MULAKAN SETIAP PEKERJAAN KITA DENGAN MEMBACA BISMILLAH SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT.

Isnin, 30 Julai 2012

BERTUKAR KE KUALA LUMPUR

BERAT rasa hati hendak meninggalkan Kelantan setelah mendapat arahan bertukar ke Kuala Lumpur pada tahun 1973. Waktu itu aku telah pun menduduki peperiksaan HSC. Keputusan peperiksaan tidaklah begitu baik. Tetapi bolehlah, berbanding rakan-rakan yang lain yang malas hendak belajar lagi. Semasa bertukar ke Kuala Lumpur itu beberapa orang rakanku, antaranya ialah Cikgu Abdullah Tahir, Sutung Umar rs telahpun berhijrah ke Kuala Lumpur. Abdullah Tahir menjadi tutor di UM manakala Sutung Umar rs sidang pengarang di Dewan Bahasa dan Pusaka. Abdullah Tahir yang baik hati mencadangkan padaku supaya masuk ke universiti. Beliau boleh membantu kalau aku mahu. Tapi aku sudah tidak minat lagi untuk meneruskan pelajaranku. Seolah-olah sudah cukup dengan kelususan HSC itu. Awal tahun 1973 kalau tidak silap aku telah masuk temuduga untuk jawatan penilai skrip drama di RTM. Permulaan gaji ditawarkan ialah RM 1,000.00 waktu itu. Dah lumayan seribu ringgit itu. Pada mulanya mereka kata aku dapat jawatan. Rupanya disaat-saat akhir aku ditolak. RTM telah mengambil Atondra untuk mengisi jawatan itu walaupun beliau tidak hadir pada temuduga itu. Selepas itu aku pergi pula untuk menghadapi temuduga sebagai wartawan di Jabatan Perpaduan Negara bersama-sama dengan Dato'Wariya. Tapi aku telah menarik diri dari temuduga. Selepas aku keluar itu aku tidak tahu apa terjadi pada Dato' Wariya. Mungkin tidak ada rezekiku di situ. Dan pada tahun 74 ada ura-ura dari jabatan agar aku ditukarkan ke Jabatan Perhubungan Awam PDRM dan pada waktu yang sama aku juga dikatakan akan dinaikkan ke pangkat Inspektor. Aku menolak pergi Jabatan Perhubungan Awam dan hanya pada tahun 1975 hujung tahun aku telah diterima menjadi pegawai kanan polis berpangkat inspektor. Bulan 3 tahun 1976 aku mula menjalani latihan inspektor polis di Pulapol. Hampir 3 tahun di Kuala Lumpur aku tidak menulis apa-apa. Aku sepi sesepinya.....

Rabu, 25 Julai 2012

BILA TENGUK ORANG MAKAN SAYA NAK MAKAN.....

ASSALAMUALAIKUM WRT. SELAMAT BERPUASA KEPADA RAKAN-RAKAN SEMUA. HARI SUDAH MASUK HARI KE EMPAT KITA BERPUASA. DAN SETIAPKALI MENJELANG RAMADAN SAYA TERINGATKAN ZAMAN KANAK-KANAK DULU. BERPUASA BAGI SAYA TIDAK ADA MASALAH. PANTANGNYA JANGAN SAYA TERNAMPAK ORANG MAKAN. KALAU SAYA NAMPAK ORANG MAKAN SAMA ADA DI RUMAH ATAU RUMAH JIRAN-JIRAN SAYA, SERTA MERTA SAYA AKAN MENJERIT MINTA MAKAN. DI RUMAH SAYA SELALU TERPANDANG EMAK SAYA MAKAN. ORANG PEREMPUAN BUKANKAH SELALU UZUR. BILA SAYA NAMPAK EMAK MAKAN, SAYA AKAN MENJERIT HENDAK BERBUKA PUASA. PENING KEPALA EMAK SAYA DIBUAT. ITU KELEMAHAN SAYA MASA KANAK-KANAK.
ini gambar aku semasa kanak-kanak - dalam likungan 4 ke 5 tahun ini.

Sabtu, 21 Julai 2012

SEHINGGA KINI AKU MASIH RINDUKAN CHERANG RUKU, KUALA BESUT DAN KUALA JAMBU.

KATA ORANG tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula bermain. Bumi Cherang Ruku, Kuala Besut dan Kuala Jambu memang banyak membantu aku untuk mengembangkan sayap di bidang penulisan. Persahabatanku ditiga-tiga tempat ini sebenarnya tidak terbatas. Aku berkawan dengan penulis-penulis, orang-orang politik dan orang-orang kampung. Semasa aku hendak bertukar dari Cherang Ruku ke Kuala Jambu, penduduk-penduduk Kampung Cherang Ruku telah menulis surat kepada Ketua Polis Negara untuk tidak menukarkan aku ke Kuala Jambu. Bagaimanapun pihak pengurusan PDRM tidak membenarkannya. Polis mengharapkan agar kemajuan yang saya lakukan di Cherang Ruku dapat pula dilakukan di Kuala Jambu. Pertukaranku dari Kuala Jambu ke Kuala Lumpur tidak pula orang-orang tulis surat surat menahan pertukaran itu. Mungkin barangkali pergaulanku dengan masyarakat di situ tidak serapat pergaulanku dengan masyarakat Cherang Ruku.

Selasa, 17 Julai 2012

M.A. PUTERI, KU RAHMAN, HAMID JUSUH DAN YUSOF SELERA.....

Kampung Cherang Ruku, Semerak, bersempadan dengan Terangganu. Kuala Besut ada bersebelahan sahaja dengan Kampung Dalam Rhu, Semerak. Selepas Cherang Ruku kita berjumpa Kampung Dalam Rhu. Selepas Kampung Dalam Rhu baharulah kita berjumpa Kuala Besut. Semasa duduk di Cherang Ruku selalulah saya pergi ke Kuala Besut. Di Kuala Besut ada beberapa orang penulis yang terkenal waktu itu. Antaranya ialah M.A. Puteri (Mohammad Abdullah, M.A. Puteri banyak menulis artikel-artikel dalam akhbar-akhbar dan majalah. Ku Rahman seorang penyair. Hamid Jusuh, penulis berita. Dan Yusof Selera seorang peniaga tetapi berminat menulis sajak. Restoran Yusof Selera di Kuala Besut adalah miliknya. M. A.Puteri telah meninggal dunia 4 atau 5 tahun yang lalu - ada keluar surat khabar. Yang lain-lain tidak dengar khabar berita mereka. Seronok juga bila teringatkan kisah lama ini. Saya dan rakan2 penulis dari Kuala Besut dan Pasir Puteh selalulah berjumpa dan selalu berbincang fasal sastera. Kadang2 kami berjumpa di Kampung Dalam Rhu, di tepi pantai.
GAMBAR KENANG-KENANGAN: M.A.PUTERI AKU DAN WAN MOHAMMAD ADAM DARI KIRI. GAMBAR DIRAKAMKAN PADA TAHUN 1970 (LEBIH KURANG).

Ahad, 15 Julai 2012

TIDAK ADA PENULISKAH DI TUMPAT?

SAYA bertugas di Kuala Jambu lebih kurang tiga tahun saja. Kuala Jambu sebuah kampung yang agak terpencil sedikit. Malam hari sunyi sepi walaupun bukan kawasan hitam. Selama tiga tahun di Kuala Jambu, tiga kali Kuala Jambu dilanda banjir besar. Balai polis Kuala Jambu berhampiran Sungai Golok. Bila bajir melanda, balas polis dan rumah anggota akan dimasuki air setinggi dua atau tiga kaki. Penat mengemas barang. Rumah enjin semboyan dibuat tiggi kira-kira 15 kaki dari bumi. Jadi, waktu banjir enjin itu tidaklah dimasuki air. Kawasan pendalaman tempat aku tinggal itu, biasanya dilawati oleh pegawai kanan polis sebulan sekali. Pegawai itu akan tidur di balai bersama anggota bertugas. Banjir yang melanda Kuala Jambu bukanlah bajir kilat seperti yang banjir yang melanda Kuala Lumpur. Banjir di sini memakan masa berhari-hari untuk surut. Kadang-kadang sampai seminggu baru surut. Fukirkanlah bagaimana hendak berak dan kencing waktu banjir sebegitu. Kami takut ular atau buaya masuk ke dalam rumah. Tapi belum pernah berlaku lagi. Setahu saya di Kuala Jambu memang tidak ada penulis. Di Tumpat pun cuma penulis yang saya kenal ialah Hasan Yaacob. Dia ini banyak menulis berita. Lain-lain saya tidak kenal atau mungkin tidak diperkenalkan dengan saya. Insya-Allah, akan sambung lagi.
GAMBAR ANAKKU - BUDI ARIFFIN DAN KAK NAB - ORANG KUALA JAMBU. SAYA DAN KELUARGA MENZIARAHINYA BEBERAPA BULAN YANG LALU.

Jumaat, 13 Julai 2012

DARI CHERANG RUKU KE KUALA JAMBU

SEBELUM bertukar ke Kuala Lumpur, dari Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh saya bertukar ke Kuala Jambu, Tumpat. Di Tumpat waktu itu tidak ada penulis yang aku kenali di sana. Kerana itu aku bergiat menulis secara sendirian. Kalau jemu di Kuala Jambu aku pergi mencari rakan-rakanku di Kota Bharu. Rakan paling rapat denganku ialah Zahari Affandi dan Abdullah Tahir (Abdullah Tahun duduk di Kubang Krian dan isterinya orang Pasir Puteh. Banyaklah cerpen2 dan drama radioku tersiar. Tanpa kuduga, rupa-rupanya di Kuala Jambu muncul seorang penulis terkenal yaitu novelis Hashim Latif. Aku baru saja mengenalinya ketika giat menulis dalam muka buku (fb, dia hubungi aku dan mengenalkan dirinya. Alhamdulillah. Semasa aku bertugas di Kuala Jambu dulu, Hashim masih kanak2 lagi. Dia cukup ingat aku seorang pemain badminton yang berbakat waktu itu. Sekian. Insya-Allah akan sambung lagi.

Selasa, 10 Julai 2012

BUMI KELANTAN ADALAH BUMI BERTUAH BAGI SAYA.

Pada tahun 1967 saya bertukar ke Kota Bharu sebagai anggota polis. Minat menulis yang ada pada diriku ini terus membara. Namun begitu, di Kota Bharu saya tidak kenal sesiapa pun penulis. Penulis-penulis seperti S.Othman Kelantan, Alias Harun, Abdullah Tahir, Zahari Affandi, Norhisham Mustafa, Anirahman L Redan semuanya duduk di Kota Bharu. Saya pula belum berminat untuk menemui mereka dalam waktu terdekat itu. Niat untuk mengenali penulis2 terkenal itu memang ada. Tetapi masih belum ada kesempatan lagi. Saya tidak lama bertugas di Kota Bharu. Kalau tidak silap saya cuma tiga bulan saja. Dari bulan Mei hingga Ogos 1967. Selepas itu saya ditukarkan Balai Polis Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh. Sebenarnya di Pasir Putehlah cahaya penulisan saya mula bersiar. Ketika di Pasir Putehlah Cerpen, drama radio, drama pentas, novel, puisi mula mendapat tempat di akhbar, majalah, radio. Pada mulanya saya terasa malas hendak mencari rakan-rakan penulis di Pasir Puteh dan Kota Bharu. Tiba-tiba sebuah majalah hiburan meenyiarkan sebuah cerpen saya berserta gambar. Dan seorang penulis di Pasir Puteh, Wan Mohammad Adam (Arduka)dapat mengenali saya dari gambar saya yang tersiar itu. "Awaklah OSMAN DOL" yer, kata Arduka. Arduka atau Wan Mohammad Adam masih aktif menulis. Tapi beliau menjadi wartawan "Bernama". Penulis2 yang bermastautin di Pasir Puteh waktu itu ialah Abdullah Tahir, Wan Jaafar Ahmad, Cikgu Daud Yusoff dan ramai lagi yang tidak dapat kubariskan nama mereka. Arduka mengenalkan aku dengan penulis-penulis Pasir Puteh itu. Dan pada tahun 1970 (kalau tidak silap) saya bersama-sama Abdullah Tahir, Wan Jaafar Ahmad, Arduka dan Cikgu Daud Yusoff lalu menubuhkan SUDUT PENULIS PASIR PUTEH kemudiannya di kenali PUSPA. Dari Pasir Puteh saya mula mengenali penulis-penulis besar Kelantan di Kota Bharu seperti S.Othman Kelantan, Alias Harun, Sutung Umar RS, Alias Muhammad, Anir Rahman L Redan dan ramai lagi yang saya telah lupa nama mereka. Dan saya pernah dilantik sebagai AJK Persatuan Penulis Kelantan. Banyak karya-karyaku yang tersiar di Kelantan. Tahun 1974 saya bertukar ke Kuala Lumpur. Kelantan yang penuh dengan kenangan.....

PUISI TERBARU DALAM "DEWAN SASTERA" JULAI 2012.

ALHAMDULILLAH....TERIMA KASIH DEWAN SATERA.