MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Rabu, 3 Mac 2010

KISAH DIN TAHU DAN DOLAH TAK KISAH

SELEPAS sembahyang subuh di Masjid al-Naim Durian Tunggal, pagi tadi, saya dan beberapa orang rakan masuk sebuah kedai kopi untuk sarapan pagi. Pagi tadi, kedai kopi Ismail, adik saya menjadi pilihan.

Ketika sedang minum itu seorang rakan saya Husin Ahmad (bukan nama sebenar) datang menghampiri kami yang sedang minum itu.Saya pelawa Husin untuk minum bersama. Pelawaan saya itu diterima.

(Apa yang hendak saya ceritakan selepas ini bukanlah untuk mengaibkan sesiapa. Mengaibkan orang adalah satu sikap yang amat dibenci oleh Islam. Kata ulamak, segala pahala yang kita buat pada hari itu akan berpindah kepada orang yang kita aibkan itu. Semoga Allah s.w.t. jauhkan dari sikap buruk itu. Dan kisah yang hendak saya paparkan ini diharapkan dapat menjadi iktibar kepada pembacanya. Pilihlah yang terbaik...)

Ketika sedang minum, Husin menceritakan tentang Din Tahu dan Dolah Tak Kisah. Nordin Bakar (bukan nama sebenar) atau lebih dikenali Din Tahu. Rumah Din Tahu berjarak kira-kira dua kilometer dari rumah saya. Din Tahu memang orang terkenal. Dia terkenal kerana cakap apa sahaja dengannya dia sudah tahu. Cakap fasal buku, dia sudah tahu, kononnya dia sudah membaca buku itu. Cakaplah apa saja, dia sudah tahu.Jadi kita gelarkan dia Din Tahu.
Abdullah Baba (bukan nama sebenar) atau lebih terkenal dengan panggilan Dolah Tak Kisah. Dia berjiran dengan Din Tahu. Gelaran tak kisah yang diberi oleh masyarakat kampung kepadanya ialah kerana dia selalu menggunakan perkataan itu, lalu dia digelar orang Dolah Tak Kisah. Beberapa bulan yang sudah seekor lembu pemiliharaannya mati dilanggar lori. Orang-orang kampung bagitahu tentang lembunya yang sudah mati itu. Dolah jawab, tak kisahlah, seekor mati, aku ada sepuluh ekor lagi. Sikapnya itu boleh menggelikan orang lain.

Din Tahu dengan Dolah Tak Kisah ini bekongsi berniaga barang-barang terpakai. Antara barang-barang yang diperniagakan ialah surat khabar lama, besi-besi buruk, enjin kereta atau motorsikal yang rosak, enjin mesin rumput, pam air dan macam-macamlah. Dia berdua ini memang terkenal dan perniagaan  mereka pun maju.

Dua malam lepas kata rakan saya yang bernama Husin itu, Dolah Tak Kisah dicekup polis di rumahnya. Banyak barang-barang lamanya di rampas polis. Setahu-tahu orang kampung sepanjang perniagaannya lebih dari lima atau enam tahun, inilah kali pertama dia kena tangkap kerana disyaki menyimpan barang-barang curi.

Bila ditangkap oleh polis, Dolah Tak Kisah sudah bersikap disebaliknya. Dia menangis. Dia semacam tidak percaya kerana membeli dan menyimpan barang-barang curi. Sekarang baru dia ambil kisah sangat tentang apa yang berlaku pada dirinya. Ketika blog ini ditulis, Dolah Tak Kisah masih belum dibebaskan.

Din Tahu walau berjiran dan rakan kongsi dengan Dolah Tak Kisah, tetapi dia lansung tidak mengetahui sahabatnya itu telah dicekup oleh polis. Polis tidak tangkap dia mungkin kerana barang-barang itu disimpan di rumah Dolah Tak Kisah. Kata Husin lagi, pagi tadi Polis datang ke rumahnya untuk membawa dia ke balai polis, Din Tahu hampir pengsan. Keadaannya tidak tentu arah. Dia yang terkenal dengan gelaran Din Tahu itu tiba-tiba menjadi Din Tak Tahu. Dia lansung tidak tahu barang-barang curi yang disimpan oleh rakan kongsinya situ. Dari seorang serba tahu jadi serba tak tahu.

Itulah kisahnya. Kita sokong perniagaan barang-barang terpakai yang diusahakan oleh Din Tahu dan Dolah Tak Kisah. Kita suka kalau orang Melayu maju dan kaya raya. Tapi si Dolah atau Din kena ambil kisahlah barang curi atau bukan barang curi. Jangan pakai beli saja. Akhirnya kita yang susah. Din Tahu jangan pakain percaya saja. Bila kena tangkap cakap tak tahu pula. Ambil tahu awal-awal lagi.

Sekian untuk hari ini. Assalamualaikum.

 (SEMUA GAMBAR YANG DITERBITKAN SEKADAR HIASAN SAHAJA. GAMBAR-GAMBAR DIKUTIP DARI GOOGLE IMEJ. IMEJ LELAKI KACAK INI IALAH ADI ARIFF ANAKKU - DIHARAP DIA TIDAK MENJADI DIN TAHU ATAU DOLAH TAK KISAH)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan