MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Ahad, 18 September 2011

MEREKA TAK OK ITU BAIARKANLAH...KITA TINGGALKAN DIA.

Bisik-Bisik Mingguan - AWANG SELAMAT


Realiti baru

Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menerima reaksi yang pelbagai. Ramai yang positif dan menyambut baik sambil menyifatkan ia langkah pembaharuan yang berani daripada Perdana Menteri, Najib Tun Razak.

Tidak kurang yang skeptikal dan lahirkan kebimbangan kerana ISA dilihat masih relevan di Malaysia. Ada juga yang marah.

Awang ada pandangan sendiri. Memang apa yang dirintis oleh Najib kena pada masanya. Kita harus melihat ke hadapan dalam realiti baru dunia hari ini. Lambat laun pembaharuan akan tetap berlaku. Negara tidak boleh selamanya berada di takuk lama. Era sekarang menuntut lebih keterbukaan dan kerajaan moden perlu cekap mengurus risiko tanpa bergantung kepada undang-undang seperti ISA.

Tetapi pandangan orang seperti Awang tidak penting. Yang perlu digarap ialah maklum balas dan pemikiran rakyat, badan-badan bukan kerajaan (NGO), pasukan keselamatan, ahli akademik, kakitangan awam dan pelbagai kelompok lain.

Pada peringkat ini, biarlah rakyat memberikan apa sahaja reaksi dan input. Kita semua harus ada keberanian untuk mendengar sebarang bentuk komen.

Jika dilayari Internet, terdapat reaksi negatif yang juga perlukan perhatian dan renungan. Perspektif mereka tidak boleh ditolak begitu sahaja. Golongan ini tidak boleh dibiarkan merajuk. Apatah lagi, mereka merupakan pihak yang selama ini kuat menyokong kerajaan.

Awang berpendapat pengumuman pemansuhan ISA perlu disusuli dengan penjelasan yang menyeluruh daripada kementerian dan agensi berkaitan. Jika tidak, ia akan membawa salah pengertian dan membentuk persepsi negatif terhadap kepimpinan dan kerajaan.

Perubahan drastik seperti pemansuhan ISA menuntut kekuatan penerangan dan penjelasan. Sesuatu yang baru, mengambil masa untuk diterima dengan baik. Awang percaya sebahagian besar suara yang membantah dan meragui langkah tersebut, boleh bertukar positif menerusi lebih banyak pertemuan dan dialog.

Berdasarkan pengamatan, ramai yang masih tidak jelas kebijaksanaan di sebalik pemansuhan ISA dan kekuatan dua undang-undang baru yang akan diperkenal bagi menghadapi ancaman keselamatan.

Ada juga hujah yang melihat tindakan memansuhkan ISA merugikan politik orang Melayu. Selain itu, kerajaan dituduh asyik tunduk kepada aspirasi politik kaum lain sedangkan tiada jaminan mereka akan melonjakkan sokongan kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

Bagi Awang, ia mempunyai hikmah tersendiri. Batas psikologi orang Melayu perlu dipecahkan agar jangan terlalu gundah dengan pembaharuan. Pemansuhan ISA juga seharusnya mendorong orang Melayu lebih agresif dalam politik. Sejak kebelakangan ini, kaum bukan Melayu bukan sahaja bijak berpolitik malah lebih bersatu dan lantang. Suara minoriti menjadi seperti majoriti sehingga akhirnya mampu mencorakkan persekitaran baru politik tanah air. Pemansuhan ISA dan beberapa perubahan lain termasuk pindaan kepada Akta Mesin Cetak adalah isyarat keterbukaan buat semua, bukannya kelompok atau kaum tertentu sahaja.

Apa pun, Najib terbukti komited melaksanakan transformasi politik menerusi pengumuman menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September. Ketika ketua pembangkang, Anwar Ibrahim dikenang dengan peristiwa 16 September iaitu isu bercakap bohong, Najib tunaikan janji untuk membawa Malaysia ke dimensi yang baru. Reaksi Anwar bahawa keputusan itu adalah hasil perjuangan beliau, sudah boleh dijangka. Beliau akan manipulasi apa sahaja isu. Najib telah membuktikan keberaniannya untuk melakukan transformasi. Anwar pula asyik beretorik selain menjebak diri dengan isu moral yang serius. Malah untuk bersumpah laknat dan memberikan keterangan bersumpah di mahkamah, juga tidak berani. Bagaimana mahu menggerakkan transformasi jika diri sendiri menyimpan ketakutan luar biasa?

Ohhh Mat Sabu

Sejak memenangi jawatan Timbalan Presiden Pas dalam persaingan tiga penjuru, Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu, menjadi bahan kontroversi.

Dari awal lagi kemenangan beliau mencetuskan rasa kurang selesa di kalangan sebahagian pemimpin dan ahli parti.

Tidak lama selepas itu muncul satu demi satu isu. Mat Sabu didakwa oleh pihak berkuasa bercakap bohong kononnya beliau dilanggar oleh kenderaan polis ketika kekecohan perhimpunan haram di Kuala Lumpur 9 Julai lalu.

Rakaman video polis menjadi bukti tetapi Mat Sabu tetap pertahankan dakwaannya.

Kemudian muncul isu bil rawatan beliau yang cedera semasa perhimpunan itu dibiayai oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP). Mat Sabu adalah ahli lembaga pengarah PBAPP. Banyak pihak persoalkan kewajaran pembiayaan bil rawatan lebih RM8,400 kerana Mat Sabu cedera akibat menyertai aktiviti salah di sisi undang-undang, yang bertentangan dengan amalan korporat. Sedangkan kakitangan biasa syarikat tersebut tidak ditanggung kos rawatan jika bersangkutan kecederaan atau sakit daripada aktiviti haram. Ada yang melihatnya sebagai isu penyelewengan wang PBAPP.

Lebih panas lagi ialah kenyataan beliau menghina pejuang Bukit Kepong yang mati terkorban dalam tragedi itu dan sebaliknya mengherokan Mat Indera, salah seorang anggota pengganas komunis.

Sebanyak 1,265 aduan polis ke atas Timbalan Presiden Pas itu telah dibuat di seluruh negara. Awang macam tak percaya dengan kemarahan dan bantahan pelbagai pihak serta orang ramai terhadap beliau.

Setakat ini, tiada sepatah pun permohonan maaf daripada beliau menyebabkan Pas turut menanggung akibatnya. Rakyat Malaysia terkenal dengan sikap pemaaf tetapi bagaikan tidak layak mendapat kemaafan daripada Mat Sabu. Sedangkan teras kenyataan beliau yang boleh diikuti menerusi video di Internet, bercanggah dengan fakta sejarah. Kalau di negara lain, para pemimpin yang terlanjur kata atau tersilap fakta berani mengakui segera kesilapannya.

Belum pun reda, satu lagi isu lama terbongkar dalam blog. Kali ini melibatkan apa yang didakwa oleh beberapa pengendali blog, percakapan seks menerusi telefon bersama seorang wanita.

Rakaman perbualan itu mendapat perhatian meluas. Setahu Awang, belum ada sebarang pengakuan atau penafian daripada Mat Sabu. Beliau mengambil sikap berdiam dan enggan mengulas, yang menjadikan isu itu lebih memikat.

Awang tidak berhajat komen panjang lebar. Sama ada kita suka atau tidak, itulah pemimpin yang menjadi sandaran Pas. Menyebut nama beliau sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja tersenyum sinis, marah mahupun hairan kebingungan. Dia punya ‘kehebatan’ tetapi dengan cara berlainan.

Bendera Amerika?

Ketika isu penghinaan Mat Sabu ke atas pejuang negara masih menjadi bahan bualan, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Shah Alam (DAP), M. Manoharan membuka perhatian baru.

Beliau mendakwa pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa pada pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan Manoharan dibuat menerusi Facebook miliknya kelmarin, mengundang bantahan banyak pihak termasuk rakan-rakannya dalam laman sosial itu.

Awang naik bosan dengan tindakan seorang demi seorang pemimpin pembangkang menghina negara. Fakta sejarah dirobek, pengganas diagungkan, batik Malaysia diperlekeh dan pelabur dihasut jangan menanam modal di tanah air kita.

Kali ini, bendera pula menjadi sasaran. Hujah Manoharan bahawa Jalur Gemilang meniru bendera Amerika Syarikat adalah dangkal. Lebih bahaya keghairahan untuk menukar bendera itu boleh memberi isyarat bahawa DAP akan menukar banyak lagi perkara termasuk asas kenegaraan seperti perlembagaan.

Bagaimanapun setelah menerima tekanan agar menarik balik kenyataannya, Manoharan memohon maaf sambil menyatakan bahawa dia warga yang patriotik.

Ketika Mat Sabu tetap berdegil enggan memohon maaf atas keceluparannya, Manoharan mengambil jalan keluar lebih bijak. Setidak-tidaknya beliau berani bertanggungjawab dan sensitif kepada respons orang ramai.

Pada Awang, dakwaan dan kenyataan Mat Sabu jauh lebih serius berbanding Manoharan. Dalam hukum psikologi memohon maaf selepas melakukan kesilapan tidak akan menjatuhkan maruah seseorang, sebaliknya dilihat sebagai tindakan mulia. Apatah lagi pemimpin perlu bertanggungjawab kepada rakyat. Nampaknya banyak lagi yang Mat Sabu perlu belajar.

KOMEN OSMAN DOL: Kadang2 terasa sedih juga...buat baik pun tak guna kalau tak sealiran politik dengaan mereka....

2 ulasan:

  1. Salam Tn Hj,

    Lanskap Politik Malaysia yang semakin berubah. Orang melayu kalau masih berbangga sebagai tuan, akhirnya tanah pusaka akan tergadai. Orang melayu akan jadi pengemis kepada tuan baru...

    Tq

    BalasPadam
  2. Saya setuju sangat pendapat dan pandangan tuan. Melayu suka diangkat. Melayu suka dipuja. Pasti kita akan dihempas dan pijak-pijak....

    BalasPadam