MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Jumaat, 3 Jun 2011

DALAM NEGERI Ibu ratapi kematian anak maut nahas



IBU meratapi kematian anaknya, Mohd. Hafiz Mohd. Johari di tepi Lebuh Raya Kajang-Seremban menghala ke Semenyih di Hulu Langat, semalam. – Utusan/Muhamad Iqbal



--------------------------------------------------------------------------------

HULU LANGAT 2 Jun – Seorang ibu tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat mayat anak lelakinya berusia 15 tahun terbujur kaku selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Kajang-Seremban berhampiran susur keluar Sungai Long menghala ke Semenyih di sini hari ini.



Tangisan wanita berusia awal 40-an itu mengundang simpati semua pengguna kenderaan apabila dia dilihat memeluk mayat anaknya, Mohd. Hafiz Mohd. Johari, yang maut dengan kecederaan parah di beberapa bahagian badan.



Kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 4.30 petang apabila motosikal ditunggangi remaja itu dikatakan merempuh sebuah kereta Proton Wira.



Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Deputi Supritendan Zainuddin Mahadi berkata, mangsa yang berasal dari Sungai Jelok, Kajang dikatakan menunggang motosikal itu bersama seorang rakan.



“Bagaimanapun, selepas kemalangan itu, mangsa dibiarkan terbaring manakala rakannya pula menghilangkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.



Tambah beliau, pihaknya masih menyiasat bagaimana kejadian itu berlaku dan akan mengesan rakan mangsa bagi membantu siasatan.



Zainuddin memberitahu, mangsa berkemungkinan tidak memiliki lesen memandangkan berusia bawah 16 tahun.



Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan