MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Isnin, 1 Ogos 2011

Tidak mustahil Ku Li ganti Anwar - Harun Taib


KUALA TERENGGANU 31 Julai - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib tidak menafikan kemungkinan Tengku Razaleigh Hamzah bakal memegang jawatan Ketua Pembangkang, menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Beliau berpendapat, jika Ahli Parlimen Gua Musang itu mempunyai pengaruh serta ramai pengikut selain mendapat majoriti sokongan, tidak mustahil Tengku Razaleigh atau Ku Li akan mengemudi pakatan pembangkang selepas ini.



Harun bagaimanapun berkata, semua parti dalam pakatan pembangkang akan meneliti terlebih dahulu prestasi Tengku Razaleigh sebelum memastikan bekas Presiden Semangat 46 itu layak menjawat jawatan tersebut, jika keadaan memerlukan.



"Kita akan tengok dulu daripada segi prestasi beliau (Ku Li), kalau beliau ada pengikut yang ramai atau sokongan majoriti dalam kalangan parti pembangkang, kemungkinan besar beliau akan jadi Ketua Pembangkang.



"Begitu juga dengan Anwar, beliau boleh berunding dan kalau tak dapat majoriti penyokong, mungkin beliau (Anwar) tak akan duduk di situ lagi (menyandang jawatan Ketua Pembangkang)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.



Beliau diminta mengulas dakwaan mengenai pelawaan pihak pembangkang kepada Tengku Razaleigh untuk memegang jawatan Ketua Pembangkang sebagai persediaan jika Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) disabit kesalahan dalam kes liwatnya.



Harun yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Terengganu seterusnya berkata, setiap pemimpin termasuk Anwar tidak semestinya menyandang sesuatu jawatan itu dalam tempoh yang lama, sebaliknya perlu memberi laluan kepada orang lain.



"Beliau tak akan selama-lamanya jadi Ketua Pembangkang, jika orang lain yang mendapat sokongan majoriti dalam pembangkang, maka dia pula yang akan jadi ketua," jelasnya.



Ditanya sama ada Tengku Razaleigh dipelawa memegang jawatan Ketua Pembangkang setelah Anwar dianggap sebagai liabiliti kepada pembangkang termasuk masalah moral yang dihadapinya, Harun menjelaskan: "Itu bukan faktornya.''

Tiada ulasan:

Catat Ulasan