MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Ahad, 30 Mei 2010

PERCEPATKAN PENDAKWAAN KES BUANG BAYI DAN DERA KANAK2 - BH.

2010/05/30




SULTANAH Kalsom, Shahrizat dan Adnan melihat tempat perlindungan bayi yang disediakan OrphanCARE di Kuala Lumpur, semalam.Pertubuhan Kebajikan dan pengurusan Anak Yatim (OrphanCARE) melancarkan Baby Hatch, tempat perlindungan bayi 'tidak dikehendaki' ibu bapa pertama di Kampung Tunku, Petaling Jaya



KLANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara untuk mempercepatkan proses pendakwaan terhadap mereka yang disabitkan kesalahan membuang bayi dan penderaan kanak-kanak. Menterinya, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata cadangan itu antara langkah terbaik untuk memastikan mereka yang disiasat segera dibawa ke muka pengadilan untuk dihukum, sekali gus menjadi pengajaran kepada rakyat. “Sekarang pun kementerian mendapat kerjasama polis untuk mempercepatkan siasatan,” katanya selepas merasmikan program Juara Rakyat dan Hari Keluarga Parlimen Kota Raja di sini, semalam.



Terbaru, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dipercayai menanam mayat bayi lelaki berhampiran landasan kereta api Stesen Komuter Padang Jawa, di sini, Sabtu lalu direman empat hari, mulai kelmarin. Turut direman, kakaknya yang berusia 24 tahun kerana disyaki bersubahat.



Pada majlis berasingan di ibu negara, Shahrizat berkata, lelaki yang melarikan diri kerana enggan bertanggungjawab selepas menghamilkan wanita tidak terlepas daripada undang-undang.



“Sudah terlalu lama wanita saja dipersalahkan dalam kes hamil luar nikah dan pembuangan bayi tetapi lelaki melarikan diri. Saya memberi amaran kepada bapa ghaib ini mereka tidak akan terlepas,” katanya selepas majlis perasmian Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (OrphanCARE) serta pelancaran Baby Hatch atau Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini, yang pertama di Malaysia.

Perasmian itu disempurnakan Penaung OrphanCARE yang juga Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.



Shahrizat berkata, beliau tidak menyangka Baby Hatch perlu diwujudkan di Malaysia kerana negara memiliki kerajaan yang bertanggungjawab serta rakyat penyayang.



Beliau turut menegaskan kewujudan Baby Hatch tidak bertujuan menggalakkan kes kehamilan luar nikah, sebaliknya menyelamatkan bayi dibuang ibu bapa yang tidak menghendaki mereka.



Presiden OrphanCARE, Datuk Adnan Mohd Tahir, berkata Baby Hatch yang beroperasi 24 jam adalah pilihan terakhir kepada bayi tidak dikehendaki yang menyediakan tempat perlindungan sihat dan selamat sebelum diserahkan kepada keluarga angkat.



Beroperasi selama 24 jam, beliau berkata, sesiapa saja datang ke OrphanCARE dan meletakkan bayi di tempat yang dikhaskan. Komen Anda

Tiada ulasan:

Catat Ulasan