MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Ahad, 22 Ogos 2010

BANJIR BESAR DI PAKISTAN - MM 22.8.2010.

MANGSA banjir di khemah perlindungan mangsa banjir di pangkalan tentera udara Pakistan di Sukkur berebut-rebut untuk mendapatkan bantuan makanan yang agih-agihkan. - AFP
--------------------------------------------------------------------------------

SUKKUR, Pakistan 21 Ogos - Kira-kira 150,000 lagi penduduk Pakistan terpaksa berpindah ke kawasan lebih tinggi apabila berpuluh-puluh pekan dan perkampungan di selatan negara ini tenggelam akibat tebing Sungai Indus pecah, hari ini.

"Kami telah memindahkan lebih 150,000 penduduk dari beberapa kawasan pedalaman di Sindh dalam tempoh 24 jam lalu," kata jurucakap kerajaan wilayah, Jamil Soomro.

Banjir turut melanda kawasan-kawasan baru di daerah Thatta di wilayah Sindh. Di kawasan Sukkur pula, pihak berkuasa menyediakan 126 kem sebagai pusat perlindungan untuk mangsa banjir, kata Soomro.

Seramai 600,000 penduduk sudah berada di kem-kem perlindungan yang didirikan di wilayah Sindh sejak banjir melanda sebulan lalu.

Pakistan dilanda banjir teruk mengakibatkan satu per lima daripada wilayahnya ditenggelami air. Sekurang-kurangnya enam juta penduduk kehilangan rumah manakala 20 juta penduduk lagi terjejas teruk.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah merayu bantuan kecemasan sebayak AS$460 juta (RM1.4bilion), manakala Amerika Syarikat menjanjikan bantuan sebanyak AS$150 juta (RM471juta).

Bahkan Pakistan berkata, pihaknya akan turut menerima bantuan daripada 'musuh'nya, India berjumlah AS$5 juta (RM15.7juta).

Pihak berkuasa menjangka banjir akan surut dalam tempoh beberapa hari lagi apabila air sungai mengalir ke Laut Arab.

Sementara di China, tiga orang dilaporkan hilang dan lebih 50,000 lagi dipindahkan di timur laut China hari ini apabila banjir melanda sepanjang sungai Yalu, kawasan bersempadan dengan Korea Utara.

Kira-kira 230 kediaman di bandar Dandong runtuh dan perkhidmatan pengangkutan, bekalan elektrik serta komunikasi terputus.

Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan, menurut agensi berita Xinhua.

Xinhua bagaimanapun melaporkan, beberapa jalan raya ditenggelami air di sepanjang sungai itu dan kediaman-kediaman di Dandong dinaiki air sehingga paras lutut.

Pekerja-pekerja bergegas membina benteng pasir di sepanjang sungai Yalu dengan hujan lebat dijangka terus turun sepanjang hari ini, lapor akhbar itu. - AP/AFP

OSMAN DOL: patut kita bersyukur kepada Allah SWT bahawa negara kita aman damai. Tidak ada bencana alam. Tidak ada peperangan dan rusuhan. Rakyat kita tidak ada yang kebuluran. Semoga Malaysia terus terpelihara dari segala bencana itu....AMINNNNN...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan