MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Sabtu, 22 Januari 2011

RAJA PUTAR ALAM - TPM. Utusan Malaysia - 22.1.11.

POLITIK Anwar ‘raja putar alam’ – TPM

LABIS 21 Jan. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggelar Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘raja putar alam’ kerana dakwa beliau, ketua pembangkang itu adalah penipu paling besar dalam sejarah politik Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri berkata, gelaran itu sewajarnya ‘dikalungkan’ kepada Anwar kerana terlalu banyak pembohongan dan putar belit dilakukan ketua pembangkang itu termasuk mengkhianat kepada negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh rakyat supaya jangan mudah percaya dan terpengaruh dengan segala janji-janji manis yang cuba ditawarkan oleh Anwar dan pembangkang.

“Anwar ini adalah ‘raja putar alam’ kerana segala kejayaan dan kemajuan yang dilaksanakan kerajaan tidak pernah dihargai sebaliknya dia lebih suka memaki-hamun dan memutar-belit isu bagi menimbulkan kebencian.

“Sebab itu saya berkali-kali memberitahu bahawa Anwar ini adalah pengkhianat, dia sanggup melakukan apa sahaja dan berbohong apa sahaja demi kepentingan politik,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di Kampung Bukit Mambai, di sini malam ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri turut menempelak janji pembangkang melalui ‘buku jingga’ yang antara lain mahu melupuskan tol dan menyerah kembali tanah Felda kepada peneroka.

Kata beliau, pembangkang hanya berani menjanjikan 10 perkara tidak berpijak di alam yang nyata tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara ini sejak 53 tahun sudah melaksanakan ribuan janji kepada rakyat.

“Jangan ada di kalangan kita terpedaya dengan hanya 10 janji kosong sedangkan manifesto pada 2008 pun masih banyak yang mereka belum tunaikan. Hanya kerajaan BN yang terbukti dan sentiasa komited untuk membangunkan negara,” katanya.

Sementara itu, sempena majlis bersama rakyat tersebut, Muhyiddin meluluskan peruntukan RM300,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Penduduk Kampung Mambai.

Jelasnya, peruntukan itu bakal digunakan untuk pelbagai pembangunan Kampung Mambai antaranya bagi membeli perkakasan dewan, membina pagar dan menaik taraf Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan