MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Khamis, 6 Mei 2010

BENJY KE PUSAT PEMULIHAN AKHLAK......UTUSAN MALAYSIA.

Oleh SUWARNI MOKHTAR

pengarang@utusan.com.my

Azean Irdawaty mengatakan sesuatu kepada peguam, Amir Hamzah (kiri) sambil di perhatikan suaminya, Khairil Anuar (kanan) di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 5 Mei - Belum sempat keputusan terhadap permohonan habeas corpus Benjy (gambar) diketahui, ahli keluarganya yang hadir di Mahkamah Tinggi di sini 'dikejutkan' dengan makluman bahawa pelakon itu telah dihantar ke Pusat Pemulihan Akhlak (PPA), Muar, Johor, pagi ini.

Kemasukan anak lelaki tunggal pelakon veteran, Azean Irdawaty ke PPA selama dua tahun dibuat setelah Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan Benjy ditahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas - LLPK) 1985.

Surat arahan terhadap Benjy atau Khaireyll Benjamin Ibrahim, 31, itu ditandatangani oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Najib Zakaria sebelum Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak membacakan keputusan permohonan habeas corpus itu.

Sebelum ini, Benjy telah berada dalam tahanan mengikut Seksyen 3 LLPK yang membolehkannya ditahan selama 60 hari selepas dia dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM2,000.

Jaminan itu dibuat selepas Benjy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memiliki seberat 0.24 gram methamphetamine di sebuah premis beralamat A-6-5 di Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di sini pada 4 petang, 11 Mac lalu.

Umpama jatuh ditimpa tangga, permohonan habeas corpus yang difailkan pada 8 April itu juga ditolak oleh mahkamah.

Hakim Mohd. Sofian dalam keputusannya bersetuju dengan hujah pihak responden bahawa penahanan semula Benjy adalah sah dan pelakon itu mengetahui alasan dia ditahan semula.

Benjy memfailkan permohonan itu selepas tidak berpuas hati dengan penahanannya di bawah LLPK pada 25 Mac lalu. Dia menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai pihak responden.

Selain Najib, pihak responden diwakili dua lagi Peguam Kanan Persekutuan iaitu Zafran Zafri dan Mahmud Abdullah.

Terdahulu, selepas mengetahui bahawa anak guamnya telah dihantar ke PPA, peguam Amer Hamzah Arshad menyatakan, tindakan KDN mengeluarkan perintah tahanan itu sehari sebelum keputusan permohonan habeas corpus dibuat jelas menunjukkan niat jahat responden.

''Melalui notis tahanan yang diserahkan kepada saya juga, jelas menunjukkan anak guam saya tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil kerana dia tidak menandatangani notis tersebut.

''Sepatutnya, satu afidavit baru difailkan supaya pihak-pihak boleh berhujah mengenai perkara ini,'' katanya yang jelas berang dengan arahan terbaru KDN itu.

Mengakui hanya mengetahui mengenai pengeluaran notis itu pagi ini, Mahmud bagaimanapun menafikan bahawa wujud niat jahat di sebalik arahan tersebut.

Amer Hamzah ketika ditemui selepas tamat prosiding memberitahu, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini dan permohonan habeas corpus baru terhadap penahanan Benjy di bawah Seksyen 6 akta itu.

Azean yang ditemani oleh suami dan anak-anak perempuannya pula dengan tenang memberitahu, dia tidak faham kenapa Benjy perlu dihantar ke pusat pemulihan berkenaan.

''Apa yang teruk sangat Benjy tu sampai kena hantar ke sana? Kalau nak hantar pun, benarkanlah Kak Yan jumpa Benjy sekejap. Kak Yan ni penghidap kanser tahap empat, kalau mati sebelum sempat jumpa Benjy, siapa nak tanggung dosa?

''Masing-masing ada ibu, ada emak dan ada anak. Faham-fahamlah sendiri. Allah Maha Berkuasa, kita tengoklah apa akan berlaku,'' ujarnya dengan tenang sebelum berlalu pergi.

Dramatis itu juga memberitahu, dia ingin bertemu Benjy kerana ingin memberikan ubat-ubatan kepada anak lelakinya itu yang mempunyai penyakit asma dan darah tinggi.


KOMEN OSMAN DOL: REDHAKANLAH...... MUNGKIN ADA HIKMAHNYA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan