MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Rabu, 28 September 2011

PEMBUNUH KEJAM...

BERITA UTAMA Wanita warga emas dibunuh kejam

Oleh ANGELINA SINYANG

pengarang@utusan.com.my

ANAK S. Danaletchemee terduduk sedih dan terpaksa ditenteramkan oleh salah seorang saudaranya selepas mengetahui ibunya dibunuh kejam di rumah mereka di Semenyih, semalam. – UTUSAN/SITI RAFEAH AZANAN

--------------------------------------------------------------------------------

HULU LANGAT 27 Sept. – Sekumpulan penjenayah bertindak kejam apabila tanpa belas kasihan mencampak seorang wanita warga emas ke dalam kolah air selepas menikam dan memukul mangsa sampai mati dalam kejadian samun di sebuah rumah di Kampung Pasir Baru, Jalan Sungai Lalang, Semenyih di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, suspek yang dipercayai lebih daripada seorang sempat membersihkan kesan darah di atas lantai dan pada senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa bagi mengelak perbuatan mereka dikesan.

Suspek mengambil kesempatan memasuki rumah mangsa, S. Danaletchemee, 64, semasa wanita warga emas itu tinggal bersendirian, manakala seorang anak lelaki, menantu serta tiga cucunya masing-masing keluar bekerja dan bersekolah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, kejadian pembunuhan itu disedari anak lelaki mangsa yang tinggal bersamanya apabila pulang ke rumah pada pukul 11 pagi.

“Tiba di rumah, anak lelaki mangsa terkejut mendapati keadaan dalam rumah mereka berselerak dan menemui ibunya sudah tidak bernyawa dalam kolah air di bilik mandi.

“Polis yang menjalankan siasatan menemui satu kesan tikaman di leher dan hentakan di dahi mangsa yang disyaki menjadi punca kematiannya,” kata Ab. Rashid kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.

Beliau berkata, anggota polis forensik yang menyiasat tempat kejadian pula menemui masing-masing sebilah parang dalam bilik air dan pisau dalam laci yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.

Menurutnya, kedua-dua senjata tersebut tiada kesan darah dipercayai sudah dicuci oleh suspek, malah penjenayah turut membersihkan kesan-kesan darah yang berlumuran di atas lantai.

Katanya, mangsa dibunuh di bilik tengah sebelum mayatnya diseret ke bilik air dan dicampak dalam kolah.

“Kita tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dalam jenayah ini adalah individu dikenali oleh mangsa kerana tiada kesan pecah masuk dan pergelutan berlaku di rumah tersebut,” katanya.

Beliau memberitahu, semasa insiden pembunuhan berlaku, sekumpulan pekerja kebetulan sedang membuka khemah di hadapan rumah mangsa tetapi mereka mendakwa tidak menyedari kejadian itu.

Ab. Rashid berkata, setakat ini, pihaknya belum dapat mengenal pasti barang-barang yang dilarikan suspek dari rumah terbabit kerana semua ahli keluarga mangsa tidak boleh memberi keterangan disebabkan terlalu sedih dan terkejut.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan Hirdawati Isa melalui talian 03-87362222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, seorang menantu kepada Danaletchemee, M. Murugun, 35, ketika ditemui memberitahu, keluarganya juga mengesyaki suspek yang membunuh ibu mertuanya adalah individu dikenali dan mungkin pernah datang ke rumah itu semasa mereka mengadakan kenduri kesyukuran bagi meraikan seorang anak saudaranya pada Sabtu lalu.

PEMBUNUH ITU ORANGKAH ATAU BINATANG?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan