi peluang anakku kucup Hajarul Aswad. Anakku mengucupnya dengan sepuas-puasnya.
2) Masa menunaikan haji tahun 1992 seorang jemaah dari Melaka Haji Bakar namanya, yang telah berumur lebih 80 tahun menyatakan pada saya hendak kucup Hajarul Aswad. Waktu itu umurku masil awal 40an lagi. Kami ke masjid tunaikan sembahyang zohor. Selepas itu aku ajak dia sembahyang hajat agar Allah SWT permudahkan untuk kucup Hajarul Aswad. Alhamdulillah, sebaik-baik kami sampai berhampiran Hajarul Aswad, tiba-tiba polis yang menjaga disitu memukul dengan kain pada orang ramai yang berebut-rebut itu. Bila orang-orang itu beredar Haji Bakar pun terus pergi mengucupnya dengan mudah sekali.(Gambar: isteri dan anak bongsuku ketika menunaikan umrah tahun 2000.)

BAYI KEPALA DUA....


Dalam masa terdekat ini dua orang bayi dilahirkan dengan dua kepala. Satu di Riau, Indonesia dan satu lagi di Filipina. Bayi di Riau, Indonesia telahpun meninggal dunia manakala bayi di Filipina itu masih belum terdengar apa-apa berita. Sedidikit masa dahulu kita digemparkan dengan kucing bermata satu. Sebenarnya apa juga yang terjadi itu adalah atas kehendak Allah SWT. Kita sebagai hamba Allah wajib menerimanya dan bersyukur apa yang dikurniakan kepada kita. Tidak ada apa yang pelik bagi Allah SWT. Kejadian itu jadikanlah iktibar bahawa kehendak Allah tidak ada sesiapa dapat menghalangnya sekalipun ahli sain. Fikirkan tentang mati, siapakah yang boleh hidupkan orang yang sudah mati. Dan siapa yang boleh bagi nyawa pada orang yang baharu lahir.....

Selasa, 28 Julai 2009

ALLAH SWT SURUH UMATNYA BERSATU....


Mari kita renungkan Surah Ali Imran ayat 105 yang bermaksud: "Janganlah kamu semua menyerupakan diri yaitu meniru dengan orang-orang yang berpecah belah dan saling berselisih (antara satu golongan dengan golongan yang lain) sesudah datangnya bukti-bukti yang terang kepada mereka itu.

Ayat di atas jelas menyeru umatnya supaya bersatu demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Kalau Melayu berpecah ertinya Islam pun akan berpecah juga. Kalau Islam berpecah negara kita akan lemah. Tidak mustahil disuatu masa nanti kita akan ketinggalan ke belakang dari orang lain. Baiklah kita bersatu supaya dapat kita hidup seiring dengan orang lain terutamanya dari segi ekonomi yang ternyata Melayu sedikit ketinggalan. Fikir-fikirkanlah. (Gambar: Najib pemimpin yang cintakan perpaduan dalam 1Malaysia).

Ahad, 26 Julai 2009

IKTIBAR - BIBIR BENGKAK KERANA HINA MEKAH


Semasa buat umrah tahun 1989 saya telah mendengar kisah seorang wanita menghina Mekah. Wanita itu mengatakan Mekah ini kotor sebaliknya memuji pula England sebuah negara yang cantik dan bersih. Khabarnya wanita itu mengalami sakit mulut. Bibirnya merah dan bengkak sehingga bahagian dalam mulut. Dia dinasihatkan supaya bertaubat di Multazam. Tapi tidak memberi kesan. Balik dari umrah ada orang nasihatkan dia supaya pergi semula ke Mekah bertaubat dan berdoa lagi. Penyakit mulutnya masih tak sembuh. Akhirnya dia pergi berubat di luar negara. Keadaannya makin parah dan akhirnya dia meninggal dunia di luar negara. Kisah ini aku dengar dari mulut orang - kalau tidak betul aku minta maaf. Wallahu-alam.(gambar - Makam Ibrahim - tapak kaki Nabi Ibrahim as)

ORANG-ORANG MELAYU WAJIB BERSATU....


Di dalam al Koran banyak ayat-ayat yang menyuruh umat Islam bersatu. Pepatah Melayu pun ada berkata: BERSATU KITA TEGUH BERCERAI KITA ROBOH. Apakah halangan-halangannya umat Islam tidak boleh bersatu. Saya rasa tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Mungkin barangkali kerana idea politik yang berbeza. Kta harus sedar, politik itu bukan agama. Politik boleh diubah dan dipinda. Melainkan agama (Islam) yang mewajibkan kita patuh segala perintah dan arahanNya......

Sabtu, 25 Julai 2009

TERKENANG-KENANG MASA SILAM.....(8)4


kusambung lagi.....aku diterima masuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Singapura pada 30.3.64 dan menjalani latihan di Pusat Latihan Polis Jalan Gurney (sekarang dikenali POLAPOL) sebagai seorang mata-mata. Dan CINTA PENAku dengan Zarina berjalan seperti biasa. Sembilan bulan aku menjalani latihan itu. Setelah tamat latihan aku diarahkan bertugas di Balai Polis Orchard Road, Singapura (513, Orchard Road, Singapore 9). Pertama kali bercuti aku bertikad untuk berjumpa Zarina. Sesampai dikampung, aku menelefon Zarina dan kami lalu tetapkan masa dan tempatnya untuk berjumpa. Aku bagitahu, aku tunggu dihadapan panggung REX dan masuk dalam pondok telefon pura-pura menelefon seseorang. Tidak beberapa minit sahaja, Zarina dan rakan-rakan pun sampai. Aku menggigil. Pucat. Pertamakali aku merenung tepat ke mukanya. Dia tunduk berwajah redup. Dengan suara yang berketar-ketar aku ajak dia menonton filem The Beetles yang sedang ditayangkan di panggung REX. Aku sepi dalam panggung. Zarina sahaja yang bercakap dan menasihatkan aku bermacam-macam. Kami tak bersentuh pun. Filem belum habis lagi aku sudah keluar. Zarina kutinggalkan sendirian..... (akan kusambung lagi - gambar hanya sebagai hiasan sahaja. tahun-tahun 60an masih ada kereta lembu lagi.)

Khamis, 23 Julai 2009

Saya rela dirotan....






  • Saya sendiri begitu insaf setelah membaca sebuah berita dalam akhbar Berita Harian 23 Julai 2009 m.s. 19, kisah seorang model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno 32 tahun yang mempunyai dua orang anak dan mempunyai suami telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, kerana minum arak. Beliau telah dikenakan hukuman miksimun 6 sebatan dan denda RM 5,000. Walaupun pada mulanya beliau ingin membuat rayuan atas hukuman itu, tapi mengubah pendiriannya untuk menjalani hukuman itu. Katanya "Saya mahu menjalani hukuman sebat itu kerana sudah insaf dan ianya membabitkan keluarga. Hukuman di dunia saya sudah terima, tetapi di akhirat kelak Allah saja yang menentukan."
    Renung dan hayati berita ini. Kembalilah kejalan yang diredai oleh Allah SWT dan segeralah bertaubat.....(Gambar: wajah Kartika.)

Rabu, 22 Julai 2009

TERKENANG-KENANG MASA SILAM....(8)3


kusambung lagi.....Sebenarnya Zarina Imam telahpun memberitahuku dengan surat menyatakan tarikh dan waktu yang dia akan sampai di Malay Woman Training Coledge (MWTC) Durian Daun. Zarina minta aku hadir pada hari pendaftarannya itu. Aduh....aku rasa begitu serba-salah. Aku malu dan terlalu malu. Masa yang diharap-harapkan aku datang untuk menyambutnya kubiarkan begitu sahaja. Beberapa hari kemudian aku hanya menulis surat kepadanya dan meminta maaf. Cinta penaku dengan Zarina masih berjalan walaupun dia sedikit kecewa kerana ketidak hadiranku itu. Hari demi hari aku masih tidak pergi menemuinya. Dan paling aku takut, kalau Zarina mencariku di Kampung. Kalau dia datang, dimana aku nak lari.....

Selain dari surat, aku juga selalu menghubunginya melalui telefon. Aku cukup ingat nombor telefon maktab itu sehingga sekarang. Setiaphari aku menelefonnya. Tidak dapat siang, malam harilah aku menelefonnya. Aku waktu itu bekerja sebagai 'Office Boy' di Majlis Perbandaran Melaka. Lama juga aku bermain surat dan telefon dengan Zarina sehingga aku diterima masuk Polis DiRaja Malaysia di Singapura....(nanti aku sambung lagi) Gambar tidak ada kaitan kisahku dengan Zarina - gambar yang cantik ini mungkin boleh mengembalikan nostalgiaku dizaman remaja dahulu.

beruntunglah mereka yang masih mempunyai ibu bapa...

Tiba-tiba saya teringatkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Allah SWT memberi pahala apabila kita melihat sahaja walaupun tidak berbuat apa-apa; pertama melihat Kaabah, kedua melihat Koran dan ketiga melihat ibu bapa.

Selasa, 21 Julai 2009

IKTIBAR - CAKAP SOMBONG LALU DISIGUNG OLEH ORANG PEREMPUAN HINGGA TERLENTANG.



KETIKA menunaikan haji bersama isteri tahun 1995 seorang sahabat yang amat saya hormati telah mengeluarkan kata-kata yang agak sedikit sombong dan riak. Kisahnya ketika saya dan sahabat saya ini hendak menunaikan salat Zohor. Orang terlalu ramai waktu itu. Kata sahabat saya ini kepada saya: "Kasar sungguh perangai orang-orang Arab ini. Pakai langgar orang saja. Lansung tak tahu hormat. Kalau aku sigung nanti, tertangkup dia." Hanya dalam beberapa minit sahaja, bila aku menoleh ke belakang kulihat sahahabatku ini sedang terlentang di belakang orang yang sedang sembahyang. Kenapa tuan? Tanya saya. "Orang perempuan itu sigung aku sampai aku jatuh dibelakang orang," kata sahabat saya itu.

KAGUM KESABARAN KERAJAAN DAN POLIS

Sebagai rakyat biasa dan cintakan keamanan saya amat kagum dengan kesabaran kerajaan dibawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Polis dibawah pimpinan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan terhadap kes kematian Teoh walaupun telah difitnah dengan berbagai-bagai fitnah bagi memburu-burukkan kerajaan dan polis. Bagi saya, tidak ada apa yang peliknya tentang kematian Teoh itu. Saya tidak nampak kematian itu suatu pengkhianantan atau ada unsur dendam dan sebagainya. SPRM juga barangkali amat kesal saksi utamanya itu mati kerana mungkin ada banyak lagi dokumen-dokumen yang masih diperlukan oleh badan itu. Tetapi kenapa dipolitikkan? Kenapa difiktnah yang bukan-bukan? Sabar sajalah menunggu keputusan siasatan polis. MEREKA YANG CINTAKAN KEAMANAN JANGANLAH DIIKUTKAN RENTAK TARIAN MEREKA YANG SUMBANG ITU......