2010/07/08
KEADAAN dunia semasa sepatutnya membuka hati kita kepada usaha mendukung nilai kemanusiaan untuk membangun. Senario masyarakat di dunia Barat yang menjadi kiblat manusia kini perlu kepada penilaian.
Usaha membangun masyarakat melalui pencapaian pertumbuhan ekonomi bukan saja memusnah peradaban kehidupan manusia tetapi juga gagal meneruskan agenda pertumbuhan ekonomi negara secara berterusan. Hukum alam menjelaskan jika penumpuan dalam membina sesebuah masyarakat tertumpu kepada sesuatu aspek keperluan manusia sudah pasti aspek lain akan terabai. Keperluan untuk memajukan umat manusia adalah pelbagai dan perlu dijayakan dalam acuan yang sepadu. Keadaan ekonomi di Amerika Syarikat dan Eropah walaupun angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sedikit memberangsangkan tetapi hakikatnya membimbangkan pada masa depan. Angka pengangguran berada pada tahap tinggi, kos sara hidup terus meningkat, kadar hutang individu dan negara makin membesar dan kadar kemiskinan pada tahap tinggi.
Pertumbuhan KDNK di negara itu tidak mencerminkan kebajikan masyarakat turut meningkat. Bahkan, angka KDNK yang menjadi penanda aras pertumbuhan ekonomi sekarang mula dipersoalkan terhadap kesan positif kepada kebajikan masyarakat.
Persoalan yang perlu diberi perhatian ialah adakah pengukuran pertumbuhan ekonomi saja mampu menyelesai keperluan guna tenaga, penurunan kadar kemiskinan dan penurunan kos sara hidup.
Jika Malaysia mahu mencapai kemajuan ekonomi dengan meningkat kebajikan rakyat, maka strategi penyusunan kehidupan yang menyeluruh perlu diberi perhatian oleh pemerintah.
Pendekatan ini memerlukan Malaysia menggubal hanya satu rancangan pembangunan negara meliputi semua aspek termasuk bidang kerohanian, pendidikan, kebudayaan, ekonomi, institusi keluarga dan politik.
Melalui pendekatan itu, semua aspek yang menghasil kepada kebajikan rakyat akan dirancang dan dilaksana secara komprehensif serta bersepadu. Maknanya, pendekatan itu mampu menghala masyarakat membina sebuah peradaban sempurna.
Matlamat akhir perancangan pembangunan negara yang menyeluruh hendaklah mampu menjana kepada kesejahteraan rakyat. Pendekatan bersifat syumul ini adalah langkah untuk membangun peradaban masyarakat sempurna.
Krisis dan kemelut ekonomi dihadapi masyarakat dunia adalah natijah daripada pendekatan memberi tumpuan kepada usaha mencapai pertumbuhan ekonomi. Tidak menghairankan jika strategi ini menjadi panduan kebanyakan negara semasa kerana mereka yakin dengan ideologi kapitalisme.
Walaupun kerenah kemanusiaan hasil daripada pelaksanaan sistem ini kepada masyarakat sangat mendalam, manusia seolah-olah tidak mampu merujuk kepada pendekatan alternatif. Jika ada perubahan yang hendak dilaksana ia masih dalam gagasan ideologi itu.
Kapitalisme dibina atas falsafah kebendaan, individualisme dan naturalisme. Ia bersifat kebendaan kerana pada awal lagi manusia ditakrif sebagai makhluk ekonomi. Matlamat hidup manusia seperti kefahaman demikian ialah untuk memuaskan nafsu jasadnya (hedonism).
Cara harta itu dikumpul bagaimanapun tidak menjadi perhatian. Hasilnya banyak kerenah ketidakadilan berlaku dalam masyarakat hari ini. Penindasan, penipuan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya sudah pasti menjadi natijah dari pendekatan kehidupan itu.
Dalam menyusun perjalanan sistem ekonomi, sistem kapitalisme mengemukakan pendekatan laisse faire (kebebasan mutlak hendaklah diberi kepada individu) melalui institusi pasar. Melalui institusi pasar semua aktiviti ekonomi akan dijalankan. Individu justeru itu akan mengguna kebijaksanaannya memanipulasi aktiviti ekonomi untuk kepentingan diri.
Di samping itu, peranan sektor awam hendaklah diminimumkan. Jika sektor awam turut aktif dalam penyusunan ekonomi negara, sektor swasta (sektor individu) akan terhakis. Penyusunan sistem ekonomi kapitalisme masa kini sudah tidak menepati ideologi dan pendekatan asal kapitalisme.
Turut membimbangkan alam sekitar menghadapi permasalahan. Cuaca tidak menentu, bekalan keperluan asas seperti air dan makanan menjadi isu ketara dalam masa terdekat. Keadaan alam sekitar membuktikan kerakusan tingkah laku manusia membolot hasil bumi dalam proses membangun kekayaan.
Apa yang lebih membimbangkan, institusi kekeluargaan bertambah rapuh akibat banyak masa diperuntukkan untuk menampung keperluan hidup menyebabkan keperluan ahli keluarga terpaksa diabaikan. Akibatnya institusi keluarga makin rapuh dan perkahwinan dianggap lapok. Sekarang perkahwinan sejenis sudah menjadi kenyataan.
Dalam suasana sedemikian, manusia terus gagal mencari pendekatan baru untuk kembali kepada kesejahteraan. Sudah tiba masanya untuk manusia kembali kepada ajaran agama. Malangnya jika ada pendekatan baru berunsurkan agama, usaha masih tidak dapat dikemukakan di luar kerangka kapitalisme.
Kegagalan memahami Islam secara syumul turut membantut kepada pembinaan tamadun berasaskan Islam. Bahkan apa yang dianggap pendekatan menepati kehendak Islam tidak bersifat syumul dan komprehensif.
Justeru, pendekatan agama khususnya Islam mesti diasaskan kepada falsafah tauhid. Semangat keadilan dan memupuk muafakat dikalangan umat manusia termasuk aspek penyusunan ekonomi perlu menjadi gagasan Model Baru Ekonomi sesebuah negara.
Penulis ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan