Oleh Suhana Roslan
suhanaroslan@bharian.com.my
2010/04/15
sebelum - selepas
JasmineSERI KEMBANGAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati disyaki didera bapa tirinya dengan lebih 30 kesan lebam dan cedera ditemui di badan serta kepala mangsa.
Lee Swee Hui, dari Pangsapuri Bayu, Taman Bukit Serdang di sini, dipercayai didera lelaki berusia 27 tahun itu selepas tidak tahan dengan kerenah mangsa yang dikatakan suka menjerit dan menangis serta agresif, termasuk melompat dari meja makan atau kerusi apabila ditegur. Lee atau panggilan manjanya, Jasmine, dibawa ke Poliklinik Komuniti Seri Kembangan di sini pada jam 7.45 pagi semalam oleh bapa tirinya itu yang juga seorang penganggur, tetapi disahkan sudah meninggal dunia dua jam sebelum itu. Timbalan Ketua Polis, Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin, berkata kanak-kanak itu dipercayai didera seminggu lalu berdasarkan kesan lebam pada badannya.
Bagaimanapun, katanya, siasatan awal mendapati tiada kesan penderaan seksual ke atas kanak-kanak itu.
Pada sidang akhbarnya semalam, beliau berkata, lelaki itu ditahan di klinik berkenaan sebaik menerima laporan mengenai kes berkenaan, manakala isterinya berusia 24 tahun diberkas pada jam 12.45 tengah hari di pangsapuri yang disewa pasangan terbabit sejak setahun lalu.
“Kanak-kanak itu tinggal bersama pasangan berkenaan di rumah sewa itu selepas dia dijaga selama dua tahun oleh seorang pengasuh.
“Pasangan itu turut dikurniakan seorang anak lelaki berusia tiga bulan dan kini dijaga adik wanita itu,” katanya.
Khaw berkata, mayat Lee dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kes itu adalah yang ketiga membabitkan kanak-kanak mati didera dalam dua bulan lalu. Pada 25 Februari lalu, Syafia Humairah Sahari, juga tiga tahun, meninggal dunia dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali.
Seminggu selepas itu, K Haresvarren, 18 bulan, meninggal dunia juga akibat didera dipercayai oleh suami pengasuhnya di Kayu Ara, Damansara dekat sini.
Sementara itu, seorang penghuni pangsapuri itu, Samsul Madi, 30, berkata beliau sering mendengar kanak-kanak menangis pada waktu malam dan awal pagi, tetapi tidak pasti dari rumah mana.
"Boleh dikatakan setiap hari saya dengar kanak-kanak menangis dan suara perempuan marah-marah," katanya.
Seorang jiran yang enggan namanya disiarkan pula berkata setiap kali melalui hadapan rumah pasangan itu, beliau sering mendengar suara kanak-kanak menangis.
“Saya tidak kenal Lee, tetapi setiap kali melintas di hadapan rumahnya untuk ke kedai, saya sering dengar tangisan kuat sampai teresak-esak, tapi saya tidak syak apa-apa, biasalah budak menangis,” katanya.
KOMEN: HARAP2 BAPA TIRI ITU DIHUKUM GANTUNG SAMPAI MATI.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan