(Berita dari Utusan Malaysia online)
IPOH 22 Mac - Tersentuh dengan nasib bayi malang yang dibuang di kawasan semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu kelmarin telah mendorong Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Hamidah Osman mengambilnya sebagai anak angkat.
Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri itu turut memberikan nama Mahsya Kurnea yang bermaksud kurniaan hebat kepada bayi perempuan seberat 2.8 kilogram tersebut.
Menurut Hamidah, beliau akan membuat permohonan secara rasmi berhubung hasratnya itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
''Saya difahamkan pihak JKM memberi tempoh sebulan kepada ibu bapa bayi ini untuk menuntut anak mereka.
''Sekiranya mereka tidak berbuat demikian, saya akan membuat permohonan secara rasmi kepada JKM untuk menjadikannya anak angkat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat bayi malang yang dibuang di kawasan semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu, di sini kelmarin.
Turut serta dalam lawatan di wad kanak-kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Datuk Rusnah Kassim; ADUN Bebas (Jelapang), Hee Yit Foong serta Skuad Sayang Wanita UMNO Perak.
Mengulas tujuan lawatan terbabit, ujar Hamidah, ia bagi menunjukkan keprihatinan ADUN-ADUN wanita negeri Perak dengan masalah pembuangan bayi.
Ditanya mengenai mengenai gejala pembuangan bayi yang masih berleluasa jelas Hamidah, kerajaan negeri dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menubuhkan rumah perlindungan menempatkan bayi malang dan wanita teraniaya di negeri itu.
Jelas beliau, rumah perlindungan itu bukan bertujuan menggalakkan gejala sosial terutama di kalangan remaja, sebaliknya untuk memberi pembelaan kepada golongan terbabit.
Katanya, kerajaan negeri sedang mengenal pasti sebuah rumah bagi dijadikan rumah perlindungan tersebut.
''Kita mungkin tidak boleh mengatasi masalah sosial seratus peratus. Namun, dengan adanya rumah perlindungan ini sekurang-kurangnya nasib anak-anak yang dibuang akan terbela.
''Tetapi saya harap masyarakat tidak salah faham tujuan sebenar kerajaan. Kita bukan hendak menggalakkan orang buang bayi tetapi untuk memberi mereka perlindungan," katanya.
Kata Hamidah, selain untuk menempatkan bayi malang yang dibuang, rumah perlindungan itu juga akan menjadi 'rumah selamat' kepada kanak-kanak dan wanita mangsa penderaan.
Beliau turut mengalu-alukan langkah Utusan Malaysia menggerakkan kempen Kami Prihatin bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai dalam membanteras kegiatan yang tidak berperikemanusiaan tersebut.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan