MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Khamis, 10 Jun 2010

BAKAR MASJID JANDA KAHWIN LAIN - UM ONLINE...

Oleh HASHNAN ABDULLAH

utusanputrajaya@utusan.com.my

PUTRAJAYA 9 Jun - Angkara gila talak, seorang lelaki mengambil tindakan nekad membakar Masjid Jamiur Rahmah di Kampung Limau Manis, Sepang, malam tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, lelaki terbabit yang disyaki mengalami tekanan perasaan mengambil tindakan itu setelah mendapat tahu bekas isterinya akan melangsungkan pernikahan di masjid berkenaan hujung bulan ini.

Bagaimanapun, difahamkan lelaki itu berjaya melarikan diri ketika penduduk kampung kelam-kabut berusaha memadamkan kebakaran tersebut.

Malah, sebelum itu, lelaki terbabit juga dikatakan telah mengoyak kitab al-Quran, sejadah dan buku-buku doa di rumahnya.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Limau Manis, Naim Alwi berkata, hampir 90 peratus ruang solat lelaki telah terbakar dan tidak boleh digunakan untuk tujuan ibadat manakala sebahagian daripada ruang solat wanita turut musnah.

"Selain perabot dan peralatan elektrik, kitab al-Quran, bingkai ayat-ayat al-Quran di dinding masjid dan sejadah telah musnah sama sekali dalam kejadian yang amat menggemparkan penduduk kampung.

"Malah, mimbar masjid turut hampir musnah dalam kebakaran tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, Naim berkata, satu laporan polis dibuat oleh jawatankuasa masjid pagi ini.

Menurut Naim, lelaki itu memang dikenali di kampung itu dan dia dikatakan mengalami tekanan perasaan selepas berpisah dengan bekas isterinya.

"Pada masa ini, selain orang kampung, saya turut difahamkan polis telah melancarkan gerakan memburu lelaki terbabit," katanya.

Menceritakan kejadian itu, Naim berkata, dia dimaklumkan oleh imam masjid itu, Samsuddin Mat Daud, malam tadi sebelum bergegas bersama beberapa orang rakannya untuk memadamkan kebakaran itu.

Ketika sampai di tempat kejadian, dia melihat api sudah marak dan bertindak menghubungi bomba serta polis berhubung kejadian itu.

"Orang pertama menyedari kejadian itu adalah Samsuddin kerana rumahnya terletak berhampiran dengan masjid.

"Semasa kejadian dia terlihat seorang lelaki memeluk lututnya sambil memandang api yang sedang marak tetapi apabila dipanggil, dia tidak mengendahkannya.

"Imam cuba membuka pintu masjid tetapi didapati telah dikunci dari dalam," katanya.

Naim berkata, lelaki tersebut berjaya melarikan diri ketika dia bersama penduduk kampung berusaha memadamkan kebakaran itu.

Bagaimanapun, pihak polis gagal dihubungi bagi mengulas lanjut kejadian itu.

KOMEN OSMAN DOL: INILAH YG DIKATAKAN BENCI TAPI RINDU...KALAU TIDAK TAK AKAN MASJID PUN HENDAK DFBAKAR....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan