pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 21 Sept. - Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengemukakan permohonan agar Mahkamah Persekutuan mempercepatkan pendengaran rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mengekalkan pertuduhan liwat terhadapnya.
Peguam Karpal Singh yang mewakili Ketua Pembangkang itu memberitahu pemberita, pihaknya memfailkan notis rayuan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan hari ini melalui Tetuan Karpal Singh & Co.
Sehubungan itu, Karpal menyatakan, beliau akan mengemukakan permohonan bertulis kepada Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi agar tarikh pendengaran dipercepatkan.
Menurut Karpal, jika rayuan Anwar bagi membatalkan pertuduhan liwat dibenarkan oleh mahkamah tertinggi itu, perbicaraan yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi tidak akan diteruskan.
Perbicaraan terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ditetapkan disambung pada 14 dan 15 Oktober ini.
"Notis rayuan sudah difailkan hari ini dan kami akan memohon agar rayuan di Mahkamah Persekutuan dipercepatkan," ujarnya ketika ditemui di Istana Kehakiman di sini.
Anwar merayu setelah tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan bantahan awal pendakwa raya, sekali gus menolak rayuan agar pertuduhan liwatnya dibatalkan.
Ketua Pembangkang itu mendakwa, pertuduhan tersebut harus digugurkan kerana wujud hubungan sulit antara seorang daripada timbalan pendakwa raya wanita dalam kes tersebut dan pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Semalam, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Maarop sebulat suara memutuskan ia tiada bidang kuasa mendengar rayuan Anwar kerana keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan, bukan perintah muktamad.
Menurut beliau, mahkamah berpuas hati bahawa keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah itu tidak boleh dirayu kerana ia merupakan perintah yang dibuat dalam satu perbicaraan yang sedang berlangsung dan kesannya tidak melupuskan hak mana-mana pihak.
Sehubungan itu, panel berkenaan tidak mempunyai bidang kuasa mendengar dan memutuskan rayuan yang belum dimuktamadkan berdasarkan pindaan terhadap Seksyen 3 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman 1964.
Pada 16 Ogos lalu, Hakim Mohamad Zabidin ketika menolak permohonan Anwar berpuas hati dakwaan mengenai hubungan antara Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif dan Mohd. Saiful Bukhari lebih bersifat andaian dan kepercayaan Ketua Pembangkang itu semata-mata.
Farah Azlina kini telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan.
(Muka hadapan UTUSAN MALAYSIA yang menarik. Kelihatan juga wajah Datuk Sri Anwar Ibrahim disamping seorang rakannya).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan