MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Sabtu, 15 Mei 2010

BAYI COMEL DIBUANG - BAHAN DARI UTUSAN MALAYSIA.

JENAYAH

Oleh OPAT RATTANACHOT

uspetani@utusan.com.my

BAYI lelaki yang ditemui di Masjid Jamek Al-Makmur, Sungai Lalang, Sungai Petani, semalam.

SUNGAI PETANI 14 Mei – Apa lagi yang mampu dikatakan apabila menatap gambar bayi lelaki ini. Raut wajahnya comel. Kulitnya putih melepak. Tapi ada yang tergamak membuang bayi dipercayai baru dilahirkan dua atau tiga hari lalu ini.

Bayi malang ini ditinggalkan di atas lantai beralas tikar di belakang Masjid Jamek Al-Makmur di Taman Makmur, Sungai Lalang, awal pagi ini.

Bagaimanapun, nasib masih menyebelahi insan tidak berdosa itu apabila dia berada dalam keadaan sihat.

Bayi itu ditemui oleh seorang ahli jawatankuasa masjid yang sedang membuat persiapan untuk menunaikan solat Subuh kira-kira pukul 5.15 pagi.

Ketika ditemui, bayi berkenaan menggigil akibat kesejukan. Dia hanya dibalut dengan sehelai tuala manakala di pusatnya terdapat kesan darah akibat digigit semut. Di sisinya ialah sebotol susu.

Seorang kakitangan masjid itu, Rejab Abd. Razak, 62, berkata, bayi berkenaan ditemui oleh Timbalan Pengerusi masjid, Johari Bidin ketika membuka pintu belakang.

“Sebaik sahaja dimaklumkan, saya terus datang ke sini dan nampak bayi itu menggigil kesejukan. Apabila cuba memegangnya, bayi itu cuba menghisap jari saya mungkin kerana terlalu lapar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Menurut Rejab, dengan bantuan penduduk, mereka segera menggantikan tuala putih yang membalut bayi berkenaan.

“Penduduk juga memberi bayi itu minum susu. Bayi ini sangat comel dan berkulit putih. Saya hairan ada yang tergamak membuangnya,” katanya.

Rejab berkata, seorang lelaki warga emas yang menumpang tidur di masjid ini sejak pukul 10 malam tadi juga tidak menyedari kejadian itu.

“Dia beritahu tidak menyedari orang lain keluar masuk ke dalam masjid. Warga emas itu tidur sejak pukul 12 malam sebelum dikejutkan oleh Johari pagi ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Sungai Lalang, Hashim Abdullah, 49, berkata, setelah dimaklumkan mengenai penemuan bayi berkenaan, dia terus menghubungi Balai Polis Bedong.

Menurutnya, polis yang tiba bersama ambulans membawa bayi itu ke Hospital Sultan Abdul Halim kira-kira pukul 7 pagi untuk pemeriksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan suspek. Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4212222.

KOMEN OSMAN DOL: TAK HABIS2 CERITA BUANG BAYI INI. CANTIK BAYI YANG DIBUANG ITU. BUAT APA DIBUANG, SERAHKAN SAJA PADA ORANG2 YANG PERIHATIN. BILA NAK HABIS CERITA INI....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan